Wajarkah umat Islam gembira dengan kemenangan AKP?
Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Turki berjaya mempertahankan kemenangan untuk kali keempat berturut-turut, dalam pilihan raya yang baru sahaja berakhir. AKP mencatatkan 49.3 peratus undi yang melayakkan mereka menghantar 313 perwakilan ke Parlimen sekali gus layak membentuk kerajaan sendiri tanpa memerlukan kerajaan campuran.
Rata-rata parti Islam di negara lain gembira dan mengucapkan tahniah atas kemenangan AKP ini. Hal ini tidaklah menghairankan kerana di sebalik kesekularannya, Erdogan sering dimomokkan sebagai pembawa imej Islam yang progresif. Malah Turki di bawah pemerintahan AKP dan Erdogan saat ini sering diwar-warkan sebagai model terbaik Negara Islam moden. Turki dianggap berhasil memadukan Islam dan sekularisme. Pertumbuhan ekonomi Turki yang tinggi sering dijadikan hujah atas hal itu. Erdogan atau pemerintah Turki memang bangga dengan pencapaian itu, malah menyeru negeri-negeri Muslim lainnya agar menjadi negara sekular seperti Turki, sebagaimana yang diucapkan sendiri oleh Erdogan ketika berkunjung ke Mesir pada September 2011.
Republik Turki di bawah AKP sering dinilai sebagai model negara yang berhasil memadukan Islam dan demokrasi. Atas dasar itu, mana-mana parti Islam yang bergelumang dengan demokrasi akan menyokong AKP. Sedangkan secara konseptual, Islam dan demokrasi tidak akan bersatu dan tidak boleh disatukan. Jadi, bagaimana mungkin dikatakan Republik Turki berjaya memadukan keduanya? Islam dan demokrasi adalah dua sistem hidup yang berbeza dan bertentangan sama sekali. Kita boleh lihat dari konsep kedaulatannya (sovereignty) di mana demokrasi mengamalkan konsep kedaulatan di tangan rakyat (as-siyadah li al-sya’bi) yang menyerahkan hak membuat hukum kepada manusia atas nama suara majoriti. Sebaliknya, dalam Islam hak membuat hukum adalah milik Allah SWT semata-mata (as-siyadah li al-syar’i). Perlu difahami bahawa konsep kedaulatan ini merupakan perkara yang paling asas (usul) kerana berkaitan dengan siapa yang berhak menjadi ‘sumber hukum’. Kedaulatan ini sifatnya mutlak, tidak boleh dibahagi-bahagi, sehingga sangat menentukan sistem kenegaraan sesebuah negara.
Semasa kunjungan ke Mesir waktu itu, Erdogan mengungkapkan bahawa sekularisme bukan bererti meninggalkan agama, bahkan negara sekular akan menghormati semua agama. Sekali imbas, ungkapan ini seperti ada benar dan baiknya. Memang, negara sekular mengakui agama seperti halnya di Amerika Syarikat dan Britain. Namun, sekularisme membatasi peranan agama sebatas ritual, moral dan masalah individual. Adapun dalam politik, ekonomi, hukuman dan jenayah, hukum-hukum agama tidak boleh dijadikan dasar. Di beberapa negara sekular memang umat Islam diberikan ruang untuk solat atau puasa. Namun, apa yang pasti syariah Islam tidak boleh dijadikan dasar pengaturan praktis dalam masalah ekonomi atau politik. Bahkan di beberapa negara sekular seperti Perancis, dengan alasan menjaga sekularisme, pemakaian busana Muslimah seperti burqa dilarang.
Barat tidak pernah khuatir kalau umat Islam memiliki ritual yang baik atau akhlak yang bagus. Hal itu tidak akan mengancam kekuasaan mereka sedikit pun. Apa yang paling mereka khuatirkan adalah sekiranya Islam diterapkan secara kaffah; diterapkan dalam kenegaraan dan politik. Inilah yang mereka takuti. Seperti yang ditulis Snouck Hurgronje, orientalis yang berpura-pura masuk Islam, dalam sebuah surat kepada Goldziher tahun 1886, satu tahun setelah perjalanannya ke Makkah, yang mengatakan, “Saya tidak pernah risau dengan unsur-unsur keagamaan (ritual) dari lembaga ini [Islam]. Hanya pengaruh politik menurut pendapat saya patut diperhatikan. Sebagai orang Belanda saya merasa sangat penting untuk melawan ini.”
Inilah perbezaan Islam dengan agama yang lain. Untuk agama-agama lain, ia tidak menjadi masalah kepada Barat, kerana agama-agama itu hanya mengatur masalah ritual, moral dan individual. Tetapi Islam tidak hanya itu, sebab, Islam adalah agama yang komprehensif yang mengatur seluruh aspek kehidupan; ekonomi, politik, uqubat, pendidikan, sosial dan lain-lain.
