Ucapan Amir Hizbut Tahrir, Ulama Tersohor Atha’ bin Khalil Abu ar-Rashtah, Sempena Memperingati 102 Tahun Hijriyyah Jatuhnya Khilafah

بسم الله الرحمن الرحيم

(Terjemahan)

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam semoga tercurah ke atas Rasulullah (saw), keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda dan siapa sahaja yang mengikuti baginda…

Kepada umat Islam, secara umumnya…dan kepada para pengembang dakwah yang berjuang menegakkan semula Khilafah Rasyidah secara khususnya…

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Pada hari ini, pada 28 Rajab 1342 H, bersamaan dengan 3 Mac 1924 M, iaitu 102 tahun Hijriyyah yang lalu, penjajah kuffar yang dipimpin oleh Britain pada waktu itu, dengan kerjasama para pengkhianat Arab dan Turki, telah berjaya menghapuskan negara Khilafah. Mustafa Kemal melakukan jenayah al-kufr al-bawwah (kekufuran secara terang-terangan), dengan menghapuskan Khilafah di Istanbul, dengan mengepung Khalifah dan mengusirnya pada pagi hari tersebut. Kesengsaraan yang cukup menyakitkan telah menimpa wilayah-wilayah kaum Muslimin dengan hancurnya Khilafah…Sungguh merupakan sebuah kewajipan atas umat Islam untuk memerangi orang yang melakukan kekufuran secara terang-terangan dengan pedang, seperti mana yang diriwayatkan dalam hadis Rasulullah (saw) yang disepakati (al-muttafaq alaih), dari Ubadah bin Samit,

«وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْراً بَوَاحاً عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ»

“(Bahawa) kami tidak merampas urusan daripada pemiliknya kecuali kalian melihat kekufuran secara terang-terangan yang mana kalian memiliki bukti yang nyata dari Allah tentangnya” [HR Bukhari dan Muslim].

Walau bagaimanapun, umat Islam (pada waktu itu) tidak melakukan apa-apa untuk menggentarkan penjenayah itu dan para pembantunya, yang (jika dilakukan) akan menjadikan dia dan rakan-rakannya sebagai orang-orang yang rugi. Sebaliknya, tindak balas umat Islam sangatlah lemah dan tidak membawa apa-apa makna!

Sejak itulah sejarah umat Islam menjadi gelap. Dahulu Khilafah adalah negara bagi umat Islam, sebuah negara yang berdiri di atas kebenaran dan keadilan, tetapi kini umat Islam mempunyai lebih dari lima puluh serpihan sebagai negara, dengan segala bentuk penderitaan yang dialami akibat penguasa mereka sendiri. Bahkan gempa bumi yang terjadi di Syria dan Turki pada pertengahan Rajab ini pun tidak dapat menghapuskan perpecahan umat Islam, dan tidak dapat mengembalikan kesatuan mereka sebagai satu negara. Sebaliknya, mereka terus berada dalam serpihan yang tercerai-berai, baik sebelum mahu pun selepas gempa bumi, sedangkan mereka tidak mengambil iktibar!

﴿أَوَلَا يَرَوْنَ أَنَّهُمْ يُفْتَنُونَ فِي كُلِّ عَامٍ مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ ثُمَّ لَا يَتُوبُونَ وَلَا هُمْ يَذَّكَّرُون﴾

“Dan tidakkah mereka memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, dan mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?” [At-Taubah (9):126].

Bagaimana pun, musibah gempa ini menunjukkan bahawa Islam tetap berada dalam lubuk hati umat ini. Ketika mereka sedang menyelamatkan saudara-saudara mereka di bawah runtuhan, orang-orang Islam melaungkan Takbir. Malah, kalimah Takbir tidak putus-putus keluar dari mulut mereka, terutamanya ketika mereka menyelamatkan bayi-bayi, yang ibunya telah melahirkannya, lalu kemudian meninggal di bawah runtuhan…atau ketika ada seorang yang didapati tertimbus manakala tasbih kelihatan berada di tangannya yang menunjukkan dia sedang membesarkan Tuhannya..atau ketika mereka sedang berusaha mengeluarkan seorang wanita daripada runtuhan sebuah bangunan, wanita itu meminta agar kepalanya ditutup, sebelum dibawa keluar agar rambutnya tidak kelihatan…atau ketika seorang mangsa memanggil-manggil para penyelamat untuk mengeluarkannya daripada bawah runtuhan, dia terlebih dahulu meminta air untuk berwuduk agar tidak terlepas waktu solat..kemudian ada seorang yang ketika para penyelamat sedang melakukan proses penyelamatan, mendapatinya sedang membaca ayat-ayat dari Surah al-Baqarah…atau ketika seorang anak gadis yang sedang dikeluarkan daripada runtuhan menyuarakan kesedihannya kerana tidak dapat menunaikan solat pada hari itu…dan di sepanjang proses penyelamatan itu, Takbir Allahu Akbar…Allahu Akbar…Allahu Akbar terus berkumandang.

