Soal Jawab: Peristiwa di Syria dan Pengunduran SDF/QSD

بسم الله الرحمن الرحيم

Soal Jawab: Peristiwa di Syria dan Pengunduran SDF/QSD

(Terjemahan)

Soalan:

Peristiwa di timur laut Syria sedang memacu dengan momentum yang besar. Pasukan Syrian Democratic Forces (SDF/QSD) telah kehilangan kawalan ke atas pelbagai wilayah dengan sangat cepat, dan menyerahkannya kepada rejim Syria. Bagaimanakah semua ini boleh berlaku? Bagaimanakah untuk memahami hal ini sedangkan kedua-dua – rejim dan SDF – adalah ejen Amerika? Walaupun lampu hijau Amerika untuk penguasa Syria merampas wilayah tersebut jelas kelihatan, apakah yang dirancang oleh pentadbiran Trump di Syria atau wilayah sekitarnya?

Jawapan:

Untuk memperjelas jawapan kepada persoalan di atas, kita perlu meninjau perkara-perkara berikut:

PERTAMA: Peringkat-peringkat sokongan Amerika terhadap pasukan SDF di Syria:

  • Pasukan SDF adalah sebuah pakatan luas yang ditubuhkan pada Oktober 2015 dengan matlamat memerangi organisasi Negara Islam (ISIS), dan ia terdiri daripada pejuang-pejuang Kurdish, Arab, Syriac, Armenia, dan Turkmen. Komponen terbesar dalam SDF adalah Unit Perlindungan Rakyat (YPG) dan Unit Perlindungan Wanita (YPJ) yang bertanggungjawab ke atas keselamatan dan pertahanan wilayah kanton, sebuah kawasan yang “diisytiharkan sendiri” autonominya di Rojava…[Wikipedia].

Amerika menyokong kuat SDF sejak penubuhannya pada 2015 dan sejak campur tangan Amerika di Syria pada 2014 yang mendahului campur tangan Rusia. Pasukan Amerika menyediakan perlindungan udara kepada SDF serta melimpahkan sokongan kewangan dan senjata. Betapa kuatnya dukungan Amerika terhadap SDF sehinggakan mereka telah membunuh ratusan tentera “Wagner” Rusia yang cuba menyeberangi Sungai Furat ke arah timur pada Februari 2018. Amerika juga menepis segala kenyataan dan usaha Turki untuk menggugat SDF.

Demikianlah sokongan Amerika terhadap SDF sejak penubuhannya, menyediakan perlindungan tentera udara serta politik, selain sokongan kewangan dan senjata serta memudahkan penguasaannya ke atas tanah-tanah subur di sekitar Sungai Furat, ladang minyak dan gas, serta stesen janakuasa elektrik. Penentangan Amerika terhadap bantahan Turki terhadap dasar ini di timur laut Syria adalah sebahagian daripada persiapan Amerika dalam menyediakan alat-alat “perang terhadap Islam” sekiranya Khilafah Islamiyah bermula penegakannya dari Damsyik.

  • Hari ini, Trump melihat bahawa pemerintahan Ahmad al-Shar’a lebih mampu untuk mencapai kepentingan Amerika di rantau ini, yang mana dua kepentingan utama Amerika ialah: menjauhkan sistem pemerintahan Islam daripada Syria…dan tunduk kepada tuntutan entiti Yahudi di Syria dan Palestin, agar dia (Ahmad al-Shar’a) tidak menentang entiti ini walaupun ia (entiti Yahudi) melakukan serangan pagi dan petang!

Oleh itu, pendirian Trump berserta menteri-menterinya menunjukkan berakhirnya peranan SDF, dan diganti oleh rejim Syria demi melayani kepentingan Amerika di rantau ini. Hal ini bukan lagi rahsia, bahkan ia dinyatakan siang dan malam oleh utusan Amerika ke Syria, Tom Barack, dalam siri jelajahnya, serta kenyataan-kenyataan Presiden Turki dan Syria:

  • Tom Barack menyatakan: “Tujuan asal SDF sebagai kekuatan utama menghapuskan ISIS telah berakhir di lapangan. Situasi menunjukkan yang Damsyik kini telah layak untuk memikul tanggungjawab keselamatan termasuk kawalan ke atas pusat-pusat tahanan ISIS.” [Al-Jazeera Net, 21/01/2026].

