Industri Arak dan Hak Non-Muslim Dalam Negara Islam

Isu arak kembali menghangatkan suasana apabila baru-baru ini telah berlaku kematian akibat keracunan metanol yang terdapat di dalam arak yang diminum. Isu seperti penutupan kilang arak diangkat semula, bahkan telah pun muncul perdebatan pro dan kontra berkenaannya. Ini termasuklah mengenai hak dan kepentingan non-Muslim, isu undang-undang yang terkait dengan arak dan lain-lain. Sebagai seorang Muslim, wajib bagi kita untuk merujuk kepada perintah-perintah dan larangan-larangan Allah SWT bagi menetapkan prinsip dan pendirian kita berkenaan isu ini.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan anak panah adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan [TMQ al-Maidah(5): 90].

Tidak ditemui pandangan yang menghalalkan khamar atau arak dalam Islam ketika kita berada dalam keadaan normal (hukum asal). Sifat pengharaman arak adalah tegas (jazm), tidak spekulatif walaupun pernah melalui “fasa halal” sebelum turunnya dalil yang melarang penggunaannya. Ketika datangnya wahyu akan pengharaman khamar, para sahabat dengan segera bertindak untuk taat dan patuh, memecahkan tempayan dan kendi-kendi arak – tanpa dolak-dalih dan tidak bertangguh-tangguh.

Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a, beliau berkata: Suatu hari aku memberi minum kepada Abu Talhah al-Ansari, Abu Ubaidah bin al-Jarrah, dan Ubai bin Ka’ab minuman daripada Fadhij, iaitu perahan kurma. Kemudian ada seseorang yang datang, ia berkata, “Sesungguhnya khamar telah diharamkan.” Maka Abu Talhah berkata, “Wahai Anas, berdirilah dan pecahkanlah kendi itu!” Anas berkata, “Maka aku pun berdiri mengambil tempat penumbuk biji-bijian milik kami, lalu memukul kendi itu pada bahagian bawahnya, hingga pecahlah kendi itu”.

Oleh itu, merupakan satu perkara yang jelas dan qath’i bahawa arak haram di sisi Islam.

Arak Pada Skala Industri

Allah telah melaknat 10 golongan yang terlibat dengan arak. Daripada Anas bin Malik r.a:

لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ ص فِى اْلخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا وَ مُعْتَصِرَهَا وَ شَارِبَهَا وَ حَامِلَهَا وَ اْلمَحْمُوْلَةَ اِلَيْهِ وَ سَاقِيَهَا وَ بَائِعَهَا وَ آكِلَ ثَمَنِهَا وَ اْلمُشْتَرِيَ لَهَا وَ اْلمُشْتَرَاةَ لَهُ

“Rasulullah melaknat dalam hal khamar sepuluh pihak: yang memerahnya, yang diperahkan untuknya, yang meminumnya, yang membawanya, yang dibawakan untuknya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membeli dan yang dibelikan untuknya” [HR Tirmizi dan Ibnu Majah].

Dalam hal ini, industri arak melibatkan bekalan, pengedaran, pemprosesan (perahan, penapaian dan sebagainya), layanan serta  lain-lain yang semuanya termasuk dalam 10 golongan yang dilaknat Allah SWT. Daripada hadis ini juga, satu kaedah syarak dapat diambil iaitu: “as-sina’atu ta’khuzu hukma ma tuntijuhu” (status hukum kilang/industri adalah mengikut produk yang dihasilkannya). Perahan buah-buahan asalnya mubah (harus), namun diharamkan ketika melakukan pemerahan untuk proses membuat arak. Dengan kata lainnya, status hukum tersebut mengikuti hasil akhirnya.

Kewujudan kilang-kilang arak di negara kita sesungguhnya sesuatu yang menyalahi ketentuan syariah. Arak dijual secara terbuka di pasar raya, kedai-kedai runcit, hotel, termasuklah oleh syarikat penerbangan. Masalahnya, para penjual di premis-premis atau perkhidmatan tersebut ada yang daripada kalangan orang Islam yang setidaknya menjadi salah satu daripada 10 golongan yang dilaknat Allah SWT. Keadaan ini seolah-olah telah menjadi normal dalam negara kita. Juruwang yang bertugas di kaunter dalam keadaan ia tahu ataupun tidak, perlu melakukan akad dengan pembeli arak, baik mereka daripada kalangan bukan Islam, mahupun orang Islam. Semua ini merupakan bentuk syi’ar amalan-amalan kufur.