Inilah umat Islam. Semoga Allah memberkati setiap Muslim yang terkorban dalam gempa tersebut. Semoga mereka tergolong dalam Syuhada’ Akhirat dengan izin-Nya. Semoga Dia menyembuhkan kesemua yang tercedera dengan kesembuhan yang sepenuhnya dengan tidak meninggalkan bekas…semoga Dia membantu setiap Muslim yang berjaya diselamatkan daripada gempa tersebut dengan memberinya kehidupan yang baik yang mana ia akan menghabiskan waktunya dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Inilah perbezaan antara umat Islam dan penguasa mereka di wilayah kaum Muslimin. Kedua mereka sememangnya terpisah. Perbezaan yang sangat ketara ini telah berlaku selama 102 tahun Hijriyyah ini (yakni) sejak malapetaka jatuhnya Khilafah!

Dengan mengeksploitasi kejatuhan Khilafah, kuffar penjajah menimpakan satu lagi penderitaan yang menyakitkan ke atas umat Islam iaitu dengan memberikan sebuah negara kepada orang-orang Yahudi, di Tanah Yang Diberkati, tanah isra’-nya Rasulullah (saw) yang sekali gus menjadi tempat baginda di-mi’raj-kan. Kuffar penjajah kemudian menyediakan segala bentuk keperluan bagi memastikan Yahudi terus hidup di situ. Bentuk keperluan yang paling utama ialah dengan melindungi keselamatan Yahudi melalui tangan-tangan penguasa Muslim yang ada di sekeliling Tanah Yang Diberkati itu. Maka, tewaslah para penguasa ini di tangan orang-orang Yahudi dalam setiap peperangan yang terjadi, sehingga mereka memberikan gambaran terhadap Yahudi suatu gambaran yang berlainan daripada apa yang Allah (swt) telah sifatkan terhadap Yahudi;

﴿وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَة﴾

“Lalu ditimpakanlah kepada mereka (Yahudi) kenistaan dan kehinaan” [Al-Baqarah (2): 61].

Tidak cukup sampai di situ, para penguasa ini kemudian melakukan segala usaha untuk mengalih isu, daripada isu penyingkiran entiti Yahudi (yang seharusnya merupakan isu sebenar), kepada isu rundingan dengan Yahudi. Malah ditambah dengan isu rayuan agar Yahudi menarik diri daripada hanya sebahagian tanah yang diduduki mereka pada tahun 1967!

Entiti Yahudi sejak dulu hingga sekarang masih tetap melakukan jenayah terkeji di Palestin. [Terbaru] pembunuhan beramai-ramai di Jenin pada 26 Januari 2023, menjadi saksi atas perkara itu. Tentera entiti Yahudi, dengan pasukan yang besar dan bersenjata berat, menyerbu kem pelarian Jenin dan melakukan pembunuhan beramai-ramai di mana sembilan Muslim telah syahid. Yahudi telah melakukan kejahatan yang melampau dengan membunuh kaum Muslimin, merobohkan tembok ke atas orang-orang yang cedera, dan meratakannya dengan jentolak.

Kemudian Yahudi meneruskan pencerobohan mereka terhadap Nablus, menyerbu Kem Aqabat Jaber, membunuh dan mencederakan kaum Muslimin di situ, sehingga mengakibatkan ramai yang syahid dan cedera…Semua ini berlaku tanpa seorang pemerintah pun di wilayah kaum Muslimin yang bergerak untuk menyelamatkan mereka. Orang yang menjadi contoh yang paling “baik” dalam kalangan pemerintah itu pun adalah orang yang menawarkan diri untuk menjadi penimbangtara di antara pemangsa (Yahudi) dan mangsa (kaum Muslimin) yang mereka baham. Dilaknati Allah-lah mereka, bagaimana mereka sampai berpaling? Bagaimanakah para pemerintah ini boleh melakukan kejahatan yang lebih dahsyat daripada itu manakala (pada masa yang sama) mereka tergesa-gesa melakukan jenayah normalisasi dengan Yahudi?

