Soal-Jawab: Penjarakan Dalam Solat Adalah Bidaah, Penguasa Menanggung Dosa

[Berikut ialah terjemahan Soal-Jawab Amir Hizbut Tahrir, Syeikh Atha’ Abu ar-Rasytah dalam facebook beliau]

بسم الله الرحمن الرحيم

Soal-Jawab

Penjarakan Dalam Solat Adalah Bidaah, Penguasa Menanggung Dosa

Assalamu ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuh

Segala puji hanya milik Allah (swt). Selawat dan salam semoga senantiasa tercurah kepada Rasulullah (saw), keluarga dan para sahabat baginda serta orang yang mengikuti baginda. Wa ba’du.

Kepada semua orang yang mengirimkan kepada saya pertanyaan tentang penjarakan dua meter di antara Makmum dalam solat berjemaah dan solat Jumaat…Mereka mengatakan bahawa para penguasa di beberapa negeri kaum Muslimin menutup masjid-masjid, dan ketika mereka membukanya, mereka mewajibkan orang-orang yang solat untuk saling berjauhan dengan jarak dua meter…Penguasa ini menjustifikasi perkara ini bahawa orang yang sakit itu ada keuzuran, dan boleh solat sambil duduk. Jadi, boleh diqiyaskan bahawa ia boleh duduk dengan jarak dua meter daripada orang di sebelahnya, walaupun ia tidak sakit, tetapi ia khuatir adanya penyakit, maka ia kena menjaga jarak…Mereka tertanya-tanya, apakah boleh penguasa mewajibkan orang-orang yang solat untuk saling berjauhan menurut jarak yang telah disebutkan di atas? Atau, apakah penjarakan ini merupakan suatu bidaah, yang mana penguasa akan menanggung dosanya? Para penanya mendesak untuk mendapatkan jawapan segera…

Sebagai jawapan atas pertanyaan-pertanyaan mereka, saya katakan dan dengan taufik dari Allah (swt):

Kami telah mengeluarkan lebih daripada satu jawapan mengenai bidaah. Seandainya para penanya merenungkannya nescaya jelas untuk mereka akan jawapan bahawa penjarakan sebagaimana yang disebutkan itu adalah bidaah yang mana penguasa akan menanggung dosanya jika mereka mewajibkan masyarakat untuk solat dengan penjarakan tersebut. Penjelasannya adalah sebagaimana berikut:

Pertama: Kami telah mengeluarkan pada 28 Rejab 1434 H (bersamaan 7 Jun 2013 M), yang di situ dinyatakan:

[[…bidaah adalah menyalahi perintah asy-Syari’ (Allah) yang dinyatakan kaifiyat (tatacara) penunaiannya. Bidaah secara bahasa seperti dinyatakan dalam Lisan al-Arab:

“المبتدع الّذي يأتي أمراً على شبهٍ لم يكن…، وأبدعت الشّيء: اخترعته لا على مثالٍ”

(al-mubtadi’ alladzi ya’ti amran ala syubhin lam yakun…, wa abdata asy-syai’a: ikhtaratahu la ala mitsalin)

Orang yang melakukan bidaah adalah orang yang melakukan suatu perkara menurut kemiripan yang belum ada…, anda melakukan bidaah: anda melakukan inovasi (sesuatu yang baru) yang tidak menurut contoh.

Bidaah itu secara istilah juga demikian, yakni di situ ada contoh yang dilakukan oleh Rasulullah (saw) dan seseorang Muslim itu melakukannya dengan menyalahi contoh tersebut. Jadi, bidaah bererti menyalahi tatacara syarie yang telah dijelaskan oleh syarak untuk menunaikan perintah menurut syarak. Makna ini ditunjukkan oleh hadis:

[وَمَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ» [البخاري ومسلم»

“Siapa saja yang melakukan perbuatan yang tidak ada ketentuan kami atasnya maka ia adalah tertolak” [HR al-Bukhari dan Muslim, dan ini adalah lafaz al-Bukhari].

Demikianlah, siapa sahaja yang sujud tiga kali dalam solatnya dan bukannya sujud dua kali, maka dia telah melakukan bidaah, kerana dia menyalahi perbuatan Rasulullah (saw). Siapa sahaja yang melontar jamrah lapan kali lontaran, bukannya tujuh kali, di Mina, maka dia telah melakukan bidaah, kerana dia telah menyalahi perbuatan Rasulullah (saw). Siapa sahaja yang menambah lafaz azan atau menguranginya, maka dia telah melakukan bidaah, kerana dia telah menyalahi azan yang ditetapkan oleh Rasulullah (saw).

Bagaimanapun, menyalahi perintah asy-Syari’ yang tidak dinyatakan tatacaranya, maka itu termasuk dalam bab hukum-hakam syarak. Ia akan dikatakan haram, makruh dan sebagainya, jika ia termasuk dalam Khithab Taklifi, atau dikatakan batil, fasad dan sebagainya, jika ia termasuk dalam Khithab Wadh’i. Ia bergantung kepada Qarinah (indikasi) yang menyertai perintah tersebut.

Sebagai contoh, Imam Muslim telah mengeluarkan hadis dari Aisyah (ra), yang mana beliau menggambarkan solat Rasulullah (saw). Aisyah (ra) berkata,

…« وَكَانَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ لَمْ يَسْجُدْ، حَتَّى يَسْتَوِيَ قَائِمًا، وَكَانَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ السَّجْدَةِ، لَمْ يَسْجُدْ حَتَّى يَسْتَوِيَ جَالِسًا»…

“Rasulullah (saw), jika mengangkat kepala dari rukuk, baginda tidak sujud sehinggalah baginda tegak berdiri, dan jika mengangkat kepala dari sujud, baginda tidak sujud hingga baginda duduk tegak”

Dalam hadis ini, Rasulullah (saw) menjelaskan bahawa seseorang Muslim, setelah bangkit daripada rukuk, ia tidak sujud hingga ia berdiri tegak, dan jika ia mengangkat kepala dari sujud, ia tidak sujud lagi sehingga ia duduk tegak. Kaifiyat (tatacara) ini dijelaskan oleh Rasulullah (saw). Maka siapa saja yang menyalahinya, ia telah melakukan bidaah. Jadi, jika orang yang sedang solat bangkit dari rukuk kemudian sujud sebelum berdiri tegak, bermakna ia telah melakukan bidaah sebab ia menyalahi kaifiyat yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (saw).

Akan tetapi contoh lain, Imam Muslim telah mengeluarkan hadis dari Ubadah bin as-Samit (ra), ia berkata,

«يَنْهَى عَنْ بَيْعِ الذَّهَبِ بِالذَّهَبِ، وَالْفِضَّةِ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرِّ بِالْبُرِّ، وَالشَّعِيرِ بِالشَّعِيرِ، وَالتَّمْرِ بِالتَّمْرِ، وَالْمِلْحِ بِالْمِلْحِ، إِلَّا سَوَاءً بِسَوَاءٍ، عَيْنًا بِعَيْنٍ، فَمَنْ زَادَ، أَوِ ازْدَادَ، فَقَدْ أَرْبَى»

“Baginda melarang menjual emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam, kecuali sama, barangnya dengan barangnya, maka siapa yang menambah atau meminta tambah, sungguh ia telah melakukan riba.”

Seandainya seseorang Muslim menyalahi hadis ini, lalu ia menjual emas dengan emas tetapi menambah satu dengan lain, dan tidak sama timbangannya, maka ia tidak dikatakan melakukan bidaah, melainkan dikatakan bahawa ia telah melakukan keharaman yakni riba.

Kesimpulannya: Bahawa menyalahi kaifiyat yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (saw) adalah bidaah. Sementara menyalahi perintah Rasulullah (saw) yang bersifat mutlak tanpa ada penjelasan kaifiyatnya, maka hal itu termasuk dalam bab hukum-hakam syarak – boleh jadi haram, makruh batil, fasad dan sebagainya, bergantung kepada dalil yang menunjukkannya]]

Tamat….

Kami juga telah mengeluarkan yang lebih rinci tentang bidaah pada 8 Zulhijjah 1436 H (22 September 2015 M). Kami juga telah mengeluarkan jawapan lainnya sebelum dan setelah itu, yang mana ia sudah mencukupi dan memadai dengan izin Allah (swt).