Mencampur-adukkan Demokrasi dan Islam
Sesungguhnya sistem pemerintahan di Turki sehingga sekarang ialah sistem demokrasi-sekular. Realitinya, demokrasi dan Islam itu umpama air dan minyak di mana keduanya tidak mungkin bersatu. Justeru, bgaimanakah ingin dikatakan bahawa kemenangan AKP Adalah kemenangan Islam? Demokrasi menyerahkan hak membuat hukum kepada manusia, sementara dalam Islam hak membuat hukum adalah milik Allah SWT. Sebagaimana dalam firmanNya,
”Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am (6):57].
Berpegang kepada demokrasi-sekularisme bererti mencampakkan banyak hukum Islam terutama dalam masalah politik, kenegaraan, uqubat, ekonomi dan lain-lain. Inilah yang kita lihat di Turki. Lihat sahaja apakah syariah Islam diterapkan di Turki? Tentu saja tidak. Justeru tuntutan syariah Islam inilah yang ditentang oleh kelompok sekularis. Kalau Islam sejalan dengan sekular atau tidak ditolak oleh sekular, lantas mengapa kelompok sekular menolak penerapan seluruh syariah Islam? Kalau sekular sejalan dengan Islam, mengapa mereka menolak konsep Khilafah atau Negara Islam? Mengapa para anggota Hizbut Tahrir di Turki yang menyerukan syariah Islam dan Khilafah ditangkap oleh rejim Erdogan? Jangankan persoalan Khilafah, penggunaan jilbab saja di Turki masih dipersoalkan.
Ramai yang menganggap AKP memiliki akar Islam yang kuat dan dipimpin oleh orang-orang Islam. Walhal yang pasti, elit-elit AKP dengan tegas menyatakan bahawa parti mereka bukan parti Islam seperti kenyataan Erdogan sendiri di Johns Hopkins University. Erdogan juga menegaskan komitmennya mendukung negara sekular Turki. Malah semasa berkunjung ke Mesir dulu, Erdogan tanpa segan silu menyeru Mesir agar menjadi negara sekular.
Meskipun ada yang berpendapat bahawa AKP bukan parti Islam, banyak parti Islam di seluruh dunia yang menganggap bahawa AKP merupakan sebuah parti yang berjaya, setidaknya jika dibandingkan dengan lain-lain parti yang memerintah di dunia Islam. Persoalannya di sini, apakah yang menjadi ‘ukuran’ kejayaan atau kemenangan sesebuah parti dalam pandangan Islam? Padahal ukurannya bukanlah kerana ramai anggota parti itu menang dalam pilihan raya, duduk sebagai anggota parlimen atau menguasai majoriti di Parlimen seperti AKP. Bukan pula ukurannya ada anggota parti yang menjadi Perdana Menteri, Menteri kabinet atau memegang jawatan pemerintahan lainnya. Namun ukurannya adalah, apakah dengan kekuasaannya itu mereka menerapkan syariah Islam secara menyeluruh atau tidak, dalam negara dan polisi luar negara (dakwah dan jihad). Apa ertinya kekuasaan kalau bukan untuk menerapkan apa yang Allah turunkan, secara menyeluruh?
Pertumbuhan Ekonomi Turki Merupakan Satu Kejayaan Islam?
Selain bidang pemerintahan, Turki di bawah rejim Erdogan juga dipandang perlu ditiru oleh negara-negara lain kerana berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonominya. Tanpa menafikan perkembangan ekonomi di Turki, sekali lagi persoalannya adalah, apakah sistem ekonomi yang diterapkan oleh Turki merupakan sistem ekonomi Islam? Apakah kejayaan Islam itu diukur dengan terjadinya kemajuan ekonomi? Bagi seorang Muslim, apa yang penting adalah melaksanakan segala sistem yang diwajibkan oleh Allah SWT, termasuk dalam urusan ekonomi kerana ekonomi juga merupakan sebahagian daripada syariat Islam. Kita wajib meraih keredhaan Allah SWT dengan menjalankan syariat Islam. Dengan syariat Islam, selain boleh mensejahterakan masyarakat, menjamin keperluan pokok rakyat, pendidikan dan kesihatan percuma, yang lebih penting ialah kita mendapat redha Allah SWT.