Selepas pemerintah Mesir memimpin pergerakan (normalisasi) yang penuh kehinaan ini, kemudian diikuti pula oleh PLO, lalu pemerintah Jordan, UAE, Bahrain dan Maghribi, kesemua mereka mengikutinya. Kemudian, Sudan pula mengikuti mereka dalam kejahatan ini ketika Presiden Sudan, al-Burhan bertemu Menteri Luar Yahudi, Eli Cohen di Khartoum pada 02 Februari 2023 untuk membincangkan perihal normalisasi hubungan antara mereka! Tidak ada seorang pun di antara para pemerintah ini yang mengambil peduli akan kehinaan yang menyelubungi mereka.

﴿سَيُصِيبُ الَّذِينَ أَجْرَمُوا صَغَارٌ عِنْدَ اللَّهِ وَعَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا كَانُوا يَمْكُرُونَ﴾

“Orang-orang yang berdosa itu nanti akan ditimpa kehinaan di sisi Allah dan seksa yang keras disebabkan mereka selalu membuat tipu daya” [Al-An’am (6):124].

Sungguh aneh setiap kali berlakunya peningkatan serangan, atau setiap kali entiti Yahudi melakukan jenayah mereka, para pemimpin Yahudi ini samada sehari sebelumnya atau pada hari itu sendiri, berada dalam pelukan pemerintah Arab, atau sedang dalam lawatan mereka ke atas pemerintah Arab.

Sebelum jenayah entiti Yahudi ke atas Jenin, Netanyahu telah menjadi tetamu di istana rejim Jordan! Tatkala Yahudi sedang melakukan jenayah mereka ke atas Jenin, Pihak Berkuasa Palestin telah menyelaraskan isu keselamatan dengan pihak Yahudi. Mereka (Pihak Berkuasa Palestin) mengakui bahawa ia akan menghentikan pelarasan keselamatan setelah puak Yahudi selesai melakukan jenayahnya. Itulah yang terjadi!

Apa yang lebih mengejutkan dan aneh ialah apabila salah seorang pejuang Palestin mempertahankan tanahnya dan orang-orangnya, dengan berjaya membunuh tujuh orang Yahudi dalam operasi Al-Quds, namun selepas pembunuhan beramai-ramai oleh Yahudi di Jenin, para penguasa di negeri-negeri kaum Muslimin bergegas mengutuk pembunuhan ke atas Yahudi tersebut! Kementerian Luar Turki, UAE, Jordan dan Mesir, semuanya mengutuk operasi Al-Quds melalui kenyataan akhbar mereka!

Kini, bukan sahaja Palestin yang ditikam dari belakang oleh para pemerintah ini tetapi mereka juga turut menyerahkan wilayah-wilayah Islam yang lain (kepada musuh). Kashmir telah digabungkan secara paksa oleh kaum Musyrikin Hindu ke negara mereka, sedangkan pemerintah Pakistan terus berpeluk tubuh…Muslim Rohingya disembelih di Myanmar (Burma), sedangkan pemerintah Bangladesh seperti sedang tidur tanpa dapat melihat…kita ada Turkestan Timur yang mana China sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai (ke atas kaum Muslimin) di sana, sedangkan pemerintah negeri-negeri kaum Muslimin terus senyap, seperti senyapnya tanah perkuburan. Jika mereka bersuara pun mengenai pembunuhan beramai-ramai tersebut, mereka menyatakan bahawa ia adalah urusan dalaman China!

﴿كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ إِنْ يَقُولُونَ إِلَّا كَذِباً﴾

“Alangkah buruknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta.” [Al-Kahf (18): 5].

Kuffar penjajah tidak pernah berpuas hati dengan penghinaan yang mereka lakukan ke atas umat Islam. Mereka malah menyerang akidah umat Islam. Maka, kita melihat bagaimana pelampau murahan itu membakar senaskhah al-Qur’an yang mulia di hadapan bangunan kedutaan Turki di Stockholm, pada hari Sabtu 21 Januari 2023, setelah pihak berkuasa Sweden membenarkannya…Kemudian kejahatan mereka berterusan dengan pembakaran al-Quran yang mulia di The Hague, dan kemudian di Copenhagen pada hari Jumaat 27 Januari 2023.

