Soal Jawab: Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, Dimensi dan Kesannya

بسم الله الرحمن الرحيم

 (Terjemahan)

Soalan:

Semua petanda menunjukkan bahawa krisis yang berlaku di Ukraine ini sebenarnya adalah pertembungan di antara Rusia dan Barat, bukan hanya antara Rusia dan Ukraine. Ada yang membandingkannya dengan pendudukan Nazi Jerman ke atas Czechoslovakia pada tahun 1939 secara sedikit demi sedikit yang seterusnya diikuti dengan pendudukan Poland, sehingga seterusnya membawa kepada tercetusnya Perang Dunia Kedua…Adakah serangan Rusia terhadap Ukraine yang masih berterusan sehingga ke hari ini akan membawa kepada perang dunia? Adakah reaksi Amerika dan Eropah yang mengenakan sekatan ekonomi tanpa melibatkan tentera, sesuai dalam konteks serangan ini? Atau apakah Rusia sebenarnya telah diumpan untuk terjebak ke dalam kancah peperangan di Ukraine? Jika ya, apakah tujuan di sebalik itu? Terima kasih.

Jawapan:

Agar mendapat gambaran yang lebih jelas tentang persoalan ini, kita harus meneliti perkara-perkara berikut:

Pertama:

Hari-hari yang berlalu telah membuktikan tanpa syak, bahawa Presiden Rusia ini sedang menghidap penyakit megalomania (berkhayal menganggap dirinya berkuasa, hebat, penting, kaya dsb), dan percaya bahawa Rusia mampu memulihkan kedudukannya di peringkat antarabangsa pada waktu ini, sebagai sebuah kuasa besar di samping Amerika. Putin sebelum ini telah mengkritik keras tentang cara Barat berurusan dengan Rusia, mengkritik pihak-pihak yang sering meminggirkan kedudukan Rusia dalam isu-isu antarabangsa, mengkritik tentang kemaraan NATO di Eropah Timur, dan juga menuntut penutupan pangkalan tentera Amerika di negara-nagara yang menyertai NATO selepas tahun 1997 iaitu Poland, Romania dan negara-negara Eropah Timur yang lain. Bukti-bukti yang menunjukkan khayalan hebatnya itu ialah:

1- Putin menyambut pemimpin Perancis, Jerman dan Iran secara tidak diplomatik, sebagaimana sambutannya terhadap Presiden Turki yang tiba sebelum itu. Sebahagian mereka sengaja dibiarkan menunggu di sebuah dewan yang dipenuhi dengan lambang-lambang kejayaan Rusia. Pihak keselamatan Rusia malah telah mengarahkan Presiden Perancis, Macron untuk melakukan ujian Coronavirus setibanya di lapangan terbang. Putin juga telah menentukan kerusi Macron yang diletakkan dengan jarak enam meter daripadanya di meja tempat mereka berbincang. Semua ini tidak dilakukan oleh Putin dalam pertemuannya dengan Presiden Kazakhstan dan Belarus, yang melawatnya pada masa yang sama! Putin juga mengisyaratkan agar Canselor Jerman berjalan di belakangnya ketika mereka keluar dari dewan sidang media!

2- Kenyataan tegas dan terbuka Putin tentang Ukraine, bahawa Ukraine bukanlah sebuah negara (yang berdaulat). Menurut Putin, Rusialah yang memberikan sebahagian tanahnya untuk Ukraine membentuk sebuah negara dan telah menyalurkan bantuan sebanyak 150 bilion dolar kepadanya selama beberapa dekad. Putin menggambarkan pemerintah Ukraine sebagai orang yang menduduki kekuasaan di Kiev. Semua ini menunjukkan bahawa dia (Putin) tidak melihat negara-negara di rantau Eurasia (negara antara Eropah dan Asia) kecuali hanya sebagai sebahagian daripada wilayah Rusia semata-mata. Pandangannya mengenai rantau Eurasia seperti inilah yang telah mendorongnya untuk melibatkan pasukan dari negara-negara anggota Perjanjian Keamanan Kolektif di Kazakhstan untuk membendung kebangkitan yang terjadi pada awal tahun 2022.

3- Putin tidak kisah menghina semua negara Eropah ketika dia meminta jaminan keamanan untuk Rusia di Eropah daripada Amerika, meskipun ada banyak kritikan di peringkat awal daripada Perancis dan beberapa negara lain yang menyerukan bahawa keamanan Eropah hendaklah berada di tangan Eropah terlebih dahulu! Putin berbuat demikian kerana dia melihat dirinya setaraf dengan Amerika, bukannya setaraf dengan negara-negara Eropah. Apabila Macron menawarkan diri untuk menjadi pengantara (bagi krisis ini) semasa lawatannya ke Rusia, Putin menjawab bahawa Perancis bukanlah pemimpin bagi NATO.

