Tadarruj: Dalih untuk menuruti hawa nafsu

Pada bulan November 2011 yang lalu, ketika pilihanraya Mesir untuk membentuk Dewan Rakyat sedang dijalankan, salah sebuah parti Islam telah menerbitkan suatu artikel yang bertajuk ‘Tadarruj (gradualisme) dalam pelaksanaan syariat Islam…pemahaman dan peraturannya’. Pengarang memulakan ayatnya dengan mengatakan bahawa pelaksanaan syariat adalah satu kewajipan Islam yang tidak boleh dipersoalkan lagi. Walau bagaimanapun, beliau berhujah dengan mengatakan bahawa jalan yang ditunjukkan oleh Islam dalam menerapkan undang-undang Islam adalah melalui tadarruj. Ia membawa maksud bahawa jalan Islam dalam menerapkan undang-undangnya adalah melalui pendekatan langkah demi langkah atau bertahap-tahap, yang mana ia bertentangan dengan pendekatan radikal (inqilabiyah) dalam menerapkan Islam secara lengkap dan komprehensif.

Sebagai bukti kepada hujahnya, beliau membawakan dua ayat Al-Quran berikut sebagai dalil untuk mengatakan bahawa Islam itu tidak diturunkan secara sekaligus, tetapi sebaliknya secara beransur-ansur. Allah SWT berfirman:

“Dan al-Quran (Kami turunkan) secara beransur-ansur agar engkau (Muhammad) membacakannya kepada manusia perlahan-lahan dan Kami menurunkannya secara bertahap-tahap.” [TMQ al-Isra’ (17): 106]

Dan juga firmanNya yang berbunyi:  

“Dan orang-orang kafir berkata: Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekaligus? Demikianlah, agar Kami memperteguhkan hatimu (Muhammad) dengannya dan Kami membacakannya secara tartil (beransur-ansur, perlahan dan benar). [TMQ al-Furqan (25): 32]

Beliau juga turut menggunakan dalil hadis yang diriwayatkan daripada Aishah (ra) yang mengatakan:

“Sesungguhnya, surah awal yang diturunkan adalah daripada kalangan surah-surah yang pendek yang menyebut (tentang) syurga dan neraka. Selepas manusia datang untuk menyerahkan diri (memeluk Islam), perkara tentang halal dan haram diturunkan. Jika perkara pertama yang diturunkan adalah tentang larangan meminum arak, nescaya mereka akan berkata: “Kami tidak akan meninggalkan arak kami.” Dan jika perkara pertama yang diturunkan adalah larangan melakukan zina, maka mereka akan berkata: “Kami tidak akan meninggalkan zina.” Sesungguhnya, ayat berikut telah diturunkan kepada Muhammad di Mekah semasa aku masih lagi seorang budak yang bermain: “Tidak, sesungguhnya hari pengadilan itu adalah lebih dahsyat dan memeritkan (daripada sebarang kesusahan yang dilalui oleh seseorang Muslim di jalan Allah dalam kehidupan dunia ini). Dan surah al-Baqarah dan an-Nisa’ (yang mengandungi hukum-hakam tentang halal dan haram) hanya diturunkan ketika aku telah bersama dengan baginda SAW sebagai isterinya”.
(Hadis Riwayat Bukhari).

Dalil-dalil di atas tidak memerlukan kajian yang mendalam atau teliti dalam membuktikan bahawa ia sebenarnya tidak mempunyai kaitan langsung dengan perbahasan ini (tadarruj). Malah, ketiga-tiga dalil ini sebenarnya hanya menerangkan tentang perihal bagaimana turunnya (ayat-ayat) al-Quran dan bukannya berkaitan isu bagaimana pelaksanaan hukum syara ‘ ataupun pemerintahan. Dalil-dalil ini menjelaskan bahawa bagaimana al-Quran telah diturunkan  secara berperingkat-peringkat dan bukannya sekaligus, demi menguatkan hati para mukminin pada ketika itu. Mengenai kenyataan yang dikeluarkan daripada ‘Aishah (ra) pula, mereka cuba membuat kesimpulan bahawa hukum halal dan haram itu tidak dilaksanakan sehinggalah kemudiannya (sewaktu di Madinah). Adalah sangat penting untuk diberi perhatian bahawa kenyataan Aisyah ini tidak boleh dijadikan dalil syar’ie berkaitan perbuatan Rasulullah memandangkan ia merupakan suatu kenyataan yang dikeluarkan daripada ‘Aishah sendiri dan tidak mengandungi sebarang perintah daripada Rasulullah SAW sama ada dari aspek perbuatan yang baginda lakukan, perkataan yang baginda sebutkan, mahupun sesuatu yang baginda persetujui melalui perbuatan mendiamkan diri. Hanya fi’lu (perbuatan), qaul (perkataan) dan taqrir (persetujuan) daripada Nabi SAW sahaja yang  dianggap sebagai sunnah dan dalil syar’ie yang sahih.

