Syarah Hadis “Umatku Terpecah di atas 73 Golongan”
(Terjemahan)
Soalan:
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Saya Abdullah dari Afghanistan. Semoga Allah senantiasa menjaga anda wahai Syeikhuna.
Rasulullah (saw) bersabda:
«سَتَنَقْسِمُ أُمَّتِيْ إِلَى ثَلاَثَةٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَكُلُّهَا فِيْ النَّارِ مَا عَدَا وَاحِدًا»
“Umatku akan terpecah kepada 73 firqah (kelompok) dan semuanya di neraka kecuali satu”.
Saya berharap anda sudi menjelaskan hadis ini.
Jawapan:
Wa alaikum salam wa rahmatullahi wa barakatuh.
PERTAMA: Hadis yang anda tanyakan adalah tidak sebagaimana redaksi yang ada dalam pertanyaan anda. Kami telah memaparkan di dalam Soal Jawab yang telah kami keluarkan pada 24 Rabiul Akhir 1439 H bersamaan 11 Januari 2018 M berkenaan hadis-hadis ini dengan pelbagai riwayatnya, yang sebahagiannya ada tambahan yang berbeza-beza. Kami simpulkan di akhirnya bahawa:
[Hadis terpecahnya umat menjadi 73 firqah (kelompok) yang tanpa tambahan, statusnya adalah sahih…Manakala hadis yang ada tambahan pertama,
”كلها في النار إلا واحدة“
“Semuanya di neraka kecuali satu”
dinilai hasan oleh ramai ulama…
Adapun hadis yang ada tambahan kedua,
”كلها في الجنة إلا واحدة“
“Semuanya di syurga kecuali satu”
telah didhaifkan oleh ramai ulama, sedangkan mereka yang menilainya sebagai sahih atau hasan sedikit sekali…
Atas dasar itu, yang saya rajihkan untuk diambil ialah yang ada tambahan
”كلها في النار إلا واحدة“
“Semuanya di neraka kecuali satu”.
Manakala yang ada tambahan
”كلها في الجنة إلا واحدة“
“Semuanya di syurga kecuali satu”
ini tidak diambil. Hal ini sesuai apa yang kami sebutkan dari riwayat-riwayat untuk kedua-dua tambahan tersebut…].
Berdasarkan apa yang kami paparkan dalam Soal Jawab tersebut, maka riwayat-riwayat yang boleh dijadikan sandaran dan dijadikan istidlal adalah riwayat-riwayat berikut:
– Imam at-Tirmizi telah mengeluarkan di Sunan-nya dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah (saw) bersabda:
«تَفَرَّقَتْ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ أَوْ اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَالنَّصَارَى مِثْلَ ذَلِكَ وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً»
“Orang Yahudi telah terpecah menjadi 71 atau 72 firqah, dan orang Nasrani telah terpecah menjadi seperti itu dan umatku akan terpecah menjadi 73 firqah”.
Dalam bab ini yang ada riwayat dari Sa’ad, Abdullah bin Amru dan ‘Auf bin Malik, Abu Isa berkata bahawa hadis Abu Hurairah adalah hasan sahih. Dalam riwayat at-Tirmizi yang lain, dari Abdullah bin Amru, ia berkata: Rasulullah (saw) bersabda:
«…وَإِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً قَالُوا وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي»
“… Dan sesungguhnya Bani Israel telah terpecah di atas 72 millah dan umatku akan terpecah di atas 73 millah, semuanya di neraka kecuali satu”. Mereka bertanya, ‘Siapakah ia (yang satu itu) wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda, Apa yang aku dan para sahabatku di atasnya’”.
