SN483 – Umat Islam Perlukan Penerapan Islam Secara Kaffah, Bukannya RUU 355!

PDF

SN Keluaran 4 November 2016

[SN483] Isu pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) hangat diperkatakan sejak ia mula dibentangkan pada 26 Mei 2016. Bermula pada hari ia diusulkan oleh Ahli Parlimen Marang itu, hinggalah ke hari ini, pelbagai reaksi pro dan kontra berlegar di alam maya mahupun nyata. Ada pihak yang memperjuangkannya habis-habisan, manakala pihak lain menentangnya habis-habisan dan ada pula pihak yang mengambil sikap tunggu dan lihat. RUU 355 yang pada asalnya berada di senarai keempat untuk dibahaskan pada sidang Parlimen kali ini, telah ditendang ke senarai ketujuh oleh Speaker Dewan Rakyat, atas alasan Parlimen perlu mengutamakan pembahasan Bajet 2017. Berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, kemungkinan besar usul tersebut tidak akan dibahaskan kali ini kerana kesuntukan masa. Hal ini telah mengundang kritikan pedas daripada banyak pihak yang melihat si pembawa usul sebenarnya telah dipermainkan oleh parti pemerintah, jika pun tidak wujud kesepakatan antara mereka.

RUU 355 dibentang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dan pindaan yang diusulkan ialah untuk menggantikan Seksyen 2 dan seterusnya memasukkan seksyen baru iaitu Seksyen 2A, bagi memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menguatkuasakan apa sahaja hukuman, kecuali hukuman mati, terhadap kesalahan-kesalahan yang disenaraikan di bawah bidangkuasa negeri dalam Perlembagaan Persekutuan. Buat masa ini, Akta 355 menghadkan bidangkuasa mahkamah syariah untuk menjatuhkan hukuman maksimum tiga tahun penjara, RM5000 denda dan enam kali sebatan. Isu ini memang sewajarnya diambil perhatian oleh setiap Muslim kerana ia melibatkan urusan umat Islam. Namun, perbincangan mengenainya tidak sepatutnya dilakukan atas dasar emosi dengan minda yang tertutup, tetapi hendaklah berpijak kepada fakta dan keimanan kepada Allah SWT.

Apa Yang Tak Kena

Sebarang usaha untuk menerapkan syariah Allah bukan sahaja wajib disokong, malah wajib diusahakan bersungguh-sungguh oleh setiap Muslim. Namun, persoalan utama yang perlu diputuskan terlebih dahulu di sini ialah, adakah RUU 355 ini merupakan sebahagian daripada syariah Allah? Siapa pun yang membentangkannya, baik parti pemerintah mahupun pembangkang, baik Muslim mahupun non-Muslim, bukanlah satu isu, kerana isunya di sini ialah mengenai “status” (hukum) perkara yang dibentangkan, sama ada ia suatu yang syarie atau tidak. Dengan kata lain, apa yang kita perlu lihat di sini ialah “apakah”  yang dibentangkan, bukannya “siapakah” pembentangnya. Dari sini kita boleh terhindar dari sikap taasub kepada manusia, sehebat mana sekalipun dia, di samping mengelak daripada hentaman peribadi kepada mana-mana pihak.

Realitinya, RUU 355 tidak ada bezanya dengan semua RUU dan undang-undang lain yang dibentangkan di Parlimen selama ini, yang mesti melalui prosedur dan proses undang-undang yang telah ditetapkan oleh manusia, sebelum boleh menjadi undang-undang. Dengan kata lain, ia tidak lebih seperti undang-undang gubalan Parlimen lainnya yang “wajib” melalui proses pembentangan, pembahasan dan kelulusan oleh majoriti ahli Parlimen. Atas dasar ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa ia bukanlah sebahagian daripada syariah Allah, kerana syariah Allah merupakan hukum yang datang dari Allah, Dzat yang tidak bersyarikat dengan manusia dan tidak tertakluk sedikit pun kepada kelulusan manusia untuk dilaksanakan. Syariah Allah merupakan undang-undang Allah yang wajib dilaksanakan oleh manusia, tidak kiralah majoriti manusia bersetuju atau tidak.

