Manakah yang lebih baik: Sistem Perundangan Allah atau Sistem Perundangan Kufur?

Pengamal undang-undang tidak jamin keadilan

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, hari ini menasihatkan pengamal undang-undang supaya tidak mempersendakan mahkamah selain membantu untuk tidak melengahkan perbicaraan. Bertitah pada Majlis Konvokesyen Keenam Belas Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2010 Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia di sini, baginda mengingatkan bahawa profesion undang-undang adalah profesion yang dipandang mulia dan elit serta mempunyai peradaban, kesopanan dan etika tersendiri.   Baginda bertitah salah satu tonggak utama profesion undang-undang adalah etika dan moraliti; memastikan integriti undang-undang dan keadilan terhadap mahkamah dan begitu juga terhadap anak guam, dapat disempurnakan.  “Dalam melaksanakan tanggungjawab, mahkamah jangan sesekali dipersendakan, peguam seboleh-bolehnya wajib membantu untuk memastikan perbicaraan tidak dilengahkan dan peguam juga tidak harus dengan cara yang tidak profesional sengaja menyusahkan pihak lawan,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin Shah turut mengingatkan pengamal undang-undang bahawa mereka wajib menjadi teladan dengan menjauhi perbuatan yang mengabaikan keadilan. “Sedarilah bahawa tingkah laku para peguam turut diadili oleh masyarakat,” titah baginda.   Raja Dr Nazrin Shah bertitah kecekapan mahkamah mengurangkan kes tertunggak bukan sahaja dapat memastikan keadilan dilaksanakan secara segera tetapi turut meningkatkan peraturan pengurusan mahkamah di kaca mata umum.

Baginda turut bertitah bahawa negara memerlukan barisan profesional yang kompeten di bidang undang-undang antarabangsa untuk membantu mempertahankan kepentingan negara di peringkat global. “Diramalkan evolusi dalam profesion undang-undang sepuluh tahun akan datang akan berlaku lebih hebat dari kadar yang berlaku sejak seratus tahun yang lalu.

“Kesediaan melakukan perubahan dan merintis langkah pembaharuan adalah satu kemestian kepada semua profesion dalam dunia global yang semakin terangkai ini,” titah baginda. Baginda bertitah bahawa evolusi tersebut akan terus berlaku dalam menghadapi gelombang baru, antaranya ialah penemuan pesat di bidang sains dan kemajuan pesat teknologi dan pengaruh globalisasi yang semakin meningkat membawa perubahan bentuk persaingan.

“Perubahan demografi penduduk dari segi usia berserta kebangkitan media sosial, perubahan sosial, serta perubahan persekitaran intelek juga merupakan antara evolusi yang menghadapi gelombang baru,” titah baginda. Baginda juga bertitah bahawa setiap gelombang baru ini memerlukan peraturan baru dan akan meningkatkan keperluan interaksi perundangan di peringkat antarabangsa. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian, 28/03/2011

Manakah yang lebih baik: Sistem Perundangan Allah atau Sistem Perundangan Kufur?

Memang benar, setiap pengamal undang-undang mesti menjadikan diri mereka sebagai tauladan dan menjauhi perbuatan yang mengabaikan keadilan. Jika berjaya dibentuk, itulah sikap yang baik dan terpuji. Tetapi itu sahaja tidak memadai jika sistem perundangan yang digunapakai tidak bersumber daripada Al Quran dan As Sunnah. Terdapat banyak petikan yang dapat membuktikan hal ini diantaranya adalah: Undang-undang Malaysia berteraskan sistem perundangan common law, sebagai hasil langsung penjajahan Tanah Melayu, Sarawak, dan Borneo Utara oleh Britain sejak awal 1800-an hingga 1960-an. Undang-undang tertinggi, iaitu Perlembagaan Malaysia, menggariskan rangka perundangan dan hak-hak warganegara Malaysia. Undang-undang persekutuan digubal oleh Parlimen Malaysia berkaitan dengan seluruh negara. Terdapat juga undang-undang negeri yang digubal Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berkaitan dengan negeri berkenaan. Perlembagaan Malaysia juga membenarkan sistem kehakiman berganda yang unik, iaitu undang-undang sekular (jenayah dan sivil) dan undang-undang syariah. Pelaksanaan dan hubungan antara kedua-dua sistem perundangan ini agak rumit dan pernah menimbulkan ketidaktentuan. http://ms.wikipedia.org/wiki/Undang-undang_Malaysia#Undang-undang_persekutuan_dan_negeri.

Itulah hakikatnya namun walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka, tidak ada sebarang perubahan atau usaha-usaha yang jelas ke arah mengubah sistem perundangan yang ada kepada yang berasaskan Al Quran dan As Sunnah. Adakah keredhaan Allah SWT dapat diraih dengan hanya mengubah sikap pengamal undang-undang tetapi sistem perundangan yang digunakan tidak bersumber daripada Al Quran dan As Sunnah? Firman Allah :

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?” [Al Maa-idah (5) : 50].