Abu Isa berkata bahawa hadis ini adalah hasan gharib…
– Al-Hakim telah mengeluarkan di al-Mustadrak ‘Ala as-Sahihain, dari Abu Amir Abdullah bin Luhayyi, dia berkata: kami mengerjakan haji bersama Muawiyah bin Abi Sufyan…kemudian dia berdiri selepas solat Zuhur di Mekah, dan berkata: Nabi (saw) bersabda:
«إِنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ تَفَرَّقُوا فِي دِينِهِمْ عَلَى اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، وَتَفْتَرِقُ هَذِهِ الْأُمَّةُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ…»
“Sesungguhnya Ahli Kitab telah terpecah dalam agama mereka di atas 72 millah, dan umat ini akan terpecah di atas 73 millah, semuanya di neraka kecuali satu iaitu al-Jama’ah”.
Al-Hakim berkata yang sanad-sanad ini merupakan hujah (bukti) dalam mengkategorikan hadis ini sebagai sahih…dan ia disepakati oleh adz-Dzahabi.
– Abu Daud dan Ibnu Majah mengeluarkan hal yang sama di Sunan mereka.
KEDUA: Adapun makna yang kami rajihkan untuk hadis ini adalah seperti berikut:
1- Berkenaan kata “al-firqah” (“kelompok”) dan “at-tafarruq” (“berpecah-belah”) kebanyakan penggunaannya di dalam syarak adalah dengan makna ikhtilaf dalam hal-hal akidah dan usuluddin (pokok agama) serta ikhtilaf dalam hal-hal qath’ie (القواطع) dan bukti-bukti yang nyata (البينات):
– Allah (swt) berfirman:
﴿وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ﴾
“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang berpecah-belah dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat” [Ali Imran (3): 105].
– Allah (swt) berfirman:
﴿وَمَا تَفَرَّقَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَةُ﴾
“Dan tidaklah berpecah-belah orang-orang yang didatangkan Al-Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata” [Al-Bayyinah (98): 4].
– Allah (swt) berfirman:
﴿إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْياً بَيْنَهُمْ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ﴾
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tidak berselisih orang-orang yang telah diberi Al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kufur terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya” [Ali Imran (3): 19].
– Allah (swt) berfirman:
﴿إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعاً لَسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ﴾
“Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikit pun tanggung jawabmu atas mereka. Sesungguhnya urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka perbuat” [Al-An’am (6): 159].
2- Kata “al-Jamaah” di dalam hadis-hadis ini, digunakan di dalam syarak untuk merujuk kepada جماعة المسلمين المجتمعة على العقيدة الإسلامية (jamaah kaum Muslimin yang berhimpun atas akidah Islam). Terdapat nas-nas syarie yang menjelaskan makna ini. Di antaranya ialah hadis al-Muttafaq ‘alaih dari Abdullah bin Mas’ud (ra), ia berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda:
«لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِي وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ»، رواية مسلم
“Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan bahawa aku adalah Rasulullah, kecuali kerana salah satu dari tiga perkara: orang yang sudah menikah berzina, jiwa kerana membunuh jiwa yang lain, dan orang yang meninggalkan agamanya (dengan) memisahkan diri daripada jamaah” [HR Muslim].
