Talkshow : Harapan wanita untuk masa depan Malaysia lebih baik
Program ini telah mendapat sambutan yang baik daripada wanita yang mana mereka berpeluang meluahkan apa yang terbuku di hati selama ini berhubung permasalahan mereka. Ternyata para wanita di Malaysia hari ini merasakan kesulitan dan kesusahan yang terpaksa mereka hadapi saban hari dan tidak tahu apa penyelesaian dan bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan mereka dengan cara yang benar.
Talkshow ini telah dipengerusikan oleh Ustazah Mujahidah dan menampilkan Ustazah Husna selaku moderator, Ustazah Sumayyah dan Ustazah Ummu Hajar selaku Pembicara. Program dimulakan dengan Sumayyah memaparkan realiti dan permasalahan yang membelenggu wanita saat ini dengan menunjukkan statistik kes-kes sosial yang melibatkan wanita.
Wanita sering dikaitkan dengan pelbagai isu seperti gejala sosial yang akhirnya mengundang lahirnya bayi luar nikah, seterusnya pembuangan bayi. Wanita sering dijadikan bahan eksploitasi oleh pihak-pihak yang mementingkan keuntungan semata-mata, mereka dijadikan barang untuk diperdagangkan dan maruah mereka diperlekehkan. Selain itu wanita juga diperbodohkan dengan pelbagai helah yang kononnya wanita hebat di mata dunia apabila wanita mempunyai kerjaya yang hebat setanding lelaki. Padahal ukuran kehebatan dan kemuliaan wanita oleh Barat sangat berbeza daripada Islam. Sesungguhnya Islam memuliakan wanita sebagai ummun wa rabbatun bait (ibu dan pengurus rumahtangga).
Talkshow diteruskan kepada sesi soal jawab, perbincangan dan perkongsian pengalaman daripada para peserta. Satu persatu persoalan dan perkongsian pengalaman diutarakan oleh peserta dan dikomen oleh kedua-dua pembicara.Persoalan-persoalan berkisar kepada bagaimana memenuhi tanggungjawab sebagai ummun wa rabbatun bait dan pada masa yang sama terpaksa bekerja dan bagaimana caranya untuk membuang pemikiran-pemikiran kufur yang telah meracuni pemikiran wanita sejak sekian lama. Selain itu, pengalaman-pengalaman yang dikongsikan oleh peserta juga berkisar tentang betapa rosaknya institusi keluarga apabila tanggungjawab mencari nafkah terpaksa dipikul oleh si isteri.
Pembicara menekankan bahawa kesemua persoalan dan pengalaman hanya boleh dijawab dengan Islam di mnana Islam meletakkan tugas mencari nafkah kepada lelaki selaku suami dan juga bapa. Manakala tugas wanita adalah sebagai ibu dan pengurus rumahtangga. Tanggungjawab utama wanita tersebut tidak akan berubah dan kewajipan itu akan dipertangungjawabkan oleh Allah SWT di akhirat nanti. ‘Hukum’ bekerja bagi wanita adalah mudah/harus.
Sesungguhnya Allah SWT telah memuliakan wanita sebagai ibu dan pengurus rumahtangga yang mana dengan itu kehormatan dan hak wanita terpelihara. Wanita juga berkewajipan menuntut ilmu Islam agar mereka dapat membezakan pemikiran-pemikiran yang hak dan bathil, seterusnya dapat mendidik generasi akan datang dengan cetakan Islam.
Namun begitu, Barat telah memutarbelitkan tujuan sebenar menuntut ilmu yang mana Barat mengatakan wanita menuntut ilmu bertujuan untuk membina kerjaya dan seterusnya bersaing dengan lelaki dalam lapangan kerjaya untuk menunjukkan kehebatan masing-masing, Akibatnya para wanita yang terlalu mementingkan kerjaya telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu dan pengurus rumahtangga dan menyebabkan pemikiran dan syakhsiah generasi muda dicetak oleh cetakan keperibadian Barat. Jika ini dibiarkan terus berlaku, maka Barat semakin berjaya memainkan peranannya untuk menghancurkan generasi umat Islam.
Akhir sekali, Sumayyah telah menyimpulkan bahawa pemikiran-pemikiran Barat mesti disingkirkan dan dibuang jauh-jauh daripada pemikiran wanita. Ini kerana pemikiran umat Islam mesti berlandaskan aqidah Islam. Satu-satunya cara adalah dengan belajar dan mengajar tsaqafah Islam supaya generasi akan datang mempunyai akhlak yang unggul dan hanya aqidah Islam menjadi landasannya. Manakala Ummu Hajar menegaskan bahawa Malaysia amat perlu akan sistem pemerintahan Islam kerana hanya dengannya sahaja permasalahan wanita khususnya dan umat amnya akan dapat diselesaikan, seterusnya barulah harapan wanita untuk masa depan Malaysia lebih baik akan terlaksana dan bukan hanya angan-angan kosong.
Seminar diakhiri dengan tayangan multimedia yang berkaitan dengan tajuk talkshow ini serta bacaan doa yang dibacakan oleh adik Huda Anas.