Alasan lain yang dibawa yang didakwa menyokong hujah mereka mengenai tadarruj dan kebolehan untuk terlibat dalam pemerintahan yang tidak Islami adalah dengan mengaitkannya melalui Perjanjian Hudaibiyah dan juga dalil Nabi Yusuf (as) yang menjawat jawatan dalam kerajaan yang tidak Islami. Sekali lagi, kedua-dua hujah ini tidak berkredibiliti malah amat mudah untuk dibuktikan kesalahannya. Berkenaan Perjanjian Hudaibiyah, sungguh memalukan apabila mereka sanggup mendakwa Rasulullah SAW telah mengambil keputusan yang lemah sehingga sanggup untuk menggadaikan keputusan yang lebih layak untuk Islam. Ini merujuk kepada persetujuan Rasulullah SAW ke atas syarat bahawa umat Islam tidak dibenarkan untuk meninggalkan Mekah menuju ke Madinah tanpa mendapat kebenaran orang Mekah. Sebaliknya, sesiapa yang ingin keluar dari Madinah dan kembali ke Mekah, mereka boleh berbuat demikian tanpa sebarang syarat.

Para sahabat ra pada asalnya tidak memahami syarat ini dan apabila ditanya kepada baginda, baginda SAW menjelaskan bahawa baginda hanyalah seorang utusan Allah SWT yang tidak sekali-kali akan menderhakai perintahNya. Jawapan yang diberikan ini telah memberikan kekuatan yang lebih besar kepada umat Islam dan dakwah mereka. Pada waktu itu, para sahabat ra tidak mampu untuk meramal apakah indikasi daripada perkara  (perjanjian) tersebut. Namun Rasulullah SAW telah menjelaskan hal tersebut dengan tegas bahawa ia merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT dan baginda hanya melaksanakan apa yang telah diperintahkan kepadanya. Jadi, peristiwa ini merupakan suatu contoh tentang bagaimana Rasul SAW melaksanakan perintah yang diberikan oleh Allah SWT. Dalam hal ini, kami memohon agar Allah SWT mengampunkan kejahilan mereka yang cuba untuk mendakwa bahawa Rasulullah SAW telah mengkompromikan deen ini, yang mana dengannya dijadikan lesen (hujah) untuk melakukan perkara yang bertentangan.

Di samping itu, telah masyhur dalam sirah bahawa syarat-syarat dalam Perjanjian Hudaibiyah telah memberikan kekuatan kepada umat Islam dan perjuangan mereka. Syarat-syarat tersebut telah membuatkan dakwah di Mekah menjadi lebih kuat disebabkan oleh tergendalanya aktiviti perdagangan kaum musyrikin Mekah akibat daripada orang-orang Mekah yang memeluk Islam dan mereka tidak dapat berhijrah ke Madinah. Umat Islam (Madinah) sudah tentu tidak mahu untuk meninggalkan Madinah untuk ke Mekah. Malah, melalui perjanjian inilah yang telah membuatkan umat Islam menjadi lebih maju ke hadapan dan berupaya memusnahkan kaum Yahudi Bani Khaibar yang pada awalnya telah merancang untuk bergabung dengan suku Quraisy Mekah untuk menghancurkan Islam sebelum perjanjian ini dimeterai. Kesimpulannya, perjanjian ini merupakan kunci kepada peluasan penyebaran Islam dan kekuasaannya ke atas seluruh Semenanjung Arab yang telah membawa kepada futuhat (pembukaan) Mekah dengan aman selepas dua tahun perjanjian ini dimeterai. Sesungguhnya kesan perjanjian ini dan kemenangan besar yang Islam perolehi begitu hebat sekali sehingga Allah SWT  telah menyebutkannya di dalam Al-Quran dalam satu surah yang dinamakan bersempena dengan kejayaan tersebut:
  
“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. [TMQ al-Fath (48): 1]