Di dalam hadis yang mulia ini, Nabi (saw) menjelaskan bahawa meninggalkan jamaah bermaksud keluar dari agama dan meninggalkannya. Ini kerana, baginda meletakkan orang yang meninggalkan agamanya sebagai orang yang memisahkan diri daripada jamaah (الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ). Maka diketahui dari sini bahawa memisahkan dari daripada jamaah dalam konteks ini bermaksud kufur, dan keluar dari agama dan millah…
Dinyatakan di Fathul Bari Syarhu Sahih al-Bukhari oleh Ibnu Hajar seperti berikut:
[…Sabda baginda وَالْمُفَارِقُ لِدِينِهِ التَّارِكُ لِلْجَمَاعَةِ (dan memisahkan diri daripada agamanya meninggalkan jamaah), demikian dalam riwayat Abu Dzar dari al-Kusymihani, sedangkan yang selainnya menyebut وَالْمَارِقُ مِنَ الدِّينِ (keluar dari agama), manakala menurut an-Nasafi, as-Sarakhsiy dan al-Mustamliy وَالْمَارِقُ لِدِينِهِ (keluar dari agamanya). Ath-Thaybiy berkata: Makna الْمَارِقُ لِدِينِهِ (meninggalkan agamanya) bermaksud التَّارِكُ لَهُ مِنَ الْمُرُوقِ وَهُوَ الْخُرُوجُ (orang yang meninggalkan, diambil dari perkataan al-muruq yang bermaksud keluar). Dalam riwayat Muslim وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ (meninggalkan agamanya memisahkan diri dari jamaah). Dalam riwayat ats-Tsawri الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ (memisahkan agamanya)…Dan yang dimaksudkan dengan الْجَمَاعَة (jamaah) ialah جَمَاعَةُ الْمُسْلِمِينَ (jamah kaum Muslimin), iaitu maksudnya فَارَقَهُمْ أَوْ تَرَكَهُمْ بِالِارْتِدَادِ فَهِيَ صِفَةٌ لِلتَّارِكِ أَوِ الْمُفَارِقِ (ia memisahkan diri dari mereka, atau meninggalkan mereka dengan murtad, itu merupakan sifat bagi orang yang memisahkan atau meninggalkan)…Al-Baydhawi berkata, التَّارِكُ لِدِينِهِ صِفَةٌ مُؤَكِّدَةٌ لِلْمَارِقِ أَيِ الَّذِي تَرَكَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَخَرَجَ مِنْ جُمْلَتِهِمْ (orang yang meninggalkan agamanya adalah sifat yang pasti bagi al-Mariq iaitu orang yang meninggalkan jamaah kaum Muslimin, dan keluar dari barisan mereka)…] Selesai.
3- Sabda Rasulullah (saw) di dalam riwayat-riwayat yang berbeza-beza untuk hadis-hadis tersebut dengan lafaz:
«وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي»
“dan umatku terpecah”
«وَتَفْتَرِقُ هَذِهِ الْأُمَّةُ»
“dan umat ini terpecah”
«وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ»
“dan bahawa millah ini akan terpecah”
jelas daripadanya bahawa kata “umat” atau “millah” di sini bermaksud umat Islam yang mengimani agama Islam. Dalam satu riwayat, Rasulullah (saw) telah menyandarkan kata “umat” kepada diri baginda sendiri «أُمَّتِي» (“umatku”); dan baginda me-makrifah-kannya dalam riwayat lain «هَذِهِ الْأُمَّةُ» (“umat ini“), «وهَذِهِ الْمِلَّةَ» (“millah ini“); justeru amat jelas bahawa hadis-hadis tersebut berbicara mengenai umat yang satu dan millah yang satu, iaitu umat Islam…
4- Ikhtilaf (perbezaan pendapat) di dalam Islam sebagaimana telah diketahui, ada yang mazmum (tercela) dan ada yang mamduh (terpuji). Adapun ikhtilaf yang terpuji adalah ikhtilaf dalam masalah-masalah yang bersifat ijtihadiyah, yang terbit dari perbezaan dalam memahami nas-nas. Bagi mereka yang benar (dalam ijtihadnya), maka ia mendapat dua pahala, manakala bagi yang tersalah, ia akan mendapat satu pahala. Ini sebagaimana terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya, dari Amru bin al-‘Ash (ra) bahawa dia mendengar Rasulullah (saw) bersabda:
«إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ»
“Jika seorang hakim memutuskan dan ia berijtihad, kemudian ia benar, maka untuknya dua pahala; dan jika ia memutuskan dan berijtihad kemudian tersalah, maka untuknya satu pahala”.
Adapun ikhtilaf yang tercela, di antaranya ialah ikhtilaf dalam masalah akidah, dalam masalah bukti-bukti yang nyata (البينات) dan nas-nas qath’ie (القواطع), dan itu merupakan ikhtilaf yang akan mengeluarkan pelakunya dari Islam.
