Tiada erti keluar UMNO jika tak perjuang Islam
Sejumlah kira-kira 600 orang ahli UMNO dari bahagian Batu Sapi, Sandakan, telah mengisytiharkan keluar daripada parti itu baru-baru ini, sebagai tanda sokongan terhadap Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang telah bertindak keluar UMNO, setelah digantung sejak 24 Jun lalu.
Pada tarikh yang sama, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta, yang menambah parahkan lagi krisis dalaman parti assabiyyah Melayu terbesar itu.
Terbaru, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah mengumumkan bahawa satu pakatan pembangkang baru akan ditubuhkan sebelum PRU-14 nanti dalam usaha menumbangkan Najib dan Barisan Nasional.
Demikianlah krisis demi krisis melanda UMNO yang menunjukkan betapa perjuangan berasaskan manfaat tidak akan bertahan lama apabila manfaatnya sudah hilang. Umum sudah mengetahui, apatah lagi ahli UMNO, bahawa presiden UMNO memang pantang “dilawan”. Jika sesiapa cuba melawan, itulah padahnya, dan hal ini bukan baru berlaku pada presiden kali ini, malah kepada presiden sebelum-sebelum ini juga.
Hanya ada dua ikatan sahaja dalam UMNO iaitu ikatan Melayu dan ikatan manfaat. Dalam UMNO, ikatan manfaat adalah melebihi segala-galanya. Kerana itu, besar mana sekalipun ikatan keMelayuan dalam UMNO, tetapi apabila manfaat yang ada sudah hilang, maka hilanglah segala-galanya. Tidak ada orang yang akan bersama UMNO jika tiada manfaat dan orang akan dikeluarkan dari UMNO atau akan keluar dari UMNO apabila manfaatnya telah hilang. Itulah hakikatnya dengan UMNO dan itulah “perjuangan” UMNO yang sebenar.
Sesungguhnya tindakan ahli-ahli UMNO keluar daripada parti tersebut merupakan langkah yang bijak dan betul, cuma ia tidak sepatutnya dilakukan atas sebab protes, atas sebab mengikut orang lain, atas sebab hilang manfaat dan seumpamanya, tetapi mesti dilakukan atas sebab atau niat untuk keluar dari perjuangan yang salah menuju kepada perjuangan yang benar.
Perjuangan yang benar adalah perjuangan Islam, bukannya perjuangan assabiyyah atau wathaniyyah atau perjuangan manfaat seperti yang dibawa oleh UMNO. Perjuangan yang benar adalah dengan meneladani perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW, yakni perjuangan untuk menegakkan agama Allah secara kaffah dalam bingkai Daulah Islam yang diwajibkan oleh Allah SWT.
Justeru, tiada ertinya keluar daripada UMNO jika cara berfikir dan cara bertindak masih lagi UMNO dan tidak menjadikan Islam sebagai perjuangan. Syariat Allah wajib diterapkan secara kaffah, dan ternyata UMNO sebagai parti pemerintah selama ini tidak pernah menerapkannya. Maka ahli-ahli UMNO yang tidak memuhasabah pemimpin mereka untuk menerapkan syariah turut menanggung dosa sebagaimana pemimpin mereka juga.
Jadi, inilah masanya bagi ahli-ahli UMNO yang telah keluar parti mahupun yang dikeluarkan daripada parti, untuk sedar akan kewajipan yang telah mereka lalaikan selama ini dan wajib segera beralih kepada perjuangan untuk menegakkan syariah dan Khilafah. Selagi malaikat maut belum datang menjemput, mereka masih berpeluang untuk menghadap Allah dengan membawa perjuangan yang benar.