Dalam sebuah negara Islam, bentuk-bentuk industri seperti ini tidak boleh diwujudkan langsung, bahkan perlu diambil tindakan secara undang-undang (uqubat). Orang-orang yang terlibat, baik Muslim mahupun non-Muslim boleh dihukum oleh negara. Hal ini demikian kerana, pengharaman arak tidak diturunkan pada sekadar hukum zatnya sahaja, malahan ia melibatkan hukuman bagi pelbagai pihak yang terlibat dengannya, seperti yang dijelaskan oleh hadis sebelum ini.

Meminum arak merupakan salah satu jenayah di bawah kesalahan hudud dan pelakunya wajib disebat sebanyak 40 kali atau 80 kali. Ali bin Abi Thalib ra menuturkan,

“Rasulullah menyebat (peminum khamar) 40 kali, Abu Bakar menyebat 40 kali, Umar menyebat 80 kali. Masing-masing adalah sunnah. Dan ini adalah yang lebih aku sukai” [HR Muslim].

Selain daripada peminum khamar, yakni golongan yang termasuk 10 kelompok terlaknat tadi, mereka boleh dihukum di bawah takzir yang bentuk hukumannya diserahkan kepada khalifah atau qadhi.

Isu warganegara bukan Islam dan arak

Orang bukan Islam dalam sebuah negara Islam mendapat layanan yang sama dengan warganegara yang Muslim dalam kehidupan umum. Mereka boleh mengamalkan kehidupan dan memperoleh hak-hak mereka (yang dari segi hukum syarak bertentangan dengan Islam) hanya dalam urusan peribadi atau kehidupan khusus. Bahkan, amalan khusus kehidupan Muslim juga tidak dipaksa ke atas mereka. Antara dalil untuk perkara ini ialah:

Pertama, hal berkenaan akidah dan kepercayaan mereka. Allah berfirman:

Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). (TMQ al-Baqarah [2]: 256).

Rasulullah ﷺ  bersabda:

أَنَّهُ مَنْ كَانَ عَلَى يَهُودِيَّتِهِ أَوْ نَصْرَانِيَّتِهِ فَإِنَّهُ لاَ يَفَتَنُ عَنْهَا وَعَلَيْهِ الْجِزْيَةُ

“Sesungguhnya siapa pun yang tetap beragama Yahudi dan Nasrani tidak boleh diganggu (dipaksa keluar) daripada agamanya dan ia wajib membayar jizyah.”[Hadis dikeluarkan oleh Abu Ubaid dalam al-Amwal daripada jalan Urwah].

Oleh itu, sekalipun cara hidup dan kepercayaan mereka bertentangan dengan akidah Islam, mereka tidak boleh diganggu dan dipaksa.

Kedua, dalam perkara perlaksanaannya menuntut adanya syarat keislaman seseorang yang ditetapkan berdasarkan dalil seperti solat, puasa, haji, zakat dan selainnya, maka perkara ini tidak boleh diterapkan ke atas non-Muslim. Dalam hal ini, non-Muslim tidak boleh, bahkan dilarang melakukannya, sebab syaratnya ialah seseorang itu mestilah beragama Islam (An-Nabhani, al-Syakhshiyah al-Islamiyah jilid III).

Ketiga, setiap perbuatan yang dikhabarkan bahawa Rasulullah ﷺ  dan para sahabatnya membiarkan non-Muslim melakukannya, seperti meminum arak, melakukan proses pernikahan, talak, makan dan minum mereka serta yang lain mengikut kepercayaan mereka, maka mereka tidak boleh diganggu dan dihalang daripada melakukannya selama hal itu dilakukan tanpa mengganggu undang-undang awam (nizâmul ’âm). Maksudnya, mereka dibenarkan minum arak selama dilakukan dalam kehidupan khusus mereka, bukan dalam kehidupan umum iaitu di tempat kaum Muslimin ada bersama mereka, seperti di pasar umum dan lainnya (An-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur).

Oleh yang demikian, keizinan pada warganegara bukan Islam untuk meminum arak hanya berlaku pada kehidupan peribadi (private sphere), pada kadar untuk mereka sahaja, tidak ditunjuk-tunjuk, tidak diletakkan sebaris dengan sekala industri, baik dalam bahagian pembuatan mahupun dalam bidang perkhidmatan, atau bahkan menjadi penjana ekonomi negara. Jika berlaku demikian, maka telah berlaku perlanggaran terhadap undang-undang  awam yang diwajibkan ke atas semua warganegara untuk tunduk dan patuh kepada Islam dalam interaksi sosial-kemasyarakatan. Para pelakunya layak untuk dijatuhkan hukuman sesuai dengan jenayah yang dilakukan. Wallahu a’lam.

Lajnah Tsaqafiyyah Hizbut Tahrir Malaysia