SOP Untuk Solat Jumaat: Apa Lagi Alasan? (Siri 4)

(3) Alasan yang memetik pandangan Ulama

Dalam membenarkan tindakan pemerintah menutup masjid dan menghalang umat Islam daripada solat Jumaat, maka tidak kurang yang mengemukakan hujah berdasarkan pandangan ulama, baik ulama salaf mahupun khalaf. Fatwa daripada pelbagai institusi pembuat fatwa dari seluruh dunia turut dipetik bagi menguatkan hujah bahawa masjid perlu ditutup dan solat Jumaat perlu dihalang dalam rangka mencegah jangkitan. Inilah poin utamanya yakni tidak boleh solat Jumaat bagi mencegah jangkitan.

Penulisan ini bukanlah ingin memetik atau mengulang kembali kesemua hujah tersebut. Para pembaca boleh merujuk secara langsung kepada penjelasan pihak-pihak yang mengemukakan hujah tersebut, khususnya daripada kalangan ulama salathin (ulama yang berada di sisi penguasa). Diulangi, semua hujah tersebut, berapa panjang alasan, dan berapa banyak pihak yang terlibat pun, poin utamanya ialah masjid mesti ditutup daripada solat Jumaat bagi mengelak penularan.

Rentetan penutupan masjid daripada solat Jumaat, maka sebahagian umat Islam yang tidak berpuas hati telah memutuskan untuk solat Jumaat di rumah asalkan cukup jumlah minimum jemaah mengikut pendapat yang mereka pegang. Maka timbullah satu lagi polemik yakni bolehkah solat Jumaat di rumah dengan bilangan 3 orang, atau 4 orang, atau 12 orang, bukannya 40 sebagaimana amalan di Malaysia yang berpegang kepada mazhab Syafie. Rentetan itu, para ulama salathin sekali lagi bersidang dan mengeluarkan fatwa bahawa tidak boleh solat Jumaat di rumah, dan wajib taat kepada perintah pemerintah. Sekali lagi mereka memetik pelbagai pandangan ulama salaf dan khalaf, dan pelbagai Majlis Fatwa di seluruh dunia untuk mengatakan bahawa rakyat wajib taat kepada pemerintah.

Hizbut Tahrir sebagai sebuah parti politik Islam antarabangsa, melalui Amirnya, Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah telah mengeluarkan Soal-Jawab dan membincangkan secara panjang lebar isu Covid-19 ini, dan termasuk di dalamnya ialah perbincangan mengenai penutupan masjid dan solat Jumaat. Syeikh Atha’ menegaskan bahawa haram dan berdosa besar bagi pemerintah yang menutup masjid dan menghalang orang ramai daripada solat Jumaat atas alasan wabak. Ini kerana solat Jumaat adalah fardhu ain dan kewajipannya tidak gugur kecuali jika ada nas yang menggugurkannya, dan wabak bukanlah nas yang boleh menggugurkan kewajipan fardhu ain tersebut.

Dalam masa yang sama Amir ketiga Hizbut Tahrir itu turut menjelaskan bahawa bilangan minimum solat Jumaat ialah 3 orang, diambil daripada maksud jemaah itu sendiri ialah 3 dan ke atas. Ini kerana tiada nas yang spesifik menjelaskan bahawa syarat sah solat Jumaat ialah 40 orang. Namun demikian, tidak sah solat Jumaat di rumah kerana nas yang menyebut tentang solat Jumaat hendaklah dilakukan di masjid atau tempat terbuka yang tidak mencegah orang ramai daripada datang solat. Amir Hizbut Tahrir itu menegaskan bahawa apa yang wajib dilakukan oleh pemerintah ialah terus membuka masjid dan membiarkan umat Islam solat Jumaat seperti biasa, dengan diambil segala langkah berjaga-jaga dan pemerintah mestilah melaksanakan semua prosedur keselamatan bagi mencegah penularan.

Berbalik kepada alasan yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu, khususnya ulama salathin bahawa masjid hendaklah ditutup daripada solat Jumaat, dengan memetik hujah daripada para ulama salaf mahupun khalaf, dan juga memetik Majlis Fatwa dari seluruh dunia, persoalannya, adakah hujah ini boleh diterima?

Hizbut Tahrir berpegang kepada pendapat bahawa sumber hukum dalam Islam hanyalah Al-Quran dan Al-Hadis dan apa yang terpancar daripada keduanya berupa Ijma’ as-Sahabat dan Qiyas. Selain daripada keempat-empat sumber tersebut, maka sumber lain bukanlah sumber hukum dan tidak sah untuk dijadikan sumber hukum. Malah bagi sesiapa yang mempelajari Usul Fiqh akan mendapati bahawa sumber hukum yang disepakati para ulama itu hanyalah empat itu sahaja iaitu Al-Quran, Al-Hadis, Ijma’ as-Sahabat dan Qiyas, manakala sumber yang lain adalah sumber yang diperselisihkan. Antara sumber hukum yang diperselisihkan ialah Masalih-mursalah, Istihsan, Urf, Syar’u man qablana, Ijma’ Ulama, Ijma’ Ahli Madinah, Ijma’ al-Ummah, ijtihad sahabat secara peribadi (yang tidak menjadi Ijma’ as-Sahabat) dan beberapa yang lain.

