Apakah sistem perundangan negara mengambil kira kedudukan Islam dalam membuat keputusan?

Berita:

Ambil kira kedudukan Islam

SHAH ALAM – Badan kehakiman sewajarnya mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di negara ini, sebelum menetapkan keputusan sesuatu kes.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selain itu bidang kuasa negeri terhadap urusan agama Islam dan peranan raja-raja sebagai ketua agama Islam turut menjadi komponen penting dalam negara ini, dengan mendapat nasihat daripada mufti atau majlis fatwa masing-masing.

“Pada masa sama (badan kehakiman) hendaklah mengambil kira batas hak agama lain yang mensyaratkan menjaga keharmonian masyarakat majmuk,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Berita penuh: sinarharian.com.my


Komentar:

Keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini berkenaan dengan pembatalan agama Islam anak-anak kepada seorang cikgu yang beragama Hindu yang sebelumnya telah diberikan hak oleh Mahkamah Tinggi dalam tuntutan penjagaan, sedikit sebanyak telah menyedarkan masyarakat terutama umat Islam tentang undang-undang dan sistem Mahkamah yang dilaksanakan di negara ini yang tidak berpaksikan kepada hukum-hukum Islam.

Isu ini telah menjadi perhatian kepada segenap lapisan masyarakat Islam termasuk daripada ulama’, para mufti, aktivis Islam dan ahli politik Islam. Lalu timbul pelbagai cadangan dan pandangan supaya kedudukan Islam, terutama di peringkat negeri termasuk dalam bidang hukum dan kedudukan Mahkamah Syariah diperkasakan atau ditambah baik agar setaraf dengan Mahkamah Sivil. Antara hujah mengapa perlu berbuat demikian ialah apabila berlaku kes-kes seperti ini yang melibatkan kedudukan orang Islam dan mereka yang bukan Islam.

Persoalannya, adakah ini memadai, dan adakah kedudukan Islam yang diletakkan dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan akan menjadi jaminan jika kes-kes sebegini berulang sekali lagi untuk diselesaikan dengan adil?

Umum mengetahui bahawa di negara ini, sistem Mahkamah yang dilaksanakan bagi menyelesaikan persengketaan sesama masyarakat ialah Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Kedudukan undang-undang syariah pula tidak lebih tinggi kedudukannya daripada hukum-hukum sivil yang digubal oleh manusia, sehinggakan hukum-hukum syariah ini tidak boleh diterapkan melainkan apa yang hanya dibenarkan oleh Perlembagaan walaupun Islam itu mempunyai kedudukan sebagai agama Persekutuan. Walhal sebagai seorang Muslim, sudah tentulah  para hakim harus berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah dalam membuat sesebuah keputusan dan hukum. Bukannya menyelesaikan permasalahan yang berlaku mengikut akal dan hukum ciptaan manusia. Masalah yang berlaku hari ini disebabkan oleh undang-undang serta hukum ciptaan manusia yang sememangnya akan mencetuskan pelbagai konflik dan polemik. Kerana undang-undang yang terbit daripada akal manusia tidak akan lari daripada perbezaan dan saling bercanggah antara satu sama lain.

Inilah kesan buruk yang berlaku apabila meletakkan akal dan perlembagaan yang dibuat oleh manusia lebih tinggi daripada wahyu. Selagi mana negara masih mengamalkan sistem dualisme perundangan, maka selagi itulah tidak akan dapat diselesaikan kes-kes sebegini dengan cara yang betul-betul adil. Sesungguhnya masalah seperti ini, yang melibatkan kedudukan Islam dan bukan Islam termasuk berkenaan penjagaan dan pemeliharaan akidah umat Islam tidak akan dapat diselesaikan dengan cara yang adil dan benar selagi syariat Islam tidak diterapkan secara menyeluruh dan sempurna. Wallahu’alam.

Zulfadli

Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia