Sudah Menjadi Perdana Menteri Tetapi Masih Melaungkan Reformasi, Wajarkah?
Sempena memperingati 26 tahun peristiwa penangkapan ke atasnya yang dari situ jugalah lahirnya gerakan reformasi yang dipimpinnya, Anwar Ibrahim telah mengadakan sebuah perhimpunan besar di Stadium Axiata Bukit Jalil pada 20 September lepas, dengan kehadiran dikatakan seramai 20,000 orang. Dalam himpunan tersebut, Anwar dengan bangga dan lantang menyatakan bahawa beliau bercakap bukan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri, tetapi atas nama Anwar Ibrahim pejuang reformasi.
Persoalannya, adakah dengan menanggalkan baju Perdana Menteri dalam himpunan tersebut, maka Anwar bukan lagi Perdana Menteri sehingga membolehkan beliau bercakap apa sahaja layaknya seorang pembangkang?
Anwar sebenarnya dilihat kepanasan dengan segala kritikan ke atasnya kebelakangan ini. Jadi, dengan menanggalkan sekejap baju Perdana Menteri pada perhimpunan tersebut, Anwar dapat melepaskan geramnya terhadap pihak-pihak terbabit, melalui gaya ucapan dan “kekerasan bahasa” seperti beliau menjadi pembangkang dahulu.
Walaupun Anwar cuba menanggalkan baju Perdana Menteri demi mengembalikan nostalgia perjuangannya, hakikatnya beliau sekarang sudah duduk di kerusi Perdana Menteri, bukan lagi di kerusi pembangkang. Zaman perjuangannya untuk rakyat (jika benar) sudah pun berlalu dan apa yang wajib dilakukan Anwar sekarang ialah menjadi khadim (pelayan) kepada rakyat, sebagaimana sabda Rasulullah (saw):
سَيِّدُ الْقَوْمِ خَادِمُهُمْ
“Pemimpin suatu kaum adalah pelayan mereka” [HR Abu Nu‘aim].
Anwar tidak seharusnya mengadakan himpunan reformasi yang membuang duit, masa, tenaga dan penuh retorik seumpama itu. Tugas dan kewajipannya sebagai seorang Perdana Menteri ialah mengatur rakyat dengan Al-Quran dan As-Sunnah, dan menyeru ke arah untuk mempersatukan kaum Muslimin dan negeri-negeri umat Islam di seluruh dunia di bawah satu payung pemerintahan (Khilafah) dan setelah itu, melaksanakan misi dakwah dan jihad ke negara-negara kafir dalam rangka mengajak pemimpin kafir memeluk Islam, menzahirkan agama Allah (swt) dan menyebarkan rahmat Allah ke seluruh alam. Inilah kewajipan beliau sekarang! Bukannya terpekik terlolong di atas pentas demi mengangkat diri sendiri dan menghentam orang lain!
Sungguh aneh apabila Anwar cuba menghidupkan kembali semangat reformasi dan mengajak para hadirin untuk melaungkan reformasi bersama beliau. Apakah Anwar sekadar ingin melepaskan gian, atau benar-benar ingin menuntut reformasi? Jika hendak menuntut reformasi, dari siapa? Jika sekadar ingin melepas gian, sudah-sudahlah dengan sikap anda seumpama pembangkang. Biarlah sejarah berbicara mengenai siapakah Anwar Ibrahim dan rakyat sudah lama menilai diri anda tanpa perlu anda mengheret rakyat pada perkara yang tidak perlu.
Selain memuji diri sendiri di depan hadirin, dan menghentam musuh politiknya, Anwar turut mengaku dan berbangga dengan hubungan baiknya dengan Amerika, China, Rusia dan lain-lain. Anwar benar-benar sudah tidak punya malu untuk mengisytiharkan persahabatannya dengan musuh-musuh Allah!
Sedangkan sebagai seorang ketua negara, beliau seharusnya kenal siapa kawan dan siapa musuh, kerana syariat Islam mengatur hubungan antarabangsa yang berbeza dengan negara-negara musuh. Terdapat kewajipan dakwah dan jihad ke atas negara-negara musuh di dalam syariat Islam, tetapi malangnya Anwar tidak mempedulikan semua itu. Demi kepentingan dan kelangsungan politiknya, beliau sanggup melakukan apa sahaja walaupun bertentangan dengan syariat.
Dalam himpunan tersebut juga, Anwar begitu berbangga dengan usaha reformasinya yang diakuinya sebagai berjaya, walaupun apa yang kita lihat ialah sebaliknya. Segala undang-undang draconian yang dulu beliau ingin hapuskan, ternyata setelah menjadi Perdana Menteri, ia bukan sahaja dikekalkan, malah digunakan terhadap musuh-musuh politiknya.
Begitu juga dengan bermacam janji dan manifestonya, yang kini dilanggarnya secara terang-terangan seperti tidak membenarkan seorang Perdana Menteri memegang dua jawatan, tidak boleh ada lantikan politik dalam agensi-agensi kerajaan, tidak akan berkompromi dengan si perasuah, dan banyak lagi yang tidak akan habis senarainya jika ingin disenaraikan, semuanya dilanggar Anwar begitu sahaja tanpa malu.
Seperkara lagi yang juga penting untuk diungkap ialah mengenai retorik Anwar berkenaan suara rakyat yang dianggap sebagai suara keramat, suatu ungkapan yang sinonim dengan sistem demokrasi. Ini semua adalah pembohongan demokrasi yang kononnya menjulang suara rakyat. Hakikatnya, para politikus demokrasi memerlukan rakyat hanya ketika pilihanraya. Setelah menang pilihan raya, pemerintahan akan berjalan mengikut nafsu mereka semata-mata, bukan lagi mengikut suara rakyat.
Manakala jika dipandang dari sudut Islam, ungkapan “suara rakyat suara keramat” jelas merupakan suatu yang batil, kerana pemerintahan dalam Islam wajib dijalankan mengikut kehendak Allah, bukannya kehendak rakyat. Pemerintah adalah orang diamanahkan oleh Allah untuk menjalankan hukum-Nya dan siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang Dia turunkan boleh jadi kafir, zalim dan fasiq.
Terakhir, Anwar perlu sedar bahawa apa yang beliau wajib lakukan sekarang untuk Malaysia ialah melakukan perubahan secara taghyir (transformasi), bukannya islah (reformasi), di mana sistem demokrasi-sekular warisan penjajah ini jelas merupakan sistem kufur, yang wajib diganti secara sepenuhnya (taghyir) dengan sistem Islam (Khilafah) warisan Rasulullah (saw).
Wallahu a’lam wa ahkam.