Kedua:

Kremlin telah mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Presiden Putin telah memaklumkan kepada rakan sejawatnya dari Perancis, Macron pada 28/2/2022 dalam satu perbualan telefon, bahawa syarat-syarat Rusia untuk menghentikan perang adalah: “Pengiktirafan kedaulatan Rusia ke atas Crimea; perlucutan senjata oleh Ukraine; Ukraine mesti meninggalkan Nazisme dan menjamin neutralitinya.” (France Press 28/2/2022).

Kami sebelum ini telah pun menyebut dalam Soal Jawab pada 22/12/2021 seperti berikut: “Oleh yang demikian, krisis yang berlaku sekarang ini telah mendedahkan tujuan pertama Rusia adalah untuk menghentikan persoalan (kritikan) mengenai kedudukan Crimea sebagai sebahagian daripada wilayahnya, malah Rusia mahukan hal itu sebagai fait accompli (fakta terdahulu yang tidak boleh dinafikan) dengan pengiktirafan antarabangsa oleh Amerika dan Eropah. Tujuan kedua adalah agar kawasan Ukraine Timur dibebaskan daripada kawalan Ukraine, dan menjadi sebahagian daripada Rusia. Tujuan ketiga dan yang paling utama adalah menghalang penyertaan Ukraine ke dalam NATO, dan Rusia memerlukan jaminan untuk hal tersebut.”

Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu, telah menegaskan perkara ini dengan berkata: “Angkatan tentera negaranya akan meneruskan operasi ketenteraan khas di Ukraine sehinggalah matlamatnya tercapai. Negara-negara Barat harus berhenti membina kemudahan ketenteraan di negara-negara bekas Soviet Union yang bukan ahli NATO. Pihak Barat telah mempergunakan rakyat Ukraine untuk memerangi Rusia. Perkara pokok adalah untuk melindungi Rusia daripada ancaman ketenteraan yang ditimbulkan oleh negara-negara Barat” (Anadolu 1/3/2022).

Oleh itu, krisis ini merupakan suatu krisis global terbesar yang telah muncul kebelakangan ini. Ia bakal menjadi konflik yang pahit antara Rusia dan Barat, dan Rusia tidak mungkin akan berhenti sehinggalah samada ia mencapai matlamatnya, atau ia mengalami kerugian yang dahsyat…Barat pula tidak mungkin akan menerima syarat-syarat yang diberikan Rusia.

Oleh itu, keadaan semasa ini telah memburukkan lagi krisis yang telah sedia buruk, sehingga berlakunya ancaman penggunaan senjata nuklear. Jurucakap bagi Presiden Rusia, Peskov, telah mengumumkan bahawa: “Presiden Vladimir Putin telah mengarahkan supaya Pasukan Pencegahan Strategik Rusia diletakkan dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk berperang” (TASS 28/2/2022), termasuklah persediaan senjata nuklear defensif, tetapi tidak ofensif. Pasukan Pencegahan Strategik dibahagikan kepada pasukan ofensif strategik dan pasukan defensif strategik.

Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan bahawa ia telah “menempatkan Pasukan Peluru Berpandu Strategik, Armada Utara dan Pasifik, serta Pasukan Udara Strategik dalam keadaan berjaga-jaga” (Rusia Novosti, 28/2/2022). Rusia, melaui ucapan Menteri Luarnya, Sergey Lavrov mengesahkan tuntutannya dengan berkata: “Terealisasinya jaminan keselamatan yang mengikat secara sah di sisi undang-undang oleh negara-negara NATO adalah sangat penting bagi Rusia” (TASS 1/3/2022).

Itulah sebabnya mengapa Rusia tidak berundur daripada matlamatnya dalam hal ini, melainkan jika penduduk Ukraine menunjukkan perlawanan yang kuat, seperti perlawanan yang dilakukan oleh Mujahidin Afghanistan terhadap Soviet Union pada tahun 80-an di abad yang lalu.