Berkaitan dengan kisah Nabi Yusuf (as) pula, telah diketahui dengan jelas bahawa Allah SWT  telah menurunkan syariat yang berbeza-beza terhadap setiap Nabi dan umatnya. Allah berfirman:

“…Untuk setiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang…”
[TMQ al-Maidah (5) : 48)

Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa Allah telah menurunkan syariat yang berbeza untuk umat yang berbeza. Sebagai contoh, dalam surah Yusuf ada dinyatakan bahawa telah dibenarkan untuk manusia sujud kepada manusia yang lain (sebagai tanda penghormatan pada zaman itu) sedangkan perbuatan ini telah jelas diharamkan dalam wahyu mutakhir yang diturunkan kepada penutup segala Nabi iaitu baginda Muhammad SAW.

Oleh yang demikian, dakwaan mereka tentang (mengikut perbuatan) Nabi Yusuf as merupakan suatu pembohongan terhadap seorang Nabi Allah. Bagaimana mungkin mereka sanggup untuk menuduh seseorang yang mempunyai darjat yang tinggi yang mana Allah SWT sendiri telah mengambil kesaksian terhadapnya, dan baginda Yusuf sendiri tidak pernah dituduh seperti itu oleh sesiapa pun yang pernah bertemu dengannya? Malah tidak ada langsung walau satu ayat dalam Al-Quran yang menunjukkan bahawa baginda Yusuf telah memerintah dengan menggunakan undang-undang raja pada masa itu. Tidak ada satu pun (sumber) yang menyebutkan tentang apa-apa hukum undang-undang yang beliau terapkan kecuali satu iaitu;

“Mereka menjawab: ‘Hukumannya ialah pada sesiapa yang ditemukan dalam karungnya (barang yang hilang itu), maka dia sendirilah yang menerima hukumannya’. Demikianlah Kami memberi hukuman kepada orang-orang yang zalim.”
[TMQ Yusuf (12): 75]

Undang-undang ini adalah berdasarkan kepada syariat Nabi Ya’qub as (yang mana sesiapa didapati mencuri, maka hukumannya adalah dijadikan sebagai hamba selama setahun). Tidak ada satu pun indikasi (petunjuk) yang telah menyatakan bahawa baginda Yusuf telah menerapkan sesuatu hukum selain daripada apa yang Allah SWT wahyukan. Hujah pandangan yang tidak masuk akal mereka itu telah datang daripada ayat yang berikut: 

“Maka mulailah dia (memeriksa) karung-karung mereka sebelum (memeriksa) karung saudaranya sendiri, kemudian dia mengeluarkan (piala raja) itu dari karung saudaranya. Demikianlah Kami mengatur (rencana) untuk Yusuf. Dia tidak dapat menghukum saudaranya menurut undang-undang raja, kecuali Allah mengkehendakinya. Kami angkat darjat orang yang Kami kehendaki. Dan di atas setiap orang yang berpengetahuan ada yang lebih mengetahui.”
[TMQ Yusuf (12): 76]

Apabila ditafsirkan ayat ini dengan tafsiran yang benar, maka cubaan untuk mewujudkan keraguan terhadap kemaksuman Nabi Allah ini dapat dipatahkan dan (hujah) dakwaan mereka menjadi runtuh. Malah, Nabi Yusuf as sendiri semasa berada dalam penjara telah menyatakan sepertimana yang telah disebutkan di dalam al-Quran:

“…Ketetapan hukum itu hanyalah milik Allah…” [TMQ Yusuf (12): 40]

Jadi secara ringkasnya, inilah antara dalil-dalil yang telah digunakan dalam cubaan untuk memberikan justifikasi syariah terhadap penerapan pelaksanaan Islam secara bertahap-tahap. Pada tajuk artikel ini, kami telah menyatakan bahawa tadarruj  merupakan lesen bagi menuruti hawa nafsu. Antara sebab mengapa kami berkata demikian adalah kerana tadarruj ini telah dijadikan justifikasi bagi gerakan-gerakan Islam untuk turut serta dalam sistem politik yang korup, yang mana ia telah disediakan dan diwariskan daripada kuasa penjajah Barat.