Ada pula ikhtilaf lain berdasarkan hawa nafsu seperti ikhtilaf ahlu al-bid’ah yang tidak sampai menjadikan mereka kafir karena bid’ah mereka itu. Di antaranya ialah ikhtilaf terhadap Imam dan ketaatan kepadanya, sehinggalah kepada ikhtilaf tercela lainnya, yang tidak sampai mengeluarkan pelakunya dari Islam…
KETIGA: Berdasarkan catatan-catatan yang dinyatakan di atas dan mengambil kira semua yang telah disebutkan, maka kita dapat memahami hadis yang mulia sekitar terpecahnya Yahudi, Nasrani dan terpecahnya umat Islam….penjelasannya ialah seperti berikut:
1- Allah (swt) mengutus Musa (as) dengan membawa agama yang benar kepada Bani Israel, lalu orang yang beriman pun beriman kepadanya, dan mereka berkumpul bersamanya di atas akidah dan tauhid yang benar, sehingga dengan itu mereka menjadi satu millah yang beriman…Tetapi seiring berjalannya waktu, keluar dari millah ini kelompok-kelompok manusia yang berbeza dalam hal agama:
«إِنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ تَفَرَّقُوا فِي دِينِهِمْ عَلَى اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً»
“Sesungguhnya Ahlul kitab terpecah dalam agama mereka menjadi 72 millah”.
Mereka terpecah dalam hal akidah mereka, dalam bukti-bukti yang nyata (البينات) dan dalam perkara-perkara yang qath’ie (القواطع) dalam agama Musa (as), sehingga mereka keluar dari agama Musa dan menjadi kafir. Kelompok-kelompok yang keluar dari agama Musa ini menjadi bermacam millah lain, kerana ikhtilaf mereka dalam usuluddin (pokok agama):
«إِنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ تَفَرَّقُوا فِي دِينِهِمْ عَلَى اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً»
“Ahlul Kitab terpecah dalam agama mereka menjadi 72 millah”.
Mereka terpecah hingga 70 atau 71 firqah, semuanya merupakan millah kufur dan termasuk penghuni neraka. Adapun millah yang tetap berada di atas agama Musa (as) yakni di atas millah Musa (as), iaitu samada millah ke-71 atau ke-72, maka merekalah ahlu al-haq (pengikut kebenaran) dan termasuk dalam kalangan ahlu al-jannah (penghuni syurga), dan itulah al-firqah an-najiah (golongan yang selamat) dari para pengikut Nabiyullah Musa (as)…
2- Demikian juga Allah (swt) mengutus Isa (as) dengan membawa agama yang benar kepada Bani Israel, lalu orang yang beriman pun beriman kepadanya, dan mereka berkumpul bersama Isa (as) di atas akidah dan tauhid yang benar, dan dengan itu mereka menjadi satu millah yang beriman…Tetapi seiring berjalannya waktu, keluarlah dari millah ini kelompok-kelompok manusia yang berikhtilaf dalam hal agama, yang terpisah dalam hal akidah, bukti-bukti yang nyata (البينات), dan perkara-perkara yang qath’ie (القواطع) dari agama Isa (as), sehingga mereka keluar dari agama Isa (as) dan menjadi kafir. Kelompok yang keluar dari agama Isa (as) dan menjadi millah-millah lain kerana ikhtilaf dalam usuluddin ini, mencapai hingga 71 firqah. Semuanya merupakan millah kufur dan termasuk penghuni neraka. Adapun millah yang tetap di atas agama Isa (as) yakni di atas millah Isa (as) yakni kelompok ke-72, maka mereka termasuk ahlu al-haq (pengikut kebenaran) dan termasuk dalam kalangan ahlu al-jannah (penghuni syurga), dan merekalah al-firqah an-najiyah (kelompok yang selamat) dari kalangan pengikut Isa (as)…