Ketiga: Kedudukan Amerika

Jelas sekali bahawa Amerika telah berusaha sedaya upaya untuk mengumpan Rusia ke dalam kancah peperangan di Ukraine dengan tindakan yang penuh penipuan dan provokasi:

1- Amerika tidak memberikan respons terhadap tuntutan jaminan keselamatan Rusia, sebaliknya berusaha untuk mengheret Rusia ke Ukraine. Jadi Amerika telah “membakar” kerajaan Ukraine agar melakukan provokasi (terhadap Rusia) dengan melancarkan serangan di timur wilayahnya di Donbass. Provokasi ini dipanaskan lagi dengan kenyataan Amerika, seperti kata-kata Biden semasa sidang media pada 19/1/2022: “Saya fikir (Putin) akan bertindak, dia perlu melakukan sesuatu. Rusia akan bertanggungjawab jika ia melakukan pencerobohan, dan ia tergantung pada apa yang ia lakukannya. Jika ia merupakan pencerobohan yang kecil mungkin harganya tidak tinggi, berlainan kalau ia adalah pencerobohan berskala penuh” (CNN 20/1/2022 ). Susulan itu, seorang pegawai Ukraine memberitahu CNN, yang mana CNN tidak menyebut namanya: “Biden telah memberi lampu hijau kepada Presiden Rusia untuk memasuki Ukraine. Kiev terkejut dengan kenyataan ini!”

2- Apabila operasi ketenteraan Rusia terhadap Ukraine bermula, Presiden AS, Biden mengumumkan bahawa: “Amerika tidak akan campur tangan jika Rusia menceroboh Ukraine, tetapi jika Rusia masuk ke dalam negara NATO, maka Amerika akan campur tangan.” Biden telah mengumumkan bahawa: “kira-kira 7,000 tentera Amerika akan dihantar ke Jerman.” Amerika sebelum ini telah mengerahkan kira-kira 5,000 tenteranya ke Jerman, Poland dan Romania. Biden juga telah mengumumkan pakej sekatan terhadap Rusia. Biden berkata: “Pasukan kami tidak akan ke Eropah untuk berperang di Ukraine, tetapi pasukan kami akan mempertahankan sekutu NATO dan menjamin keselamatan sekutu kami di bahagian timur” (Al-Jazeera 24/2/2022). Biden mengesahkan perkara ini dalam ucapannya di Kesatuan Eropah dengan mengatakan: “Pasukan Amerika tidak akan terjun ke dalam sebarang pertempuran menentang Rusia, tetapi akan menghalang tentera Rusia daripada mara ke arah barat menuju negara Eropah yang lain. Amerika akan mempertahankan setiap inci wilayah mana-mana negara anggota NATO.” (Al-Jazeera 2/3/2022)

Biden mengumumkan penutupan ruang udara NATO kepada pesawat Rusia, seperti yang dilakukan oleh negara-negara Eropah dan Kanada. Kenyataan Presiden AS ini telah mengumpan Rusia untuk meneruskan operasi ketenteraannya di Ukraine. Ini diikuti dengan kenyataan NATO melalui Setiausaha Agungnya, Jens Stoltenberg dalam sidang akhbar bersama Presiden Poland di ibukota Warsaw pada 1/3/2022: “NATO tidak akan melibatkan diri dalam konflik ini, tetapi akan menyediakan semua jenis dukungan tentera kepada Ukraine. Tiada askar yang akan dihantar ke Ukraine. Perikatan ini bersifat defensif dan kami tidak mahu berkonfrontasi dengan Rusia. Kami akan cuba membantu Ukraine sebanyak mungkin, dan sekutu NATO telah mengenakan tekanan yang hebat ke atas Rusia” (Anadolu 1/3/2022). Jens Stoltenberg dengan jelas menyuarakan pendapat Amerika.

3- Amerika telah berurusan dengan Rusia dengan cara yang provokatif. Ketika Menteri Luar Rusia, Lavrov menunggu untuk bertemu dengan Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken di Geneva pada 24/2/2022, Blinken telah membatalkan lawatan tersebut [Setiausaha Negara AS mengumumkan yang dia telah membatalkan pertemuannya yang dijadualkan dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergey Lavrov, selepas Moscow mengiktiraf dua wilayah pemisah di timur Ukraine dan menghantar tentera ke sana. Semasa mengumumkan hal tersebut di sidang media bersama dengan rakan sejawatnya dari Ukraine, Dmytro Kuleba di Washington, Blinken berkata: “Sekarang kita melihat bahawa pencerobohan telah bermula dan Rusia secara jelas telah menolak sebarang usaha diplomasi, jadi adalah tidak munasabah untuk meneruskan mesyuarat tersebut buat masa ini.” (Albayan 23/2/2022)].