Dalam satu kenyataan lain, Barack melalui platform X berkata: “Situasi telah berubah secara drastik, dan ini mengubah kewajaran kewujudan perkongsian antara Amerika dan SDF; peranan SDF sebagai kekuatan asas di lapangan menentang organisasi (ISIS) tersebut telah tamat tempoh, kerana Damsyik kini telah bersedia dan sanggup untuk memikul tanggungjawab keselamatan, termasuk mengawal penjara-penjara dan kem-kem organisasi tersebut.” [BBC, 20/01/2026].

Dia juga menyatakan dalam satu coretan panjang di lamannya di platform X yang diterjemah oleh Kedutaan Amerika di Syria: “Hari ini, situasi telah berubah secara radikal. Syria kini mempunyai kerajaan pusat yang diiktiraf, dan telah menyertai Gabungan Antarabangsa untuk mengalahkan ISIS (sebagai anggota ke-90 pada akhir tahun 2025).” Dia menambah mengenai penyatuan SDF ke dalam tentera Syria: “Penyatuan ini, yang disokong oleh diplomasi Amerika, mewakili peluang terkuat setakat ini bagi orang Kurdish untuk menjamin hak-hak kekal dan keselamatan yang stabil dalam sebuah negara Syria yang diiktiraf…” [CNN Arabic, 21/01/2026].

  • [Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata, pada hari Rabu, bahawa pasukan Kurdish di utara Syria mesti meletakkan senjata dan membubarkan barisan mereka dengan serta-merta sehingga penyelesaian dicapai tanpa pertumpahan darah lanjut, setelah Damsyik memberi mereka tempoh 4 hari untuk meletakkan pelan integrasi al-Hasakah ke dalam negara pusat – Al-Jazeera Net, 21/01/2026].
  • [Pihak kepresidenan Syria mengumumkan dalam satu kenyataan pada hari Isnin, bahawa presiden transisi Syria, Ahmad al-Shar’a telah membuat panggilan telefon kepada Presiden Amerika Donald Trump. Menurut kenyataan yang diterbitkan oleh agensi berita Syria (SANA): “Kedua-dua presiden semasa panggilan tersebut menekankan kepentingan memelihara integriti wilayah Syria dan kemerdekaannya, menyokong semua usaha yang bertujuan untuk mencapai kestabilan, dan menekankan keperluan untuk menjamin hak dan perlindungan rakyat Kurdish dalam kerangka negara Syria” – CNN Arabic – 19/01/2026].

KEDUA: Dari semua itu, jelaslah bahawa Amerika sedang memberikan lampu hijau kepada Presiden Syria, Ahmad al-Shar’a untuk menamatkan SDF. Amerika hari ini tidak menyembunyikan niatnya, malah tidak membebankan dirinya dengan sebarang bahasa diplomasi. Ia mengumumkan secara terang-terangan bahawa SDF sebagai alat Amerika untuk memerangi “keganasan” telah berakhir…dan bahawa Amerika hari ini mahu bergantung kepada alat yang lebih besar iaitu kerajaan Ahmad al-Shar’a. Kedua-duanya adalah alat bagi Amerika, dan Amerika menukar alat-alatnya mengikut kehendaknya. Semua ini, berserta perkembangan di lapangan, menunjukkan banyak perkara yang kami sebutkan seperti berikut:

  • Isu menggantikan ejen dengan ejen: Dalam revolusi Syam yang meletihkan Amerika dan memutihkan rambut Obama, Amerika terus mencari ejen kuat yang mampu memerintah untuk menggantikan ejennya Basyar yang telah ditentang oleh (rakyat) Syria.

Kami telah menyebut dalam “Soal Jawab” bertarikh 26/07/2025 seperti berikut: [Dengan ini jelas bahawa rancangan Amerika di Syria dibina atas kaedah utama iaitu menggantikan ejen dengan ejen yang lain, dan atas sebab itulah ia memberikan Turki lampu hijau untuk meruntuhkan rejim Basyar dan membina rejim baru yang menjadi pak turut Amerika].

