Syabab HTM Meriahkan Maal Hijrah Bersama Umat Di Shah Alam

Sesi TaklimatPada 27 November baru-baru ini bersamaan  1 Muharam 1433H, seramai 30 orang syabab Hizbut Tahrir Malaysia dengan diketuai oleh Ustaz Abu Imtiyaz selaku Pengarah Program telah meraikan sambutan Maal Hijrah dengan mengadakan kunjungan santai dakwah kepada umat di Taman Tasik Shah Alam, Selangor. Program bermula pada jam 4.30 petang dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Abu Imtiyaz di perkarangan Masjid Negeri Shah Alam.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah dengan mengadakan temubual ramah mesra dakwah dengan para pengunjung sambil mengedarkan risalah pengenalan Hizbut Tahrir, risalah Struktur Negara Khilafah dan risalah mingguan lidah rasmi HTM iaitu Sautun Nahdhah. Walaupun hujan renyai-renyai pada petang itu, namun para syabab tetap bersemangat dan terus melakukan kunjungan demi kunjungan.  Alhamdulillah, sambutan yang diberikan oleh para pengunjung sangat menggalakkan.  Kebanyakkannya menerima dakwah yang disampaikan dengan begitu baik dan mesra sekali. Bahkan ada juga di kalangan umat yang bersyukur kerana dapat mengetahui struktur Negara Khilafah dengan lebih jelas melalui risalah yang diedarkan. 

Setelah selesai beramah mesra dengan para pengunjung di Taman Tasik Shah Alam, para syabab HTM kemudiannya maju ke kompleks PKNS Shah Alam untuk bersama-sama umat bersolat jemaah di surau al-Kausar dengan diimamkan oleh Ustaz Abu Arsyad, salah seorang syabab HTM. Setelah selesai solat Maghrib, para syabab mengedarkan risalah-risalah kepada para jemaah yang hadir. Kunjungan diteruskan kepada umat di kalangan pengunjung  serta pengusaha-pengusaha gerai dan kedia di Kompleks PKNS. Setelah itu, mereka terus mara pula ke Plaza Alam Sentral Shah Alam dan akhirnya kembali semula ke perkarangan Masjid Negeri Shah Alam. Program diakhiri dengan taklimat ringkas dan ucapan penghargaan daripada Pengarah Program dan diiringi dengan doa ringkas kira-kira jam 8 malam.

{sfx rss=’https://picasaweb.google.com/data/feed/base/user/116661879362415969427/albumid/5680695179562802481?alt=rss&kind=photo&hl=en_US’ display=’album’}