Hal ini telah menggagalkan mesyuarat sebelum ia diadakan, dan dengan itu telah memprovokasi Rusia. Kemudian Amerika secara terus-menerus mengeluarkan amaran dan melakukan provokasi terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Sedangkan Rusia pula mengisytiharkan bahawa ia tidak berniat untuk menceroboh Ukraine. Apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh Washington telah memprovokasi Rusia, seolah-olah Rusia didorong untuk menceroboh Ukraine. Amerika terus meningkatkan provokasi terhadap Rusia untuk menceroboh Ukraine dengan mengumumkan beberapa kali bahawa ia tidak akan berperang di Ukraine, kerana Ukraine bukanlah ahli NATO. Pada masa yang sama, Amerika telah meningkatkan penghantaran senjata baru ke Ukraine, yang diangkut oleh pesawat Amerika setiap hari, di samping penghantaran peluru berpandu anti pesawat (Stinger) dan senjata anti-perisai!

4- Amerika telah meningkatkan kekerapan pengumumannya tentang pencerobohan Rusia yang diwar-warkan semakin dekat, kononnya berdasarkan maklumat perisikannya. Ini sekali gus meningkatkan kebimbangan di peringkat antarabangsa. Setiap jam orang mengikuti berita pencerobohan Rusia ini berdasarkan apa yang dikeluarkan oleh Presiden AS Biden, Setiausaha Negaranya, Menteri Pertahanannya dan Jurucakap mereka, bahkan dari akhbar Amerika pun. Amerika juga telah meningkatkan risiko akan berlakunya perang di Ukraine apabila ia memutuskan untuk menarik balik kakitangannya yang berada di bawah Misi Pemantauan Perhubungan di wilayah Donbass yang dipertikaikan antara Ukraine dengan puak pemisah. Kakitangan Amerika ini adalah sebahagian daripada misi keselamatan Eropah, dan Rusia merasakan bahaya besar dengan penarikan keluar mereka dari kawasan tersebut.

Zakharova, Jurucakap Kementerian Luar Rusia berkata: [“Beberapa negara” telah memutuskan untuk menarik keluar rakyat mereka, pekerja organisasi misi pemantauan khas di Ukraine, atas alasan “keadaan yang semakin memburuk”. Zakharova menambah bahawa keputusan ini telah meningkatkan lagi kerisauan Moscow, sambil memberi amaran terhadap “kesengajaan Amerika menyeret misi (damai) ini ke dalam histeria ketenteraan yang didorong oleh Washington, dan Washington mengeksploitasinya sebagai alat untuk menimbulkan provokasi.” (Sada Al-Balad, 13/2/2022)]. Dalam erti kata lain, Rusia nampaknya telah melihat bahawa Amerika mahu mengapi-apikan konflik yang sangat sensitif di Donbass, konflik yang telah membeku sejak tahun 2015.

5- Peningkatan provokasi Amerika terhadap Rusia ini berbetulan dengan pengumuman Amerika bahawa ia sudah hampir dapat menjamin bekalan gas ke benua Eropah sebagai ganti kepada gas asli dari Rusia. Amerika menyatakan yang Rusia dijangka akan memotong bekalannya (ke Eropah) atau saluran paip Rusia di Ukraine bakal terjejas dengan perang. Ini bermakna Amerika akan mengeluarkan Rusia daripada pasaran gas di Eropah dan sebagai alternatif menggantikannya dengan gas dari Amerika dan Qatar serta daripada pengimport Asia, terutamanya Jepun, yang memegang kontrak niaga hadapan gas. Hal ini berlaku tatkala musim sejuk yang akan berakhir dan musim bunga yang semakin hampir, apabila keperluan untuk penggunaan gas asli berkurangan.

Di samping itu, terdapat peristiwa yang sangat bahaya berlaku di timur jauh Rusia, di mana tentera Rusia telah mengumumkan bahawa sebuah kapal selam nuklear Amerika telah memasuki perairan Rusia di Kepulauan Kuril. Kapal selam ini tidak merespons amaran Rusia, sehingga kapal-kapal Rusia terpaksa menggunakan kaedah yang lebih kasar untuk memaksanya berundur. Proses menolak mereka keluar dari perairan wilayah Rusia mengambil masa sehingga 3 jam.

Kepulauan Kuril ini merupakan pulau-pulau Jepun yang diduduki oleh Rusia semasa Perang Dunia Kedua dan Jepun masih menuntutnya. Oleh kerana Rusia tidak bertindak balas terhadap tuntutan Jepun ini, Tokyo sejak 1945 tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian gencatan senjata dengan Rusia. Ini bermakna Jepun secara rasmi dan sejak 1945 berada dalam keadaan perang dengan Rusia. Ini menunjukkan kekhuatiran Rusia terhadap Amerika telah meningkat. Jadi, adakah Amerika akan mendesak Jepun untuk menduduki Kepulauan Kuril?

