SN692 – Kejutan Yang Telah Menjadi Kebiasaan

Bil: SN692 (PDF/Print) – 29 Ramadhan 1447 / 18 Mac 2026

Setiap tahun umat Islam menantikan kedatangan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan setelah sebulan menjalani ibadah puasa Ramadhan. Namun di Malaysia, wujud fenomena yang disebut sebagai “Raya mengejut”. Istilah ini merujuk kepada situasi apabila tarikh Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan oleh pihak berautoriti berbeza dengan tarikh yang telah dicatatkan dalam kalendar-kalendar rasmi. Apabila pengumuman rasmi dibuat pada saat akhir dan berbeza daripada jangkaan masyarakat, maka timbullah kekeliruan dan kejutan dalam kalangan kaum Muslimin.

Fenomena ini menggambarkan satu realiti yang lebih besar, iaitu bagaimana umat Islam hari ini semakin menyerahkan sepenuhnya penentuan tarikh berpuasa dan berhari raya kepada pihak pemerintah tanpa menyedari bahawa penentuan tarikh hari raya itu sebenarnya berlandaskan kepada kepentingan negara tanpa melihat kepada aspek hukum syarak. Pada peringkat awal, perbezaan sebanyak satu hari antara Malaysia dan negara-negara kaum Muslimia lain tidak dianggap sebagai masalah besar. Ramai yang beranggapan bahawa selagimana ia disahkan oleh pihak berautoriti agama kerajaan, maka ia adalah sesuatu yang perlu diterima. Namun apabila berlaku kemungkinan perbezaan sehingga lebih daripada dua hari dengan negara lain, barulah timbul kebimbangan dan perbincangan tergesa-gesa dalam kalangan pihak berkuasa untuk mencari penyelesaian.

Keadaan ini memperlihatkan betapa parahnya perpecahan di kalangan umat Islam pada masa kini. Perpecahan ini bukan sahaja disebabkan oleh garis sempadan negara, tetapi juga oleh perbezaan pemikiran, emosi, dan kepentingan politik. Akibatnya, urusan yang sepatutnya mudah, seperti penentuan hari raya, menjadi sukar untuk diselaraskan. Jika perkara yang asas dan mudah pun sukar dilaksanakan dengan sempurna, apatah lagi dalam isu-isu yang lebih besar seperti permasalahan ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan serta hala tuju umat Islam.

Perpecahan ini telah lama berlangsung sehingga menyebabkan umat Islam tidak lagi merasa janggal apabila berlaku perbezaan dalam penentuan hari raya. Sesuatu yang sepatutnya menimbulkan persoalan dan keprihatinan kini dianggap sebagai perkara biasa. Malah perpecahan ini turut menyebabkan sebahagian besar kaum Muslimin akhirnya menormalisasikan kesengsaraan hidup sebagai sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Apabila urusan diserahkan sepenuhnya kepada keputusan negara dan sistem yang tidak berteraskan Islam, pelbagai bentuk kesusahan dan ketidakadilan akhirnya diterima sebagai sekadar cabaran hidup yang perlu dihadapi dengan sabar. Hakikatnya, keadaan tersebut bukanlah sesuatu yang semula jadi, tetapi merupakan kesan daripada sistem yang diterapkan. Jika kehidupan diatur berdasarkan syariat Islam, banyak daripada kesengsaraan yang dianggap normal itu sebenarnya tidak sepatutnya berlaku.

Selain itu, perpecahan juga menjadikan umat Islam lalai daripada menilai punca sebenar permasalahan yang mereka hadapi. Dalam banyak keadaan, kecelaruan ekonomi dan polisi negara dianggap sebagai fenomena global yang tidak berkaitan dengan Islam. Hakikatnya Islam merupakan satu sistem kehidupan yang lengkap yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Apabila umat Islam tidak lagi mengaitkan permasalahan kehidupan dengan penyelesaian yang ditawarkan oleh Islam, maka mereka hilang keyakinan terhadap kemampuan Islam sebagai sistem yang membawa kesejahteraan.

