Sri Kandi Yang Berjuang Demi Negara?
KUALA LUMPUR 14 Sept. – Usia anaknya baru mencecah dua tahun. Namun, demi menjalankan misi negara, Koperal Udara Geenathul Nisah Mohd. Ibrahim, 30, seorang ibu tunggal, rela berpisah sementara selama empat bulan setengah dengan anaknya.
Beliau merupakan antara 10 anggota wanita Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terpilih sebagai anggota Kontijen Wanita Kumpulan Kedua Malcon East 4 Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (Unifil).
Menurut beliau, status ibu tunggal membuatkan anaknya, Nurul Izzati Izzah Zaidan menjadi terlalu manja dengannya sehingga sukar untuk berenggang.
Beliau yang kematian suami, dua tahun lalu bagaimanapun menganggap tugasnya yang memerlukan dia berada jauh di negeri orang sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sedikit pengorbanan.
‘‘Saya akui, berat hati untuk meninggalkannya apatah lagi seminggu sebelum Aidilfitri. Izzati juga seakan tahu kami akan berpisah lama apabila kerap bermanja dan tidak boleh berenggang langsung dengan saya.
‘‘Apa pun, pengorbanan ini tetap perlu saya lakukan demi negara. Segala persiapan Aidilfitrinya sudah saya sediakan dan dia akan tinggal bersama kakak di Alor Setar,’’ katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Penghantaran Anggota Wanita Malcon East 4 di Wisma Transit, Kementerian Pertahanan (Mindef) di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Laksamana Muda Datuk Jamil Osman dengan diiringi Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Jusof @ Che Jusoh Embong.
Kontijen wanita itu bakal berangkat ke Lebanon malam ini bagi mengambil tempat 10 anggota wanita yang tamat misi esok.
Mereka bakal menjalankan tugas berdasarkan kepakaran masing-masing dalam bidang perubatan, komunikasi, logistik dan pentadbiran.
Sementara itu, ketua kontinjen berkenaan, Kapten Junainah Baharudin yakin anak buahnya mampu menjalankan tugas dengan baik sekali gus memelihara rekod bersih Malaysia dalam melaksanakan misi di luar negara.
Beliau menjangkakan, cabaran terbesar hadir dalam bentuk perbezaan cuaca selain persepsi orang ramai terhadap kemampuan wanita untuk menjalankan tugasan yang berat.
Sumber: Utusan Online, 15/09/09
Sri Kandi Yang Berjuang Demi Negara?
Acapkali kita mendengar berita mengenai tentera yang yang dilatih serta disemat di dalam jiwa mereka semangat berjuang sebagai contoh kepada yang lain agar mengikuti jejak langkah pengorbanannya. Pengorbanan yang dianggap mulia ini disambut dengan rasa gembira dan terharu yang memberi suntikan semangat kepada Sri Kandi Malaysia.
Jika kita mengkaji lipatan sejarah Islam, umat Islam melakarkan ramai para muslimah yang berjuang serta mempertahankan Islam termasuklah isteri Rasulullah SAW , Siti Khadijah, Aisyah RA serta anak Baginda Fatimah RA.
Sejak itu, kita dapat perhatikan ramai isteri para pejuang serta pendakwah Islam yang membantu serta memainkan peranan penting dalam perjuangan Islam. Pengorbanan dilakukan semata-mata untuk Allah bukan untuk yang lain.
Hari ini, dalam konteks perjuangan untuk mengembalikan kehidupan Islam, ramai para isteri dan muslimah yang sanggup mengorbankan harta dan nyawa hanya untuk mendpatkan keredhaan Allah. Di Uzbekistan sebagai contoh, isteri para shabab Hizbut Tahrir menggantikan tugas suami mereka dalam menjalankan kerja amar maaruf nahi mungkar yang telah dipenjarakan oleh pemerintah yang zalim yang cuba mengekang laungan Khilafah dari berkumandang
Inilah Sri kandi sebenar yang berkorban kerana dipisahkan dengan suami mereka secara paksa, yang akan mengorak langkah dalam perjuangan yang hakiki yang dilakukan demi Islam. Allahu Akbar!