6- Oleh yang demikian, situasi akan terus mengarah kepada provokasi dan akan semakin memburuk. Ia akan menegang sedikit demi sedikit sehinggalah Rusia terbenam ke dalam lumpur peperangan di Ukraine. Sehingga itu, provokasi Amerika akan berterusan seiring dengan provokasi British dan Eropah. Jerman contohnya, ia menghentikan projek Nord Stream di satu sisi, dan Amerika pula terus “menggoda” Rusia untuk meneruskan perang di Ukraine. Amerika tidak mengancam Rusia secara efektif, tetapi hanya menzahirkan niatnya untuk mengenakan sekatan. Menteri Luarnya, Blinken telah menyebut mengenai persiapan tentera Rusia sebagai permulaan kepada pencerobohan yang “berjaya” ke atas Ukraine!

Di sisi lain, permintaan Ukraine untuk menyertai NATO semakin gencar, sebagaimana gencarnya permintaan Ukraine untuk mendapatkan lebih banyak bekalan senjata dari Barat. Ini semua telah meningkatkan risiko kepada Rusia dan mempercepatkan tindakan Rusia (ke atas Ukraine). Hal ini berterusan sehinggalah tinggal satu-satunya cara bagi Rusia untuk mengatasi risiko keselamatannya di Ukraine, ialah melalui pencerobohan, peperangan dan masuk ke dalam lumpur (sengketa) ini. Inilah yang dikehendaki oleh Amerika iaitu dengan menjadikan Ukraine sebagai perangkap untuk Rusia. Nampaknya Rusia tidak dapat mengelak daripada melalui jalan perangkap ini, selepas ia terjatuh ke dalam perancangan bodohnya sendiri!

Keempat: Kedudukan Eropah

Perwakilan Tertinggi Kesatuan Eropah, Josep Borrell berkata pada 22/2/2022 bahawa hari ini merupakan hari gelap bagi Eropah, hari di mana Rusia mengiktiraf Republik Donetsk dan Luhansk. Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata beberapa hari lalu bahawa kita telah memasuki persaingan strategik yang baharu dengan Rusia yang mungkin akan berlanjutan hingga ke seluruh generasi. Semua ini telah membuka pintu kepada segala kemungkinan, termasuk ancaman nuklear.

Namun begitu, Eropah telah cuba menenangkan keadaan untuk mencapai persetujuan dengan Rusia. Pemimpinnya di Perancis dan Jerman telah berkomunikasi dengan Rusia. Presiden Perancis, Macron pergi melawat Moscow dan telah bercakap beberapa kali dengan Putin melalui telefon. Terbaru adalah selepas berlakunya operasi ketenteraan Rusia di Ukraine. Istana Elysée mengumumkan bahawa Macron “telah mengulangi perbualan dengan Putin bahawa masyarakat antarabangsa menuntut agar Rusia menghentikan serangan ke atas Ukraine, dan menegaskan bahawa gencatan senjata serta-merta harus berkuat kuasa, semua serangan ke atas orang awam dan tempat kediaman mereka harus dihentikan, keselamatan semua infrastruktur awam dan jalan-jalan khususnya jalan di selatan Kiev harus dipastikan.” (France Press 28/2/2022).

Canselor Jerman, Olaf Scholz juga telah melawat Moscow dan telah berbincang dengan Putin. Dia menyatakan dari Moscow: “Tidak ada keraguan lagi bagi kami di Jerman, bahkan semua orang Eropah, bahawa keamanan yang stabil tidak akan dapat dicapai dengan melawan Rusia, tetapi hanya (dapat dicapai) dengan bersamanya. Inilah yang kami persetujui dengan Presiden Rusia. Bagaimanapun peluang untuk menyelesaikan krisis ini di Eropah masih terbuka.” (Russia Today, 15/2/2022)

Meski pun demikian, Eropah telah pun terbabit dalam krisis Ukraine ini seperti yang Amerika mahukan. Ia telah dipaksa untuk mengisytiharkan sokongan penuhnya terhadap Ukraine. Mereka menyokongnya dengan menghantar peralatan ketenteraan dan senjata canggih, dan mengenakan sekatan ke atas Rusia dalam pelbagai bentuk, yang sebenarnya bermaksud melancarkan perang habis-habisan terhadap Rusia tanpa menghantar tentera. Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata di akaun Twitternya pada 26/2/2022: “Pencerobohan Rusia terhadap Ukraine merupakan titik perubahan, ia mengancam situasi (aman) yang telah wujud semenjak Perang Dunia Kedua…Dalam situasi ini, di pihak kami, kami mesti membantu Ukraine semampu mungkin dalam rangka mempertahankan diri daripada pencerobohan Putin yang tidak munasabah).”