Turki dan perisikannya telah mengambil tugas Amerika ini dan mula mempersiapkan Ahmad al-Shar’a yang dahulunya dikenali sebagai al-Jolani…Beberapa bulan sebelum berakhirnya pentadbiran Biden, Amerika membenarkan Turki memimpin operasi penyerahan Syria kepada ejennya yang baru, Ahmad al-Shar’a.

Turki, bagi pihak Amerika, mula menghubungi Iran dan Rusia untuk meneutralkan tentera kedua-dua negara tersebut di Syria, dan Amerika meminta Basyar untuk menyerahkan Syria. Demikianlah apa yang berlaku. Ejen baru telah ditabalkan menggantikan yang lama, dan Turki kekal sebagai rantai utama bagi hubungan Amerika dengan ejen baru ini.

  • Amerika mula meminta ejen barunya ini melakukan lebih banyak “perkara terlarang” (muharramat), dan ejen ini mula membuktikan responsnya dengan dorongan Turki. Dia meninggalkan bendera yang tertera kalimah (Tauhid) dan meletakkan bendera sekular sebagai gantinya!

Dia memberikan pengampunan kepada saki-baki penyokong Basyar, dan menyumbat para pemuda yang memperjuangkan Khilafah ke dalam penjara – padahal ini adalah para pemuda yang berjuang untuk merealisasikan khabar gembira Rasulullah (saw) selepas zaman pemerintahan diktator (al-Hukm al-Jabriy) yang kita lalui sekarang, sebagaimana sabda baginda (saw):

ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ خـ ـلافة عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ. ثُمَّ سَكَتَ

“Kemudian akan ada pemerintahan diktator, maka ia akan ada selama mana Allah berkehendak ia ada, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya, kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian. Kemudian baginda diam” [HR Ahmad].

Dia juga mengurangkan waktu pembelajaran al-Quran di sekolah-sekolah…Trump juga memintanya agar tidak membalas serangan entiti Yahudi yang berulang-ulang dan dahsyat yang sampai ke Damsyik sendiri…kemudian memintanya untuk berunding dengan entiti Yahudi. Maka berlakulah pusingan demi pusingan rundingan yang diketuai oleh Menteri Luarnya, al-Shaibani tanpa rasa malu atau warak, tidak kepada Allah dan Rasul-Nya, dan tidak kepada orang-orang beriman terutamanya penduduk Gaza.

Tuntutan kerajaan Ahmad al-Shar’a kepada entiti Yahudi semasa rundingan adalah sangat remeh jika ingin dibandingkan dengan rundingan si penjenayah Basyar dahulu, yang pernah merundingkan perkara yang jauh lebih besar daripada tuntutan ini – iaitu dalam rundingan 2008 yang ditaja oleh Turki, sebelum tercetusnya revolusi Syam.

Dengan penerimaan al-Shar’a untuk melakukan semua “perkara terlarang” ini, Amerika secara politik telah membuka talian terus dengannya, menyertai talian perisikan dan talian Turki. Talian politik pertama adalah pertemuan ejen Amerika, Ibn Salman, dengan Ahmad al-Shara’ di Riyadh pada 14/05/2025.

Kemudian talian itu mula berkembang dan Ahmad al-Shar’a mendapat pujian daripada Trump, sehingga Presiden Amerika itu menyambutnya di Rumah Putih pada 11/11/2025, walaupun melalui pintu belakang dan tanpa upacara sambutan. [Trump menyatakan petang semalam bahawa dia “serasi” dengan Presiden Syria Ahmad al-Shar’a, sambil menegaskan bahawa Washington akan melakukan segala yang termampu untuk menjadikan Syria berjaya – RT, 11/11/2025].

