Trump iktiraf Baitul Maqdis ibu kota “Israel”

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel hari ini, dalam keputusan bersejarah yang mengubah dasar negara itu sejak berdekad-dekad dan mencetuskan risiko keganasan baharu di Asia Barat.

“Israel negara berdaulat yang mempunyai hak sama dengan negara lain untuk menentukan ibu negaranya sendiri. Pengiktirafan ini perlu dilakukan untuk mencapai kedamaian.

“Sudah tiba masanya untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel secara rasmi,” kata pemimpin AS itu di Rumah Putih sambil mengggesa sikap tolak ansur mengatasi kebencian.

Pengisytiharan itu disambut kritikan tegas serantau dan ia mengakhiri tempoh tujuh dekad ketidaktentuan diplomatik mengenai status bandar suci terbabit, yang didakwa dimiliki Israel dan Palestin.

“Ramai presiden berkata mahu melakukan sesuatu tetapi mereka tidak melaksanakannya. Ia mungkin disebabkan faktor keberanian atau mengubah pemikiran mereka, saya tidak pasti. Hal ini sudah lama tertangguh,” katanya.

Kebanyakan masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel secara rasmi, sambil menegaskan isu itu hanya boleh diselesaikan menerusi rundingan, seperti ditegaskan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

“AS akan menyokong penyelesaian dua negara jika dipersetujui kedua-dua pihak,” kata Trump sambil mengumumkan bahawa Naib Presiden, Mike Pence akan berkunjung ke rantau itu beberapa hari lagi.

Trump terpaksa bertindak dalam isu kedutaan itu disebabkan satu undang-undang pada 1995 yang menyatakan bahawa bandar itu patut diisytiharkan sebagai ibu negara Israel dan kedutaan patut dipindahkan ke situ.

– Berita Harian, Rabu, 6 Disember 2017


Ulasan

Pengiktirafan Baitul Maqdis sebagai milik negara haram entiti Yahudi seharusnya membuka mata kita bahawa para pemimpin dunia umat Islam tidak pernah serius dalam usaha membebaskan tanah suci Palestin daripada penjajahan entiti Yahudi.

Sejak deklarasi Balfour yang menyaksikan British menyerahkan sebahagian besar tanah di Palestin kepada pendatang Yahudi pada tahun 1917 sehingga ke hari ini, umat Islam tidak mempunyai seorang pemimpin yang benar-benar bersungguh untuk membebaskan tanah Palestin seperti Khalifah Umar al-Khattab dan panglima Salahuddin Al-Ayyubi.

Hakikatnya, umat Islam sudah bosan dengan retorik dari para pemimpin negara-negara umat Islam selama ini, sudahlah mereka hanya mengecam serta mengutuk dari kerusi empuk di meja rundingan dan dihadapan media, malah pada hakikatnya mereka telah lama mengiktiraf penjajahan ini melalui hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara-negara yang membela entiti Yhaudi khususnya Amerika Syarikat, bahkan ada yang sehingga menjalinkan hubungan langsung dengan negara haram entiti Yahudi seperti Turki. Bukanlah suatu rahsia bahawa para pemimpin yang hipokrit ini hanya menjadikan isu Palestin sebagai sentimen untuk survival politik mereka, bukan kerana atas dasar keikhlasan dan sentimen akidah Islam yang sebenar!

Semoga dengan berita penghinaan ke atas tanah suci Baitul Maqdis ini, dapat menyatukan hati umat Islam diseluruh pelosok dunia, tanpa mengira bangsa dan warna kulit, agar bangkit bersatu membela tanah suci ketiga bagi umat Islam daripada penjajahan negara haram entiti Yahudi. Umat ini wajib bersatu membentuk satu kesatuan dan kekuatan institusi politik yang dengannya akan menggerunkan musuh Islam, dan ini tidak mungkin menjadi kenyataan melainkan umat Islam bersatu di bawah panji Rasulullah SAW, Nabi junjungan kita yang mulia. Hanya denganya tanah umat Islam di Palestin dapat dibebaskan keseluruhannya dari cengkaman musuh Islam.

Allah SWT berfirman:

Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad SAW) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” [TMQ  as-Saf (61): 9]

La haula wa la quwwata illa billah

Penulis: Saudara Barakath

Sumber bharian.com