Sudah Tiba Masanya Pemimpin Umat Islam Melepaskan Dirinya Dari Menjadi Kuda Tunggangan Amerika
KUALA LUMPUR 29 Jun – Parlimen Malaysia membantah kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Hillary Clinton baru-baru ini yang menyifatkan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai tidak berfaedah dan provokatif. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kenyataan tersebut dilihat memberi lampu hijau kepada Israel untuk terus menindas rakyat Gaza dan akan menyukarkan misi bantuan untuk sampai ke kawasan bergolak itu. “Saya sebagai mewakili Kesatuan Antara Parlimen (IPU) Malaysia, kita tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat walaupun kita ada hubungan baik (dengan negara itu) dalam hal kezaliman terhadap Palestin oleh Israel kita tetap tidak setuju. “Ini merupakan usaha kemanusiaan, yang kita perlu beri bantuan dan sokongan kepada rakyat Palestin di Gaza,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini. Terdahulu, Mohamed Nazri menerima memorandum yang mengandungi empat resolusi untuk diusulkan ke Kesatuan Antara Parlimen, dari “Life Line for Gaza” yang disampaikan oleh wakil badan bukan kerajaan itu, Muhammad Ridhwan Sulaiman. – Bernama
Sumber : Utusan Malaysia, 29/06/2011
Sudah Tiba Masanya Pemimpin Umat Islam Melepaskan Dirinya Dari Menjadi Kuda Tunggangan Amerika
Ketika lawatan Hillary ke Malaysia dahulu beliau telah disambut sebagai tetamu dan mendapat layanan yang cukup istimewa dari kerajaan sekular Malaysia. Hari ini telah nyata dan jelas kebencian dari mulut beliau sendiri terhadap usaha umat Islam lain untuk membantu saudara seIslamnya di Palestin apabila Hillary menyifatkan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai tidak berfaedah dan provokatif. “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. [TMQ ali-‘Imran (3) : 118].
Lihatlah betapa bencinya beliau kepada apa yang ingin dilakukan oleh kaum Muslimin. Untuk itu umat Islam haruslah sedar bahawa penyelesaian sebenar bagi isu Palestin ini adalah jihad dan bukannya dengan menghantar bantuan-bantuan kemanusiaan. Namun malangnya para pemimpin sekular umat Islam hari ini masih terus bersahabat dan berkawan dengan musuh-musuh Allah SWT itu. Inilah akibatnya apabila umat Islam tidak mengenal siapakah musuh-musuh mereka sendiri. Dalam perkara ini al-Quran secara jelas mengingatkan umat Islam tentang sikap buruk dan tindakan jahat musuh-musuh umat Islam itu sendiri. FirmanNya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat” [TMQ al-Mumtahana (60) : 1]. “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu)”. [TMQ al-Baqarah (2) : 120].
Perlu diketahui bahawa ketika Hillary si musuh Allah itu bercakap, maka dia berada dalam posisi dan kedudukan mewakili Amerika kerana beliau adalah Setiausaha Negara Amerika dan sudah pasti kenyataan beliau itu juga mewakili suara Amerika. Apa yang pelik dan menghairankan kita ialah, kenapakah umat Islam, khususnya para pemimpin dunia Islam, termasuklah Malaysia, masih ingin bersahabat dengan negara yang secara jelas memusuhi dan membunuh jutaan umat Islam tanpa berselindung? Para pemimpin umat Islam seharusnya menjadikan musuh-musuh Allah itu sebagai musuh mereka dan bukannya sebagai sahabat karib mereka. Malah lebih buruk lagi, menjadi kuda tunggangan musuh-musuh Allah SWT dengan penuh kebanggaan!!!