Surat terbuka buat saudara besar, Indonesia dan Pakistan
Kembalikan Khilafah, Selamatkan Dunia
28 Rajab 1341H / 10 Julai 2010M
Pada 28hb Rajab dalam tahun 1342H yakni 89 tahun yang lalu, satu peristiwa besar telah berlaku ke atas dunia Islam. Hari hitam (an-nakbah) yang sepatutnya menjadi ingatan bagi setiap dari kita itu adalah hari kejatuhan Khilafah Islam, di Istanbul Turki. Pada hari tersebut, bai’ah yang menjadi kewajipan bagi seluruh kaum Muslimin kepada seorang Khalifah, yakni Sultan Abdul Mejid V telah dicabut setelah beliau dipecat dari jawatannya sebagai ulil amri bagi seluruh umat Islam. Pemecatan beliau dilakukan melalui konspirasi jahat musuh-musuh Islam dari dunia Barat dan ejen-ejennya terutamanya Mustafa Kemal Attartuk laknatullahu ‘alaih. Sejak detik itu sehingga hari ini, kaum Muslimin tidak lagi mempunyai bai’ah yang merupakan suatu kewajipan dan juga simbol kesatuan bagi kehidupan kita keseluruhannya, bai’ah yang memenuhi tuntutan Allah terhadap kewujudan ulil amri seperti dalam firmanNya,
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri dari kalangan kamu.” [TMQ An-Nisa’ (5):59]
dan juga tuntutan dari sabda Rasulullah SAW dari Ibnu Umar r.a,
“Barangsiapa yang mati sedangkan tidak ada bai’at dilehernya, maka matinya adalah mati jahiliyyah.” [HR Muslim]
Sedarlah wahai saudaraku, selain dari kita berpotensi menanggung dosa kerana tidak berbai’at kepada seorang Khalifah melalui tuntutan nas-nas yang disebutkan tadi, kita juga telah dan sedang menyaksikan kekalutan dunia. Dunia semakin sakit, kerosakan dan kemusnahan kerap melanda bahkan kehidupan manusia semakin terhimpit. Bukan saja ia melanda dunia Islam bahkan tetap terkena pada setiap pelusuk alam. Masalah kebuluran dilaporkan sangat menghiris jiwa, purata setiap saat yang berlalu turut meragut nyawa seorang mangsa kebuluran baik secara langsung atau tidak; jadi setiap tahun bencana ini meragut sekitar 36 juta nyawa. Manakala setiap tahun, jumlah kematian kanak-kanak mangsa kebuluran berjumlah 6 juta orang, 60% dari jumlah kematian kanak-kanak keseluruhannya! Bencana ini adalah akibat dari sikap rakus dan tamak sebahagian kelompok manusia yang terdiri dari kaum kapitalis (pemodal). Pengagihan kekayaan itu tidak diselaraskan berdasarkan hak-hak manusia yang diatur oleh syariat Islam! Sistem ekonomi yang wujud sekarang telah gagal! Ia sama sekali tidak mampu memenuhi keperluan hidup umat manusia secara menyeluruh. Kapitalisme telah gagal, dan tidak akan pernah berjaya bahkan akan terus mengsengsarakan manusia. Kerana itulah, kita masih menyaksikan bencana ini melanda umat manusia dan penyelesaiannya masih tidak nampak di hadapan mata.
Dari segi statistiknya, angka jenayah rogol bukan sahaja suatu yang mengerikan dalam dunia Islam bahkan di dunia Barat sendiri. Di Amerika Syarikat, lebih kurang 200 000 mangsa rogol dilaporkan, manakala di Britain pula 85000 orang. Afrika Selatan mencatatkan rekod jenayah rogol paling tinggi di dunia termasuk jenayah rogol kanak-kanak iaitu hampir 500000 kes. Sekali lagi kita telah dan sedang menyaksikan sistem pergaulan ataupun sistem sosial yang diatur oleh kebebasan peribadi (personal freedom) telah gagal! Manusia saling merosakkan sesama mereka akibat sistem kufur ini. Masihkah ada di hati kaum muslimin yang mengharapkan keadaan menjadi lebih baik di dalam sistem yang buruk ini? Atau kita wajib segera menukar sistem ini kepada syariah Islam?
