Turun-naik harga minyak hanya ikut kepentingan politik
Harga runcit petrol RON95 dan RON97 termasuk diesel bagi bulan April naik antara 10 sen hingga 20 sen seliter berkuat kuasa 1 April lalu. Seperti biasa, alasan kenaikan itu adalah susulan trend kenaikan harga minyak mentah dunia sepanjang Mac lalu.
Kenaikan itu menjadikan harga baharu RON95 ialah RM1.70 seliter dan RON97 menjadi RM2.05, sementara diesel menjadi RM1.55. Setiap kali harga minyak naik, maka berduyun-duyunlah kenderaan ‘menyerang’ stesen minyak pada malam terakhir sehingga banyak stesen minyak kehabisan stok, walaupun hakikatnya minyak yang diisi dalam kenderaan masing-masing hanya dapat bertahan selama beberapa hari sahaja dan selepas itu terpaksa diisi semula dengan harga yang telah naik tersebut.
Sistem pengapungan terkawal yang diperkenalkan oleh kerajaan menjadikan harga minyak berkemungkinan naik atau turun setiap bulan, berdasarkan harga semasa minyak mentah dunia. Walau bagaimanapun, Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak dengan penduduk kira-kira 30 juta menawarkan harga minyak lebih mahal berbanding negara pengeluar minyak lain seperti Arab Saudi, Mexico dan Iran.
Walau apa pun mekanisme atau justifikasi kerajaan dalam menetapkan harga minyak, ia tidak merubah hakikat yang penetapan harga minyak ini sebenarnya adalah bergantung kepada kepentingan dan manfaat politik dunia dan tempatan. Pemotongan subsidi, penjimatan, penawaran dan permintaan, turun-naik harga minyak dunia dan pelbagai alasan lagi, semua ini hanyalah ‘permainan politik’ bagi mewajarkan tindakan sesebuah negara dalam menetapkan harga minyak.
Menurut Islam, minyak merupakan hasil bumi yang termasuk dalam al-milkiyyah al-ammah (pemilikan umum) dan wajib diuruskan oleh negara untuk kepentingan dan manfaat rakyat, bukannya untuk keuntungan pemerintah! Tugas negara hanyalah mengelola pengeluaran minyak dari awal hingga ke akhirnya dan segala keuntungan hendaklah dikembalikan semula kepada rakyat setelah ditolak segala kos pengeluarannya dari A-Z. Inilah hukum Islam ke atas harta-harta yang termasuk dalam al-mikiyyah al-ammah.
Kita tidak nafikan yang kemungkinan naik-turun harga minyak turut berlaku dalam pemerintahan Islam berdasarkan pelbagai faktor, tetapi bezanya dengan apa yang kita saksikan dalam sistem pemerintahan Kapitalis pada hari ini ialah dari segi ketelusan dan pengaturan hukum. Islam menetapkan yang segala al-milkiyyah al-ammah adalah milik umat dan diuruskan oleh negara untuk kepentingan umat, berbeza dengan Kapitalis yang menetapkan al-milkiyyah al-ammah sebagai milik individu/syarikat atau negara dan segala keuntungan masuk ke kantung individu/syarikat atau negara.
Selagi tidak ada Negara Islam (Khilafah) yang mengatur urusan umat berdasarkan hukum Islam, selagi itulah kita akan menyaksikan kekayaan negara akan terus dikaut oleh pemerintah dan rakyat akan terus tertipu dan tertindas.