Umat Dikelirukan Dengan Maqashid Syariah
Setelah usaha Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya gagal melalui Pilihanraya Umum baru-baru ini, topik hangat yang sedang sibuk diperkatakan pada ketika ini adalah demonstrasi jalanan untuk menukar kerajaan. Antara komen-komen yang ditemui mengatakan bahawa menukar kerajaan dengan cara kekerasan dan keganasan adalah bertentangan dengan Maqashid Syariah kerana kerajaan yang dipilih melalui pilihanraya adalah sah menurut Sistem Demokrasi.
Ya, memang benar tetapi itu juga tidak bermakna kita boleh mengatakan bahawa Sistem Demokrasi itu selari dengan Islam, dan tidak bertentangan dengan konsep Maqasid Syariah. Ini adalah kerana, apa yang dimaksudkan dengan bertentangan dengan Maqashid Syariah di sini adalah sesuatu yang bertentangan dengan Syariah Islam. Pada dasarnya, penerapan Syariah Islam di dalam kehidupan bertujuan untuk mendatangkan kebaikan dan menghindarkan sebarang keburukan.
Inilah perbincangan yang ditulis oleh Imam Asy-Syatibi di dalam kitabnya yang terkenal, iaitu Al-Muwafaqat fi Ushul al-Ahkam juz II, yang beliau namakan kitab al-maqashid. Beliau menyatakan bahawa pada dasarnya syariat ditetapkan untuk mewujudkan kemaslahatan hamba (mashalih al-‘ibad), baik di dunia maupun di akhirat. Kemaslahatan inilah, dalam pandangan beliau, menjadi maqashid asy-syariah (tujuan-tujuan syariat). Dengan kata lain, penetapan syariat—baik secara keseluruhan (jumlatan) maupun secara rinci (tafshilan), adalah bertujuan untuk mewujudkan kemaslahatan hamba (Asy-Syatibi, Al-Muwafaqat, Juz II, Hlm 2-3).
Seterusnya Imam Asy-Syatibi membahagikan maqashid menjadi tiga bahagian, iaitu dharuriyat, hajiyat, dan tahsinat. Dharuriyat bermaksud perlu diwujudkan demi kemaslahatan hamba, jika tidak ada, maka akan menimbulkan kerosakan, seperti rukun Islam. Hajiyat maksudnya sesuatu yang diperlukan untuk menghilangkan kesempitan, seperti rukhsah (keringanan) untuk tidak berpuasa bagi orang sakit. Tahsinat ertinya sesuatu yang dilakukan untuk kebaikan kehidupan dan menghindarkan keburukan, seperti berakhlak, menghilangkan najis dan menutup aurat. Dharuriyat pula beliau jelaskan dengan lebih terperinci mencakup lima tujuan, iaitu (1) menjaga agama (hifzh ad-din); (2) menjaga jiwa (hifzh an-nafs); (3) menjaga akal (hifzh al-‘aql); (4) menjaga keturunan (hifzh an-nasl); (5) menjaga harta (hizh al-mal) (Asy-Syatibi, Al-Muwafaqat, II/4). Inilah sekilas konsep Asy-Syatibi tentang maqashid asy-syari‘ah. (Asy-Syatibi, Al-Muwafaqat, II/4-5; Az-Zuhayli, Ushul al-Fiqh al-Islami, II/1046-1051).
Jadi, dapat difahami bahawa Maqashid Syariah bukanlah sumber hukum dan ia hanyalah merujuk kepada perlaksanaan syariat Islam dan bukan Sistem Demokrasi. Namun, di dalam perkembangan semasa, ada sebahagian Ulama’ mahupun cendekiawan Islam yang menggunakan konsep Maqashid Syariah untuk menghalalkan pemikiran dan segala konsep yang bertentangan dengan Islam termasuklah dengan menghalalkan Sistem Demokrasi dalam sistem kehidupan dan menjadi alasan untuk tidak melaksanakan hukum-hukum Allah. Hal ini sudah tentu akan menyebabkan umat semakin jauh daripada Islam dan mereka yang terlibat dengan perancangan jahat ini pasti akan diazab oleh Allah di hari akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW:
“Aku tinggalkan pada kalian dua perkara, yang kalian tidak akan sesat di belakang keduanya, (iaitu) kitab Allah dan Sunnahku.” (HR. Malik dan Al-Hakim dan dihasankan oleh Syaikh Al-Albany dalam Al-Misykah )
[1] http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130523/po_03/Guling-kerajaan-bertentangan-dengan-maqasid-syariah
[2] http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/9/24/mstar_berita/20110924164425&sec=mstar_berita