Perlu difahami di sini bahawa apabila disebut “sumber hukum” atau “dalil”, ia wajib datang daripada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ as-Sahabat dan Qiyas. Itu sahaja. Sumber hukum tidak boleh berasal daripada selain keempat tadi. Contoh yang paling mudah ialah tentang kewajipan solat. Jika ditanya dari mana sumber hukum atau dalil bahawa solat itu wajib, maka sudah tentu jawapannya dari Al-Quran dan as-Sunnah. Kita tidak boleh menjawab bahawa solat itu wajib kerana para ulama mewajibkannya! Begitu juga apabila ditanya tentang dari mana sumber hukum atau dalil bahawa riba itu haram? Sudah tentu jawapannya dari Al-Quran dan As-Sunnah, dan kita tidak boleh menjawab bahawa riba itu haram kerana ulama mengharamkannya.

Inilah persoalan tentang “sumber hukum” atau “dalil”. Kita tidak boleh meletakkan halal dan haram itu dengan menjadikan ulama sebagai sandaran dalil atau sumber hukum. Jika kita menjadikan ulama sebagai sumber hukum atau dalil, maka tatkala ada ulama yang mengambil riba atau mengatakan bahawa riba halal dalam keadaan-keadaan tertentu, maka riba tersebut akan menjadi halal! Sedangkan Al-Quran dan As-Sunnah mengharamkan riba dalam apa jua keadaan. Keharaman riba dalam keadaan apa pun adalah berlaku sampai kiamat, walaupun seluruh ulama sepakat menyatakannya halal. Ini kerana, sumber hukum atau dalil bagi kita ialah nas itu sendiri, bukannya ulama!

Sama sebagaimana untuk menyatakan bahawa pemerintah boleh menutup masjid dan menghalang manusia daripada solat Jumaat bagi mencegah penularan wabak, persoalannya, di manakah nas yang membolehkan perkara ini? Di mana sumber hukum dan dalil yang menyatakan demikian? Ini kerana, sumber hukum dan dalil wajib solat Jumaat (wajib ain) adalah Al-Quran itu sendiri, sebagaimana firman Allah (swt):

إِذَا نُودِي لِلصَّلاَةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ

“Apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli” [Al-Jumaah (62):9].

Manakala menutup masjid dan menghalangi manusia daripada solat Jumaat, turut disinggung oleh ayat Al-Quran,

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ مَنَعَ مَسَاجِدَ اللَّهِ أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا ۚ أُولَٰئِكَ مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا إِلَّا خَائِفِينَ ۚ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Dan siapakah yang zalim daripada orang yang menghalang-halangi menyebut nama Allah dalam masjid-masjid-Nya, dan berusaha untuk merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalamnya (masjid Allah), kecuali dengan rasa takut (kepada Allah). Mereka di dunia mendapat kehinaan dan di akhirat mendapat seksa yang berat” [Al-Baqarah (2): 114].

Inilah antara nas yang mewajibkan solat Jumaat (dan banyak lagi nas lainnya berdasarkan hadis).

Maka, suatu kewajipan yang telah ditetapkan oleh nas tidak akan terhapus atau tergugur kecuali jika ada nas lain yang mengecualikannya atau memberinya rukhsah (keringanan). Nas tidak akan terhapus dengan pendapat atau fatwa ulama. Contoh nas yang menggugurkan atau memberi rukhsah untuk tidak solat Jumaat adalah hadis berikut,

«الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلَّا أَرْبَعَةٌ: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ، أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ صَبِيٌّ، أَوْ مَرِيضٌ»

“(Solat) Jumaat merupakan hak yang wajib ke atas setiap Muslim dalam berjemaah kecuali empat orang: hamba sahaya, wanita, anak-anak dan orang yang sakit”.

Al-Hakim berkata: hadis ini sahih menurut syarat syaikhain (al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis lain disebutkan,

«مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إلَّا مِنْ عُذْرٍ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا الْعُذْرُ؟ قَالَ: خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ» أخرجه البيهقي في السنن الكبرى

“Siapa sahaja yang mendengar seruan (azan) dan tidak menjawabnya (tidak pergi menunaikan solat Jumaat) maka tidak ada solat untuknya kecuali kerana uzur”. Mereka (sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah apakah uzurnya?’ Baginda menjawab: ‘takut atau sakit’” [HR al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra].