Hasrat murni sesetengah pihak untuk berusaha menyelesaikan masalah jenayah dan maksiat melalui penerapan hukuman Islam memang wajar dipuji kerana ini menunjukkan yang umat Islam sudah tidak lagi percaya kepada hukuman sivil yang sedia ada. Namun, meminda Akta 355, yang dikatakan akan memberi laluan kepada pelaksanaan hudud di Malaysia, bukanlah penyelesai kepada masalah, kerana masalah jenayah dan maksiat yang wujud sekarang bukanlah kerana rendahnya kuasa mahkamah di bawah Akta 355 berbanding mahkamah sivil. Faktanya, akta dan mahkamah sivil telah lama wujud dan memperuntukkan hukuman yang berat kepada pesalah, namun jenayah tetap juga semakin meningkat.

Tingginya kadar jenayah bukan disebabkan oleh rendahnya hukuman semata-mata, kerana ia melibatkan keseluruhan sistem, undang-undang dan polisi yang diterapkan oleh pemerintah di dalam sesebuah negara. Ramainya orang berjudi bukanlah kerana rendahnya hukuman judi, tetapi kerana sistem yang membenarkannya. Begitu juga ramainya penzina, kerana sistem yang diterapkan oleh kerajaan memberikan kebebasan dan ruang seluas-luasnya untuk berlakunya aktiviti keji itu. Sama sebagaimana ramainya orang yang mengambil riba, kerana sistem yang ada bukan sahaja membenarkannya, malah menggalakkannya dan langsung tidak melihatnya sebagai satu maksiat yang besar kepada Allah SWT. Begitu juga dengan segala macam kes rasuah, penyelewengan, bunuh, rogol, culik, disko, konsert dan lain-lain, semuanya kerana sistem yang diamalkan pada hari ini yang menyediakan ruang dan suasana yang cukup “kondusif” untuk segala jenayah dan maksiat tersebut berlaku.

Sesungguhnya keseluruhan sistem demokrasi yang diwariskan daripada kuffar penjajah inilah yang menjadi punca kepada segala malapetaka. Kita memang wajib menolak semua sistem dan undang-undang ciptaan penjajah yang telah lama dipaksakan ke atas kita ini, dan wajib menggantikannya dengan syariah Allah SWT, tetapi untuk melakukannya, kita hendaklah (wajib) menggunakan jalan yang syarie, bukannya dengan jalan yang disediakan oleh penjajah. Pembentangan RUU 355 dengan mengikuti segala prosedur yang ditetapkan di dalam Perlembagaan ciptaan penjajah, serta mengharap belas ihsan daripada majoriti manusia untuk meluluskannya, semua ini adalah jalan yang ditetapkan oleh penjajah! Apakah serendah itu nilainya “syariah” Allah, sehingga mesti tunduk kepada proses (sistem) demokrasi dan mesti tunduk kepada kehendak majoriti manusia sebelum boleh dilaksanakan?

Sesungguhnya masalah yang dihadapi oleh negara tidak akan dapat diselesaikan selagi penguasa dan sistem yang korup terus berkuasa. Satu-satunya jalan keluar ialah dengan membuang sistem demokrasi-kapitalis ini daripada akar-akarnya dan digantikan dengan sistem Islam. Sistem Islam itu pula wajib diterapkan sepenuhnya, bukan hanya sebahagian dan bukan hanya uqubat (hukuman), apatah lagi sekiranya sebahagian daripada uqubat. Kesempurnaan Islam itu meliputi seluruh sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, dasar pendidikan dan dasar luar negeri. Keadilan dan keindahan Islam hanya dapat dirasai apabila sistem Islam itu diterapkan sepenuhnya, bukan hanya secebis daripada uqubat yang cuba dimanifestasi melalui RUU 355 dengan jalan yang tidak syarie.