  • [Menteri Luar Turki, Hakan Fidan membincangkan, di Rumah Putih, jalan keluar untuk masalah sedia ada di Syria, serentak dengan lawatan Ahmad al-Shar’a ke Washington dan pertemuannya dengan Trump. Fidan mengumumkan bahawa rundingan diadakan di Rumah Putih dengan Setiausaha Negara Amerika Rubio, utusan khas Presiden Amerika Witkoff, utusan Amerika ke Syria Thomas Barack, dan Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani, dan kemudiannya disertai oleh Naib Presiden Amerika, JD Vance. Kenyataan itu menunjukkan bahawa para peserta membincangkan cara-cara yang mungkin untuk keluar daripada masalah yang sedang berlaku di Syria – RT, 11/11/2025].
  • Amerika buat masa ini sedang menarik balik sekatan ke atas Syria secara berperingkat, untuk memastikan dalam setiap peringkat bahawa Ahmad al-Shar’a membuktikan dirinya sebagai ejen yang setia kepadanya.

Oleh itu, Syria menyertai Pakatan Antarabangsa untuk memerangi ISIS: [Syria menyertai Pakatan Antarabangsa menentang ISIS yang dibentuk di bawah pimpinan Amerika pada 2014, dan Kedutaan Amerika di Damsyik mengumumkan dalam satu hantaran di platform “X” pada hari Selasa 11/11/2025 penyertaan Syria ke dalam Pakatan Antarabangsa memerangi ISIS, dan Syria secara rasmi menjadi rakan kongsi ke-90 yang menyertai pakatan tersebut – Anadolu, 12/11/2025].

Lalu, kemudian sekatan Amerika ke atas Syria ditarik balik [Presiden Amerika Donald Trump menandatangani pembatalan Akta Caesar yang mengenakan sekatan ke atas Syria sejak 2019 – Al-Jazeera, 19/12/2025].

KETIGA: Setakat ini, pasukan SDF sedang berundur dari daerah-daerah tersebut. Menurut kenyataan komandernya, Mazloum Abdi, pengunduran ini dari barat Furat ke timur adalah atas nasihat “rakan-rakan dan pengantara” [Kurdistan 24, 16/01/2026], dan pastinya Amerika adalah ketua kepada “rakan-rakan dan pengantara” tersebut, yang mendorong pelaksanaan perjanjian SDF dengan kerajaan Syria pada 10/03/2025: [Presiden Syria, Ahmad al-Shar’a dan komander SDF, Mazloum Abdi menandatangani perjanjian pada hari Isnin yang menetapkan integrasi semua institusi awam dan tentera yang berafiliasi dengan pemerintahan mandiri Kurdish ke dalam kerangka negara Syria, menurut apa yang diumumkan oleh pihak kepresidenan – Al-Arabiya, 10/03/2025].

Kemudian, kerajaan Syria menandatangani perjanjian kedua dengan SDF, yang mana SDF akan berundur dan menyerahkan “dengan serta-merta” daerah Deir ez-Zor dan Raqqa, yang mana ia direstui oleh utusan Amerika, dan menganggapnya sebagai titik perubahan penting, dan menyatakan bahawa Amerika mahukan Syria yang bersatu: [Utusan Amerika ke Damsyik, Tom Barack menganggap bahawa perjanjian yang diumumkan oleh Presiden Syria, Ahmad al-Shar’a dengan komander SDF, Mazloum Abdi membentuk “titik perubahan penting”. Barack berkata dalam satu hantaran di platform “X”: “Perjanjian dan gencatan senjata ini mewakili titik perubahan penting, di mana bekas seteru memilih perkongsian berbanding perpecahan”, memuji usaha “konstruktif” kedua-dua pihak untuk memeterai perjanjian yang “membuka jalan ke arah pembaharuan dialog dan kerjasama ke arah Syria yang bersatu” – [Televisyen Al-Arabi, 18/01/2026].

KEEMPAT: Sayap-sayap tegar dalam SDF, terutamanya yang bekerjasama dengan Kurdistan Workers’ Party (PKK), sedang melengah-lengahkan pelaksanaan. Mereka berharap agar terbuka satu celah dalam dasar Amerika, dan mereka bertegas bahawa penyatuan SDF ke dalam tentera Syria mestilah sebagai satu blok (unit) dan bukannya sebagai individu. Al-Arabiya pada 17/01/2026 melaporkan dari mesyuarat di Kota Erbil, bahawa komander SDF, Mazloum Abdi mahu meyakinkan Amerika untuk berintegrasi sebagai tiga divisyen dalam tentera Syria. Namun celah tersebut tidak terbuka dalam pendirian Amerika, baik dalam mesyuarat Erbil mahupun sebelumnya.