Perpecahan yang berlarutan selama berabad-abad telah menyebabkan sebahagian umat Islam tidak lagi percaya bahawa keharmonian sebenar boleh dicapai melalui Islam. Mereka juga kehilangan keyakinan terhadap kemampuan diri sendiri sebagai umat yang pernah memimpin tamadun dunia. Akibatnya, banyak permasalahan yang berlaku diberikan justifikasi tanpa usaha untuk mencari penyelesaian yang berpaksikan kepada syariat Islam.

Hakikatnya, Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk membawa keharmonian dan kesejahteraan kepada manusia. Allah berfirman dalam al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.”
(Surah al-Baqarah: 208)

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar Deen yang mengatur ibadah individu, tetapi merupakan sistem kehidupan yang menyeluruh. Apabila Islam dilaksanakan secara sempurna, ia akan membawa kesejahteraan kepada manusia demi memperoleh keredhaan Allah SWT.

Dalam konteks penentuan hari raya, syariat Islam sebenarnya telah memberikan panduan yang sangat jelas dan mudah untuk dilaksanakan. Rasulullah SAW bersabda:

“Berpuasalah kalian kerana melihat hilal dan berbukalah (berhari raya) kerana melihatnya. Jika mendung menutupi kalian, maka genapkanlah Sya’ban kepada 30 hari.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1909; Muslim, no. 1081)

Hadis ini menunjukkan bahawa penentuan awal Ramadhan dan Syawal dilakukan berdasarkan rukyah hilal, iaitu melihat anak bulan. Jika anak bulan tidak kelihatan kerana faktor cuaca seperti mendung, maka bulan Sya’ban disempurnakan kepada 30 hari. Kaedah ini sangat mudah dan telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Dalam sejarah Islam, kaedah rukyah ini menjadi asas kepada penentuan puasa dan hari raya. Walaupun terdapat perkembangan dalam bidang astronomi dan teknologi, prinsip asas yang diajar oleh Rasulullah SAW tetap menjadi rujukan utama. Tujuan syariat adalah untuk memudahkan manusia, bukan menyulitkan mereka.

Allah SWT berfirman:

“Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”
(Surah al-Baqarah: 185)

Ayat ini sering dikaitkan dengan ibadah puasa dan menunjukkan bahawa syariat Islam bersifat memudahkan. Oleh itu, apabila hukum yang telah jelas dalam nas ditokok tambah dengan pelbagai kaedah yang rumit tanpa keperluan yang mendesak, ia berpotensi menimbulkan kekeliruan dan kesulitan dalam kalangan masyarakat.

Walau bagaimanapun, perlu juga difahami bahawa dalam fiqh Islam terdapat perbezaan pandangan dari kalangan ulama mengenai kaedah penentuan awal puasa dan hari raya. Sebahagian ulama menekankan rukyah secara langsung, manakala sebahagian yang lain membenarkan penggunaan hisab astronomi sebagai sokongan atau penentu. Perbezaan pandangan ini merupakan sebahagian daripada khazanah keilmuan Islam. Namun perbezaan tersebut tidak seharusnya menjadi punca perpecahan yang lebih besar dalam kalangan umat.

Islam sangat menekankan kepentingan perpaduan. Allah SWT berfirman:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.”
(Surah Ali ‘Imran: 103)

Ayat ini merupakan peringatan yang sangat jelas bahawa perpecahan adalah sesuatu yang perlu dielakkan. Perpaduan umat Islam bukan sekadar dalam aspek ibadah, tetapi juga dalam cara berfikir, bertindak dan mengurus kehidupan.

