Sokongan GPS kepada Muhyiddin demi periuk nasi, bukan demi rakyat

Sokongan terbuka Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa pemilihan calon Perdana Menteri yang lalu bukanlah suatu yang pelik. Alasan bahawa mereka keluar dari gabungan Barisan Nasional (BN) dan menyokong Muhyiddin adalah untuk kepentingan rakyat Sarawak hanyalah alasan cliché yang didendangkan semenjak kekalahan BN pada PRU-14 yang lalu.

Walhal, merekalah yang selama ini bersama dengan BN dalam menjarah kekayaan bumi Sarawak. Lihat sahajalah kekayaan yang dimiliki oleh bekas Ketua Menteri Sarawak (yang ketika ini merupakan Tuan Yang Terutama – TYT) di sepanjang memerintah Sarawak. Dengan siapa segala kekayaan bumi itu dikaut, jika bukan dengan BN? Ke manakah mengalirnya segala kekayaan tersebut jika bukan ke dalam poket sendiri dan juga kepada BN? Realitinya rakyat tidak mendapat apa-apa kecuali penderitaan!

Jadi, sokongan GPS kepada Muhyiddin bukanlah suatu yang pelik, tetapi sangat mudah untuk dijangka, apatah lagi tatkala pilihan raya negeri yang sudah semakin hampir. GPS sudah tentu resah dan bermasalah jika tiada sokongan daripada kerajaan pusat, dan juga daripada rakyat. Alasan “demi kepentingan rakyat Sarawak” hanyalah talian hayat untuk memastikan kesinambungan cengkaman kuasa mereka ke atas bumi Sarawak yang kaya dengan pelbagai sumber alam ini.

Sekiranya Muhyiddin jatuh selepas ini, dan Mahathir atau Anwar atau sesiapa sahaja menjadi Perdana Menteri, nescaya GPS akan mengisytiharkan sokongan tak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri baru tersebut, dan akan memberikan alasan yang sama, yakni demi kebaikan rakyat Sarawak. Inilah politik GPS!

Umat Islam amnya, dan rakyat Sarawak khususnya, seharusnya semakin celik dengan drama yang dimainkan oleh ahli-ahli politik dalam sistem demokrasi ini. Sifir mudahnya ialah – di mana ada manfaat, di situlah ahli-ahli politik demokrasi ini akan berada. Mereka umpama semut yang menghurung gula, berebut dan ‘sanggup mati’ demi mendapat habuan.

Oleh: Ir. Yusuf M.