SN685 – PRN Sabah Usai, Krisis Masih Kekal: Mampukah Sistem Sedia Ada Menyelesaikannya?

Bil: SN685 (PDF/Print) – 16 Jamadilakhir 1447 / 7 Disember 2025
PRN sabah kali ini menyaksikan pertandingan yang paling sengit dalam sejarahnya. Seramai 596 calon bertanding merebut 73 kerusi DUN Sabah – lebih 20 parti dan lebih 70 calon bebas. Kepanasan PRN kali ini berakar daripada pelbagai masalah yang telah lama membelenggu negeri Sabah. Masalah tiga serangkai – buruknya kemudahan air bersih, elektrik dan jalan raya yang tidak kunjung selesai sejak berdekad-dekad lamanya menjadi sumbu kemarahan penduduk Sabah. Ditambah lagi, isu roti gardenia yang tular dianggap menghina penduduk Sabah, seolah-olah menggambarkan bahawa mereka mudah dipengaruhi atau dibeli disebabkan kemiskinan yang dihadapi.
Masing-masing pihak saling menuding jari atas punca masalah ini. Parti-parti tempatan menuduh parti-parti ‘Malaya'(semenanjung) sebagai penghalang kemajuan Sabah dan mendakwa kerajaan pusat enggan menunaikan janji MA63 berkaitan pengembalian 40 peratus hasil negeri sejak 1974. Sebaliknya, parti-parti ‘Malaya’ menuduh pemerintah negeri sendiri yang gagal mentadbir dan budaya rasuah di kalangan mereka sebagai punca masalah berlarutan. SN kali ini cuba mengupas secara ringkas punca sebenar permasalahan di Sabah dan mengajak para pembaca menilai adakah pasca PRN ini para calon yang menang benar-benar berupaya menyelesaikan krisis negeri Sabah?
Punca Masalah di Sabah
Sabah ditadbir dengan sistem demokrasi sejak bergabung dengan Malaysia pada tahun 1963. Namun, apa yang kurang dibincangkan di khalayak adalah bahawa demokrasi merupakan sistem yang mahal. Demi memastikan seorang calon mampu memenangi kerusi dalam pilihan raya, jumlah perbelanjaan yang diperlukan boleh mencecah puluhan juta ringgit untuk menampung kos kempen dan meraih sokongan rakyat. Akibatnya, hampir mustahil bagi ahli politik untuk beroperasi tanpa dana politik. Hal ini turut diakui oleh Datuk Seri Panglima Hajiji yang menyatakan, “Tetapi bohonglah kalau setiap parti politik atau pemimpin politik tidak menerima dana politik daripada para penyumbang” [Malaysiakini-15/12/2024].
Justeru itu, dana politik sering diperoleh melalui amalan rasuah daripada golongan kaya, khususnya para kapitalis( ahli korporat). Tularnya video bahawa beberapa pemimpin Sabah menerima rasuah daripada Albert Tei baru-baru ini merupakan contoh kepada fenomena yang telah menjadi lumrah dalam sistem demokrasi. Malah, sebahagian ahli politik merasakan perbuatan tersebut bukan suatu kesalahan. Setelah memenangi pilihan raya dan memegang kuasa, mereka kemudian “membalas jasa” para kapitalis ini melalui pemberian projek-projek yang menguntungkan. Situasi sebegini berlaku dengan mudah kerana sistem demokrasi menyerahkan kuasa penggubalan undang-undang kepada manusia, yang akhirnya membuka ruang untuk undang-undang digubal bagi menjaga kepentingan kelompok tertentu.
Dilaporkan pada 2017, SPRM telah menyiasat 350 projek di Sabah melibatkan projek bekalan air, elektrik dan jalan raya yang menyebabkan penyelewengan RM1.5 bilion. Siasatan awal mendapati 65 syarikat dikesan berkemungkinan memperoleh projek dengan cara yang meragukan[BH online 07/10/2017]. Bagi ahli korporat pula, memberi rasuah kepada ahli-ahli politik merupakan sebahagian daripada pelaburan perniagaan jangka panjang. Inilah asam garam dalam hubungan antara ahli politik dengan ahli korporat dalam sistem demokrasi.
