Tempoh jawatan PM: Kedangkalan demokrasi yang berhukum dengan akal

Ahli-ahli Parlimen sekarang ini sedang sibuk membincangkan tentang tempoh jawatan Perdana Menteri yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk dihadkan kepada dua penggal. Perkara ini merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa PRU-14 yang lalu, yang baru sekarang ingin direalisasikan setelah lebih setahun setengah memerintah negara. Setakat ini sudah bermacam pendapat yang keluar tentang isu ini dari sudut baik dan buruknya.

Inilah realiti demokrasi yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada akal manusia untuk membahas dan menetapkan suatu hukum. Lain manusia, lain tempat, lain masa dan lain keadaan, maka lainlah cara berfikir mereka, mengikut kehendak akal masing-masing. Sememangnya demokrasi tidak pernah dan tidak akan pernah mempunyai ketetapan yang jelas dalam mengatur kehidupan manusia. Semuanya tergantung kepada akal ahli-ahli Parlimen untuk menetapkannya. Ini termasuklah dalam menetapkan tempoh jawatan ketua eksekutif tertinggi negara.

Idea untuk mengehadkan tempoh jawatan dalam pemerintahan ini bukanlah sesuatu yang baru, baik di Malaysia mahupun di dunia. Dulu jawatan Ketua Menteri Sabah juga pernah dihadkan, malah digilirkan. Namun selepas beberapa ketika ia dihapuskan. Di Indonesia baru-baru ini kedengaran cadangan untuk menambah tempoh masa Presiden menjadi 3 penggal. Di Amerika, umum mengetahui bahawa jawatan Presiden hanya dihadkan kepada dua penggal sahaja, dan nampaknya sekarang Malaysia cuba meniru tempoh ini.

Percubaan mengehadkan tempoh jawatan ini dilakukan dengan harapan ia memberikan kebaikan kepada semua pihak, selain dilihat lebih demokratik. Antara hujah mereka yang melakukan dan menyokong idea “trial and error” ini adalah, sekiranya seorang itu memegang jawatan Perdana Menteri terlalu lama, ia boleh membawa kepada penyelewengan dan salah guna kuasa. Seseorang pemimpin itu juga boleh menjadi diktator jika terlalu lama memerintah.

Pejuang demokrasi mencari pelbagai alasan untuk mempertahan atau memulihkan demokrasi yang rosak ini dengan akal masing-masing. Persoalannya, apakah benar faktor ‘masa’ menjadi penentu kepada masalah penyelewengan dan salah guna kuasa dalam sesebuah pemerintahan? Hujah ini ada kebenaran dan kedangkalannya dalam masa yang sama.

Di mana benarnya? Dengan adanya cadangan seumpama ini, ia menunjukkan betapa benarnya demokrasi melahirkan pemimpin yang rosak, rakus, tamak haloba, rasuah, salah guna kuasa dan menyeleweng. Lagi lama seseorang pemimpin itu memerintah, maka lagi koruplah dia, sehingga tempoh pemerintahannya perlu dihadkan. Justeru, demokrasi sebenarnya bukan menjadikan pemimpin itu bertambah baik, tetapi bertambah kediktatorannya. Ringkasnya, demokrasi tidak lebih daripada sebuah proses memilih diktator melalui suara majoriti. Inilah kebenarannya.

Di mana pula dangkalnya? Kedangkalan idea ini terserlah apabila mereka berpandangan bahawa seseorang pemimpin itu tidak akan korup dalam tempoh sepenggal atau dua penggal, tetapi dia hanya akan korup selepas tempoh tersebut. Pencadang dan penyokong idea ini gagal berfikir bahawa seseorang pemimpin itu menjadi korup bukan atas faktor masa, tetapi faktor sikap, faktor keimanan dan ketakwaannya. Seseorang pemimpin boleh sahaja korup selepas sebulan atau setahun memerintah, tanpa perlu menunggu 5 atau 10 tahun untuk menjadi korup. Malah hakikatnya rata-rata pemimpin dalam demokrasi telah pun korup sebelum mereka menjadi pemimpin lagi!

Berapa lama tempoh jawatan ketua negara dalam Islam

Isu tempoh jawatan ketua negara ini merupakan salah satu bukti pertentangan nyata antara demokrasi dengan Islam. Kepada sesiapa yang menyatakan sistem demokrasi itu selari dengan Islam, nah sekarang perhatikanlah perbezaannya. Tempoh jawatan ketua negara dalam demokrasi adalah ditentukan oleh akal-akal manusia, yang boleh berubah-ubah mengikut undang-undang yang mereka fikir dan buat sendiri. Sedangkan dalam Islam, tempoh jawatan ketua negara adalah ditentukan oleh syarak, bukan oleh akal manusia, dan setiap Muslim wajib terikat dengan syarak.

