Tindakan Bodoh Menghantar Baulu Ke Ghaza
BALING 31 Julai – Kuih bakar dan baulu yang popular di kalangan masyarakat Melayu di negara ini adalah antara juadah berbuka puasa keluarga miskin di Gaza, Palestin pada Ramadan ini. Kuih tradisional itu yang akan diagihkan kepada 2,000 keluarga miskin adalah antara barangan makanan dan pakaian yang dibawa ke Gaza oleh pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia pada 8 Ogos ini. Presiden kelab berkenaan, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kuih tradisional buatan pengusaha kuih dari Baling itu antara 300,000 kuih yang akan disumbangkan kepada penduduk Gaza. “Kita juga membawa keperluan lain termasuk pakaian kanak-kanak dan orang tua serta ubat-ubatan yang akan diberikan kepada golongan memerlukan,” katanya. Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Ekonomi dan Keusahawanan sempena program Juara Rakyat Baling di Dewan Masjid Ridzwaniah, Pekan Baling di sini hari ini.
Sumber: Utusan Malaysia 01/08/10
Wahai Abdul Azeez ! Gaza: Hantar Tentera Bukannya Kuih Bakar
Satu lagi tindakan ”bodoh” yang memualkan. Itulah yang boleh kita katakan. Walaupun mungkin ianya agak pedas tetapi itulah hakikatnya. Manusia itu kadang-kadang perlu dikejutkan dengan kata-kata yang sedemikian rupa agar mereka sedar bahawa apa yang mereka buat itu adalah sesuatu yang salah dan tidak akan menyelesaikan masalah Palestin. Hakikatnya, mereka sebenarnya mampu dan berupaya untuk mengambil tindakan yang betul untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi jika mereka menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan. Sememangnya Abdul Azeez adalah individu yang terkenal dengan kerja-kerja ”hebatnya”. Jika dulu pada tahun 2007 beliau telah mengetuai ekspedisi pasukan terjunan bebas Putera Umno ke Kutub Utara yang begitu ’gah’ dihebohkan ke seluruh dunia kini beliau berusaha pula menghantar kuih bakar dan baulu ke Gaza dengan tujuan ”murni” membantu keluarga miskin di sana.
Apakah beliau sedar keluarga miskin di Gaza itu muncul hasil dari kerja jahat Israel laknatullah yang menjarah dan menghabisi bumi Palestin milik umat Islam itu? Inilah akibatnya apabila umat Islam tidak memahami thariqah Islam dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Pemikiran rasional akan menjelaskan bahawa permasalahan di Gaza itu adalah berpunca dari kebiadaban Israel laknatullah yang terus menunjukkan keangkuhannya kepada dunia Islam khususnya kepada umat Islam di sana, di mana mereka tahu tidak ada sesiapa pun disaat ini yang akan berani bertindak memberhentikan kebiadaban mereka. Israel laknatullah mengetahui bahawa para pemimpin dunia umat Islam saat ini tidak akan berbuat apa-apa melainkan akan hanya mengadakan sidang tergempar, resolusi ataupun kutukan dan kecaman semata-mata. Semuanya itu akan sejuk selepas panas buat seketika. Apa ertinya perut penduduk di Gaza kenyang berisi dengan kuih bakar dan baulu kiriman Azeez jika selepas itu perut-perut itu jugalah yang akan terburai dek muntahan peluru kejam zionis Israel laknatullah yang terus mengganas tanpa rasa belas kesian? Tidak kira lelaki, wanita, dewasa, kanak-kanak, muda mahupun tua, semuanya akan dihabisi.
Wahai umat Islam! Selagi ada Israel maka selagi itulah umat Islam di Gaza akan terus menjadi mangsa. Untuk itu, satu-satu penyelesaian kepada isu di Gaza, dan inilah thariqah yang telah ditetapkan oleh Islam dan inilah yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga para khalifah selepasnya, adalah jihad yang wajib dilakukan oleh para tentera umat Islam. Tetapi hakikatnya hari ini dan disaat ini para tentera umat Islam itu telah dipasung dan dirantai oleh rantai-rantai nationalisme yang dipaksakan oleh para pemimpin sekular umat Islam atas kaki-kaki mereka. Amat buruk sebenarnya apa yang dilakukan oleh para pemimpin thagut itu! Yakinlah bahawa jika Khilafah berdiri maka Khalifah akan menghantar bala tenteranya untuk membela dan membebaskan umat Islam di Palestin. Ayuh! Marilah kita berusaha untuk menegakkan kembali perisai pelindung umat ini! Tepuk dada tanyalah iman!