Kerajaan Ahmad al-Shar’a mula menyerang, iaitu melaksanakan perjanjian secara paksa, bermula dari kejiranan di bandar Aleppo, dan seterusnya SDF terpaksa menandatangani perjanjian kedua dengan kerajaan Syria untuk menyerahkan wilayah Deir ez-Zor dan Raqqa “dengan serta-merta”. Amerika merestui perjanjian ini.

SDF, seperti yang kami sebutkan tadi, dalam setiap perjanjian cuba melengah-lengahkannya, namun campur tangan puak-puak Arab dan serangan mereka ke atas SDF tidak meninggalkan ruang lagi untuk itu, walaupun Presiden Syria meminta puak-puak tersebut bertenang: [Al-Shar’a berkata: “Kami menasihati puak-puak Arab kami untuk bertenang dan memberi ruang untuk melaksanakan syarat-syarat perjanjian.” Militia Arab telah menyertai tentera Syria dalam pertempurannya dengan SDF sejak Sabtu – CNN Arabic, 19/01/2026].

KELIMA: Demikianlah peristiwa memacu dengan kelajuan yang amat pantas:

  • Kerajaan Syria mengumumkan bahawa proses penyatuan pejuang SDF akan dibuat atas dasar individu dan bukan sebagai blok (unit) tentera dalam tentera, dan dalam kementerian dalam negeri. Kerajaan Syria memberikan jaminan mengenai hak-hak “budaya” penduduk setempat dan pemberian kewarganegaraan, dan kerajaan mula mengambil alih kawasan-kawasan di daerah Raqqa dan Deir ez-Zor serta memasuki daerah al-Hasakah dan meluaskan kawalannya di sana.

Situasi ini tidak memberi ruang bagi SDF untuk berunding, kecuali mengenai al-Hasakah: [Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan petang Isnin ini mengenai gencatan senjata antara tentera Syria dan pasukan SDF, bermula jam 8 malam selama empat hari. Ini menyusul pengumuman pihak kepresidenan Syria mengenai pencapaian persefahaman bersama antara kerajaan dan SDF mengenai isu-isu berkaitan masa depan daerah al-Hasakah – Al-Jazeera Net, 20/01/2026].

Perjanjian ini tidak memberikan SDF melainkan sedikit sahaja cara untuk memujuk: [Agensi berita Syria (SANA) melaporkan pada Selasa daripada pihak kepresidenan Syria yang mengatakan bahawa komander SDF, Mazloum Abdi akan mencadangkan calon dari “SDF” untuk jawatan Timbalan Menteri Pertahanan, selain mencadangkan calon bagi jawatan Gabenor al-Hasakah, dan nama-nama untuk perwakilan di parlimen serta senarai individu untuk diambil bekerja dalam institusi negara Syria – CNN Arabic, 20/01/2026].

Pihak kepresidenan berkata sekiranya perjanjian dicapai, [“Tentera Syria tidak akan memasuki pusat bandar al-Hasakah dan Qamishli dan akan kekal di pinggirannya, dengan syarat jadual waktu dan butiran khas mengenai penyatuan secara damai daerah al-Hasakah termasuk bandar Qamishli akan dibincangkan kemudian” – BBC, 20/01/2026]. [Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak memasukkan tentera Syria ke dalam kampung-kampung Kurdish, dengan syarat ia akan dikawal oleh pasukan keselamatan tempatan daripada kalangan penduduk kawasan tersebut – CNN Arabic, 20/01/2026].

  • Selepas Amerika memutuskan untuk memindahkan tahanan ISIS dari penjara-penjara yang berada di bawah kawalan SDF ke Iraq, SDF meminta Amerika untuk melanjutkan tempoh sehingga selesai pemindahan tahanan, dan itulah yang berlaku [Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan pelanjutan tempoh gencatan senjata dengan SDF selama 15 hari bagi menyokong operasi Amerika untuk mengosongkan tahanan ISIS dari penjara. Kementerian menjelaskan di akaun “X”nya bahawa pelanjutan tempoh bermula malam ini jam 11 waktu tempatan – Al-Jazeera, 24/01/2026].

Dengan itu, berlakulah proses menutup babak SDF dan babak komandernya, ejen kecil Amerika, Mazloum Abdi, setelah dia menyelesaikan tugas Amerikanya. Amerika menamatkan perkhidmatannya dengan memberi imbalan “pencen kecil” berupa (jawatan) kakitangan rendah di sana sini, itu pun mungkin bersifat sementara. Ini kerana yang menguruskan kejadian di rantau ini adalah Amerika, dan jika kepentingannya menuntut perubahan pendirian, maka ia akan memerintahkan ejen-ejennya yang terdiri daripada para penguasa, untuk melaksanakannya, dan para penguasa ini akan melaksanakannya tanpa mata berkelip dan tanpa rasa malu:

﴿أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ﴾

“Ketahuilah alangkah buruknya apa yang mereka putuskan”.

KEENAM: Demikianlah, sungguh pedih melihat Syria kembali tunduk di bawah telunjuk Amerika, selepas segala pengorbanan yang dicurahkan oleh warga Syria demi mengubah rejim dan meletakkan hukum Islam di tempatnya, Amerika akhirnya berjaya membeli jiwa-jiwa yang murah demi sebuah kerusi yang rapuh – jiwa yang sanggup berjaga malam demi mengabdi kepada Amerika dalam rangka mengekalkan kerusi rapuh tersebut dan menjamin kawalan Amerika ke atas seluruh bumi Syria.

Lalu, dia meninggalkan penerapan Islam dan meninggalkan jihad untuk membebaskan tanah yang dijajah! Malah dia mengeluarkan Syria daripada barisan hadapan peperangan dengan musuh yang mana penjenayah yang melarikan diri, Basyar al-Assad, pun tidak berani melakukannya!

Penguasa Syria itu lupa atau pura-pura lupa bahawa tindakannya merebahkan diri ke pangkuan Amerika tidak akan mengekalkannya di atas kerusinya jika Amerika mendapati ada ejen lain yang lebih mampu daripadanya untuk berkhidmat kepadanya. Padahal penguasa Syria itu sudah melihat banyak contoh dengan orang orang-orang sebelumnya, yang mengesahkan perkara itu dengan sekuat-kuat pengesahan.

Maka, tidakkah para penguasa, pembantu mereka, dan pengikut mereka, ejen-ejen Amerika, mengambil iktibar daripada (kejadian) bagaimana Amerika menjatuhkan ejen-ejennya dan menamatkan khidmat mereka, lalu meninggalkan mereka setelah impian mereka terkubur?

Tidakkah mereka melihat bagaimana Amerika meninggalkan semua ejennya tanpa rasa bersalah dan tanpa menitiskan air mata setitik pun, setelah ejen-ejen tersebut berbuat kerosakan di muka bumi demi mengabdi kepada Amerika? Tidakkah mereka melihat bagaimana Amerika kemudian mencampakkan semua ejennya ke tepi jalan apabila ia sudah tidak memerlukan khidmat mereka, kerana adanya ejen baru yang lebih mampu berkhidmat kepadanya daripada yang sebelumnya?!

Mengenai para penguasa ejen ini, benarlah firman Allah (swt):

﴿فَأَذَاقَهُمُ اللَّهُ الْخِزْيَ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ﴾

“Maka Allah merasakan kepada mereka kehinaan dalam kehidupan dunia, dan sesungguhnya azab pada hari akhirat lebih besar kalau mereka mengetahui” [Az-Zumar (39): 26].

Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah

8 Syaaban 1447 H

27 Januari 2026 M

https://www.facebook.com/AtaAboAlrashtah/posts/pfbid02raZ3aPCAWdDqEVGbeZyM4vZ4ejJY2RJ5oo8ZbNQdirv5TVz8mdE2rXqPbvsTHaWnl