3- Kemudian Allah (swt) mengutus Nabi-Nya Muhammad (saw) dengan membawa agama yang benar dan akidah tauhid maka orang yang beriman pun beriman, dan mereka berkumpul di atas akidah yang diimani oleh Nabi (saw) dan para Sahabat baginda yang mulia, sehingga, dengan berkumpulnya mereka itu, menjadilah mereka umat Islam, dan millah Islam, dan al-Jama’ah…Akan tetapi kemudian terdapat banyak kelompok dari kaum Muslimin itu telah keluar (dan akan keluar) dari agama Muhammad (saw). Mereka telah meninggalkan (dan akan meninggalkan) apa yang Nabi (saw), para Sahabat baginda dan jamaah kaum Muslim di atasnya, berupa keimanan kepada akidah Islam, perkara-perkara qath’ie Islam (القواطع), dan bukti-bukti yang nyata (البينات)…dan setiap puak dari mereka yang keluar dari Islam itu, menjadi firqah dan millah yang berbeza dari millah Islam, kerana mereka mengimani akidah-akidah yang menyalahi akidah Islam…
Kelompok (firqah) yang pengikutnya pada asalnya adalah penganut Islam dan kemudian keluar daripada Islam itu, telah atau akan mencapai 72 firqah/millah, dan semuanya merupakan firqah kafir dan mereka termasuk penghuni neraka…yang tinggal ialah firqah/millah ke-73 iaitu firqah induk yang merupakan al-Jamaah dan millah Islam yang beriman dengan apa yang Nabi (saw) dan Sahabat baginda yang mulia di atasnya. Mereka berpegang teguh dengan perkara-perkara qath’ie Islam (الإسلام قواطع) dan bukti-bukti yang nyata (بينات). Itulah Umat Islam yang beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, Hari Kiamat dan beriman kepada al-Qadha’ wa al-Qadar, baik dan buruknya berasal dari Allah (swt)…Itulah umat Islam secara umumnya. Merekalah al-firqah an-najiah (kelompok yang selamat) dan termasuk penghuni syurga, dan mereka itulah firqah dan millah yang berhimpun di atas apa yang Nabi (saw) dan para Sahabat baginda di atasnya (على ما عليه النبي ﷺ وأصحابه), dan itulah al-Jama’ah.
KEEMPAT: Berdasarkan penjelasan yang telah dikemukakan untuk makna hadis-hadis tersebut berserta realitinya, maka kami simpulkan seperti berikut:
1- Al-firqah an-najiyah (kelompok yang selamat) adalah umat Islam dengan pemahamannya yang umum, iaitu yang berhimpun di atas akidah Islam dan perkara-perkara agama yang qath’ie (قواطع الدين) dan bukti-buktinya yang jelas (بيناته), walau pun pengikutnya berbeza pandangan, berbeza fikrah dan berbeza mazhab dalam semua masalah-masalah furu’ al-aqidah (cabang akidah) dan hukum-hukum syarak…dsb. Ada pun sebab selamatnya mereka, dan tergolongnya mereka sebagai penghuni syurga, adalah kerana keimanan mereka kepada akidah Islam, perkara-perkara qath’ie Islam dan bukti-buktinya yang nyata…
Oleh yang demikian:
(a) Ahlu as-Sunnah wa al-Jamaah dari kalangan Ahli al-Kalam seperti al-Asy’ariyah, al-Maturidiyah dan seluruh mazhab kalam, demikian juga mereka yang disebut dengan lafaz “as-Salafiyyah”, Ahlul Hadis dan selain mereka dari kalangan pemilik pendapat serta mazhab-mazhab pemikiran yang Islami..mereka semua termasuk kelompok yang selamat (al-firqah an-najiyah) dengan izin Allah. Ini kerana mereka termasuk dalam kalangan para pengikut Muhammad (saw) yang mengimani akidah Islam, perkara-perkara qath’ie Islam dan bukti-buktinya yang nyata…dan ikhtilaf yang wujud dalam kalangan mereka tidak mengeluarkan mereka dari Islam.
