Majlis Iftar Ramadhan syabab HTM bersama ahli qaryah Surau Al Mutmainnah Pandan Perdana

Pada 11 Ramadhan 1429H bersamaan 11 September 2008, majlis iftar anjuran syabab Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) diadakan di Surau Al Mutmainnah, Pandan Perdana. Majlis yang bermula dengan majlis berbuka puasa beramai- ramai menyaksikan para jamaah berbuka puasa beramai- ramai dengan ”nasi dulang” beserta minuman. Selepas itu, para peserta mendirikan solat Maghrib berjamaah. Pameran Khilafah turut diadakan selepas itu di mana dapat disaksikan pengunjung berpusu-pusu hendak menyaksikan pameran tersebut. Para syabab HTM tidak jemu- jemu menerangkan satu persatu bahan pameran kepada para pengunjung.

Program iftar diteruskan dengan solat Isyak dan tarawikh. Antara solat tarawikh dan witir, diselangi dengan slot tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Umar Hussien dari HTM. Dalam tazkirah tersebut, beliau mengingatkan kepada para hadirin bahawa umat Islam merupakan umat yang mulia pada suatu ketika dahulu. Di mana salah satu contohnya ialah, banyak futuhat (pembukaan) dilakukan oleh kaum muslimin di bulan Ramadhan. Para generasi terdahulu tidak pernah membezakan antara kewajipan berpuasa dengan kewajipan melaksanakan hukum- hukum Islam yang lain seperti jihad. Oleh itu, beliau menggesa agar umat Islam bangkit semula, kembali ke posisi sebaik- baik umat sebagaimana yang sepatutnya.

Selesai solat witir, sedikit jamuan moreh disediakan untuk para jemaah. Di kesempatan ini juga, HTM ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada Pengerusi Surau Al Mutmainnah, Hj Sunaini Yusop dan AJK surau, serta kepada semua yang terlibat dalam majlis ini. Harapan kami, agar program ini mampu sedikit sebanyak menyedarkan masyarakat sekeliling tentang peri pentingnya Islam diterapkan dalam segenap aspek kehidupan.