Tak Perlu Siasat, Bukti di Depan Mata

Siasat pentadbiran saya – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) mengakui pernah berlaku beberapa kerugian dalam tempoh pentadbirannya tetapi jumlahnya tidak mencecah RM10 bilion.

Beliau berkata, jika kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion seperti yang didakwa Barry Wain, penulis buku Malaysia Maverick, kerajaan sedia ada pasti tenat.

“Walaupun pertumbuhan kita agak lemah dalam beberapa tahun, kerajaan tidak pernah gagal memenuhi semua komitmen kewangan termasuk perkhidmatan pembayaran balik hutang.

“Malah, kita pada masa itu memiliki wang secukupnya untuk membayar hutang lebih awal,” kata beliau dalam blognya http://chedet.co.cc/chedetblog/ di sini hari ini.

Dr. Mahathir dalam blog beliau itu turut menjelaskan kejadian-kejadian yang dikatakan menyumbang kepada kehilangan hampir RM10 bilion.

Katanya, salah satu dakwaan Barry ialah kerajaan kehilangan wang dalam urus niaga timah yang dibuat para spekulator.

“Bila tiba masanya timah itu dihantar, mereka (spekulator) tidak dapat menghantar timah dalam bentuk sebenar dan Bursa Logam London memutuskan para spekulator tidak perlu menghormati perjanjian dengan pihak kita,” katanya.

Beliau mengakui memang berlaku kerugian di pihak kerajaan dalam urus niaga itu tetapi tidaklah berbilion ringgit seperti yang didakwa.

Selain itu kata beliau, Bank Negara pernah memperdagangkan pertukaran wang asing dan beliau sendiri tidak pasti jumlah sebenar kerugian namun yakin ia tidak seperti mana yang diuar-uarkan oleh Barry Wain.

“Kerajaan telah bertindak memberhentikan urus niaga berkenaan,” katanya.
Selain itu, kata beliau, satu lagi kerugian dalam era pentadbiran beliau ialah kerugian Bank Bumiputera di Hong Kong.

“Secara keseluruhan, saya tidak rasa kerugian mencapai jumlah RM10 bilion pun,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, dalam eranya, beliau telah berusaha mewujudkan beberapa projek penting bagi kegunaan rakyat dan pembangunan negara antaranya jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar, Menara Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat di Klang serta komuter.

Projek lain, katanya, ialah transit aliran ringan (LRT), monorel, jaringan lebuh raya di seluruh negara, kereta api elektrik dan landasan berkembar, pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya, Cyberjaya, pembangunan Pulau Langkawi, Proton, Modenas, kilang pembuatan cip Silterra, kilang simen dan lain-lain.

“Bagaimanapun saya tidak rasa Barry Wain merujuk kepada projek-projek ini ketika dia berkata saya merugikan RM100 bilion wang kerajaan,” katanya.

Beliau meminta kerajaan agar bersikap telus dan membuka semua siasatan berhubung perbelanjaan pada zaman pentadbirannya dan untuk berlaku adil, siasat juga pentadbiran selepas beliau.

“Tidak perlu ada sebarang cover up,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Barry Wain yang kini berpengkalan di Singapura begitu berani dan bersungguh-sungguh mahu menulis serta mendedahkan isu melibatkan pemimpin Malaysia.

“Dia tahu kalau dia menulis apa-apa menentang pemimpin Singapura, dia akan diheret ke mahkamah, disaman dan dipaksa membayar ganti rugi dalam jumlah yang banyak.

“Rakan-rakan sekerjanya ramai yang didapati salah kerana memfitnah apabila mereka menulis sesuatu yang tidak dipersetujui oleh para pemimpin Singapura,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia ,25/12/2009


Tak Perlu Siasat, Bukti di Depan Mata

Tun Dr Mahathir (TDM) merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang paling lama mentadbir Malaysia iaitu sejak tahun 1981 hingga tahun 2003, 22 tahun. Sekiranya dinisbahkan dengan “usia kemerdekaan” Malaysia, kira- kira 42% daripada usia Malaysia ditadbir oleh beliau. Maka tidak salah jika kita katakan apa jua kerosakan yang ada di depan mata kita sekarang merupakan hasil tangan beliau. Di celah- celah menara KLCC yang  dibangga-banggakan itu, di situ jualah kerosakan turut  berlaku.

Masyarakat sering memandang TDM sebagai bapa pemodenan. Namun yang menyedihkan, ukuran pemodenan itu dilihat dari sudut pemodenan menurut ukuran kapitalisme – naiknya KDNK, bertambahnya kuasa membeli rakyat, banyaknya pusat- pusat membeli belah, bangunan pencakar langit yang tumbuh bak cendawan selepas hujan dan sebagainya. Tetapi dalam Islam, apalah ertinya pemodenan sedemikian jika ia menghantar kepada kemurkaan Allah? Apakah dengan bertambahnya bangunan pencakar langit dan projek- projek mega mampu untuk menebus dosa pemimpin kerana gagal menerapkan hukum Islam ke atas masyarakat?

Kapitalis pastinya akan memandang kemajuan dari segi material  tanpa melihat keredhaan Allah sebagai kayu ukur utama. Maka tidak hairanlah kita melihat beliau melenting bila beliau dikatakan telah menyebabkan kerugian sebanyak RM100 billion sepanjang pemerintahannya. Hakikatnya, bukan itu yang seharusnya dilihat sebagai ukuran ‘kerugian’ yang dialami ketika pemerintahan TDM.  Lihatlah anak-anak muda dan orang tua yang tidak berakhlak, seks bebas, jenayah, rasuah dan pelbagai keruntuhan moral serta pertambahan jenayah yang berlaku selama 42% riwayat Malaysia diperintah oleh TDM – hasil tidak diterapkan Islam secara menyeluruh – inilah yang seharusnya dilihat sebagai tolok ukur utama dalam menilai pemerintahan beliau. Sejak Malaysia merdeka sehinggalah TDM dan kini Najib, Islam masih belum diterapkan sepenuhnya, sedangkan Allah telah berfirman :

Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].

…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].

…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].

Hidup selepas kematian merupakan perkara yang pasti dilalui oleh semua manusia. Kehidupan selepas kematian itulah merupakan kehidupan yang abadi selama- lamanya. Kepada pemimpin- pemimpin umat Islam yang masih berkuasa, takutilah Allah dengan menerapkan hukum-Nya. Janganlah mengkhianati Allah dan Rasulnya dengan tidak menerapkan peraturan Allah, malah menginjak- injaknya dan melemparkannya jauh di belakang. Sesungguhnya, sekiranya kalian menerapkan hukum Allah, mahligai yang kalian bakal duduki di akhirat nanti jauh lebih baik daripada mahligai palsu tempat kalian bersemayam di dunia hari ini. Dan sesungguhnya, janji Allah itu adalah benar dan azab Allah itu pun benar.