Takziah untuk mangsa banjir dan peringatan untuk pemerintah

Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) mendoakan keselamatan dan keamanan buat semua penduduk yang terjejas akibat banjir yang sedang melanda di beberapa buah negeri pada masa kini.

Semoga mereka terpelihara daripada sebarang musibah yang berlanjutan dan terjaga daripada ancaman kesihatan, apatah lagi di musim Covid-19 ini. Semoga Allah (swt) mengurniakan mereka ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi sedikit ujian daripada Allah (swt) ini.

Siapa sahaja yang mengharungi ujian Allah (swt) dengan penuh kesabaran, maka insya Allah ia akan memperolehi kebaikan, dan menambahkan ketakwaannya. Sabda Rasulullah (saw):

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakannya, dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya” [HR Muslim]

Dalam masa yang sama, kami ingin mengingatkan pemerintah agar tidak lalai dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab memelihara rakyat. Pemerintah seharusnya serius dalam memastikan keselamatan dan keperluan seluruh mangsa banjir dari awal A sampai Z. Apatah lagi terdapat dakwaan yang kukuh bahawa di beberapa negeri terdapat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal yang telah menyumbang kepada banjir besar yang membawa lumpur dan segala sisa-sisa kayu yang memburukkan lagi keadaan banjir.

Sesungguhnya tanggungjawab pemerintah bukan sahaja menguruskan rakyat semasa banjir sahaja, malah pemerintah seharusnya mengambil segala langkah bagi mengurangkan segala risiko banjir sejak awal. Malangnya apa yang berlaku telah menunjukkan kelalaian pemerintah dalam menguruskan urusan rakyat sehingga saban tahun tatkala banjir melanda, banyak NGO dan individu-individu yang terpaksa tampil membantu.

Sekali lagi, kami mendoakan agar musibah yang menimpa umat ini akan segera berakhir dan kita sama-sama mengambil ibrah (pengajaran) untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada-Nya dengan apa yang berlaku.

Wallahu a’lam.