Undian sekatan PBB ke atas Pyongyang bukti hipokrasi kuasa besar
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) telah memutuskan untuk menangguhkan sesi pengundian sekatan baharu ke atas Korea Utara susulan ujian nuklear keempat dan pelancaran roket oleh negara tersebut. Penangguhan undian tersebut dibuat setelah mesyuarat ditangguhkan atas permintaan Rusia melalui Jurucakapnya, Alexei Zaytsev yang enggan memberi alasan penangguhan tersebut. Menurut berita, undian tersebut dijangka akan dibuat pada hari Rabu jam 10 pagi.
Deraf terbaru itu merupakan antara pakej tindakan tegas yang dibangkitkan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai respons terhadap ketegaran Korea Utara dalam meneruskan pembangunan senjata nuklearnya. Korea Utara telah menjalankan ujian nuklear keempatnya pada 6 Januari lalu, diikuti dengan pelancaran roket pembawa satelit sehari kemudian – pelancaran yang dianggap sebagai ujian peluru berpandu balistik. Tindakan tersebut menerima kecaman hebat daripada banyak pihak kerana berpotensi mencetuskan ketidakstabilan dan mengganggu gugat keamanan dunia.
Isu pembangunan dan pertambahan senjata nuklear merupakan isu yang telah lama dibahaskan dalam persada politik antarabangsa. Sejak bom atom pertama dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki, kuasa-kuasa dunia berlumba-lumba membangunkan senjata nuklear untuk dijadikan sebagai senjata pencegahan. Sewaktu ketegangan antara blok negara-negara berideologi semakin memuncak sepanjang perang dingin, kuasa-kuasa besar telah bersepakat melalui PBB untuk menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (Treaty on the Non-Proliferation of Nuclear Weapons, NPT) pada 1 Julai 1968 dan sehingga ke hari ini ia telah dianggotai oleh 190 buah negara. Korea Utara telah menarik diri daripada keanggotaan NPT pada 2003. Selain Korea Utara, antara negara bukan anggota lain adalah India, Pakistan, Israel dan Sudan Selatan.
Apa yang jelas, tatkala Korea Utara diberi tekanan hebat dan diancam sekatan, negara haram Yahudi tidak pula menerima reaksi yang sama apabila negara tersebut enggan menandatangani perjanjian itu, meskipun secara rasminya entiti haram Yahudi itu enggan mengakui mempunyai sebarang senjata nuklear.
NPT menjadi agenda kuasa besar yang mempunyai kekuatan nuklear untuk menghalang negara-negara lain daripada membangunkan senjata nuklear, sedangkan dalam masa yang sama mereka sendiri tidak menunjukkan kesungguhan untuk berbuat demikian. Meskipun kuasa besar seperti AS, UK, Perancis dan Rusia kononnya menunjukkan komitmen untuk mengurangkan simpanan stok senjata nuklear seperti yang termaktub dalam Artikel IV NPT, namun artikel yang sama turut memberikan hak tak terpisah (inalienable right) untuk membangunkan tenaga nuklear bagi menjana bekalan tenaga elektrik. Sedangkan teknologi pada reaktor nuklear tersebut hakikatnya masih boleh diubahsuai untuk membangunkan kembali senjata nuklear.
Justeru, apa yang jelas ialah, kuasa kuffar hanya memanipulasi NPT dengan tujuan untuk mengekalkan status quo mereka dan cuba menghalang negara lain dari menjadi lebih kuat daripada mereka. PBB pula hanya menjadi alat tunggangan bagi menjayakan agenda jahat mereka. Umat Islam tidak seharusnya meletakkan kepercayaan, malah sedikit harapan pun, kepada PBB yang terbukti telah dijadikan alat oleh kuasa kuffar untuk mengekalkan hegemoni mereka. Selagi wujud PBB, selagi itulah badan dunia itu akan terus berperanan mengukuhkan kuasa-kuasa kufar dan melemahkan negeri-negeri umat Islam.