RUU 355 Dan Kewajipan Pemerintah

Selain proses pembentangan RUU 355 itu sendiri yang tidak selari dengan Islam, terdapat beberapa perkara lain dalam rang undang-undang tersebut yang tidak menepati syarak. Pengecualian warganegara non-Muslim terhadap undang-undang dan mahkamah syariah merupakan suatu kesalahan yang fatal. Ini kerana, berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran, al-Hadis dan Ijma’ al-Sahabat serta pendapat para mazhab dan ulama muktabar, hukum Islam wajib dikenakan ke atas orang-orang kafir, kecuali dalam beberapa perkara yang Islam kecualikan ke atas mereka seperti hal-hal ibadah, makan-minum, pakaian, perkahwinan dan seumpamanya.

Selain daripada hukum yang dikecualikan oleh nas ke atas mereka, orang-orang kafir yang tinggal dalam Negara Islam wajib terikat kepada keseluruhan hukum Islam, yang merupakan undang-undang negara, bukannya undang-undang ke atas orang Islam sahaja. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu” [TMQ al-Nisa (4):105].

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa hukum Allah terkena ke atas semua manusia, tidak kira Muslim mahupun bukan. Atas dasar itu, Nabi SAW menghukum bunuh orang kafir yang melakukan pembunuhan dan merejam orang kafir yang berzina dan lain-lain. Bukhari dan Muslim meriwayatkan,

“Bahawa Rasulullah SAW telah menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu sebelum berzina telah merasai persetubuhan melalui perkahwinan di dalam agamanya.”

Dalam muamalat juga orang kafir turut terikat dengan hukum Islam di mana Rasulullah SAW pernah menulis surat kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani, dengan kalimat yang amat tegas sekali,

“Sesungguhnya siapa sahaja di antara kalian yang melakukan transaksi (jual beli) dengan riba, maka tidak ada lagi perlindungan (zimmah) ke atasnya.”

Selain nas-nas ini, terdapat banyak ayat dan hadis lain yang jelas menunjukkan bahawa orang kafir yang hidup di dalam Negara Islam adalah terikat dengan hukum Islam, sebagaimana juga Muslim.

Walaupun RUU 355 sebenarnya tidak selari dengan Islam dan tidak terkena ke atas non-Muslim, namun penentangan yang ditunjukkan oleh non-Muslim terhadapnya menggambarkan bagaimana penentangan mereka terhadap penerapan undang-undang Islam di negara ini. Sungguh pun ada usaha daripada gerakan Islam tertentu untuk memberikan kefahaman kepada mereka, namun ternyata gagal. Ini kerana gerakan Islam tersebut gagal memahami bahawa punca kepada masalah ialah sistem demokrasi itu sendiri yang memberikan hak kepada orang-orang kafir (juga kepada orang Islam) untuk sama ada memilih atau menentang sebarang penerapan hukum Islam. Banyak gerakan Islam yang tidak nampak bahawa sebarang usaha untuk menerapkan Islam menggunakan jalur demokrasi, hanyalah ibarat menggunakan pisau yang akhirnya menikam diri sendiri.

Selain tidak terpakai ke atas orang-orang kafir, RUU 355 itu juga mengecualikan hukuman mati ke atas pesalah, suatu hal yang amat nyata bertentangan dengan Islam. Ini kerana menurut Islam, hukuman mati wajib dijatuhkan ke atas penzina yang muhsan (telah berkahwin), pelaku liwat, orang yang murtad, pembunuh dan beberapa yang lain. Inilah antara kecelaruan yang muncul, apabila Islam dicampur adukkan dengan demokrasi sehingga umat Islam gagal berfikir di luar kotak demokrasi. Dalam satu masa mereka ingin menerapkan Islam, tetapi dalam masa yang sama mereka tidak sanggup untuk berpisah dengan demokrasi, padahal hakikatnya demokrasilah yang menjadi penghalang kepada penerapan Islam. Sama sebagaimana mereka tahu bahawa Perlembagaan merupakan antara halangan utama dari diterapnya undang-undang Islam, tetapi dalam masa yang sama mereka tunduk patuh kepada Perlembagaan sepenuhnya!

