UEC: Masalah cabang yang lahir dari sistem sekular
Polemik pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu, sekali lagi membingkai perbahasan awam dalam isu pendidikan negara. Apa yang jelas ialah isu ini dihangatkan semula oleh DAP setelah sekian lama sejuk, apabila parti berteraskan orang-orang Cina itu ditolak oleh masyarakat Cina Sabah dalam PRN baru-baru ini.
Umum mengetahui bahawa DAP, ketika menjadi pembangkang, sangat lantang memperjuangkan isu UEC untuk diiktiraf oleh kerajaan pusat, dan apabila telah memegang kuasa, ternyata ia tidak direalisasikan. Malah, PH sendiri ketika berstatus pembangkang menjanjikan kelulusan UEC jika berkuasa, namun tidak berbuat demikian hinggalah ke hari ini walaupun setelah tiga tahun diberi mandat.
Maka, dari sudut politik amat wajar untuk DAP membangkitkan semula isu ini, untuk parti itu tidak terus ditolak oleh kaum Cina di Semenanjung, khususnya dalam menghadapi PRU-16. Manakala PMX pula dilihat tersepit antara pilihan untuk mengiktiraf UEC dengan menghadapi tentangan dalaman khususnya daripada UMNO, dan dengan orang-orang Melayu yang menolak UEC.
Jika ingin dibahas, memang banyak pro and con topik UEC ini yang tidak akan habis diperdebatkan oleh kumpulan yang setuju dan yang menentang. Apa yang pasti, semua perbincangan hanya menjurus kepada satu tujuan iaitu “kepentingan politik” masing-masing yang menjadikan isu ini tidak akan selesai.
Walaupun UEC adalah isu pendidikan, tetapi ia tidak dapat dipisahkan daripada politik, kerana kuasa politiklah yang menentukan apa jua dasar mengenai pendidikan. Maka, atas dasar itu, parti-parti politik yang ada hanyalah melihat dan memainkan isu ini dalam konteks kepentingan.
Jika sesuatu isu boleh ditunggang untuk meraih undi, maka ia akan diperjuangkan dan disokong. Namun, jika sebaliknya, maka ia ditentang habis-habisan. Pokok persoalannya ialah undi. Begitulah sifir mudah untuk setiap isu di Malaysia yang dimainkan oleh parti-parti politik.
Dasar pendidikan negara
UEC bukan lahir dari ruang kosong, tetapi dari dasar pendidikan negara yang dibina berteraskan sekularisme dan juga perkauman. Ia wujud kerana pemimpin negara ini, sejak sebelum merdeka lagi, sudah berjuang untuk kepentingan kaum masing-masing. Setelah kemerdekaan dicapai, maka mereka berusaha untuk membina negara ini melalui kompromi dalam rangka “menjaga hati” setiap kaum.
Kompromi yang berlaku bukan sekadar dalam sistem pemerintahan, yang membenarkan orang-orang kafir menjadi sebahagian daripada pemerintah, tetapi turut melibatkan banyak sektor termasuk pendidikan. Hasilnya, muncullah sekolah vernakular yang tidak pernah wujud dalam mana-mana negara di dunia, yang dari sini muncul pula pelbagai persatuan untuk membela kaum masing-masing dalam bidang pendidikan, yang kemudiannya memunculkan pula UEC.
Apabila Islam tidak menjadi asas pendidikan, maka dasar pendidikan digubal oleh manusia berdasarkan kebijaksanaan akal manusia yang terbatas, dan lebih buruk, ia turut dibina atas dasar kepentingan kaum dan kompromi.
Itu dari satu sudut. Dari sudut lain, apabila pendidikan ditadbir dalam kerangka sekular, ia tidak lagi dilihat sebagai instrumen pembentukan manusia yang terikat dengan Tuhan dan peraturan yang dibuat oleh Tuhannya, sebaliknya sebagai alat mobiliti sosial dan pembangunan ekonomi, yang terpisah daripada agama.