Kedua: Atas dasar itu, sekiranya mana-mana negeri kaum Muslimin yang memaksa orang-orang yang menunaikan solat agar saling berjauhan antara satu sama lain dengan jarak satu atau dua meter, baik solat Jumaat atau solat berjemaah kerana khuatir penularan, khususnya tanpa ada gejala-gejala patologi, maka dengan itu mereka telah melakukan dosa besar. Ini kerana penjarakan ini merupakan satu bidaah. Saling berjauhan dalam solat itu merupakan satu penyimpangan yang jelas terhadap kaifiyat saf yang mesti dirapatkan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (saw) dengan dalil-dalil syarie. Di antara dalil-dalilnya:

  • Imam al-Bukhari telah mengeluarkan di dalam Sahihnya dari Abu Sulaiman Malik bin al-Huwairis, ia berkata: “Kami mendatangi Nabi (saw) dan kami para pemuda yang sebaya. Kami habiskan dua puluh malam bersama baginda…dan baginda seorang yang lemah lembut dan penyayang…baginda bersabda,

«فَقَالَ ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ فَعَلِّمُوهُمْ وَمُرُوهُمْ وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي وَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلَاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ»

“Kembalilah kepada keluarga kalian dan ajarkan mereka ilmu dan latihlah mereka dan solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat, dan jika waktu solat telah datang, maka hendaklah salah seorang daripada kalian mengumandangkan azan, kemudian orang paling tua di antara kalian yang mengimami kalian”

  • Imam al-Bukhari telah mengeluarkan dalam Sahihnya dari Anas bin Malik (ra), ia berkata: “Dibacakan Iqamah, kemudian Rasulullah (saw) menghadap kepada kami lalu bersabda:

«أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ، وَتَرَاصُّوا، فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي»

“Luruskan saf kalian dan rapatkanlah, kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku”

  • Imam Muslim telah mengeluarkan dalam Sahihnya, dari an-Nu’man bin Basyir (ra), ia berkata, Rasulullah (saw) memerintahkan kami meluruskan saf seperti anak-anak panah. Baginda terus menekankannya hingga kami memahami (akan kepentingannya). Suatu hari baginda datang ke masjid dan berdiri (untuk solat). Ketika hampir bertakbir, baginda melihat seorang lelaki yang dadanya menonjol dari saf, maka baginda bersabda:

«عِبَادَ اللهِ لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ»

“Wahai hamba-hamba Allah, hendaklah kalian meluruskan saf kalian atau sungguh Allah akan memalingkan wajah-wajah kalian”

  • Imam Muslim juga telah mengeluarkan dalam Sahihnya dari Jabir bin Samrah, ia berkata: “Rasulullah (saw) bersabda,

«أَلَا تَصُفُّونَ كَمَا تَصُفُّ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ رَبِّهَا؟» فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ تَصُفُّ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ رَبِّهَا؟ قَالَ: يُتِمُّونَ الصُّفُوفَ الْأُوَلَ وَيَتَرَاصُّونَ فِي الصَّفِّ»

“Mengapa kalian tidak berbaris sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Tuhan mereka?” Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana para malaikat berbaris di hadapan Tuhan mereka?” Baginda menjawab, “Mereka melengkapi saf pertama dan rapat dalam saf”

  • Al-Hakim telah mengeluarkan, dan ia berkata: “Hadis sahih menurut syarat Muslim, dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah (saw) bersabda,

«مَنْ وَصَلَ صَفّاً وَصَلَهُ اللَّهُ، وَمَنْ قَطَعَ صَفّاً قَطَعَهُ اللَّهُ»

“Siapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya, dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya”

  • Imam Ahmad telah mengeluarkan dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah (saw) bersabda,

«أَقِيمُوا الصُّفُوفَ فَإِنَّمَا تَصُفُّونَ بِصُفُوفِ الْمَلَائِكَةِ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ وَلِينُوا فِي أَيْدِي إِخْوَانِكُمْ وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفّاً وَصَلَهُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَمَنْ قَطَعَ صَفّاً قَطَعَهُ اللَّهُ»

“Luruskanlah saf, tidak lain kalian (hendaklah) berbaris dengan safnya para malaikat, luruskan antara bahu-bahu, tutuplah celah yang kosong, lenturkan pada tangan saudara kalian dan jangan biarkan ada celah untuk syaitan. Siapa yang menyambungkan saf, maka Allah akan menyambungnya dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutusnya”