Kita sedang mengharungi tahun masehi 2010. Ketika ini dunia Islam dibelah-belah menjadi serpihan kecil, 57 buah negara bangsa. Kita ditadbir oleh suatu sistem pemerintahan yang digelar dengan pelbagai nama. Ada yang menyebut demokrasi berparlimen, demokrasi timur, demokrasi terpimpin, demokrasi tulen dan sebagainya. Biar apapun namanya, yang pasti, demokrasi bukan sistem pemerintahan Islam.
Namun begitu, alhamdulillah, telah muncul satu golongan yang sentiasa berusaha menyerukan kepada umat Islam seluruhnya agar meninggalkan kehidupan yang sengsara ini kepada kehidupan Islam yang sempurna. Mereka tidak jemu-jemu serta tidak berputus asa melaungkan agar superpower dunia suatu ketika dahulu yakni Khilafah akan kembali. Mereka menyahut seruan Allah dan RasulNya, berusaha siang dan malam, di seluruh belahan dunia menghadapi sebarang rintangan dan halangan. Di celah-celah perjuangan suci itu, mereka mencari-cari tapak (majal) agar dibangunkan kembali institusi politik Islam yang agung, Khilafah ‘ala minhaj an-Nubuwwah.
Wahai saudara-besar besar di Indonesia,
Di wilayah kalian, kaum muslimin merupakan bahagian yang terbesar dari wilayah-wilayah lainnya. Lebih 85% daripada 242 968 342 (anggrn. Jul 2010) orang penduduk Indonesia merupakan saudara kami yang mengucapkan kalimah syahadah. Jumlah kalian sangat luar biasa besarnya sehingga di kalangan kalian wujud potensi militer seramai 100 juta orang (anggrn. 2010). Wilayah Indonesia juga memiliki potensi kekayaan simpanan minyak sebanyak 3.99 bilion tong serta 3 trilion m3 simpanan gas asli (anggrn. 1 Jan 2009). Wilayah kalian juga sangat berpotensi untuk menjadi majal; tapak berdirinya Khilafah kerana pergolakan fizikal tidak begitu menggoncang seperti wilayah saudara kita di Iraq, Palestin, Afghanistan dan seumpamanya. Permasalahan besar yang berlaku di tempat kalian adalah masalah ekonomi dan politik. Kemiskinan luar biasa mencengkam hidup kalian akibat dari penerapan ekonomi kufur Kapitalisme sekaligus melahirkan para penguasa zalim yang tidak henti-henti menindas kalian. Hegemoni kuasa politik demokrasi juga berlegar di keliling kalian, ia telah dan sedang membawa kehancuran dalam bersatu padu serta memporak-perandakan sosial. Banyak lagi kepincangan hidup yang mengundang kesengsaraan di wilayah sana.
Kalian seperti juga saudara-saudara yang lain tidak dapat menyelesaikan masalah ini selagi kalian masih mengharap kepada sistem-sistem kufur. Kita wajib keluar dari masalah ini, berpaling darinya sepenuh hati dan tetap berada di dalam Islam serta syariah. Hanya dengannyalah akan wujud penyelesaian hakiki yang telah dijanjikan oleh Pencipta kita, Allah SWT. Namun jika kalian masih berlengah dalam hal ini, kalian masih tidak berusaha untuk menegakkan Khilafah, maka kami berlepas diri dari kelalaian kalian. Semoga Allah mengampuni kita semua. Setelah kalian, kami juga menaruh harapan kepada saudara besar kedua kami, Pakistan.
