Solat tiang agama. Namun ramai yang hanya membina tiang agama
RASULULLAH bersabda yang bermasud: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang. Jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripada sembahyang fardunya, Allah berfirman: “Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amalnya yang lain.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Seorang mukmin sejati tidak cuai dalam melaksanakan ibadat solat fardu diwajibkan termasuk menjaga waktu, mematuhi tertib solat di samping mengerjakan ibadat sunat yang termampu olehnya.
Sesungguhnya jika solat dikerjakan dengan sempurna ia dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar sebaliknya mereka yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak dapat merasai ketenangan dan ketakwaan sebenar kepada Allah. Lantaran itu ramai tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun mengerjakan sembahyang, puasa dan amalan wajib lain.
Rebutlah peluang semasa hidup untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata: “Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”
Sumber : Berita Harian, 12/02/2010
Solat tiang agama. Namun ramai yang hanya membina tiang agama
Solat merupakan tiang agama. Namun hakikatnya masih terlalu ramai umat Islam yang masih jahil dan ragu tentang solat. Ini satu aspek. Dari aspek lain, umat Islam jauh lebih jahil tentang Islam sebagai penyelesaian masalah kehidupan. Perbincangan mengenai Islam didominasi oleh isu-isu ibadah seperti solat, puasa, zakat, haji, nikah kahwin dan beberapa perkara lain yang bersifat individu. Jarang sekali kita mendengar perbincangan yang terkait dengan isu kebangkitan umat. Persoalan tentang sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem uqubat, polisi pendidikan, polisi luar negeri, termasuk perbincangan tentang bagaimana menghukum seseorang yang tidak solat jarang sekali didengari umat.
Islam itu lengkap dan mampu menyelesaikan seluruh permasalahan manusia. Apa yang perlu ada adalah sistem pemerintahan Islam yang akan menyambung kembali kehidupan Islam dan memastikan bahawa setiap permasalahan hidup diselesaikan oleh Islam. Marilah kita bersama-sama dalam mengembalikan kehidupan Islam. Ini akan memastikan persoalan solat itu sendiri secara langsung akan mendarah daging di dalam umat. Ketika itu, anak kecil yang berumur 10 tahun akan tahu secara terperinci persoalan solat dan akan sentiasa menjaganya kerana kehidupan ketika itu dipenuhi dengan nuansa ketakwaan. Tambahan pula, hukuman menanti jika solat diabaikan,di dunia dan akhirat. Pada saat itu, penerapan hukum syara’ akan tetap terjaga di bawah pimpinan seorang khalifah yang amanah, bertakwa dan ikhlas.