Selain itu, Sabah merupakan negeri yang kaya dengan hasil minyak dan gas asli. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia(DOSM), Sabah telah mengeksport petroleum mentah dan cecair gas asli dengan nilai RM21.3 bilion and RM4.6 bilion masing-masing pada tahun 2024[sabahmedia.com 04/07/2025]. Namun, akibat penerapan sistem ekonomi kapitalisme, kekayaan ini tidak dinikmati oleh majoriti penduduk Sabah di mana negeri ini mempunyai kadar kemiskinan mutlak yang tertinggi di Malaysia [Laporan DOSM 2024]. Jurang kekayaan yang cukup besar ini menggambarkan ketidakseimbangan yang sangat kritikal dalam pengagihan kekayaan di Sabah. Jelas sekali, sistem ekonomi kapitalisme yang subur di bawah payung demokrasi merupakan sistem yang secara tabii menyebarkan kezaliman di mana sahaja ia diterapkan.
Isu federalisme juga acapkali dibangkitkan menjelang PRN Sabah. Kejujuran kerajaan pusat dalam pemeteraian Perjanjian Malaysia 1963(MA63) ketika Sabah dan Sarawak bergabung dengan Semenajung Malaya kerap dipersoalkan. Ini kerana kekayaan negeri-negeri Borneo tidak diterjemahkan kepada kemajuan negeri-negeri tersebut – Sabah dan Sarawak hakikatnya merupakan negeri yang sangat kaya dengan hasil bumi namun paling terkebelakang dalam pembangunan. Ketidaksamarataan pembangunan antara negeri dan pusat pemerintahan membentuk sentimen ‘anti-Malaya’ di kalangan penduduk Sabah. Rata-rata penduduk Sabah merasakan kekayaan mereka telah ‘dicuri’ oleh kerajaan pusat. Sistem persekutuan(federalisme) yang diamalkan memisahkan pemerintahan peringkat pusat dan negeri. Sebahagian besar masalah dalam negeri mesti diuruskan oleh pemerintah negeri tersebut sedangkan sumber-sumber ekonomi kerajaan negeri dihadkan oleh perlembagaan. Akibatnya sumber kewangan kerajaan-kerajaan negeri menjadi terhad untuk menyelesaikan masalah infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik dan lain-lain lagi. Ini bukan sahaja berlaku di Sabah, tetapi berlaku juga di negeri-negeri lain terutamanya di Pantai Timur Semenanjung.
Penyelesaian daripada Islam
Pertama: Islam sebagai Deen yang diturunkan oleh Allah bukan sekadar mengatur aspek ibadah individu tetapi juga mengatur negara. Para pemimpin dipilih dan dilantik bukan untuk menggubal undang-undang tetapi untuk melaksanakan undang-undang (hukum) yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka” [TMQ Surah al-Maidah (5): 49].
Oleh yang demikian, pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan hak pemilikan umum seperti petroleum dan gas kepada swasta kerana telah termaktub dalam hukum Islam bahawa kekayaan ini merupakan hak milik rakyat. Kekayaan tersebut mestilah dikembalikan kepada rakyat umum dan bukan untuk dikuasai oleh para pemimpin atau korporat.
Rasuah biasanya diberikan kepada pegawai yang berkuasa sebagai imbalan atas keputusan berkaitan dengan suatu kepentingan. Padahal keputusan ini seharusnya diputuskan tanpa sebarang imbalan kerana pegawai itu sudahpun menerima gaji. Islam melarang amalan al-risywah(rasuah) ini dan mereka yang didapati melakukannya akan dikenakan hukum yang berat.
“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” [HR Ahmad]
Selain itu, syariat tidak menetapkan tempoh jawatan seorang pemimpin baik Khalifah, iaitu pemimpin tertinggi negara mahupun Wali, iaitu pemimpin wilayah. Oleh itu, amalan politik balas budi terhadap penyumbang dana serta politik projek dapat diminimumkan.