(b) Mazhab-mazhab fiqhiyyah yang berbeza-beza baik Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi’iyyah, Hanbaliyyah dan mazhab-mazhab selain mereka, serta para pengikut mujtahid yang berbeza-beza…mereka semua adalah termasuk pengikut al-firqah an-najiyah dengan izin Allah (swt). Ini kerana mereka termasuk para pengikut Muhammad (saw) yang mengimani akidah Islam, perkara-perkara qath’ie Islam dan bukti-buktinya yang nyata…dan ikhtilaf yang wujud dalam kalangan mereka tidak mengeluarkan mereka dari Islam.
(c) Jamaah-jamaah Islamiyyah dan gerakan-gerakan Islam yang beraktiviti di lapangan pada masa kita sekarang ini seperti Hizbut Tahrir, al-Ikhwan al-Muslimun, Jamaah Tabligh, Jamaah-jamaah Jihadiyyah, Jamaah-jamaah as-Salafiyyah dan yang lainnya… semua adalah termasuk pengikut al-firqah an-najiyah dengan izin Allah (swt). Ini kerana mereka termasuk para pengikut Muhammad (saw) yang mengimani akidah Islam, perkara-perkara qath’ie Islam dan bukti-buktinya yang nyata…dan ikhtilaf yang wujud dalam kalangan mereka tidak mengeluarkan mereka dari Islam.
Oleh yang demikian, berdasarkan hadis yang mulia ini, tidak boleh suatu kelompok dari umat Islam mendakwa bahawa merekalah (satu-satunya) al-firqah an-najiyah (kelompok yang selamat) dan ath-tha’ifah an-najiyah (golongan yang selamat). Ini kerana, ia bermakna mengeluarkan siapa jua dalam kalangan kaum Muslimin yang berbeza dengan mereka, dari daerah Islam ke daerah kufur dan ini tidak boleh dalam keadaan apa sekali pun. Semua kaum Muslimin yang beriman dengan akidah Islam yang berpegang teguh dengan perkara-perkara qath’ie Islam dan bukti-bukti Islam yang nyata, mereka adalah termasuk pengikut al-firqah an-najiyah dengan izin Allah.
4- Sesungguhnya kelompok yang keluar dari Islam dan menjadi kafir, yang dengan itu layak menjadi kelompok binasa yang tergolong sebagai penghuni neraka, adalah kelompok yang menyalahi agama, dan terkeluar dari akidah kaum Muslim; melangkaui Islam, melangkaui perkara-perkara yang qath’ie serta bukti-bukti yang nyata; menyekutukan Allah dengan selain-Nya atau mengakui (adanya) Nabi setelah Nabi Muhammad (saw) atau mengingkari sunnah Rasulullah (saw) atau seumpamanya…seperti kelompok Druz, Nusairi, Baha’i, Qadiani dan kelompok-kelompok kafir lainnya yang telah keluar dari Islam…Ada pun kelompok yang seumpama mereka dari kalangan Yahudi yang telah keluar dari agama Musa (as) adalah kaum yang menjadikan ‘Uzair (as) sebagai anak Allah; manakala kelompok dari kalangan pengikut Isa (as), adalah yang menjadikan Isa (as) sebagai anak Allah…Mereka inilah yang secara akidah, telah keluar dari akidah dan agama Nabi Musa (as) dan Nabi Isa (as), dan dengan itu mereka termasuk orang-orang yang kafir.
Saya berharap dengan penjelasan ini makna hadis tersebut telah menjadi jelas.
Wallah a’lam wa ahkam.
Saudaramu,
Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
16 Jumadil Akhir 1442 H
29 Januari 2021 M
https://hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/73091.html
https://hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/qestions/jurisprudence-questions/20820.html