Suara Wanita Untuk Wanita Membangkitkan Semangat Juang Muslimah Pelbagai Lapisan Umur
Program kali ini telah menampilkan sembilan orang ahli panel iaitu Cik Syamsiyah Jamil (Pimpinan Pusat MHTM), Ustazah Nurain Abdulrahman (Aktivis MHTM) , Dr. Ainul @ Aeni Bt Shuib (Ahli Lajnah Komunikasi Media MHTM), Ustazah Zaharah Buhari (Ketua Lajnah Muballighah MHTM) , Adik Siti Hajar Anas (Kanak-kanak Pejuang Syariah & Khilafah), Bonda Sabariah Bt Abu (Aktivis MHTM), Saudari Nurul Huda Anas (Ahli Lajnah Dakwah Kampus MHTM), Ustazah Husna Suriani (Aktivis MHTM) dan Ustazah Ummu Hajar Bt Abd Rahman (Ahli Lajnah Muballighah MHTM).
Syamsiyah Jamil menyampaikan ucaptama yang bertajuk ‘Khilafah: Sejarah Peradaban Gemilang’. Saudari Syamsiyah telah membuka bicara dengan mengimbau sejarah kegemilangan peradaban dan sistem pemerintahan Islam iaitu Daulah Khalifah. Para Khalifah terdahulu telah menjalankan amanah mereka sebagai pemimpin umat Islam dengan menerapkan hukum Islam secara kaffah sehingga Islam bangkit menjadi peradaban yang dalam sejarah dunia. Syamsiyah menyeru supaya para peserta bergabung dalam perjuangan untuk menegakkan semula kekuatan Islam dan umat Islam ini dan bukannya terjerumus dalam perjuangan feminisme yang dilaung-laungkan dalam sambutan Hari Wanita setiap tahun.
Nurain yang mewakili golongan ibu telah menyampaikan ucapan bertajuk ‘Ummun Wa Rabbatul Bait Melahirkan Generasi Cemerlang’. Beliau menegaskan tugas utama seorang wanita adalah menjadi ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga). Ibu yang cemerlang wajib menuntut ilmu sebagai bekalan untuk mendidik anak-anak menjadi generasi cemerlang yang taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Ainul yang mewakili suara golongan profesional menyampaikan ucapan bertajuk ‘Menyumbang Kepakaran Kepada Peradaban’. Beliau menjelaskan bahawa wanita sebenarnya adalah penyumbang kepada tamadun dunia samada secara tidak langsung kerana wanitalah yang melahirkan ilmuan-ilmuan Islam yang hebat. Dalam sejarah Khilafah, ramai Muslimah yang menyumbang kepakaran mereka dalam pelbagai bidang secara langsung untuk memastikan kegemilangan Daulah Khilafah sebagai negara Islam yang kukuh terjaga.
Zaharah pula mewakili suara pendakwah wanita telah menyampaikan ucapan bertajuk ‘Peranan Wanita Dalam Dakwah’. Beliau menegaskan bahawa selain menjadi ummun wa rabbatul bait dan menuntut ilmu, wanita juga wajib melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar dengan cara berdakwah. Berdakwah adalah amalan mulia yang menjadi bukti ketaqwaannya kepada Allah SWT dan RasulNya kerana dakwah adalah perintah Allah bagi setiap hambaNya dan contoh teladan Rasulullah SAW terhadap umatnya.
Siti Hajar kemudian melontarkan suaranya dengan lantang bagi mewakili golongan kanak-kanak dalam ucapannya yang bertajuk ‘Kanak-kanak Cemerlang Penerus Generasi Gemilang’. Siti Hajar menceritakan kisah-kisah kanak-kanak terdahulu yang telah menyumbang kepada dakwah Islam sepertimana golongan dewasa. Kanak-kanak juga adalah antara yang terawal memeluk Islam dan bersama-sama berdakwah menyebarkan Islam. Oleh itu, selain daripada diajar solat, puasa dan ibadah lain, kanak-kanak juga mestilah didedahkan dengan aktiviti dakwah utk persediaan mereka menjadi penerus generasi akan datang. Siti Hajar juga
Sabariah menyampaikan ucapan yang bertajuk ‘Permata yang Menyinari Peradaban Gemilang’. Beliau yang mewakili suara golongan di usia emas menyeru semua wanita di setiap lapisan usia supaya memanfaatkan usia yang ada untuk melakukan kebaikan dengan melaksanakan dakwah Islam. Tambahnya lagi, usia bukan alasan untuk tidak melakukan dakwah. Beliau juga menceritakan kisah-kisah teladan wanita yang terus menuntut ilmu dan berdakwah tanpa mengenal usia.
Huda pula melaungkan seruan mewakili golongan muda dan pelajar dalam ucapannya yang bertajuk ‘Mahasiswa Berilmu Tonggak Kecemerlangan’. Beliau turut menegaskan bahawa menuntut ilmu adalah tugas yang sangat penting untuk membangun sebuah peradaban yang gemilang terutamanya bagi golongan muda. Pengetahuan dalam ilmu akademik/dunia dan ukhrawi sepatutnya dimanfaatkan untuk memajukan Daulah supaya Islam terus berkembang ke seluruh dunia dan bukan hanya memikirkan material semata-mata. Ilmu ini wajib dipelajari, diamalkan dan juga didakwahkan.
Husna pula mewakili suara golongan pendidik menyampaikan ucapan yang bertajuk ‘Ilmuan Membentuk Pemikiran Generasi Cemerlang. Beliau menjelaskan bahawa pahala yang berlipat ganda akan diperoleh bagi orang yang memanfaatkan ilmu yang dimiliki dengan menyampaikannya kepada orang lain. Dalam Daulah Khilafah, kerjaya guru dipandang tinggi kerana peranan pentingnya dalam menyampaikan ilmu sehingga diberikan gaji yang sangat tinggi. Ustazah Husna menyeru para peserta program agar mencintai ilmu dan suka untuk menyampaikan ilmu.
Ummu Hajar mewakili suara golongan usahawan menyampaikan ucapan yang bertajuk ‘Perniagaan yang Menguntungkan’ dengan berkongsi satu rahsia perniagaan yang menguntungkan dan tidak akan pernah rugi iaitu berjual beli dengan Allah SWT dan Rasul-Nya. Berjual beli di sini bermaksud berjihad di jalan Allah SWT dengan harta dan diri kita. Jual beli ini menuntut kita untuk berjuang demi melangsungkan kehidupan Islam dan menjadikan Islam sebagai penyelesai masalah kehidupan manusia dengan cara menegakkan semula Daulah Khilafah Islamiyyah.
Alhamdulillah program ini telah berjaya menaikkan semangat peserta yang berulang kali menyahut laungan takbir sepanjang berlangsungnya program ini. Program ini turut diselangi dengan tayangan video yang memaparkan peranan lengkap seorang wanita sebagai hamba Allah SWT serta realiti kesungguhan Muslimah di seluruh dunia dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT.
MHTM berharap agar program ini dapat memberi pemahaman yang jelas kepada peserta tentang peranan penting wanita dalam membangun peradaban Islam dan menjadi momentum untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut dalam Islam seperti yang disuarakan oleh barisan ahli panel.