Jadi, pengecualian atau rukhsah untuk solat Jumaat hendaklah datangnya daripada nas, bukannya datang dari akal manusia, bukannya datang dari pendapat ulama, hatta bukan datangnya dari Ulil Amri (pemerintah). Apabila Allah dan Rasul-Nya telah mewajibkan atau mengharamkan sesuatu, maka hanya Allah dan Rasul-Nya sahajalah yang berhak untuk menggugurkannya atau mengecualikannya. Tidak ada manusia, siapa pun ia, berapa ramai pun ia, yang boleh menggugurkan atau memberi rukhsah atas perintah Allah dan Rasul-Nya.

Oleh yang demikian, untuk menutup masjid dan menghalang umat Islam daripada menunaikan solat Jumaat, hendaklah ada nas yang membolehkan perkara tersebut, bukan hanya berdasarkan pandangan ulama semata-mata.

Persoalan yang mungkin timbul ialah, adakah ini bermaksud kita menolak ulama? Tidak, kita tidak menolak ulama, tidak sama sekali. Ulama ialah orang paling takut kepada Allah (swt). Ulama adalah pewaris Nabi dan daripada ulama-lah kita belajar dan mendapat ilmu. Ulama adalah mereka yang membimbing umat dan memandu umat ke jalan yang benar. Namun demikian perlu difahami bahawa dengan begitu ramainya ulama dan beragam tingkat ilmunya, maka sudah pasti para ulama ini bertentangan pendapat antara satu sama lain. Nah, di sinilah pentingnya untuk kita memahami peranan kita. Kita perlu bezakan di antara menolak ulama, dengan menolak pendapat ulama. Kita tidak boleh menolak ulama, tetapi kita boleh menolak pendapat ulama. Malah wajar sahaja jika kita menolak pandangan ulama, mengingat berapa ramainya para ulama yang berbeza pandangan antara satu sama lain. Menolak pendapat ulama bukan bererti kita menolak ulama. Hal ini mesti dibezakan.

Kita menolak pendapat ulama, kerana kita berpegang kepada pendapat ulama yang lain. Hal ini memang diperbolehkan dan sememangnya wajar. Contohnya, apabila kita berpegang kepada pendapat Imam Syafie, maka sudah tentu kita “menolak” pendapat Imam Hanafi yang bertentangan dengan pendapat Imam Syafie. Adakah ini bermaksud kita menolak ulama (Imam Hanafi). Tidak. Kita hanya “menolak” pandangan Imam Hanafi kerana kita menerima pendapat Imam Syafie. Di sinilah perlu dibezakan di antara menolak ulama dan menolak pandangan ulama. Menolak pandangan ulama adalah suatu perkara yang wajar apabila kita qana’ah dan tsiqah (meyakini) dengan pandangan ulama yang lain, yang kita rasakan lebih kuat.

Persoalan seterusnya, jadi di manakah letaknya peranan ulama? Peranan ulama adalah untuk menjelaskan nas atau memberi kefahaman kepada manusia dengan nas yang mereka fahami. Apabila mereka menjelaskan sesuatu hukum, maka ulama wajib mendatangkan nas sebagai sandaran, bukan sekadar menjelaskan berdasarkan akalnya sema-mata, tanpa nas. Penjelasan ulama berkenaan dengan nas itulah yang menjadi pegangan kita, selama mana mereka membawa dan menjelaskan nas dengan cara yang benar (maksudnya mereka tidak menyelewengkan nas). Apabila para ulama ini berbeza pandangan dengan masing-masing memberikan kefahaman tentang nas dengan cara yang mereka fahami, maka kita akan berpegang kepada penjelasan yang lebih memuaskan akal dan mententeramkan jiwa kita. Pokoknya kita berpegang kepada nas, bukannya berpegang kepada pendapat ulama-ulama tertentu tanpa nas. Ini kerana, apabila para ulama ini tidak membawa apa-apa nas untuk menjelaskan sesuatu perkara, maka sudah pasti pandangan mereka diragui, mungkin betul dan mungkin sahaja salah.

Dalam pada itu, kita hendaklah sentiasa ingat kepada pesanan Rasulullah (saw) bahawa ulama itu ada dua jenis. Ada ulama yang baik dan ada ulama su’ (jahat). Rasulullah (saw) memerintahkan kepada kita untuk menjauhi ulama su’, dan berapa banyak hadis yang menjelaskan tentang ciri-ciri ulama su’ adalah ulama yang dekat dengan penguasa. Ulama su’ akan berfatwa dengan apa yang dikehendaki oleh pemerintah, kerana pemerintah adalah majikan mereka. Mereka dibayar gaji oleh pemerintah, maka sudah tentu mereka akan mengikut kehendak majikan mereka. Malah mereka memilih untuk berada dekat dengan pemerintah itu pun kerana ada tujuan duniawi yang ingin mereka raih. Inilah antara serba sedikit penjelasan yang terdapat dalam hadis-hadis Rasulullah (saw) mengenai ulama su’. Jadi, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada apabila ulama su’ mengeluarkan sesuatu fatwa, khususnya fatwa yang berhubung dengan keputusan pemerintah!

…bersambung