Kedua: Sistem perekonomian Islam akan memastikan kekayaan negara akan dinikmati oleh penduduknya. Islam telah membahagikan pemilikan menjadi tiga jenis: Pemilikan individu (al-milkiyah fardiyah), pemilikan umum(al-milkiyah ‘ammah) dan pemilikan negara(al-milkiyah daulah).
Seperti mana yang dijelaskan tadi, pemilikan umum seperti bahan galian dan air, dan apa sahaja yang menjadi keperluan orang ramai mestilah kekal dimiliki oleh rakyat secara bersama. Kekayaan hasil bumi akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk membangunkan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik, sistem telekomunikasi, sekolah dan hospital. Infrastruktur yang lengkap akan membina peluang pekerjaan di kalangan rakyat, memudahkan perniagaan, pertanian dan industri. Ini akan merapatkan jurang kaya dan miskin di kalangan rakyat. Tambahan lagi, sumber pendapatan negara seperti kharaj dan jizyah, boleh juga digunakan oleh negara untuk merapatkan jurang kaya dan miskin jika perlu.
Ketiga: Daulah Islam merupakan sebuah kesatuan, bukan federasi atau persekutuan. Di dalam Daulah Islam, beberapa wilayah bergabung menjadi sebuah kesatuan. Ini bermakna sumber pendapatan dan perbelanjaan di seluruh wilayah disatukan di bawah pemerintahan pusat. Perbelanjaan untuk kemaslahatan seluruh rakyat jelata dilakukan oleh pusat tanpa memandang di mana wilayahnya. Seandainya suatu wilayah sumber pendapatannya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluannya, maka wilayah itu dibiayai pusat sesuai dengan keperluannya tanpa mengira samada pendapatannya mencukupi atau tidak. Justeru, pembangunan lebih adil dan setara antara satu wilayah dengan wilayah lain dapat diperolehi.
Inilah antara gambaran penyelesaian yang ditawarkan oleh syariat Islam terhadap permasalahan di Sabah. Islam sebagai Deen yang diturunkan oleh Tuhan Yang Maha Pencipta sentiasa memberikan penyelesaian yang tuntas, selaras dengan fitrah dan akal manusia serta mampu memberikan ketenangan jiwa. Namun malangnya, para pemimpin yang ingin memerintah jarang sekali menawarkan syariat Islam sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah yang membelenggu Sabah.
Khatimah
Penjelasan di atas membuktikan bahawa masalah di negeri Sabah bukanlah sekadar berkaitan dengan siapa yang memerintah, tetapi lebih mendasar daripada itu – ianya terkait sistem yang digunakan untuk memerintah. Siapa pun calon yang dipilih, masalah akan tetap berulang kerana punca sebenar permasalahan terletak pada sistem demokrasi, kapitalisme dan federalisme yang sentiasa menimbulkan krisis. Hal ini berlaku kerana ketiga-tiga sistem tersebut tidak selaras dengan fitrah manusia.
Islam sebagai agama dan sistem kehidupan yang diturunkan oleh Allah SWT memiliki jawapan dan penyelesaian tuntas terhadap masalah di Sabah. Penerapan syariat Islam secara menyeluruh (kaffah) akan membawa penduduk di negara-negara Muslim termasuk Sabah kepada kehidupan yang sejahtera dan tenteram. Terlalu banyak pula bukti yang menunjukkan bahawa demokrasi dan kapitalisme hanya membawa kepada kehidupan yang sempit, gelap dan penuh penyeksaan. Firman Allah SWT:
“Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatanKu(Al-Quran), maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiaamt dalam keadaan buta.” [TMQ Surah Taha(20):124]
Oleh itu, marilah kita sama-sama mengorak langkah dalam menggembeleng tenaga dan usaha untuk mengembalikan syariat Islam secara menyeluruh di dalam kehidupan ini di bawah payung kekhilafahan Islam. Ini merupakan janji Allah SWT, dan janjiNya pasti tertunai!