Jerman memutuskan untuk menghantar 1,000 pelancar roket dan 500 peluru berpandu permukaan-ke-udara (Stinger). Scholz berkata kepada Parlimen Jerman “Dengan pencerobohan ke atas Ukraine, kita telah memasuki era baru…Jerman akan melabur bermula dari sekarang dan tahun-tahun selepasnya lebih daripada 2% daripada KDNK-nya untuk sektor pertahanan. Kita akan melabur 100 bilion euro dalam peralatan ketenteraan pada tahun ini. Matlamatnya ialah untuk memiliki tentera yang kuat, moden dan maju yang mampu melindungi kita dengan pasti” (France Press 27/2/2022). Selepas operasi ketenteraan Rusia ini, Scholz mengumumkan penggantungan kerja di saluran paip gas Nord Stream 2 yang membentang dari Rusia ke Jerman melalui jalan Laut Baltik.

Pegawai Perhubungan Luar dan Keselamatan Kesatuan Eropah, Josep Borrell berkata pada 27/2/2022: “Kesatuan memutuskan untuk memberikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine, termasuk senjata bernilai 450 juta euro dan peralatan perlindungan bernilai 50 juta euro, yang akan dibiayai daripada Dana Untuk Keamanan Eropah, dan daripada Dana Antara Kerajaan.” (Anadolu 28/2/2022).

Dalam mesyuarat tergempar Kesatuan Eropah di Brussels, Presiden Majlis Eropah, Charles Michel berkata: “Sekatan akan turut memberi kesan kepada kita, tetapi inilah harga yang harus dibayar untuk mempertahankan kebebasan kita.” Menteri Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell berkata: “Kita melihat di hadapan kita kelahiran geopolitik baharu untuk Eropah. Malapetaka yang dihadapi Eropah hari ini memaksanya dengan lebih kuat daripada sebelumnya untuk bersatu dan bekerjasama.” Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata: “Nasib Eropah terancam selama berlangsung perang di Ukraine.” (Al-Jazeera 1/3/2022)

Oleh itu, kita melihat bahawa Eropah telah terlibat dalam perang ini yang telah mengubah situasi aman yang dilaluinya sejak akhir Perang Dunia Kedua, dan menjadikannya kini berada di bawah ancaman Rusia. Eropah juga mengalami kerugian ekonomi yang besar akibat daripada kehilangan sumber tenaga seperti gas dan minyak. Kesatuan Eropah memperolehi kira-kira 40% gas dan 27% minyak dari Rusia. Amerika mahu Eropah beralih kepadanya, dan bergantung kepada gasnya pada kos yang lebih tinggi dan dengan kualiti yang lebih rendah. Saluran paip Nord Stream 2 sepatutnya akan mampu membekalkan satu pertiga daripada permintaan luar, pada kos 25% lebih rendah.

Putin berkata dalam sidang akhbar bersama Canselor Jerman, Scholz dalam pertemuan terakhir mereka, dalam bentuk ungkapan bagi mendapatkan dukungan Jerman: “Pengguna di Jerman, baik pengguna industri atau domestik, menerima gas dari Rusia lima kali lebih rendah (daripada harga semasa), maka warga Jerman silakan periksa dompet masing-masing apakah mereka bersedia untuk membeli gas pada harga 3 hingga 5 kali lebih tinggi. Inilah sebabnya kenapa mereka harus berterima kasih kepada bekas Canselor Jerman Schroder yang menyokong projek Nord Stream 1, yang melaluinya Jerman menerima kira-kira 55 bilion meter padu gas, yang disediakan berdasarkan pada kontrak masa depan. (Russia Today, 15/2/2022).

Putin menyatakan bahawa Jerman memegang 60% daripada pasaran Rusia. Putin melakukan hal ini bertujuan untuk “menggoda” Eropah supaya bekerjasama dengan Rusia dan tidak berada di sisi Amerika untuk menentang Rusia.  Rusia juga ingin meyakinkan Jerman bahawa ia tidak dahagakan sumber alam Jerman. Dengan cara ini Rusia cuba memastikan dirinya selamat di sisi Eropah.