Wahai saudara-saudara besar di Pakistan,
Kaum muslimin di wilayah kalian berjumlah hampir 95% daripada 177,276,594 (anggrn. Jul 2010). Pakistan memiliki simpanan minyak sebanyak 339 juta tong serta 885.3 bilion m3 gas asli (anggrn. Jan 2009). Kalian juga memiliki potensi militer seramai 70 juta orang (anggrn. 2010). Kami dikhabarkan bahawa sebahagian wilayah kalian bergolak akibat pengaruh AS ke dalam konflik politik dan isu terorisme yang dibuat-buat. Kalian juga dikhabarkan tidak begitu terpengaruh dengan anasir demokrasi kecuali sebahagian kecil sahaja. Kalian turut mengalami masalah-masalah sama seperti wilayah-wilayah lain. Ini bererti kalian juga turut memiliki potensi majal untuk daulah Khilafah seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT dan RasulNya. Sumber buruh, teknologi persenjataan, bekalan tenaga dan kekayaan yang kalian miliki sangat mempengaruhi harapan kami agar kalian bangkit mendirikan Khilafah di wilayah kalian.
Allah SWT menjadikan beberapa wilayah kaum muslimin dari seluruh dunia memiliki potensi yang memenuhi kriteria kewajaran Khilafah kembali tertegak. Potensi ini juga mampu diguna sebagai pusat pemersatu blok-blok Islam agar menjadi semakin kukuh. Namun jika saudara-saudara Pakistan masih tidak menginginkan peluang ini, sesungguhnya kami berlepas diri dari kelalaian ini dan memohon agar Allah SWT mengampunkan kita. Biarpun sesudah Indonesia dan Pakistan serta beberapa wilayah Islam yang lain, kami masih menaruh harapan pada diri kami sendiri. Biarpun potensi yang kami miliki tidak setanding yang lain kerana kami yakin bahawa kemenangan tidak bergantung kepada potensi atas pengiraan manusia. Semuanya itu adalah hak Allah dan kami meyakini bahawa kami wajib berusaha untuknya.
Wahai saudara-saudara di Malaysia,
Walaupun kalian hanya berjumlah 60% dari 26,160,256 (anggrn. Jul 2010). Kalian dianugerahi oleh Allah SWT dengan potensi kekayaan simpanan minyak sebanyak 4 bilion tong serta 2.35 trilion m3 gas asli (anggrn. Jan 2009). Kalian memiliki potensi militer seramai 6.6 juta orang (anggrn. 2010). Namun kalian perlu ingat, sejarah pernah mencatatkan bahawa ketika kaum muslimin menang dalam peperangan Badar Al-Kubra jumlah tentera Islam hanya sepertiga dari musuh. Begitu pula kemakmuran ekonomi daulah Islam Madinah, biarpun potensi sumber kekayaan tidak mencapai taraf kuasa besar Parsi dan Rom, namun warga daulah masih tetap makmur bahagia. Ingatlah kalian bahawa urusan kemenangan dan kejayaan hidup adalah hak Allah semata-mata, namun hak untuk mencapainya bergantung kepada usaha kita. Kita tidak akan pernah mengalahkan musuh Islam selagi kaki dan tangan kita terikat tunduk di bawah kuasa kuffar! Kita tidak akan kemana-mana melainkan terus terperuk di bawah injakan Barat dan para bonekanya.
Bangkitlah wahai saudara-saudara ku, bangkitlah untuk menunaikan tuntutan Allah ke atas kita. Sudah terlalu lama kita terabai dan mengabaikan perintah Allah. Sudah tiba saatnya kita mengakhiri hegemoni Barat terutama AS, ke atas tanah dan diri kita. Bersegeralah kita menggapai kejayaan melalui potensi yang tersedia di depan mata kita. Dan ingatlah, Allah SWT Maha Melihat dan Menghitung setiap apa yang kita kerjakan. Sesungguhnya AS dan Barat itu lemah dan tidak bermaya jika kita saling bersatu memperkuat antara sesama kita. Kita harus membina blok kekuatan yang mengatasi mereka, kekayaan yang kita miliki sangat besar berbanding mereka sekalipun dalam gabungan. Ayuh segera wahai saudara-saudara ku, tinggalkan segera kehidupan yang rosak ini. Kita bangkitkan semula Khilafah dan selamatkan dunia dengan Islam!
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” [TMQ Al-Anfal (8):24]
Ikhlas dari saudaramu,
Ridhuan Hakim
Malaysia