Soal Jawab Berkenaan Harga Minyak










Apakah yang menyebabkan harga minyak melambung tinggi?

Terdapat pelbagai sebab mengapa harga minyak melambung tinggi. Pengaruhnya mengikut turutan adalah:

  1. Spekulasi
  2. Kapasiti penapisan minyak
  3. Kadar penggunaan minyak yang semakin meningkat
  4. Kemuncak minyak (Oil Peak) – sumber minyak dunia semakin berkurangan..
  5. Suasana geopolitik dan situasi ekonomi AS


Bagaimana para spekulator telah menyumbang kepada kenaikan harga?

Dana lindung nilai (hedge funds) dan bank-bank pelaburan di AS khususnya dan di dunia amnya terpaksa menghadapi kerugian akibat penyusutan nilai aset yang sangat besar dari keruntuhan pasaran sebenar di AS yang disebabkan oleh masalah yang dihadapi dalam sektor sub-prima. Untuk mendapat semula modal akibat kerugian yang dihadapi, para spekulator berganjak kepada sektor lain bagi mendapatkan keuntungan. Dan pilihan para spekulator adalah pasaran komoditi – terutama komoditi seperti makanan dan minyak yang boleh dipertaruhkan dan dapat menjamin keuntungan. Akibatnya, keuntungan yang diperoleh para spekulator ’dibayar’ dengan kesengsaraan yang dihadapi oleh penduduk dunia akibat dari peningkatan harga makanan dan minyak yang melampau. Laporan Penyelidikan Jawatankuasa Kecil Kekal Senat AS pada bulan Jun 2006 dalam “Peranan Spekulasi Pasaran dalam peningkatan harga minyak dan gas” menyatakan, “…terdapat bukti yang kuat menyokong satu kesimpulan bahawa spekulasi yang banyak dalam pasaran membawa kepada kenaikan harga yang signifikan..”. Dalam sebuah artikel yang ditulis oleh William Engdahl, seorang ahli geopolitik, beliau mendakwa bahawa lebih 60% dari harga minyak adalah merupakan kesan spekulasi.

Kapasiti penapisan minyak tidak banyak diperkatakan dalam sebarang perdebatan mengenai kenaikan harga minyak. Bagaimana ia member kesan terhadap harga minyak?

Mengeluarkan minyak dari bumi adalah satu persoalan, namun untuk mengeksploitasi pelbagai elemen yang terkandung di dalam minyak mentah memerlukan proses penapisan. Penapisan minyak melibatkan sebuah loji pemprosesan di mana minyak mentah diproses dan disaring menjadi produk petroleum yang berguna, seperti petrol, minyak diesel, minyak pemanas (heating oil), kerosin, dan cecair gas petroleum.

Penapis minyak beroperasi berdasarkan konsep ‘just-in-time’; cara ini menjejaskan pembinaan lebih banyak kilang-kilang penapis baru. Kos yang tinggi dan masa yang panjang untuk membina kilang-kilang tersebut banyak mempengaruhi keputusan yang dibuat mengenainya dan akibatnya ia hanya dibina apabila diperlukan sahaja. Harga minyak dan gas ini secara relatifnya adalah rendah sekitar 1980an dan 1990an; justeru terlalu sedikit kilang penapisan dibina. Lonjakan harga yang secara mendadak dalam akhir era 1990an tidak  dijangka akan berpanjangan, justeru kapasiti penapisan tidak ditambah (melalui ramalan tawaran dan permintaan untuk 25 tahun akan datang). Kebangkitan India dan China berlaku sangat cepat dan mengakibatkan peningkatan kapasiti penapisan kilang sedia ada; inilah sebab mengapa sejak beberapa tahun yang lalu penapisan minyak mengalami kesesakana dan ini telah menyumbang kepada lonjakan harga di dalam produk-produk tapisan seperti petrol, nafta, minyak jet dan dan lain-lain.

Timur Tengah memiliki simpanan terbesar minyak dunia (61%) dan mengepam 31% daripada minyak dunia setiap tahun, tetapi hanya menapis 8% daripadanya.