Selepas itu kita menyaksikan al-Azhar, melalui badan pemerhatinya mengeluarkan kecaman keras dan menuntut (umat Islam) agar berdiri teguh menghadapi usaha-usaha yang melanggar kesucian Islam. Tidak diragukan bahawa ulama al-Azhar tersebut tahu yang tindak balas terhadap pembakaran al-Quran bukanlah sekadar kecaman lisan, sebaliknya tentera mesti digerakkan demi memelihara Kitabulllah dan Deen-Nya…Sesungguhnya tindakan membakar al-Quran merupakan pengisytiharan perang terhadap umat Islam dan akidahnya. Oleh itu, tindak balas terhadapnya ialah perang, yang akan menggentarkan dan menjadi pengajaran kepada musuh, sekali gus mencegah orang lain yang ingin melakukan perkara yang sama. Allah (swt) berfirman,

﴿فَإِمَّا تَثْقَفَنَّهُمْ فِي الْحَرْبِ فَشَرِّدْ بِهِمْ مَنْ خَلْفَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُون﴾

“Jika kamu menemui mereka dalam peperangan, maka cerai-beraikanlah orang-orang yang di belakang mereka dengan (menumpaskan) mereka, supaya mereka mengambil pelajaran” [Al-Anfal (8): 57].

Wahai kaum Muslimin! Serangan terhadap umat Islam bukannya dibalas dengan penampilan kata-kata berhias, ucapan kosong yang tidak membawa apa-apa makna dan manfaat. Sebaliknya serangan itu dibalas dengan mata pedang, dengan sebuah pukulan yang akan membuatkan pihak musuh melupakan bisikan syaitan. Inilah yang dilakukan oleh umat Islam ketika mereka memiliki negara Khilafah. Berapa banyak catatan peristiwa di sepanjang pemerintahan mereka yang berbicara mengenai hal itu. Kesemuanya adalah fakta yang telah terbukti, yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun yang mempunyai penglihatan dan pandangan. Contoh-contoh mengenainya boleh dilihat antaranya dalam kitab al-Bidayah wa an-Nihayah karya Ibnu Katsir, Futuh al-Buldan karya al-Baladuri, Tarikh Ibnu Khaldun dan Tarikh al-Islam karya az-Zahabi. Saya kemukakan kepada anda beberapa petikan daripada kitab-kitab tersebut:

“Selanjutnya tiba tahun 87 Hijriyyah…pada tahun ini Qutayba ibn Muslim membuka Poykent, salah satu daerah di Bukhara…dan sebelum masuk tengah hari Allah (swt) telah pun memberikan kemenangan kepada mereka…Orang yang menyerang kaum Muslimin adalah seorang yang bermata satu daripada puak mereka (musuh). Apabila dia telah tertangkap, dia berkata, “Saya menebus diri saya dengan lima ribu pakaian Cina, yang nilainya beribu-ribu.” Maka para panglima menasihatkan Qutayba agar menerima tebusan orang itu. Qutayba berkata, “Tidak, demi Allah, kamu tidak akan pernah menimbulkan ketakutan pada seorang Muslim pun lagi.” Kemudian Qutayba mengeluarkan perintah mengenainya lalu lehernya ditebas (dibunuh)…”

“Selanjutnya tiba tahun 90 Hijriyyah…pada tahun ini Raja Dahir, pemerintah Sindh, menyerang sebuah kapal yang membawa para Muslimah, kemudian menawan mereka. Maka, Khalifah menghantar mesej kepada wali (gabenor)nya untuk membalas tindakan penyerang itu. Lalu Muhammad bin al-Qasim memimpin sebuah ketumbukan dan menyelamatkan para Muslimah tersebut, membalas kejahatan penguasa yang zalim itu dan sekai gus menakluk negeri Sindh.”

“Selanjutnya tiba tahun 223 Hijriyyah di mana Raja Bizantium keluar menuju wilayah kaum Muslimin, lalu membunuh dan menawan penduduk Zabtarah. Seorang wanita menyeru, “Wahai Mu’tasim! Wahai Mu’tasim! Di manakah kamu?” Seruan ini sampai kepada Khalifah al-Mu’tasim, yang kemudian menjawab, “Aku datang, aku datang”. Dia kemudian mengetuai sendiri sebuah pasukan tentera, lalu menuntaskan seruan wanita berkenaan. Dia kemudian bertanya yang manakah wilayah Bizantium yang paling kuat. Dia diberitahu bahawa wilayah itu ialah Amuriyyah (berhampiran Ankara). Lalu al-Mu’tasim menaklukinya.”