Umum mengetahui bahawa Rasulullah (saw) memegang jawatan ketua negara sampai baginda wafat dan tidak terdapat satu hadis pun di mana baginda mengehadkan tempoh jawatan ketua negara kepada setahun, 2 tahun, 5 tahun atau 10 tahun. Begitu juga dengan para Khalifah Rasyidin setelah baginda yang memegang jawatan sehingga kewafatan masing-masing, dan tidak ditemukan Ijma’ (kesepakatan) sahabat bahawa tempoh jawatan Khalifah dihadkan kepada tempoh tertentu.

Di sinilah pertentangan nyata antara demokrasi dan Islam di mana demokrasi telah menetapkan tempoh pilihanraya (di Malaysia) maksimum 5 tahun sekali yang bererti tempoh jawatan ketua negara juga adalah 5 tahun, dan boleh dilantik semula untuk tempoh 5 tahun lagi jika menang dan begitulah seterusnya. Sedangkan Islam tidak pernah menetapkan tempoh pemerintahan Khalifah selama 5 tahun! Apa yang nyata, tempoh maksimum 5 tahun pemerintahan bukan merupakan Sunnah Rasulullah (saw) tetapi adalah “sunnah” Lord Reid!

Sesungguhnya dalam Islam, jawatan Khalifah tidak mempunyai tempoh masa tertentu untuk dibatasi, malah haram untuk membataskannya menurut akal masing-masing. Selama mana Khalifah masih menerapkan hukum syarak dan tidak hilang kelayakannya dari segi syarak, maka haram untuk umat Islam memecatnya, atau melawan atau memberontak terhadap Khalifah. Ini kerana Khalifah itu dibaiah untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Maka selama mana ia masih berpegang teguh kepada keduanya dalam pemerintahannya, maka ia wajib ditaati.

Namun demikian, bukan bermaksud yang seseorang Khalifah itu tidak boleh diberhentikan. Apabila wujud sebab-sebab yang syarie, maka Khalifah boleh diberhentikan. Apabila terjadi sesuatu yang mengakibatkan Khalifah perlu dipecat atau dia secara sukarela meletak jawatan, maka tempoh keKhilafahannya akan berakhir dengan pemecatan atau peletakan jawatannya. Namun demikian, ini bukanlah bermaksud pembatasan tempoh jawatan Khalifah, tetapi merupakan “kejadian” kerana rosaknya syarat-syarat kekhalifahannya.

Selama mana Khalifah tidak kehilangan tujuh syarat in’iqad (pelantikan)nya – iaitu Muslim, lelaki, berakal, baligh, merdeka, adil dan mampu), masih berpegang teguh kepada syariah dan menerapkan hukum-hukum Allah, maka selama itu ia tetap sah menjadi Khalifah dan sama sekali tidak boleh diberhentikan. Jika ia sudah tidak lagi menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, maka ia wajib diberhentikan. Selain itu, Khalifah wajib diberhentikan apabila wujud tiga keadaan berikut:-

(1) Jika ia melanggar salah satu syarat dari syarat-syarat in’iqad, misalnya ia murtad, menukar jantina, fasiq secara terang-terangan, gila dan lain-lain;

(2) Atas sebab tertentu, ia tidak lagi mampu memikul tugas-tugas keKhilafahan seperti sakit kronik, menjadi cacat, tua nyanyuk dan sebagainya;

(3) Adanya tekanan dari pihak tertentu yang menyebabkannya tidak lagi mampu menjalankan urusan negara menurut pendapatnya sesuai dengan ketentuan syarak.

[Lihat pembahasan terperinci dalam kitab Asy-Syakhsiyyah Al-Islamiyyah Jilid II, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani]

Inilah pertentangan nyata antara demokrasi dan Khilafah dari sudut pembatasan tempoh jawatan ketua negara. Dalam demokrasi, tempoh jawatan ditentukan oleh akal-akal manusia yang sentiasa berubah-ubah mengikut hawa dan kepentingan masing-masing. Manakala dalam Islam, syaraklah yang menjadi penentu bilakah seseorang ketua negara itu perlu diberhentikan. Dalam Islam, peranan akal hanyalah untuk memahami syarak dan bukan untuk merubah hukum syarak mengikut kehendak nafsu sebagaimana peranan akal dalam demokrasi.

Rosak dan haramnya demokrasi kerana ia dibina dan ditentukan oleh akal-akal manusia, dari segenap sudutnya. Sesungguhnya akal manusia tidak akan mampu untuk mengatur keseluruhan kehidupan manusia, kerana peraturan untuk manusia itu wajib datang dari Pencipta manusia yang Maha Sempurna.

Wallahu a’lam.

Umar Hussein
Pimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia