Sumbangan Syarikat Arak: Muncul Akibat “Kehalalan” Arak Dalam Negara

Tatkala heboh mengenai isu derma daripada syarikat arak kepada program di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina baru-baru ini, tidak ramai yang menyedari bahawa kewujudan syarikat-syarikat arak yang berkembang mekar dalam skala industri itu sendiri merupakan suatu bentuk keharaman yang dibenarkan dalam sistem demokrasi pada hari ini.

Perkara ini diketengahkan oleh Ustaz Umar Hussein, syabab Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) semasa siaran Podcast “Di Luar Tempurung” atas undangan Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman pada Selasa lalu.

“Kalau dilihat, ia (isu ini) tidak terlepas daripada polisi kerajaan yang membenarkan kilang-kilang arak beroperasi dalam negara. Jadi, syarikat-syarikat ini, yang orientasinya adalah keuntungan, nak tunjuk dia buat baik juga lah”, ujar beliau semasa mengupas mengenai isu ini dalam podcast tersebut.

Perkara ini turut dipersetujui oleh Ustaz Hakim yang kemudiannya menambah, “Jadi mesej yang ingin disampaikan (oleh mereka) ialah, “Kami juga banyak memberi sumbangan kepada masyarakat, kami juga banyak berbakti kepada masyarakat,” bagi menjustifikasikan dan menutup kemungkaran yang muncul daripada arak itu kepada masyarakat.

Ini satu ‘penyakit’ sebenarnya…arak itu merupakan satu kemungkaran yang besar”, tegas Ustaz Hakim,

Sebelum itu, Jurucakap HTM itu telah membangkitkan persoalan mengapa sumbangan itu terpaksa dicari oleh pihak-pihak sekolah.

“Kalau kerajaan telah memberikan peruntukan yang secukupnya kepada sekolah-sekolah, sudah pasti semuanya akan tersedia. Apa yang diperlukan oleh sekolah, apa yang diperlukan oleh murid, apa yang diperlukan oleh guru, prasarana semuanya mencukupi (jika disediakan). Maka (jika sedemikian) tidak akan timbul isu ini,”

“Masalah (sumbangan daripada syarikat arak) itu timbul daripada sistem yang menyebabkan perkara ini terjadi” ujar beliau.

Ustaz Hakim turut menyentuh soal kewujudan sekolah vernakular pada hari ini, yang menyaksikan keberadaan pelbagai aliran sekolah di negara ini. “Akan ada sekolah-sekolah tertentu yang di-‘anak emas’-kan, akan ada sekolah-sekolah tertentu yang di-‘anak-tiri’kan”.

Beliau selanjutnya menjelaskan bahawa menurut Islam, di bawah negara Khilafah tidak akan ada sekolah-sekolah vernakular.

“Setiap orang itu mempunyai hak untuk bersekolah tanpa mengira kaum di sekolah yang sama, tidak boleh ada sekolah untuk kaum-kaum tertentu,” jelas beliau.

“Dengan adanya sistem (demokrasi) yang membenarkan adanya sekolah vernakular membenarkan terjadinya perkara sebegini. Kalau contohnya, syarikat arak derma ke sekolah agama, mungkin akan jadi isu yang lebih besar, tetapi kalau syarikat arak derma kepada sekolah (aliran) Cina, maka isu ini dianggap biasa,” kata Ustaz Hakim.

“Bahkan menteri pun turut mempertahankannya,” tambah Ustaz Umar.

“Inilah masalah kita, apabila banyak perkara itu tidak didasarkan kepada Islam, jadi banyak perkara yang rosak” simpul Ustaz Hakim berhubung isu ini. “Kita bukan sekadar membantah dana daripada syarikat-syarikat arak ini sahaja, bahkan kita hendak syarikat-syarikat arak itu dihapuskan,” tegas beliau.

“Tapi di Malaysia ini, syarikat arak ‘dihalalkan’ apabila berlesen,” sambung Ustaz Umar.

Ketika sesi podcast ini berlangsung, seorang penonton telah melontarkan persoalan mengenai apa bezanya pemberian dana oleh syarikat arak dengan dana yang diberikan oleh kerajaan yang hasilnya datang daripada cukai arak dan cukai-cukai lain yang tidak syarie.

“Tidak ada beza sebenarnya,” jawab Ustaz Hakim secara ringkas, “Sama ada (secara) langsung atau tidak langsung sahaja yang membezakannya. Tidak sepatutnya ada (perkara-perkara haram) dalam negara ini. Tetapi dalam negara demokrasi ini, semua benda haram boleh jadi halal dengan adanya lesen”.

Ustaz Umar menambah, “Kalau dalam Islam, benda yang haram itu sudah ditutup sejak dari awal lagi”.

Isu derma syarikat arak mula timbul setelah seorang Timbalan Menteri yang beragama Islam menghadiri majlis sumbangan kepada sebuah sekolah jenis Cina yang melibatkan sebuah syarikat arak sebagai pihak yang memudah cara sumbangan awam baru-baru ini.

Isu ini kemudiannya mencetuskan pertikaian antara pemimpin komponen-komponen parti dalam blok kerajaan mahupun pembangkang. Malangnya ia hanya dilihat dari kaca mata percaturan politik tanah air tanpa memperhatikan punca yang menjadi akar permasalahan, iaitu suburnya industri arak, yang diharamkan oleh Islam, tetapi dibenarkan oleh negara.