“Selanjutnya tiba tahun 582 Hijriyyah..pada tahun ini Arnat (Raynald) yang menduduki al-Karak, secara khianat telah menghalang laluan jemaah haji yang datang dari Mesir. Dia telah membunuh dan menawan ramai jemaah haji tersebut. Maka, Sultan Salahuddin terus bersiap untuk berperang, dan meminta (dibekalkan) sebuah pasukan tentera dari negeri itu. Dia bersumpah bahawa jika dia menang atas Arnat, dia akan membunuhnya. Lalu Allah memberikannya kemenangan pada tahun 583 Hijriyyah dalam Perang Hattin, iaitu pada pertengahan bulan Rabiul Akhir. Kemudian Salahuddin membunuh Arnat dengan tangannya sendiri, sebagai hukuman atas pengkhianatan dan tindakannya menyekat laluan haji. Pada tahun itu jugalah berlakunya pembebasan Al-Aqsa iaitu pada 27 Rajab 583 H.”

“Kemudian pada tahun 1307 H (1890 M), pengarang sebuah skrip yang memfitnah Rasulullah (saw) cuba membuat satu sandiwara di salah satu teater di Paris. Apabila Khalifah Abdul Hamid mengetahui akan hal itu, beliau terus memanggil duta Perancis di Istanbul dan sengaja bersemuka dengannya dengan berpakaian tentera. Lalu Sultan Abdul Hamid memberikan ancaman jika sandiwara itu diteruskan, Khilafah Uthmaniyyah akan mengisytiharkan pemutusan hubungan dengan Perancis, yang (pengisytiharan tersebut) akan dilakukan dalam keadaan perang. Abdul Hamid berkata kepada duta Perancis dengan nada yang keras, “Aku adalah Khalifah umat Islam…aku akan menterbalikkan dunia ini atas kepala anda, jika anda tidak menghentikan sandiwara ini.” Lalu Perancis menghalang sandiwara tersebut daripada dipentaskan…”

Kaum kuffar penjajah pada waktu itu sedar bahawa sebarang serangan atau pelanggaran terhadap kesucian Islam dan umatnya, akan mereka tanggung dengan (tindak balas) pemotongan lidah dan patahnya anggota badan mereka…Hari ini, al-Quran, Rasulullah (saw) dan wilayah Islam diserang, tidak ada satu tindak balas pun (daripada pemimpin umat Islam)! Hal ini tidak lain tidak bukan ialah kerana umat ini tidak mempunyai seorang Imam, seorang Khalifah Rasyidah yang melindungi umat ini daripada kejahatan musuh. Diriwayatkan dalam sebuah hadis sahih, bahawa baginda (saw) bersabda,

«إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ، يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ، وَيُتَّقَى بِهِ»

“Imam (Khalifah) itu ibarat perisai yang mana umat Islam akan berperang dan berlindung di belakangnya” [Muttafaq alaih]

Sebagai kesimpulan, saya mengulangi seruan saya kepada kalian wahai Ahlu al-Quwwah wa al-Man’ah (mereka yang memiliki kekuatan dan perlindungan)…Hanya kalian sahajalah yang mampu menyembuhkan hati umat ini daripada musuh-musuhnya, yang juga merupakan musuh-musuh agama kalian. Hanya kalian sahajalah yang mampu menamatkan kehinaan yang telah menimpa umat ini di tanah mana pun yang mereka pijak…Maka, bangkitlah menunaikan kewajipan kalian, semoga Allah (swt) merahmati kalian. Bangkitlah untuk memberikan kami nusrah (pertolongan), nusrah kepada Hizbut Tahrir untuk menegakkan negara Khilafah Rasyidah. Hal ini bukanlah kerana ia merupakan satu-satunya cara untuk mencapai kemenangan melihat kepada realiti pada hari ini, namun ia adalah kerana hal ini merupakan kewajipan yang paling utama:

Pertama: Siapa pun yang tidak berusaha sedangkan dia mampu (berusaha untuk) menegakkan Khilafah, dan melantik seorang Khalifah yang layak diberi baiah, maka dia memikul dosa besar seumpama meninggal dalam keadaan Jahiliah, sebagaimana sabda Nabi (saw);

«وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ فِي عُنُقِهِ بَيْعَةٌ، مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً»

“Dan barangsiapa yang mati sedangkan di lehernya tidak ada baiah (kepada Khalifah), maka ia mati seperti kematian Jahiliah” [HR Muslim].

