Tol Haram Di Sisi Islam, Umat Jangan Tertipu

 
altTol PJS 2 di NPE dikurangkan kepada RM1

PETALING JAYA 17 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kadar tol Petaling Jaya Selatan (PJS) 2 di Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) dikurangkan daripada RM1.60 kepada RM1. Perdana Menteri berkata, kadar baru tol berdekatan Taman Medan dan menghala ke Bandar Sunway itu akan mula berkuat kuasa selepas pukul 12 tengah malam ini. “Saya sudah janji bahawa kita akan buat terbaik untuk rakyat dan ini adalah contoh apa yang kita buat ini adalah demi rakyat,” katanya semasa berucap pada Pesta Capgome anjuran Barisan Nasional (BN) Selangor di sini hari ini. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan PJS sempena sambutan Tahun Baru Cina dan Capgome. Najib berkata, pengumuman itu dibuat istimewa bagi rakyat Selangor dan Malaysia.  Penduduk di kawasan itu sebelum ini pernah mendesak kerajaan supaya menghapuskan bayaran tol di situ kerana ia dilihat menyusahkan mereka terutama yang terpaksa berulang-alik dari Taman Medan ke Shah Alam untuk bekerja. Sebelum ini, kerajaan pada 13 Februari 2009 telah memansuhkan kutipan tol di plaza yang sama menghala ke Kuala Lumpur. Lebuh raya sepanjang 19.5 kilometer itu mula beroperasi sejak 30 April 2004 dan diuruskan oleh syarikat konsesi lebuh raya New Pantai Express Way Sdn. Bhd.

Sumber : Utusan Malaysia, 18/02/11

Tol Haram Di sisi Islam. Umat Jangan Tertipu.

Umat Islam dan rakyat Malaysia sewajarnya tidak tertipu dengan pengurangan tol PJS2 di NPE yang diumumkan oleh Najib. Sandiwara dan lakonan ini akan terus dilakukan bagi mencapai tujuan politik pemerintah sekular yang ada pada hari ini.  Pihak pemerintah ini sudah pasti akan terus berusaha untuk mempertahankan dan mengekalkan kuasa politik mereka dan pengurangan tol ini adalah sekadar untuk mengula-gulakan rakyat bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang ke 13 (PRU 13). Dengan dakwaan kononnya “Saya sudah janji bahawa kita akan buat terbaik untuk rakyat dan ini merupakan contoh dari apa yang kita buat demi rakyat,” maka Najib dengan bangganya menurunkaan tol dari RM1.60 kepada RM1. Bagi Najib yang bergaji puluhan ribu sebulan, nilai RM1 itu terlalu kecil baginya. Namun bagaimana dengan majoriti rakyat yang lain? Sewajarnya pertimbangan Najib selaku pemimpim Islam adalah hukum syara’ bukannya selain dari itu. Penurunan tol ini tidak ada nilainya di sisi Islam kerana tol itu sendiri adalah suatu bentuk cukai yang haram dikutip oleh pemerintah daripada rakyatnya sendiri. Jalan raya adalah salah satu bentuk pemilikan umum yang wajib disediakan oleh pemerintah kepada rakyatnya. Dalam Islam pemerintah ataupun pemimpin itu adalah pihak yang wajib mengurus kepentingan rakyatnya. Sabda Nabi SAW:

”Imam (pemimpin) itu adalah pemelihara, dan dia akan dipertanggungjawabkan dari apa yang dipeliharanya (rakyatnya)” [HR Bukhari].

Ini berbeza dari keadaan dalam sistem kapitalisme sepertimana hari ini, di mana para pemerintah yang berkuasa terus merompak harta rakyat dan apa yang lebih malang lagi ialah mereka berniaga dan mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit dari peluh dan keringat rakyat.  Justeru itu suatu kesedaran politik Islam perlu ada di dalam diri umat agar mereka tidak terus ditipu oleh para pemimpin sekular yang berkuasa di saat ini.

Wahai umat Islam! Inilah bentuk penipuan dan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah umat Islam yang menerapkan sistem kapitalisme. Dengan dalil pengswastaan maka rakyat terus dan akan terus ditipu oleh para pemimpin mereka sendiri. Untuk itu sudah tiba masanya umat Islam bangkit dan bergerak dan seterusnya berusaha untuk menukar sistem kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah sekular hari ini dengan jalan menegakkan semula sistem pemerintahan Islam, al-Khilafah.

Lihat: SN151 – TOL : SAMPAI BILA PEMERINTAH MAHU MENANGGUNG DOSA?