Tadarruj bukan dalil untuk menerapkan Islam secara bertahap – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Konsep tadarruj telah disalahfahami atau dijustifikasi oleh pihak-pihak tertentu sebagai alasan yang membolehkan penerapan hukum Islam secara berperingkat. Ramai yang salah faham dan faham salah tentang konsep ini sehingga akhirnya menghalalkan penerapan sistem dan undang-undang sekular yang ada, dan keadaan ini sungguh berbahaya kerana menjerumuskan umat Islam ke dalam dosa. Demikian antara penegasan Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dalam program Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM bertajuk “Tadarruj: Antara Salah Faham dan Faham Salah” pada Jumaat (02/10/2026).

Di awal kupasannya, Ustaz Abdul Hakim menjelaskan bahawa tadarruj bermaksud bertahap, berperingkat atau beransur-ansur, dan dalam konteks penerapan Islam, ia merujuk kepada pandangan bahawa hukum-hukum Islam boleh dilaksanakan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya diterapkan secara menyeluruh.

Menurut beliau, oleh kerana ramai agamawan dan gerakan Islam yang ber-istidlal dengan konsep ini, maka persoalan asas yang mesti diperhalusi ialah sama ada konsep tersebut benar-benar lahir daripada nas syarak, atau nas dicari kemudian untuk membenarkan tindakan yang telah diambil berdasarkan realiti dan kepentingan politik.

Beliau mengingatkan bahawa hukum syarak sepatutnya digali daripada nas untuk diterapkan ke atas realiti, bukan realiti dijadikan ukuran sehingga nas ditafsir dan diperguna bagi menyesuaikannya dengan tindakan yang telah diambil.

Beliau seterusnya menegaskan implikasi konsep tadarruj yang dijadikan justifikasi oleh ulama kerajaan mahu pun gerakan Islam yang menurut beliau telah membuatkan mereka menghalalkan sistem dan undang-undung kufur yang diterapkan, padahal kedudukan ini jelas haram.

Dalam politik pula, pendekatan tersebut telah membawa gerakan Islam kepada sikap pragmatis apabila menundukkan nas kepada realiti, padahal realiti mesti tunduk kepada nas.

Ustaz Abdul Hakim kemudian membincangkan beberapa dalil dan hujah yang sering digunakan untuk membenarkan tadarruj. Antaranya ialah penurunan al-Quran secara bertahap, proses pengharaman riba dan arak, hadis Aisyah (ra) mengenai pembinaan semula Kaabah, tindakan Khalifah Umar al-Khattab (ra) yang tidak memotong tangan pencuri ketika musim kebuluran serta kisah dialog antara Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan anaknya mengenai penangguhan sang Khalifah dalam beberapa aspek hukum.

Dalam menjawab hujah bahawa al-Quran diturunkan secara bertahap, beliau menyatakan bahawa pengamal tadarruj gagal membezakan antara tadarruj at-tasyri’ (pensyariatan hukum secara bertahap) dengan tadarruj at-tatbi’ (penerapan hukum secara bertahap). Menurutnya, memang benar “penurunan” ayat-ayat al-Qur’an secara bertahap, tetapi “penerapan” hukum tidak boleh bertahap setelah ayat-ayat Al-Quran selesai diturunkan. Kegagalan membezakan kedua-duanya merupakan antara punca utama kekeliruan dalam isu ini.

Begitu juga dengan tindakan Umar al-Khattab (ra) yang tidak mengenakan hukuman potong tangan ketika kebuluran. Abdul Hakim menjelaskan bahawa tindakan tersebut dilakukan kerana Umar mengikuti nas di mana Rasulullah (saw) tidak membenarkan hukum potong tangan dilakukan ketika musim kebuluran. Jadi, tindakan Umar adalah kerana mentaati hukum, bukan meninggalkan hukum sebagaimana pengamal konsep tadarruj.

Manakala kisah Umar bin Abdul Aziz pula menurut beliau, langsung tidak menunjukkan bahawa Khalifah tersebut melaksanakan tadarruj, kerana penangguhan pelaksanaan yang dilakukan oleh Umar bin Abdul Aziz ialah berkaitan proses menyelesaikan kezaliman dan mengembalikan hak orang-orang yang dizalimi yang berlaku pada pemerintahan sebelumnya, yang mana proses tersebut memakan masa kerana perlu penelitian dan kepastian berkenaan segala dokumen dan bukti. Tambahan lagi, tindakan Khalifah tersebut tidak boleh dijadikan dalil, kerana dalil mesti datang daripada Al-Quran dan As-Sunnah.

Kisah Aisyah dan Rasulullah (saw) juga langsung tidak ada kena-mengena dengan tadarruj, kata beliau. Ini kerana, ia berkenaan dengan pengubahsuaian Kaabah yang hukumnya tidak wajib, bukan berkenaan penerapan syariat yang hukumnya wajib.

Ustaz Abdul Hakim seterusnya memberikan beberapa dalil daripada al-Quran dan al-Hadis mengenai kewajipan berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, dan kesemua kewajipan tersebut wajib dilaksanakan secara sekali gus, dan haram untuk menangguhkan penerapannya atas alasan apa pun. Beliau juga membawa beberapa kisah para Sahabat yang bersegera melaksanakan syariat tanpa tadarruj sedikit pun.

Di akhir program, beliau menegaskan bahawa persoalan tadarruj tidak pernah ada dalam perbincangan ulama terdahulu di mana ia baru muncul di zaman sekarang, setelah jatuhnya Khilafah dan Islam tidak lagi dilaksanakan. Menurut beliau, ulama silam memahami bahawa Islam wajib diterapkan secara kaffah, tanpa tadarruj. Cumanya, kata beliau, perlu dibezakan antara penerapan syariah yang wajib sekali gus dengan urusan teknikal dan pentadbiran yang memerlukan masa untuk diselesaikan. Tadarruj tidak pernah ada dalam Islam, dan ia haram untuk diamalkan, simpul beliau.