Wahai Shafie! Beralihlah kepada perjuangan yang mulia

shafieNaib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dengan nada tegas mengatakan beliau masih teguh bersama UMNO walaupun tidak bersependapat dengan kepimpinan parti itu dalam beberapa isu. Menurut laporan akhbar tempatan, Shafie dipetik berkata, beliau tetap setia dengan parti itu walaupun menerima kritikan daripada pihak tertentu termasuk rakan-rakan dalam UMNO kerana tidak sependapat dengan pimpinan parti. Shafie juga turut menafikan andaian sesetengah pihak yang kononnya beliau akan mengetuai USNO.

“Itu sahaja cara mereka mahu buang saya. Saya masih UMNO, saya masih ahli dan Naib Presiden parti…Kalau mahu jawatan saya ini, ambillah, adakan pemilihan, tahun ini pun tiada masalah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat dan perasmian Dewan Terbuka Kampung Selinggit di Semporna, Sabah pada 5 Mac lalu.

Sebagai salah seorang ikon bagi penduduk Sabah, Shafie dikatakan sangat disenangi penduduk negeri bawah bayu itu. Keprihatinan beliau terhadap rakyat Sabah dan kesanggupannya untuk turun menemui rakyat setiap masa terutama di Semporna harus dipuji.

Namun, sebagai seorang Muslim, Shafie harus sedar bahawa sudah tiada erti perjuangan jika bersama dengan pemimpin dan parti yang korup, apatah lagi parti yang bakal tenggelam sedikit masa lagi. Apa lagi yang beliau harapkan dalam UMNO? Mengharapkan penggantian pemimpin yang lebih baik? Atau mengharapkan UMNO menjadi baik? Atau mengharapkan dapat naik ke kerusi nombor satu? Semua harapan ini adalah sia-sia selagi UMNO tidak menukar dasar perjuangannya kepada Islam!

Selain berjuang atas dasar assabiyyah Melayu yang diharamkan oleh Islam, UMNO dan pemimpinnya sudah dilumuri dengan pelbagai isu, skandal, amalan politik wang, kronisme, nepotisme serta pelbagai keburukan lainnya, yang telah berakar umbi sejak puluhan tahun lagi. Apa yang lebih penting, UMNO sebagai parti pemerintah, tidak pernah menerapkan hukum Allah dalam pemerintahan negara! Dan Shafie memang sedar hakikat ini sejak dulu.

Justeru, kenapakah tokoh dari Sabah ini begitu tegar untuk terus bersama UMNO? UMNO sudah ditolak oleh rakyat. Harapan yang tinggal pada UMNO untuk terus mendapat sokongan daripada rakyat sekarang ialah ‘habuan’ semata-mata! Selagi mana mereka masih dapat memberi ‘habuan’ kepada ahlinya dan kepada para pengundi, maka selagi itulah parti ini akan mendapat sokongan. Inilah satu-satunya talian hayat UMNO yang tinggal.

Justeru, baik Shafie, Muhyiddin, Mukhriz mahupun pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang lain, mereka sepatutnya ingat bahawa UMNO tidak akan dapat menyelamatkan mereka dalam kubur nanti. UMNO juga tidak akan dapat menyelamatkan mereka di padang Mahsyar kelak. Sebaliknya UMNO boleh menjadi pemberat kepada dosa dan azab mereka, kerana UMNO tidak pernah memegang dan menjalankan amanah Allah, sebaliknya parti ini telah banyak memaksiati Allah.

Jadi, satu-satunya jalan selamat untuk Shafie dan rakan-rakan yang telah pun ditolak oleh UMNO adalah dengan meninggalkan UMNO dan beralih kepada perjuangan Islam. Berjuang untuk menegakkan agama Allah dengan jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, mengikhlaskan diri semata-mata kerana Allah, bukan mencari pangkat dan harta, bukan mencari glamor atau nama, tetapi mencari keredhaan Allah semata-mata. Inilah satu-satunya perjuangan yang dapat menyelamatkan manusia daripada azab seksa Allah yang tidak terperi sakitnya.

Jadi, wahai Shafie dan rakan-rakannya yang sedar! Dengarlah bahawa sesungguhnya tiada pilihan lain yang lebih baik bagi kalian selaku seorang Muslim, kecuali dengan bersungguh-sungguh mempelajari Islam dan mendakwahkannya kepada umat serta mengajak rakyat untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan jalan menegakkan syariah dan Khilafah.

Berbekalkan pengaruh dan sisa-sisa usia yang diberikan oleh Allah SWT, jika beliau memilih untuk berjuang menegakkan syariah dan Khilafah, Insya Allah akan menjadikan Sfafie Apdal seorang yang mulia di sisi Allah, walaupun hina di sisi UMNO.