Kelima: Pendirian China

China telah mendekati Rusia dalam isu ini. China menyokong Rusia dengan mengumumkan bahawa negara-negara Barat harus mengambil serius tuntutan keselamatan Rusia. Untuk menggerakkan sokongan antarabangsa terhadap dasar Rusia ke atas Ukraine, Putin telah melawat Beijing (Sukan Musim Sejuk) dan bertemu dengan Presiden China pada 2/2/2022. China mengumumkan dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Presidennya dengan Putin, bahawa ia menentang penyertaan Ukraine ke dalam NATO. Kedua-dua negara (Rusia dan China) telah mengisytiharkan kebersamaan mereka menentang hegemoni Amerika dan menyeru kepada multipolariti antarabangsa dan menyatakan bahawa era baharu dalam hubungan antarabangsa telah dilancarkan.

Kedua-dua negara telah menandatangani kontrak mega untuk China membuat pelaburan dalam sektor gas dan minyak Rusia, serta untuk meningkatkan pertukaran dagangan di antara mereka kepada $200 bilion setahun. Bagaimanapun, China nampaknya sedang tunggu dan lihat bagaimana keadaan Rusia di Ukraine, dan apakah ia akan mengambil langkah yang sama untuk merampas Taiwan. Telah kedengaran suara-suara di China: “Sekarang adalah peluang terbaik untuk merampas semula Taiwan.” Suara-suara ini terpapar dalam Twitter versi China.

China telah menolak sekatan terhadap Rusia agar ia tidak akan menghadapi balasan yang sama jika ia bertindak untuk merampas Taiwan secara paksa. China telah mengelak daripada memveto draf resolusi yang mengutuk pencerobohan Rusia. Ia memilih untuk tidak mengundi bagi mengelakkan kempen Barat menentangnya. Ia kelihatan seperti tidak menyokong Rusia apabila ia tidak memveto draf resolusi yang mengutuk Rusia.

Perlu diberi perhatian bahawa China tidak mengkritik Rusia kerana pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tetapi sebaliknya China telah menyalahkan Amerika. China menyatakan yang ia menghargai prinsip kestabilan dan integriti wilayah. Dalam perbualan dengan rakan sejawatnya dari Ukraine, Menteri Luar China, Wang Yi berkata: “Mengenai krisis yang berlaku sekarang, pihak China menyeru Ukraine dan Rusia untuk mencari jalan penyelesaian melalui rundingan dan akan menyokong semua usaha secara konstruktif di peringkat antarabangsa.” (TASS 1/3/2022) Menteri Luar China telah mengumumkan penentangan negaranya terhadap sekatan itu, dan berkata: “China bukan sahaja tidak menyokong sekatan sebagai cara untuk menyelesaikan masalah, malah menentang sekeras-kerasnya sekatan unilateral yang tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa.” (TASS 27/2/2022).

Keenam: Kesimpulan

1- Amerika telah “berjaya” memancing Rusia untuk melakukan pencerobohan samada secara separa atau sepenuhnya ke atas Ukraine..Ini akan menyebabkan Rusia berhadapan dengan tekanan dalaman dan pergolakan politik, ekonomi, dan mungkin juga pergolakan ketenteraan, selama bertahun-tahun. Ia akan meletakkan Rusia sama ada dalam keadaan berpuas hati dengan menduduki Ukraine Timur atau melangkau ke kawasan yang lebih jauh di Ukraine, sama ada semuanya atau sebahagiannya…keadaan ini tanpa kecuali akan menjejaskan kesinambungan kekuasaan Putin.

2- Begitu juga dengan situasi antarabangsa Rusia yang akan terjejas akibat pergolakan ini, jika pun tidak sampai ke tahap kejatuhannya! Kempen di peringkat antarabangsa di bawah tekanan Amerika dan Eropah semakin meluas, untuk menunjukkan bahawa Rusia sedang menyerang sebuah negara yang berdaulat, yang mana Amerika dan Eropah pada masa yang sama telah melupakan atau mahu melupakan serangan Rusia ke atas banyak negara berdaulat di Asia dan Afrika…Hakikatnya semua negara ini, baik Rusia, Amerika mahu pun Eropah, datang dari asas yang sama (iaitu) mereka tidak pernah menghargai nyawa manusia.