Sungguhpun pengeluaran minyak terus meningkat dan walaupun penggunaan juga bertambah, namun dalam 30 tahun terakhir ini sangat sedikit kilang-kilang penapis minyak telah dibina di seluruh dunia. AS – pengguna terbesar minyak dunia tidak pernah membina kilang penapisan baru sejak 1976. Motif utama di sebaliknya adalah mudah – keuntungan yang diperoleh syarikat-syarikat minyak adalah rendah. Dalam era 1980an dan 90an, kilang-kilang penapis minyak milik Amerika bukan sahaja tidak ditambah, malah kilang yang sedia ada ditutup!. Dalam tahun 2001, Senator Ron Wyden penulis laporan lengkap bagi industry penapisan negara AS. Dia menyatakan bahawa antara 1995 dan 2001 terdapat sejumlah 24 kilang penapisan yang ditutup di Amerika Syarikat.

 

Apakah peranan dimainkan oleh permintaan global dalam peningkatan mendadak harga minyak?

Sejak awal abad ke-20, penemuan minyak telah membawa sebuah revolusi cara hidup apabila satu anjakan telah berlaku dari penggunaan arang batu dan wap kepada penggunaan minyak dalam kebanyakan mesin dan kenderaan. Sejak itu, dengan penciptaan teknologi baru, masyarakat di Barat menjadi semakin terlalu bergantung kepada minyak.

Penggunaan di Barat dan kebergantungan terhadap minyak telah memainkan peranan langsung dalam peningkatan harga minyak dan akan terus memberikan pengaruh yang kuat kepada harga minyak di masa akan datang. Oleh kerana ekonomi dunia Barat dibina di atas penggunaan (consumption) keperluan terhadap produk-produk berasaskan minyak seperti bahan bakar untuk kenderaan, bahan bakar untuk penjanaan elektrik, minyak pelincir, plastik dan kemudahan penyediaan makanan akan terus meningkat dan mempengaruhi harga minyak kecuali jika bahan bakar alternatif ditemui.

 

India dan China selalu dipersalahkan dalam hal ini, sejauh manakah kebenarannya?

Adalah sangat sukar untuk melihat bagaimana peningkatan berganda harga minyak dalam kurang daripada setahun merupakan akibat dari permintaan yang tinggi dari China dan India, walaupun sebenarnya pertumbuhan permintaan minyak di China semakin perlahan. Permintaan pertama China terhadap minyak diketahui sejak 15 tahun lalu, sementara pertumbuhan di India mula mendapat perhatian sejak bermulanya abad ke 21. Permintaan minyak mereka telahpun menjadi dimasukkan (factored) dalam harga minyak dan ia mustahil menjadi penyebab kepada lonjakan harga minyak secara tiba-tiba.

Ini juga menjadi alasan yang selalu digunakan oleh AS untuk menyalahkan kemajuan China dan India terhadap semua fenomena global yang berlaku daripada isu pemanasan global, peningkatan harga makanan, peningkatan harga logam sehinggalah isu terorisme pada masa hadapan.

Adakah dunia sudah kekurangan bekalan minyak?

‘Puncak minyak (Oil Peak)’ dalam bahasa mudah, adalah apabila separuh daripada semua pengeluaran minyak telah pun digunakan di mana selepas itu ia terus merosot. Teori ini mula diketengahkan pada tahun 1970an dan tidak diendahkan pada masa itu. Namun, di akhir abad ke-20 pengeluaran minyak mulai mengatasi penemuan minyak. Telaga minyak yang terbesar yang terbaru ditemui di Mexico pada tahun 1985, sementara majoriti pengeluar-pengeluar minyak hanya memiliki telaga-telaga yang telah wujud sejak tahun 50an. Dunia hari ini menggunakan empat kali lebih banyak daripada minyak yang ditemui. Syarikat-syarikat minyak telah membelanjakan harta yang banyak dalam usaha mencari telaga-telaga minyak baru, tetapi telaga-telaga yang mereka temui menjadi kecil dan semakin kecil, dan oleh itu hanya mengeluarkan sedikit minyak.

’Oil peak’ ini mempunyai pelbagai ketidakpastian dan ini akan memainkan peranan dalam harga minyak pada masa depan, kebanyakan telaga-telaga minyak yang mampu dikomersialkan telahpun ditemui oleh itu sukar untuk dilihat di manakah lagi telaga-telaga minyak yang besar.

Sungguhpun teori ini dikatakan teori yang dipinggirkan pada tahun 1970an, namun hari ini ia memainkan faktor yang signifikan dalam menentukan harga minyak.  Meskipun ia bukanlah suatu yang konkrit, keyakinan ramai penganalisis akan kesahihannya pasti memberi kesan ke atas peningkatan harga minyak meningkat.