Kedua: Kaum Muslimin dahulu memberikan baiah mereka kepada Khalifah (Abu Bakar) terlebih dahulu sebelum mereka mempersiapkan jenazah Rasulullah (saw) dan melaksanakan pengebumian baginda. Semua itu berlaku kerana kepentingan melantik Khalifah (yang wajib didahului berbanding pengebumian jenazah).

Ketiga: Umar (ra) menjelang kematiannya telah menetapkan batas waktu tidak lebih daripada tiga hari untuk kaum Muslimin melantik seorang Khalifah di antara enam orang calon, calon-calon yang kesemuanya telah diberi khabar gembira sebagai ahli syurga. Umar menegaskan bahawa jika tidak ada kesepakatan untuk melantik seorang Khalifah dalam tempoh tiga hari tersebut, maka yang tidak sepakat itu hendaklah dibunuh. Umar menyatakan perkara itu dalam perhimpunan para Sahabat (ra) yang tidak pernah dilaporkan mengenai keburukan mereka. Justeru, hal ini merupakan Ijma’ as-Sahabat (kesepakatan para Sahabat). Malangnya kita pada hari ini, sudah berapa banyak “gandaan tiga hari” yang telah berlalu ke atas kita! Sungguh, penegakan Khilafah adalah perkara yang sangat besar.

Wahai tentera-tentera Allah! Kita sedar bahawa malaikat tidak akan turun dari langit untuk menegakkan Khilafah untuk kita. Sebaliknya, Allah (swt) hanya akan menurunkan malaikat untuk membantu kita apabila kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan Khilafah. Ia adalah janji yang telah termaktub dalam Kitabullah;

﴿وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ﴾

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa” [An-Nur (24): 55].

Tegaknya kembali Khilafah Rasyidah setelah zaman kediktatoran yang kita sedang lalui sekarang ini, merupakan bisyarah (khabar gembira) sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah (saw);

«ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ سَكَتَ ﷺ»

“Kemudian akan ada para penguasa yang diktator selama Allah menghendakinya dan Dia akan menamatkannya apabila Dia menghendakinya. Kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian. Kemudian baginda diam” [HR Ahmad].

Kita juga menyedari bahawa musuh-musuh Islam cuba menganggap yang tegaknya semula Khilafah adalah suatu yang mustahil. Mereka mengulang-ulang ucapan para pendahulu mereka daripada kalangan orang yang suka mengolok-olok;

﴿غَرَّ هَؤُلَاءِ دِينُهُمْ﴾

“Mereka itu (orang-orang Mukmin) telah ditipu oleh agama mereka” [Al-Anfal (8): 49].

Sebagaimana ucapan tersebut telah menjadi laknat bagi orang-orang yang mengucapkannya sebelum mereka, kerana Allah telah memuliakan agama-Nya (Islam) dan memberikan kemenangan kepada penganutnya, maka ucapan yang sama juga akan menjadi laknat kepada mereka yang mengucapkannya pada hari ini, kerana Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana adalah berserta dengan hamba-hamba-Nya yang ikhlas yang berjuang dengan gigih tanpa tergelincir hati dan anggota badan mereka. Firman Allah (swt);

﴿إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْراً﴾

“Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu” [At-Talaq (65): 3].

Dengan hari-hari yang berlalu, sesungguhnya mereka sudah semakin hampir dengan “ketentuan” ini dengan Izin Allah (swt).

﴿وَيَقُولُونَ مَتَى هُوَ قُلْ عَسَى أَنْ يَكُونَ قَرِيبًا﴾

“Dan mereka bertanya: ‘Bilakah hal itu (akan terjadi)?’ Katakanlah: ‘Mudah-mudahan (ia akan terjadi) segera” [Al-Isra’ (17): 51].

 

Wassalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Saudaramu,

Atha’ bin Khalil Abu ar-Rashtah                                                28 Rajab 1444 H

Amir Hizbut Tahrir                                                                         19 Februari 2023 M