3- Ada pun mengenai fakta bahawa serangan ini mungkin boleh membawa kepada tercetusnya perang dunia ketiga, sebagaimana tercetusnya perang dunia kedua akibat serangan Nazi Jerman ke atas Czechoslovakia dan pendudukannya sedikit demi sedikit pada tahun 1939, seperti yang dinyatakan dalam soalan – hal ini agak berbeza. Ini kerana tragedi ini tidak dapat dipisahkan daripada kemungkinan perang nuklear, kerana senjata ini (nuklear) wujud di negara-negara yang terbabit. Mereka mungkin berfikir seribu kali sebelum mencetuskannya, bukan sebab ia akan memusnahkan orang lain – hal ini tidak mereka pedulikan pun – tetapi sebab ia mungkin akan menghancurkan diri mereka sendiri. Mereka ini tidak mempunyai nilai diri pun melainkan apa yang memberi manfaat kepada mereka sahaja, walaupun ia akan memudaratkan orang lain!

Al-Jazeera telah menyiarkan satu temu bual dengan Lavrov, Menteri Luar Rusia pada 2/3/2022: (dan sebagai jawapan kepada soalan tentang bahaya perang dunia ketiga, Lavrov berkata bahawa pemimpin lima anggota tetap (PBB) telah menandatangani deklarasi bahawa perang dunia tidak seharusnya meletus, kerana ia akan menjadi perang nuklear dan tiada siapa yang pun yang akan menang di dalamnya. Beliau membangkitkan bahawa Joe Bidenlah orangnya yang mengatakan bahawa sekatan terhadap Rusia merupakan satu-satunya alternatif kepada Perang Dunia III).

Negara Lavrov (Rusia) tidak keberatan untuk mengebom loji nuklear asalkan kemusnahan yang diakibatkan itu terjadi jauh daripada negaranya dan dekat dengan yang lain! Al-Jazeera telah menerbitkan hari ini: [“Peristiwa paling menonjol melibatkan loji nuklear di bandar Zaporizhzhia, di mana Ukraine bercakap mengenai pengeboman Rusia, yang membawa kepada tercetusnya kebakaran. Kebakaran tersebut kemudiannya dapat dikawal. Namun ia telah menyebabkan kecederaan dalam kalangan pekerja Ukraine, menurut versi Ukraine. Manakala Kementerian Pertahanan Rusia menuduh tentera Ukraine bertanggungjawab ke atasnya.” (Al Jazeera 4/3/2022)].

4- Inilah kedudukan negara-negara utama di dunia pada hari ini, umpama binatang buas di dalam hutan, yang kuat memakan yang lemah. Jika mereka (yang lemah) meminta pertolongan, tidak ada yang akan datang menolong…Sejarah kembali berulang, dan pertembungan kuasa antara negara-negara besar pada hari ini hanyalah mengulangi konflik yang berlaku di antara Parsi dan Rom pada masa lalu. Masalah ini tidak akan menjadi baik kecuali dengan apa dahulu telah menjadikannya baik: iaitu pemerintahan (berhukum) dengan apa yang Allah turunkan dan berjihad di jalan-Nya. Jalan ini sahajalah yang akan melindungi orang-orang yang lemah dan memberi keadilan kepada orang-orang yang tertindas. Khilafah sebagai sebuah khabar gembira yang di sampaikan oleh Rasulullah (saw) akan pasti kembali, sebagaimana sabda baginda (saw):

«ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ»

“…kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian”

Di dalam Khilafah nanti, orang-orang yang kuat akan menjadi lemah apabila haknya (ke atas orang lain) diambil, sebagaimana yang dikatakan oleh Khalifah ar-Rasyidin Abu Bakar as-Siddiq yang disebut di dalam kitab Kanz al-Ummal Fi Sunan Al-Aqwal Wal Af’al. Diriwayatkan dari Abdullah bin Akiem, dia berkata: Ketika Abu Bakar dibaiat, beliau naik ke atas tangga tetapi pada anak tangga yang lebih rendah daripada Rasulullah (saw). Beliau memuji Allah (swt) dan berkata:

(…وَأَنَّ أَقْوَاكُمْ عِنْدِي الضَّعِيفُ حَتَّى آخُذَ لَهُ بِحَقِّهِ، وَأَنَّ أَضْعَفَكُمْ عِنْدِي الْقَوِيُّ حَتَّى آخُذَ الْحَقَّ مِنْهُ…)

“Orang yang paling kuat di antara kalian adalah lemah bagiku sehingga aku mengambil untuknya haknya, dan orang yang paling lemah di antara kalian adalah kuat bagiku sehingga aku akan mengambil darinya haknya”.

Beginilah (caranya) kebaikan tersebar luas dalam Darul Islam.

﴿وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ * بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ﴾

“Dan pada hari itu orang-orang yang beriman akan bergembira, dengan pertolongan Allah. Allah memberikan kemenangan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.” [Ar-Rum (30): 4-5).

01 Sya’ban 1443 H

04 Mac 2022 M