 

Sejauh manakah masalah geopolitik dan masalah ekonomi mempengaruhi harga minyak dunia?

Terdapat beberapa faktor ekonomi dan geopolitik yang memainkan peranan utama dalam kenaikan harga minyak.

Dari aspek ekonomi, AS merupakan sebahagian penyebab kepada lonjakan harga ketika ini kerana minyak global dijual beli dalam dolar. Kebanyakan negara di seluruh dunia perlu menyerahkan matawang mereka sendiri supaya dapat membeli matawang dolar untuk kemudiannya digunakan bagi membeli minyak. Ini menjadikan kadar tukaran matawang di antara negara tersebut dan dolar satu isu kritikal kerana jika terdapat sedikit perubahan dalam kadar tukaran bermakna negara tersebut perlu meminjam wang untuk membeli komoditi asas ini. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, salah satu sebab utama lonjakan harga minyak yang mendadak ketika ini adalah kerana para spekulator memindahkan pelaburan mereka dari pasaran perumahan di AS kepada pasaran komoditi. Sebab kedua yang berasal dari AS yang menyebabkan kenaikan harga minyak adalah AS terus-menerus mencetak wang dolar untuk melepaskan diri daripada krisis sub-prima tersebut. Oleh kerana minyak dijual beli dalam bentuk dolar, harga minyak akan bergerak turun dan naik (fluctuate) apabila semakin banyak wang dolar bergerak dalam pasaran.

Perubahan kuasa membeli wang dolar boleh dilihat apabila ia dibandingkan dengan emas. Emas kekal stabil sejak abad yang lepas, malah sesungguhnya, hampir keseluruhan sejarah manusia. Harga 100 tong minyak yang diukur dalam unit auns emas masih kekal stabil di antara 5 ke 10 auns emas bagi 100 tahun terakhir ini. Hanya sejak 1973 ke 2008, harga setong minyak dalam dolar AS meningkat sebanyak 3300%. Dalam tempoh yang sama, jumlah auns emas untuk membeli 100 tong minyak hanya meningkat sebanyak 18%. Ini bukan bermakna hanya harga minyak yang turun-naik tidak menentu, namun hakikatnya,  nilai dolar AS-lah yang tidak menentu. Inilah mengapa kebanyakan negara diseru untuk berjual beli minyak dalam matawang Euro.

Secara geopolitik, Iraq yang merupakan simpanan minyak dunia ketiga terbesar terus mengalami ketidakstabilan politik.  Akibat dari  ketidakstabilan ini, adalah mustahil untuk membawa potensi minyak negara itu ke dalam pasaran antarabangsa. Persaingan untuk menguasai bekalan minyak yang terhad di antara Kesatuan Eropah, AS, Jepun, China, India, dan Rusia akan memberikan impak yang sangat besar kepada harga minyak pada masa depan.

Bagaimanakah gambaran masa depan minyak (tenaga)?

Ketika ini populasi dunia adalah 6.7 bilion orang dan ia dianggarkan mencecah sehingga 8 bilion pada tahun 2050. Ini bermakna manusia akan lebih bergantung kepada minyak dan dengan penemuan baru yang terhad, ia memberi gambaran bahawa dunia terpaska menghadapi satu cabaran besar untuk mencari sumber tenaga alternatif.

Biofuels (bahan bakar bio) telah menarik perhatian ramai pihak sebagai satu alternatif. Walau bagaimanapun, ia akan mengalihkan penggunaan tanah-tanah pertanian dari mengeluarkan makanan kepada mengeluarkan bahan bakar. Teknologi bahan bakar bio masih lagi berada pada peringkat awal dan akan memerlukan sekurang-kurangnya 20 tahun lagi untuk teknologinya berada dalam arus perdana.

Seruan untuk menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy) buat masa ini hanyalah wujud di meja-meja perbincangan di dunia Barat dan dalam banyak kes ia digunakan untuk merencatkan pertumbuhan China. Dalam banyak persidangan dan mesyuarat mengenai tenaga yang boleh diperbaharui, tidak banyak perkembangan yang signifikan ke arah itu dapat diperhatikan. Ini bermakna, kebergantungan dunia, terutama dunia Barat, terhadap minyak akan terus kekal di masa hadapan.