Taubat seorang samseng, what’s next?

Gambar BL 010616Penghijrahan bekas gengster Singapura yang diberi gelaran Abang Long Fadzil atau nama sebenarnya MuhdFadzil Husin, 29,memang wajar mendapat pujian dan perhatian. Fadzil berkata, dia tidak pernah membayangkan hijrahnya kembali mendekati Islam daripada dunia samseng mendapat perhatian luar jangkaan rakyat negara ini.“Saya bukannya mahu menjadi seperti hari ini bertemu dengan pemberita, keluar video di sana sini, malah situasi ini menjadi ujian sangat besar”, katanya.

“Sekarang ini, jika ke mana-mana pun, ramai orang ingin bergambar dengan saya sedangkan penghijrahan ini bukanlah untuk mendapat perhatian atau mengejar populariti sebaliknya kerana Allah,” katanya dipetik dari sebuah akhbar tempatan.

Kisah penghijrahan Fadzil mencetuskan fenomena dalam kalangan masyarakat negara ini awal Mac lalu apabila video mengenai kisahnya bertaubat selepas mengalami mimpi kiamat menjadi viral di media sosial. Video berdurasi 51.26 saat itu dirakamkan ketika kemunculannya buat pertama kali pada program ceramah di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Beliau mengakui sebelum ini bergelumang dengan dunia samseng serta biasa memakan daging babi dan meminum arak.Setelah mengalami mimpi yang menyedarkannya, dia lalu bertaubat dan kembali ke jalan kebenaran.

Taubat Fadzil wajar menjadi pengajaran kepada samseng-samseng yang lain secara khususnya dan umat Islam secara umunya, Kembalinya Fadzil ke jalan Islam menunjukkan bahawa sejahat mana sekalipun seseorang insan itu, jika dia mahu berubah, maka dia boleh berubah kerana sesungguhnya pilihan ada di tangannya. Taubat kepada Allah itu merupakan satu kewajipan, tanpa perlu menunggu apa-apa mimpi atau apa-apa tanda atau peristiwa, walaupun tidak dinafikan ramai manusia yang berubah hasil sesuatu peristiwa yang menimpanya. Selama mana Allah masih belum mengambil nyawa mana-mana insan, dia tetap berpeluang untuk bertaubat.

Manakala kepada para pendakwah, wajar mengambil pengajaran bahawa orang yang samseng tidaklah seharusnya dikecualikan daripada menjadi mad’u (sasaran dakwah), kerana hidayah Allah sentiasa ada untuk diambil oleh orang yang telah meninggalkannya, sejahat mana sekalipun manusia itu.

Sistem Kapitalisme yang rosak hari ini memang melahirkan ramai golongan samseng seperti Fadzil, malah yang jauh lebih buruk dari itu pun ada dalam dunia hari ini. Apa yang penting sekarang ialah bagi Fadzil dan siapa sahaja yang telah bertaubat, bukan sahaja perlu kembali mengamalkan amal ibadah fardiyyah (bersifat individu) seperti solat, belajar fardu ain, puasa, bersedekah dan seumpamanya, tetapi wajib berjuang untuk memastikan agama Allah tegak di muka bumi ini, dengan berusaha mendirikan sebuah Negara Islam yang akan menerapkan syariat Allah secara kaffah.

Inilah apa yang dilakukan oleh Umar al-Khattab, yang sebelum keIslamannya, terkenal sebagai samseng dan digeruni di Kota Makkah. Namun setelah memeluk Islam, Umar menjadi pejuang Islam bersama Rasulullah SAW dan para sahabat yang lain, yang hidup matinya hanyalah untuk Islam, sehinggalah mereka berhasil menegakkan Daulah Islam di Madinah dan seterusnya Umar menjadi Khalifah umat Islam yang terkenal dengan kebaikannya, kewarakannya, keberaniannya, keadilannya dan pegangan teguhnya kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Inilah apa yang sepatutnya dilakukan oleh setiap insan yang telah sedar akan kesalahannya dan bertaubat kepada Allah.

Wallahua’lam.