Syabab HTM Turut Bantu Mangsa Banjir

Setelah seminggu banjir melanda, kerja-kerja pembersihan dan penyaluran bantuan masih giat dijalankan apatah lagi di tempat-tempat yang teruk terjejas.

Para syabab (pemuda) Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) juga tidak ketinggalan untuk menghulurkan bantuan buat mangsa banjir khususnya dalam melakukan kerja-kerja pembersihan.

Dalam usaha meringankan beban mangsa-mangsa banjir, sekumpulan syabab HTM turun padang ke Hulu Langat, Shah Alam, Kelang dan Dengkil dengan membawa peralatan mencuci dan sedikit makanan.

Suasana di lapangan memang amat menyedihkan, di samping agak membimbangkan ekoran timbunan-timbunan sampah dan barang buangan yang berlonggok yang belum dipungut oleh pihak berkuasa tempatan.

Sudahlah lambat membantu mangsa ketika banjir, kini kerajaan nampaknya “lembab” pula dalam membersihkan kawasan yang terjejas, yang mana jika terus dibiarkan akan berpotensi menjadi punca penularan penyakit lain pula.

Di samping itu longgokan sampah dan barangan terbuang yang begitu banyak boleh membahayakan penduduk mahupun sukarelawan yang hadir membantu.

Keadaan diburukkan lagi apabila terdapat orang kenamaan yang hadir sehingga mencetuskan kesesakan dan mengganggu perjalanan kerja-kerja pembersihan.

Kehadiran “para pelakon” sebegini bukan sahaja tidak membantu, bahkan menyulitkan kerja-kerja yang dilakukan oleh NGO, sukarelawan mahupun penduduk setempat, kerana mereka semua terpaksa memberi ruang kepada para pelakon tersebut ”beraksi” hingga selesai lakonan.

Insiden banjir ini bukan sahaja menginsafkan kita mengenai kebesaran Allah yang menguji hamba-hamba-Nya, malah turut membongkar kepincangan dan kegagalan penguasa dalam menjaga kebajikan rakyat.

Semoga sedikit usaha kita ini dapat meringankan beban serta mengubat luka para mangsa, dan diterima oleh Allah sebagai amal soleh.