Atas dasar itu, kita melihat pembahasan mengenai pendidikan hanya tertumpu kepada kelulusan peperiksaan, kebolehpasaran graduan, peluang melanjutkan pelajaran dan kesesuaian dengan sistem sedia ada. Pendekatan inilah yang menyebabkan isu pendidikan tidak pernah menemui penyelesaian hakiki. Sebaliknya, masalah demi masalah, termasuklah yang melibatkan kaum, walaupun tidak seharusnya ada kena-mengena dengan pendidikan, muncul sebagai satu masalah yang besar dan serius.
Kewujudan pelbagai polisi pendidikan dan peperiksaan yang terpisah – kebangsaan, vernakular dan antarabangsa – menunjukkan ketiadaan satu asas pemikiran yang menyatukan masyarakat melalui pendidikan. Setiap aliran membawa nilai dan orientasi tersendiri, lalu melahirkan generasi dengan kerangka berfikir yang berbeza, bahkan bercanggah antara satu sama lain.
Inilah natijah dari dasar pendidikan sekular, dan dalam konteks inilah lahirnya UEC yang merupakan manifestasi daripada kecelaruan sistem yang menyeluruh, yang tidak dibina atas asas Islam, sebaliknya dibina daripada kebijaksanaan akal manusia yang terbatas, berubah-ubah dan dipenuhi kepentingan dalam membuat sesuatu keputusan.
Jawapan Islam
Islam meletakkan pendidikan sebagai tanggungjawab strategik negara untuk membentuk syakhsiyyah (keperibadian) manusia yang berpaksikan akidah. Akidah menjadi asas pemikiran dan pembentukan jiwa, yang daripadanya lahir kurikulum, silibus, metodologi pengajaran dan sistem penilaian yang seragam berteraskan wahyu.
Keseragaman dasar dan kurikulum pendidikan sangat penting kerana hanya dengan keseragaman inilah, syakhsiyyah pelajar dapat dibentuk dengan sempurna berdasarkan kehendak Islam, di samping menzahirkan kewibawaan Negara Islam (Khilafah) itu sendiri sebagai sebuah negara hebat berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah, yang penuh dengan nilai pendidikan.
Dasar pendidikan tidak boleh tunduk kepada tekanan atau kepentingan politik, tuntutan atau sentimen mana-mana kaum. Dasar pendidikan Islam adalah untuk kepentingan semua kaum, dengan kepentingan yang sama, kerana Islam tidak pernah memfokuskan kaum, tetapi memfokuskan kepada pembentukan syakhsiyyah dan ilmu itu sendiri, yang akan melahirkan generasi yang hebat.
Atas dasar itulah, negara Khilafah telah berjaya menghasilkan ilmuan yang berkaliber, dengan memiliki syakhsiyyah yang luar biasa di sepanjang sejarahnya. Malah, telah terbukti juga berapa ramai daripada kalangan non-Muslim yang menghantar anak-anak mereka untuk belajar di dalam negara Khilafah, khususnya di universiti-universiti yang sudah terkenal dengan kehebatannya.
Khilafah menyediakan satu dasar pendidikan yang sergam, menyeluruh dan berkualiti untuk semua rakyat tanpa pemisahan etnik. Bahasa utamanya ialah bahasa Arab, manakala bahasa-bahasa lain dipelajari sebagai alat penguasaan ilmu dan komunikasi, bukan sebagai identiti politik atau alat pemisah sosial.
Dengan adanya dasar pendidikan yang seragam dan berpaksikan akidah Islam, kewujudan dasar pendidikan alternatif yang terpisah, seperti sekolah vernakular atau UEC, bukan sahaja tidak diperbolehkan, malah tidak perlu.
Kesimpulan
Sebagai Muslim, kita perlu meluruskan sikap dalam menanggapi polemik pengiktirafan UEC. Hakikatnya, dasar pendidikan kerajaan yang sedia ada ini pun sudah berpuluh-puluh tahun bermasalah, walaupun tanpa UEC. Setiap kali berlakunya pertukaran menteri, setiap kali itulah dasar pendidikan berubah, namun masalah tidak pernah selesai. Isunya ialah kerana sistem sekular yang telah berakar umbi dalam negara, termasuk dalam dasar pendidikan, yang sentiasa terdedah kepada kepentingan dan tekanan politik serta kepentingan kaum. Selagi sistem ini kekal, maka polemik seperti UEC akan terus berulang tanpa penyelesaian.
Wallahu a’lam.