Jika umat Islam bersatu dan menjadikan syariat sebagai asas dalam setiap urusan, maka banyak permasalahan yang dihadapi hari ini dapat diselesaikan dengan lebih baik. Penentuan hari raya, misalnya, sepatutnya menjadi simbol kesatuan umat Islam di seluruh dunia. Hari raya bukan sekadar perayaan, tetapi juga lambang kemenangan setelah menjalani ibadah puasa dan lambang kesatuan umat. Hakikatnya, kesatuan ini, dalam konteks penentuan Ramadhan dan Aidilfitri, adalah sangat mudah untuk dicapai jika seluruh pemimpin negara-negara umat Islam duduk bersidang untuk menyelaraskan kaedah pencerapan dan mengumpulkan laporan rukyah seluruh dunia. Pengumuman kemudiannya boleh dilakukan oleh sebuah badan bersama yang dipersetujui oleh negara-negara umat Islam, dengan mengambil kira perbezaan zon waktu antara negara. Sekiranya badan seperti ini diterima secara meluas oleh majoriti negara umat Islam, tidak mustahil kaum Muslimin di seluruh dunia dapat menyambut hari raya pada hari yang sama. Namun demikian, usaha ke arah penyelarasan ini sukar direalisasikan bukan sahaja kerana perbezaan pendekatan pemikiran dari kalangan para pemimpin negara-negara kaum Muslimin, tetapi juga kerana pertimbangan politik masing-masing. Kepentingan nasional yang berbeza sering kali diberi keutamaan, sehingga mengatasi usaha untuk mewujudkan kesepakatan bersama dalam perkara yang melibatkan umat Islam secara keseluruhan.

Sambutan hari raya serentak bukanlah sesuatu yang mustahil dilakukan. Di dalam sejarah tamadun Islam, umat Islam pernah hidup dalam satu kesatuan politik yang besar di bawah institusi khilafah. Pada zaman tersebut, penentuan awal Ramadhan dan Syawal diselaraskan di seluruh wilayah Islam. Walaupun wilayahnya luas merentasi tiga benua, umat Islam tetap mampu menyambut hari raya secara serentak atau hampir serentak kerana adanya kepimpinan yang menyatukan mereka.

Situasi hari ini sangat berbeza. Dunia Islam terbahagi kepada puluhan negara dengan sistem politik yang berbeza-beza. Setiap negara mempunyai autoriti sendiri dalam menentukan awal Ramadhan dan Syawal. Perbezaan ini akhirnya membawa kepada situasi di mana umat Islam menyambut hari raya pada hari yang berlainan.

Fenomena ini sepatutnya menjadi renungan kepada umat Islam untuk menilai kembali keadaan mereka. Perpecahan bukan sahaja melemahkan umat dari segi politik dan ekonomi, tetapi juga memberi kesan kepada aspek ibadah dan simbol keagamaan.

Kesimpulan

Isu “Raya mengejut” bukan sekadar isu teknikal atau isu yang timbul dari kaedah pengiraan astronomi semata-mata. Ia sebenarnya mencerminkan keadaan umat Islam yang berpecah dan kehilangan kesatuan dalam perlaksanaan Syariat Islam sebagai sebuah Negara. Syariat Islam telah memberikan panduan yang jelas dan mudah dalam penentuan awal Ramadhan dan Syawal melalui rukyah hilal sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kaedah ini bersifat praktikal, mudah difahami, dan telah diamalkan sejak zaman Baginda serta para sahabat.

Namun begitu, dalam realiti dunia Islam hari ini, kaedah tersebut sering menjadi rumit kerana perpecahan yang berlaku di kalangan negara-negara umat Islam. Perpecahan yang dimanifestasikan oleh garis sempadan negara yang menjadikan setiap negara mempunyai autoriti sendiri dalam menentukan awal bulan Ramadhan dan Sywal. Akibatnya, sebahagian negara enggan menerima hasil cerapan anak bulan yang dilakukan oleh negara umat Islam yang lain, walaupun cerapan tersebut dilakukan secara sah dan menepati kaedah syarak.

Apabila keadaan ini berlaku, maka penentuan tarikh hari raya sering bergantung kepada kaedah hisab atau pengiraan astronomi semata-mata sebagai alternatif. Padahal, secara praktikalnya umat Islam boleh sahaja menerima hasil cerapan daripada negara jiran yang kedudukan geografinya memungkinkan anak bulan dilihat dengan lebih jelas dan lebih awal.

Hakikatnya, semua perkara ini sebenarnya mudah untuk dilaksanakan sekiranya umat Islam meletakkan kepentingan persaudaraan dan kesatuan umat mengatasi kepentingan negara masing-masing. Namun apabila semangat nasionalisme menjadi terlalu kuat, ia telah menutup pertimbangan yang rasional serta perspektif Islam yang sebenar. Akibatnya, penyelesaian terhadap masalah umat tidak lagi dilihat melalui kerangka syariat Islam yang menyeluruh, tetapi melalui kepentingan politik dan sempadan negara.