Kami ingin bertanya, adakah tadarruj membenarkan kalian untuk:

1) Mendakwa bahawa sistem uqubat Islam (Hudud, Qisas, Takzir, Mukhalafat) adalah ketinggalan zaman dan tidak sesuai lagi untuk dilaksanakan pada hari ini?
2) Mengatakan bahawa Kristian dan Islam itu tidak mempunyai pertentangan dari segi akidah mereka? Atau persoalan bahawa orang-orang Kristian di Mesir ini sememangnya kafir?
3) Menghadiri upacara ibadat Kristian dan bersalaman dengan Ketua Paderi Mesir sambil mengucapkan tahniah kepadanya bersempena hari kelahiran Isa as (Hari Krismas)?
4) Sanggup mengatakan bahawa kalian menginginkan 50 juta pelancong datang ke Mesir walaupun mereka datang dalam keadaan telanjang?
5) Mendakwa bahawa syari’ah hanya merupakan salah satu daripada sumber perundangan yang sah (dan bukannya satu-satunya sumber perundangan)?
6) Mendakwa bahawa orang kafir dibolehkan untuk menjadi pemerintah jika dikehendaki oleh rakyat?
7) Menghormati perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani dengan Israel dan Amerika?
8) Mendakwa bahawa Islam tidak sepatutnya diterapkan atau seorang Presiden Islam sepatutnya dijauhkan (daripada menaiki jawatan) kerana ia bakal menjadikan Mesir sebagai sasaran bagi Barat?
9) Menyatakan bahawa penghapusan riba bakal membahayakan ekonomi Mesir? (Seolah-olah jika berlaku sebaliknya, ia tidak membahayakan).
10) Memberikan surat ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Majlis Tentera Mesir semasa sesi pembukaan parlimen (yang kini kalian menguasainya), yang mana mereka (tentera) tidak pernah melakukan apa-apa pun terhadap rakyat Mesir kecuali menumpahkan darah orang-orang yang tidak berdosa, membunuh pemuda-pemudi kalian, menyebarkan fitnah, memenjarakan lebih ramai rakyat sehinggakan Mubarak sendiri pun tidak mampu untuk membayangkannya, memungkiri janji-janji, mengekalkan rejim di tempatnya termasuk sarana keselamatannya, gagal untuk mendakwa ke muka pengadilan walaupun seorang di sepanjang tahun, di samping mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan membenarkan sebarang pembentukan negara selain daripada sebuah negara sekular?
Senarai persoalan-persoalan ini akan terus berterusan dan berpanjangan, namun secara ringkasnya, adakah tadarruj  telah memberikan kalian kebenaran untuk berkempen di sepanjang pilihanraya ini di mana matlamat utama kalian adalah untuk menyakinkan setiap orang bahawa kalian tidak akan menerapkan syariat Allah (secara kaffah) ?!!

Dalil-dalil Islami yang berkaitan untuk bersegera dan berkewajipan untuk menerapkan undang-undang Islam adalah terang lagi bersuluh dan tiada sebarang ruang keraguan yang ditinggalkan.  Allah SWT berfirman: 

“…Ketetapan hukum itu hanyalah milik Allah… [TMQ Yusuf (12): 40].
Allah SWT telah memerintahkan kepada kita supaya berhukum berdasarkan apa yang telah diturunkanNya dan memberi amaran kepada kita supaya jangan menyimpang walaupun sedikit daripada apa yang telah diwahyukanNya:
  
“Dan hendaklah engkau memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah, dan janganlah engkau mengikuti kehendak hawa nafsu mereka. Dan berwaspadalah terhadap mereka, jangan sampai mereka memperdayakan engkau terhadap sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan oleh Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkehendak untuk menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan daripada manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki? Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah dalam membuat hukum bagi orang-orang yang yakin? [TMQ al-Maa’idah (5): 49-50]

Allah SWT juga telah memerintahkan kepada umat Islam, apabila mereka menerima Islam, maka hendaklah mereka masuk ke dalamnya sepenuhnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu”. [TMQ al-Baqarah (2): 208]

Adalah merupakan suatu perkara yang sangat diketahui umum dalam Islam bahawa Allah SWT telah menurunkan deen yang lengkap dan sempurna kepada kita yang sesuai (untuk diterapkan) di sepanjang zaman dan tempat:

“…Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagi kamu deen kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Aku redha Islam itu sebagai deenmu…”
[TMQ al-Maidah (5): 3].

Dan Allah SWT juga berfirman:

“…dan Kami turunkan Kitab (al-Quran) kepadamu untuk menjelaskan segala sesuatu…” [TMQ an-Nahl (16): 89].

