Kenyataan Media : Umat Islam Memerlukan Penerapan Syariah Secara Kaffah Di Bawah Khilafah, Bukannya RUU 355!

Kenyataan Media

Umat Islam Memerlukan Penerapan Syariah Secara Kaffah Di Bawah Khilafah, Bukannya RUU 355!

Menurut jadualnya, Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) akan dibentang untuk dibahaskan di Parlimen pada sesi ini, setelah ditangguhkan pada hari ia diusulkan iaitu pada 26 Mei 2016. Rang undang-undang tersebut bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah)  1965 (Akta 355) bagi memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menguatkuasakan apa sahaja hukuman, kecuali hukuman mati, terhadap kesalahan-kesalahan yang disenaraikan di bawah bidangkuasa negeri dalam Perlembagaan Persekutuan. Buat masa ini, Akta 355 menghadkan bidangkuasa mahkamah syariah untuk menjatuhkan hukuman maksimum tiga tahun penjara, RM5000 denda dan enam kali sebatan. Sejak mula diusulkan hingga kini, ia telah mendatangkan perdebatan hangat dalam kalangan pelbagai pihak, termasuklah non-Muslim, walaupun menurut undang-undang di Malaysia non-Muslim tidak tertakluk kepada mahkamah (dan undang-undang) syariah.

Sungguh malang menyaksikan reaksi sesetengah pihak yang melihat dan menjadikan RUU 355 sebagai suatu yang sangat besar seolah-olah di situlah letaknya seluruh perjuangan Islam! Berhubung dengan pembentangan RUU 355 ini, Hizbut Tahrir Malaysia ingin menyatakan:-

  1. Sebarang usaha untuk menerapkan syariah bukan sahaja wajib disokong, malah wajib diusahakan bersungguh-sungguh oleh setiap Muslim. Namun, RUU 355 bukanlah sebahagian daripada syariah kerana ia tidak lebih seperti undang-undang gubalan Parlimen lain yang “wajib” melalui proses pembentangan, pembahasan dan kelulusan majoriti manusia. Undang-undang syariah bukanlah undang-undang yang tertakluk kepada kelulusan manusia kerana ia merupakan undang-undang Allah (swt) yang wajib dilaksanakan oleh manusia, tidak kiralah majoriti manusia bersetuju atau tidak;
  2. Sistem mahkamah yang ada hari ini bukan memerlukan penaiktarafan, tetapi wajib dirombak sepenuhnya sehingga tiada lagi pembahagian mahkamah sivil dan mahkamah syariah seperti sekarang. Ia wajib kembali kepada sistem mahkamah Islam sepenuhnya yang terdiri daripada Mahkamah Madzalim, Mahkamah Khusumat dan Mahkamah Hisbah, di mana semua warganegara termasuk non-Muslim, tertakluk kepada mahkamah yang sama. Berdasarkan nas-nas yang jelas daripada al-Quran dan al-Hadis, non-Muslim wajib tunduk dan tertakluk kepada undang-undang dan mahkamah Islam, melainkan dalam beberapa perkara yang dikecualikan syarak ke atas mereka seperti hal-hal ibadah, makan-minum, perkahwinan dan seumpamanya;
  3. Hasrat murni sesetengah pihak untuk cuba menyelesaikan masalah jenayah melalui penerapan hukuman Islam memang wajar dipuji kerana ini menunjukkan yang umat Islam sudah tidak percayakan lagi kepada hukuman sivil yang sedia ada. Namun, meminda Akta 355 bukanlah penyelesai kepada masalah dan ia bukan jalan penyelesaian Islam. Ini kerana, untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku dalam negara pada hari ini, sistem demokrasi-kapitalis itu mesti dibuang dari akar-akarnya dan digantikan dengan sistem Islam. Sistem Islam itu pula wajib diterapkan sepenuhnya, bukan hanya sebahagian dan bukan hanya uqubat (hukuman), apatah lagi sekiranya secebis daripada uqubat. Kesempurnaan Islam itu meliputi sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, dasar pendidikan dan dasar luar negeri. Keadilan dan keindahan Islam hanya dapat dirasai apabila hukum Islam itu diterapkan sepenuhnya, bukan hanya uqubat;
  4. Walaupun RUU 355 sebenarnya tidak selari dengan Islam dan tidak terkena ke atas non-Muslim, namun penentangan yang ditunjukkan oleh non-Muslim terhadapnya sebenarnya menggambarkan bagaimana penentangan mereka terhadap penerapan undang-undang Islam di negara ini. Sungguh pun ada usaha daripada gerakan Islam tertentu untuk memberikan kefahaman kepada mereka, namun ternyata gagal. Ini kerana gerakan Islam tersebut gagal memahami bahawa punca kepada masalah ialah sistem demokrasi itu sendiri yang memberikan hak kepada orang-orang kafir (juga kepada orang Islam) untuk memilih dan menentang sebarang penerapan hukum Islam. Gerakan Islam tersebut tidak nampak bahawa sebarang usaha untuk menerapkan Islam menggunakan jalur demokrasi, hanyalah ibarat menggunakan pisau yang akhirnya menikam diri sendiri;
  5. Sesungguhnya kewajipan menerapkan hukum Allah (swt) adalah terletak di bahu pemerintah dan ia merupakan amanah berat yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada mereka di akhirat kelak. Namun kita menyaksikan bagaimana pemerintah sekarang memilih untuk menerapkan sistem sekular dan tidak habis-habis memberi dalih untuk tidak menerapkan hukum Islam. Oleh yang demikian, pemerintah yang zalim ini wajib di muhasabah dan diganti dengan pemerintahan Islam (Khilafah) dan usaha ke arah menerapkan pemerintahan Islam itu wajib dilakukan oleh setiap Muslim.

Wahai kaum Muslimin! Kita memang wajib menolak sistem dan undang-undang ciptaan penjajah yang telah lama dipaksakan ke atas kita semua, dan wajib menggantikannya dengan syariah Allah (swt). Tetapi untuk melakukannya, kita hendaklah (wajib) menggunakan jalan yang syarie, bukannya dengan “jalan penjajah.” Pembentangan RUU 355 dengan mengikuti segala prosedur yang ditetapkan di dalam Perlembagaan ciptaan penjajah, serta mengharap belas ihsan daripada majoriti manusia untuk meluluskannya, semua ini adalah jalan yang ditetapkan oleh penjajah. Apakah serendah itu nilainya “syariah” Allah? Apakah syariah Allah itu mesti tunduk kepada proses (sistem) demokrasi dan mesti tunduk kepada kehendak majoriti manusia sebelum boleh dilaksanakan? Na’uzubillah min zalik. Bagaimana mungkin kita katakan yang kita mahu menolak undang-undang penjajah, sedangkan dalam usaha untuk menerapkan Islam pun, kita mengikuti satu per satu proses undang-undang yang telah ditetapkan oleh penjajah?

Sesungguhnya umat Islam tidak memerlukan RUU 355 dan lain-lain undang-undang ciptaan penjajah atau ciptaan manusia di Parlimen. Apa yang diperlukan oleh umat Islam ialah penerapan syariah Allah secara kaffah (menyeluruh) di bawah naungan negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj al-nubuwwah.

Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia

Ruj : HTM/PR/01/1438
Rabu, 18 Muharram, 1438H
19/10/2016