Ini merupakan penjelasan yang sempurna daripada Rasulullah (saw) untuk kaifiyat (tatacara) penunaian solat berjemaah, dan para sahabat (ra) mematuhinya. Imam Malik telah meriwayatkan dalam al-Muwatha’ dan al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَانَ “يَأْمُرُ بِتَسْوِيَةِ الصُّفُوفِ، فَإِذَا جَاءُوهُ فَأَخْبَرُوهُ أَنْ قَدِ اسْتَوَتْ، كَبَّرَ

“Bahawa Umar bin al-Khattab (ra) memerintahkan untuk meluruskan saf-saf. Apabila mereka datang kepadanya dan memberitahunya bahawa saf-saf telah lurus, (maka) Umar bertakbir (untuk solat)”

Ketiga: Tidak boleh dikatakan bahawa penyakit yang menular adalah uzur yang membolehkan penjarakan dalam solat. Tidak boleh dikatakan demikian. Sebab penyakit yang menular adalah uzur untuk tidak pergi ke masjid dan bukan uzur untuk pergi (ke masjid) tetapi saling berjauhan dengan orang yang solat di sisinya satu atau dua meter!! Penyakit menular (tha’un) terjadi pada masa Rasulullah (saw) dan tidak pernah diriwayatkan daripada Rasulullah (saw) bahawa orang yang terkena tha’un pergi solat (di masjid) dan menjarakkan diri daripada saudaranya sejauh dua meter. Tetapi (yang diriwayatkan ialah) dia diberi uzur untuk solat di rumahnya…Kawasan di mana tersebarnya penyakit, maka di situ diintensifkan rawatannya secara percuma dan dengan bersungguh-sungguh di bawah pemeliharaan negara, dan orang yang sakit tidak dicampurkan dengan orang-orang yang sihat…Sebagaimana dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya dari Usamah bin Zaid, ia berkata, “Rasulullah (saw) bersabda,

«الطَّاعُونُ آيَةُ الرِّجْزِ ابْتَلَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهِ نَاساً مِنْ عِبَادِهِ، فَإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَفِرُّوا مِنْهُ»

“Tha’un merupakan suatu tanda bencana, yang dengannya Allah Azza wa Jalla menimpakan ke atas manusia di antara hamba-hamba-Nya. Maka jika kalian mendengarnya (terjadi di suatu daerah), jangan kalian masuk ke dalamnya dan jika terjadi di suatu daerah sementara kalian ada di dalamnya, maka jangan lari daripadanya”

Sehubungan itu, orang-orang yang sakit dengan penyakit menular tidak dicampur dengan orang-orang yang sihat, dan untuknya disediakan rawatan yang mencukupi dengan izin Allah (swt). Adapun orang yang sihat, maka mereka pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah seperti biasa tanpa adanya penjarakan…

Keempat: Demikian juga tidak boleh dikatakan bahawa penjarakan dalam solat ketika wabak diqiyaskan terhadap rukhshah (keringanan) solat sambil duduk ketika sakit. Ini bukan qiyas yang syarie, kerana orang yang sakit, dia dibolehkan solat sambil duduk kerana rukhshah daripada Allah (swt), yakni kerana uzur iaitu sakit. Uzur merupakan asbab dan bukan ‘illat. Syarak tidak menjadikannya ‘illat, tetapi syarak menjadikan setiap uzur sebagai uzur untuk hukum, yang uzur itu didatangkan untuk hukum itu, bukan untuk hukum lainnya. Jadi, itu (sakit yang menjadi rukhsah bolehnya duduk ketika solat)  dinilai sebagai uzur khusus dengan hukum yang uzur itu datang untuknya, dan bukan uzur yang umum untuk semua hukum. Uzur tersebut tidak memberi pemahaman (kepada) aspek peng’illatan. Oleh kerana itu, tidak boleh diqiyaskan kepadanya (yakni tidak boleh diqiyaskan rukhsah solat sambil duduk ketika sakit kepada penjarakan dalam solat berjemaah). Ini kerana, asbab itu bersifat khusus kepada apa yang menjadi asbab kewujudannya, dan tidak melangkaui (berlaku) kepada yang lainnya, sehingga tidak boleh diqiyaskan kepadanya. Ini berbeza dengan ‘illat. ‘Illat tidak bersifat khusus dengan hukum yang disyariatkan kerananya. Tetapi ‘illat itu melangkaui (berlaku) kepada yang lainnya sehingga boleh diqiyaskan kepadanya…Dari sini jelaslah bahawa ibadah, dari sisi keberadaannya sebagai asbab dan bukan sebagai ‘illat, menjadikan ibadah itu bersifat tauqifiyah (diambil seadanya, tidak boleh ditambah atau dikurangi), yang tidak disertai ‘illat dan tidak boleh diqiyaskan terhadapnya, kerana asbab itu berlaku khusus kepada apa yang menjadi asbab untuknya sahaja.