Islam adalah sebuah deen yang sempurna, lengkap dan dapat menyelesaikan seluruh aspek permasalahan kehidupan termasuklah individu, hubungan masyarakat sehinggalah kepada urusan pemerintahan. Allah SWT telah memerintahkan kita untuk masuk ke dalamnya sepenuhnya dan perkara ini telah diketahui umum. Apabila seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah, maka sejak daripada saat itu dia telah terikat dengan seluruh hukum-hakam Allah SWT yang telah diturunkan dan dia wajib untuk tunduk terhadap segala perintah-perintah dan larangan-laranganNya dengan menyerahkan diri kepadaNya sepenuhnya secara sukarela sebagai seorang Muslim. Tadarruj sepertimana yang digunapakai pada hari ini tidak lain hanyalah alasan untuk meninggalkan hukum syariat Allah, menderhakaiNya dan mengikut jejak langkah syaitan. Semoga Allah melindungi kita daripada semua perkara tersebut.

Bagaimana mungkin seseorang Muslim itu sanggup memilih untuk meninggalkan perintah dan larangan Allah dan RasulNya sedangkan kita telah pun diberi amaran yang jelas mengenainya?   

“Dan tidaklah patut bagi orang lelaki Mukmin dan orang perempuan Mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pula pilihan (yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata”. [TMQ al-Ahzab (33): 36]

Secara kesimpulannya, kami bersaksi sebagai Muslim bahawa Allah SWT telah memerintahkan kalian dan seluruh kaum Muslimin  untuk melaksanakan syariatNya. Allah SWT telah menyempurnakan deen ini, melengkapkan rahmatNya ke atas kita semua dan telah memilih Islam bagi kita sebagai deen. Rasulullah SAW sebagai pembawa al-Quran yang bergerak tidak pernah menangguh-nangguhkan penerapan deen ini walaupun sesaat, begitu juga di kalangan para Sahabat (ra) atau generasi awal umat Islam selepas mereka.

Sudah tiba masanya bagi umat Islam untuk menjauhkan diri mereka daripada orang-orang yang menyeru dan yang  menerapkan sistem kufur sekular dalam dunia umat Islam, sekalipun dakwaan mereka atau penampilan mereka dilihat seolah-olah Islami.  Dapat dilihat dengan begitu jelas daripada tindakan dan kenyataan orang-orang yang membawa idea tadarruj ini bahawa ia hanyalah merupakan satu alasan bagi mereka untuk tidak menerapkan Islam (secara kaffah) dan jauh sekali ia bukan jalan untuk menerapkan Islam. Di Mesir, kenyataan daripada para pemuda yang cedera parah di jalanan akibat pengkhianatan yang ditujukan kepada gerakan Islam adalah sesuatu yang tepat. Gerakan Islam ini pada hakikatnya hanya bertukar tempat dengan Parti Demokratik Nasional Mubarak yang telah dibubarkan. Mereka (gerakan Islam) telah mengambil alih dalam mengekalkan serta melindungi rejim sekular yang korup termasuk negara Barat dan kepentingan mereka.

Sudah tiba masanya bagi kaum Muslimin di Mesir dan orang-orang yang berkedudukan yang ikhlas di kalangan gerakan-gerakan Islam, yang benar-benar inginkan supaya deen dan syari’ah ini dapat diterapkan, agar dapat bekerjasama bersama-sama dengan golongan yang menuju ke arah tersebut. Iaitu bekerjasama bersama-sama golongan yang berani untuk mengatakan yang haq dan tidak takut kepada barat atau golongan sekular. Bekerjasama dengan orang-orang yang benar, ikhlas dan tidak sekali-kali berkompromi syariat Islam (dengan sistem atau idea kufur) baik dari segi perkataan mahupun perbuatan dan hanya takut semata-mata kepada Allah SWT. Kerjasama ini adalah bertujuan untuk menegakkan kembali Khilafah Ar-Rasyidah sepertimana yang telah diperintahkan berdasarkan dalil yang jelas dan qath’ie daripada al-Quran, as-Sunnah dan ijma’ dan bukannya menjadikannya sebagai suatu pilihan atau gradualisme (bertahap-tahap). Perkara yang paling penting atas semua kerjasama yang dilakukan ini adalah untuk memperoleh redha, rahmat dan ganjaran daripada Pencipta sekalian alam.

“Katakanlah (Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin. Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik” [TMQ Surah Yusuf (12): 108].

Sumber: k.com