Wahai Faizal, tidak terap hukum Allah juga boleh masuk neraka!

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan menyuarakan kebimbangannya akan masuk neraka seandainya memberitahu isi kandungan mesyuarat kabinet kepada umum. Faizal berkata demikian ketika menjawab soalan media 8 Oktober lalu.

Menurutnya lagi, beliau telah bersumpah atas nama Allah di hadapan YDP Agong untuk tidak berkongsi sebarang intipati mesyuarat kabinet yang diadakan pada Jumaat lepas (7 Oktober). Faizal turut berkata bahawa makan rasuah, salah guna kuasa juga boleh menyebabkan seseorang itu masuk neraka. “Jadi jangan makan rasuah sebab masuk neraka, bukan masuk penjara,” ujarnya lagi [Astro Awani, 8/10/2022].

Kata-kata Faizal itu merupakan sebuah peringatan yang sewajarnya diperhatikan oleh semua pihak, terutamanya mereka yang berada di tampuk pemerintahan. Namun, Menteri Belia dan Sukan itu seolah-olah terlupa bahawa kegagalan kerajaan yang disertainya untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah juga boleh menempah “tiket” ke neraka.

Alangkah baiknya bagi diri Faizal sendiri dan para penguasa yang berada dalam pemerintahan di negara ini, seandainya mereka bersungguh-sungguh berusaha untuk menjauhi neraka dengan menerapkan hukum-hakam Islam secara kaffah!

Allah (swt) berfirman;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

 “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” [Al-Baqarah (2): 208].

Perintah untuk masuk ke dalam agama Allah secara kaffah (keseluruhan) bermaksud untuk menerapkan hukum Allah secara keseluruhan bagi mereka yang berkuasa.

Firman-Nya yang lain;

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

 “Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan lain itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa” [Al-An’am (6): 153].

Jadi, satu-satunya jalan selamat daripada neraka bagi bekas Menteri Besar Perak itu, dan bagi kesemua rakan-rakannya yang berada di tampuk pemerintahan ialah dengan mengikuti perintah Allah untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah sekali gus meninggalkan sistem demokrasi dan undang-undang buatan manusia yang bertentangan dengan Islam yang telah diamalkan oleh mereka selama ini.

Semoga Faizal ingat akan pesanan Rasulullah (saw) kepada kita tentang kepimpinan sufaha’ (golongan yang bodoh), iaitu kepimpinan yang tidak mengikuti hidayah dan sunnah baginda (saw). Daripada Jabir (ra), bahawa Nabi bersabda kepada Kaab bin Ujrah,

“Semoga Allah melindungi kamu dari kepimpinan sufaha’’. Kaab bertanya, ‘Apa itu kepimpinan sufaha’?’ Jawab baginda, ‘Iaitu kepimpinan selepas aku yang tidak mengikut hidayah dan sunnahku. Sesiapa yang membenarkan mereka dengan penyelewengan mereka serta membantu kezaliman mereka, maka mereka bukanlah golonganku dan aku bukan golongan mereka. Mereka dihalang dari (telaga) haudh-ku (di Padang Mahsyar). Barangsiapa yang tidak membenarkan mereka atas pembohongan mereka serta tidak menolong mereka atas kezaliman mereka, itulah golonganku, aku termasuk golongan mereka dan mereka akan menemuiku di haudh-ku” [HR Ahmad].

Wahai Faizal, kita tidak mahu kepimpinan sufaha’ yang mana anda perlu fikir sama ada anda termasuk sebahagian daripada mereka atau tidak!

Wallahu a’lam.

Sumber berita: https://www.astroawani.com/berita-politik/mesyuarat-kabinet-saya-sudah-bersumpah-tak-nak-masuk-neraka-ahmad-faizal-384901