Kelima: Rukhshah juga adalah sebahagian daripada hukum Wadh’i, yang merupakan seruan asy-Syari’ (Allah) berkaitan dengan perbuatan hamba menurut keadaan (wadh’u). Memandangkan ia adalah seruan asy-Syari’, maka di sana mesti ada dalil syarie yang menunjukkannya. Misalnya berkaitan dengan solat orang yang sakit sambil duduk – Imam al-Bukhari telah mengeluarkan dalam Sahihnya dari Imran bin Husein (ra), ia berkata, “Aku ada penyakit buasir. Maka  aku bertanya kepada Nabi (saw) tentang solat. Lalu baginda bersabda,

«صَلِّ قَائِماً فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِداً، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ»

“Solatlah dengan berdiri dan jika kamu tidak mampu maka sambil duduk, dan jika kamu tidak mampu maka sambil berbaring”

Inilah rukhshah, yakni uzur yang syarie (yang dinyatakan oleh dalil syarak). Semua yang dinyatakan oleh dalil syarie bahawa itu merupakan uzur untuk hukum tertentu, maka ia dinilai sebagai uzur. Apa yang tidak ada dalil syarie tentangnya, maka tidak ada nilainya dan tidak dinilai sebagai uzur syarie sama sekali…dan oleh kerana tidak ada dalil bahawa orang yang sakit boleh saling berjauhan dalam solatnya dengan orang yang ada di sisinya sejarak satu atau dua meter, maka kenyataan ini tidak ada nilainya di sisi syarak, dan ia adalah menyalahi syarak…Lalu, apatah lagi bagi orang tidak sakit, tetapi hanya dijangka akan sakit!?

Keenam: Ringkasan daripada apa yang telah dijelaskan di atas adalah seperti berikut:

  • Mengubah kaifiyat (tatacara) solat yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (saw) adalah dinilai sebagai bidaah. Hukum syarak dalam keadaan ini ialah – orang yang sihat tubuh badannya, maka dia pergi untuk menunaikan solat seperti biasa di saf-saf yang lurus, tanpa renggang. Sedangkan orang yang sakit dengan penyakit menular, maka dia tidak pergi solat sehingga tidak menulari yang lain.
  • Jika negara menutup masjid-masjid, dan berikutnya orang-orang yang sihat terhalang daripada pergi ke masjid untuk solat Jumaat dan solat berjemaah, maka negara berdosa besar kerana mengabaikan solat Jumaat dan solat berjemaah. Masjid-masjid wajib terus dibuka untuk solat sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (saw).
  • Demikian juga jika negara melarang orang-orang yang solat daripada menunaikan solat mengikut tatacara yang telah dijelaskan oleh Rasulullah (saw), sebaliknya negara mewajibkan mereka untuk solat saling berjauhan dengan jarak satu atau dua meter dengan orang-orang di sisinya kerana khuatir penularan, apatah lagi tanpa adanya gejala-gejala patologi, maka negara berdosa besar.

Ini adalah hukum syarak yang saya rajihkan dalam masalah ini, Wallahu a’lam wa ahkam…dan saya memohon kepada Allah (swt) agar memberi petunjuk kepada kaum Muslimin kepada perkara yang paling lurus, dan agar kaum Muslimin menyembah-Nya sebagaimana yang Dia perintahkan, dan agar mereka patuh dan mengikuti apa yang ditetapkan oleh Rasul-Nya (saw)…dan agar mereka menegakkan syariah yang hanif tanpa penyimpangan dengan tegaknya al-Khilafah ar-Rasyidah…dan sungguh pada yang demikian itu ada kebaikan dan pertolongan dengan izin-Nya, yang suatu apa pun di muka bumi dan di langit tidak dapat melemahkan-Nya dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Wassalamu ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.

Saudaramu,

17 Syawal 1441 H

08 Jun 2020 M

https://www.facebook.com/HT.AtaabuAlrashtah/photos/a.1705088409737176/2653871108192230/?type=3&theater