Tudung bukan untuk berfesyen tetapi kewajipan
Pengacara dan pelakon terkenal, Neelofa menyifatkan serbuan terhadap dua premis yang menjual jenama tiruan milik Naelofar Hijab baru-baru ini bukan untuk menyekat pintu rezeki peniaga terbabit.
Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd. Nor, 27, berkata serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor itu bagi mengelakkan para peminat tudung Naelofar Hijab daripada terus tertipu oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab, menurut laporan akhbar.
Katanya lagi, beliau sentiasa membuka peluang perniagaan kepada orang awam yang ingin menjual tudung Neelofar Hijab tetapi peniaga-peniaga itu perlu mengikuti program stokis yang disediakan.
‘Kegilaan’ kepada fesyen bertudung sekarang ini amat menjadi-jadi dalam kalangan wanita Islam di Malaysia. Hal ini menjadi satu fenomena apabila artis-artis popular telah memakai tudung yang multi-design dan sering dijadikan model oleh syarikat-syarikat pengeluar tudung. Apatah lagi dengan iklan dan promosi besar-besar yang dilakukan oleh syarikat pengeluar, hal ini semakin membuak-buakkan keinginan wanita untuk mengenakan tudung pelbagai bentuk dan gaya ini.
Hukum memakai tudung adalah wajib ke atas setiap wanita Islam dan terdapat banyak hukum yang merincikan lagi tentang pemakaian tudung ini yang antaranya adalah keharaman bertabaruj (berhias untuk menarik perhatian).
Setiap wanita wajib memakai tudung labuh hingga menutupi dada (khimar) dan diharamkan bertabaruj. Jika tudung telah menutupi dada tetapi ada unsur tabaruj, maka hal ini diharamkan.
Adapun ‘ukuran’ tabaruj adalah bergantung kepada masyarakat setempat di mana jika hal itu (pemakaian tudung) menjadi tarikan orang yang melihat kerana sifat fesyennya begitu, maka hal ini diharamkan. Setiap wanita hendaklah ingat bahawa hukum memakai tudung adalah untuk menutup aurat dan bukannya untuk berfesyen atau untuk menarik perhatian, apatah lagi jika ingin menarik perhatian kaum lelaki.
Namun demikian, jika ‘fesyen’ tersebut sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat di tempat itu dan tidak bersifat menarik perhatian (tidak tabaruj), hal ini dibolehkan, dengan syarat wanita tersebut tetap menjaga saiz tudung tersebut hingga menutupi dada (khimar) dan pakaiannya pula hendaklah ‘pakaian sekeping’ (jubah / jilbab).
Justeru, selain pembeli/pengguna, pereka fesyen mahupun pengeluar, wajiblah memerhatikan hal ini agar tidak terjerumus ke dalam keharaman dan ingatlah bahawa hukum berpakaian itu adalah untuk menutup aurat, bukannya untuk berfesyen atau menunjuk-nunjuk atau riak.
Kepada pengeluar yang menggunakan ‘jenama’ orang lain dengan tujuan memperdaya atau mengelirukan orang ramai agar mempercayai bahawa itu adalah jenama yang asal/tulen, maka hal ini adalah diharamkan, kerana termasuk dalam kategori menipu.
Wallahu a’lam.