Sesungguhnya kewajipan menerapkan hukum Allah SWT adalah terletak di bahu pemerintah dan ia merupakan amanah berat yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada mereka di akhirat kelak. Namun kita menyaksikan bagaimana pemerintah sekarang memilih untuk menerapkan sistem kufur dan tidak habis-habis memberi dalih untuk tidak menerapkan hukum Islam. UMNO telah memerintah Malaysia sejak 1957 lagi dan kita menyaksikan sudah lebih 50 tahun yang UMNO tidak pernah serius untuk menerapkan Islam, malah dari satu Perdana Menteri ke Perdana Menteri yang lain, mereka dengan tegas menyatakan bahawa hudud (atau dengan kata lain undang-undang Islam) tidak akan diterapkan di negara ini. Inilah realitinya. Jadi, bagaimana mungkin kita boleh mempercayai atau mengharapkan mereka untuk menerapkan hukum Allah SWT? Bagaimana mungkin sebuah gerakan Islam sanggup dipatuk dari lubang yang sama berpuluh-puluh kali dengan mempercayai parti pemerintah yang sejak sekian lama mengkhianati amanah yang Allah dan Rasul letakkan ke atas mereka?

Tugas parti politik ialah untuk terus memuhasabah pemerintah yang zalim dan dalam masa yang sama wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk mendirikan Negara Islam (Khilafah) dengan jalan yang syarie, agar hukum Allah SWT dapat diterapkan secara kaffah. Tugas parti politik bukanlah untuk bersekongkol, apatah lagi mengharap belas kasih daripada pemerintah sekular, untuk menggubal undang-undang melalui proses yang tidak Islami. Parti Islam, malah setiap Muslim perlu faham bahawa sistem mahkamah yang ada hari ini bukan perlu dinaiktarafkan, tetapi wajib dirombak sepenuhnya sehingga tiada lagi pembahagian mahkamah sivil dan mahkamah syariah seperti sekarang. Kita wajib kembali kepada sistem mahkamah Islam sepenuhnya yang terdiri daripada Mahkamah Madzalim, Mahkamah Khusumat dan Mahkamah Hisbah, di mana semua warganegara termasuk non-Muslim, tertakluk kepada mahkamah yang sama.

Inilah tiga jenis mahkamah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam. Mahkamah Madzalim ialah mahkamah yang mengendalikan soal pemerintahan dan persengketaan antara rakyat dan pemerintah (termasuk pegawai negara). Mahkamah Khusumat ialah mahkamah yang mengendalikan perselisihan di antara anggota masyarakat dalam masalah muamalat dan uqubat. Manakala Mahkamah Hisbah ialah mahkamah yang mengendalikan apa jua masalah penyimpangan yang melanggar hak jemaah (orang ramai). Berdasarkan nas, inilah mahkamah yang wajib ada dalam sebuah Negara Islam dan Islam tidak pernah mengenal atau mengiktiraf dualisme perundangan seperti yang ada sekarang.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Sudah lama umat ini disibukkan dengan polemik yang berpanjangan dan tidak pernah berkesudahan hasil rekayasa pihak-pihak yang sebenarnya tidak pernah serius untuk menerapkan Islam, kecuali untuk mendapat political mileage untuk parti masing-masing sahaja. Kali ini umat dilelahkan pula dengan perbincangan RUU 355 yang belum lagi ke mana, kaum Muslimin sudah pun bersengketa sesama sendiri kerana perbezaan pendapat dalam perkara yang tidak sepatutnya. Manakala parti pemerintah sekular dan kaum kafir yang memusuhi Islam tersenyum gembira. Sungguh sedih menyaksikan reaksi sesetengah pihak yang melihat dan menjadikan RUU 355 sebagai suatu yang sangat besar seolah-olah di sinilah letaknya seluruh perjuangan Islam! Bukalah mata, lapangkanlah dada dan buanglah ego agar Allah membuka hati kita untuk dapat melihat kebenaran sebagai kebenaran dan kebatilan sebagai kebatilan. Sesungguhnya umat Islam tidak memerlukan RUU 355 dan lain-lain undang-undang ciptaan penjajah atau ciptaan manusia di Parlimen. Apa yang diperlukan oleh umat Islam ialah penerapan syariah Allah secara kaffah di bawah naungan negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj al-nubuwwah. Wallahu a’lam.