Memang tidak dinafikan Turki di bawah AKP mengalami pertumbuhan ekonomi yang cukup signifikan. Laju pertumbuhan ekonomi negara itu mencapai 8.9 peratus pada tahun 2010. Ketika parti AKP mengambil-alih kekuasaan, Keluaran Negara Kasar (KNK) Turki baru senilai 230 juta dolar pada tahun 2008 dan meningkat menjadi 742 juta dolar. Namun, KNK Turki tentu masih jauh dibandingkan dengan negara-negara Eropah. Peningkatan KNK atau pertumbuhan tinggi itu tidak terus menjamin dan menunjukkan bahawa secara individu per individu
masyarakat negara itu sejahtera. Sebab, sudah menjadi tabiat biasa dalam sistem Kapitalis, kekayaan boleh menumpuk pada segelintir orang sahaja. Perlu juga dicatat, pertumbuhan ekonomi Turki tidak boleh dilepaskan dari program liberalisasi ekonomi yang dicanangkan Erdogan. Kerana itu, ekonomi Turki sangat bergantung pada ekonomi kapitalisme global dunia yang rapuh. Kalau Amerika dan Eropah sebagai pemain utamanya sahaja boleh goncang, tentu tidak mustahil hal yang sama terjadi di Turki. Hanya waktu yang menentukan. Seperti Indonesia, pernah dipuji oleh Barat sebagai kekuatan ekonomi baru sebelum terjadi krisis ekonomi di era Suharto, bahkan disebut singa ekonomi Asia, namun, hanya dalam waktu singkat ekonomi Indonesia merudum teruk.
Turki juga menghadapi masalah yang sama; perbezaan ketara antara kaya-miskin. Meskipun terjadi pertumbuhan ekonomi yang tinggi, angka kemiskinan di Turki pada 2009 justeru meningkat dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Menurut laporan terbaru oleh Institut Statistik Turki atau TurkStat, peratusan orang Turki yang hidup di bawah garis kemiskinan meningkat dari 17.79 peratus pada tahun 2008 menjadi 18.08 persen atau 12,750,000 orang. Pada (2/3/2011).
Hubungan Turki-Amerika-Israel
Percaturan politik Parti AKP sebenarnya tidak boleh dilepaskan dari kepentingan Amerika Syarikat di kawasan itu, terutama kepentingan mengenepikan pengaruh Britain dalam angkatan bersenjata Turki. AKP di bawah kepemimpinan Erdogan menerapkan polisi untuk menyambung hubungan dengan Amerika dalam rangka menghilangkan pengaruh Britain dalam hubungannya dengan Angkatan Tentera Turki. Strategi utama yang dilakukan AKP adalah mendapat dukungan dari umat Islam Turki melalui isu-isu Islam seperti tudung dan juga isu Palestin. Harapannya, rakyat semakin kehilangan kepercayaan terhadap Angkatan Tentera Turki yang dikenal sebagai penjaga negara sekular Turki yang anti Islam.
Bahkan dalam Shared Vision Document yang ditandatangani pemerintah Turki dan Amerika oleh Abdullah Gul dan Condoleezza Rice pada tanggal 5 Julai 2006, tampak jelas bahawa pemerintahan Erdogan berada dalam hegemoni AS. Dokumen ini membuktikan bahawa percaturan global Turki bukanlah Islam atau bebas, tetapi untuk melayani kepentingan Amerika Syarikat.
Selain Amerika, hubungan politik Turki dengan Israel juga amat nyata. Bagi yang buta politik, mereka nampak seolah-olah Erdogan adalah anti-Israel. Walhal senario Turki yang kelihatan anti-Israel itu tidak boleh dilepaskan dari usaha meningkatkan kuasa tawaran Turki sebagai alat politik Amerika di Timur Tengah. Amerika berharap dengan menampilkan Turki seperti ini, ia akan lebih mudah diterima oleh rakyat Timur Tengah. Namun, perlu diingat, apa yang dilakukan oleh Turki adalah sebatas penundaan kerjasama militer dan ekonomi dengan Israel, bukan memutuskannya sama sekali. Turki hingga saat ini belum memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Malahan Abdullah Gul pernah menyerukan agar Hamas menerima eksistensi Israel dan menerima konsep dua negara. Solusi dua negara itu pada prinsipnya hanya menjalankan kepentingan Amerika Syarikat. Itu bererti, Turki mengakui keberadaan negara penjajah, Israel. Demikian juga kembali pada perbatasan Palestin 1967, bererti mengakui keberadaan negara Israel yang berdiri pada tahun 1947.
Penutup
Laporan Rand Corporation (2008) yang berjudul The Rise of Political Islam in Turkey, menjelaskan tentang pentingnya peranan Turki untuk menunjukkan bahawa sekularisme dan Islam boleh menyatu dan untuk mencegah radikalisasi. Rand Corporation menyimpulkan: “Hal ini penting, kerana ia masuk ke jantung masalah keserasian (compatibility) Islam dan demokrasi. Kemampuan parti dengan akar Islam untuk beroperasi dalam kerangka sistem demokrasi sekular dengan menghormati batas-batas antara agama dan negara akan membantah hujah bahawa Islam tidak dapat diharmonikan dengan demokrasi sekular modern. Di sisi lain, jika percubaan ini gagal, ia boleh menyebabkan polarisasi sekular-Islam menjadi lebih mendalam yang seterusnya akan mengurangi jalan tengah yang diperlukan untuk membangun benteng Muslim moderat dalam rangka mencegah penyebaran Islam radikal. Kerana itu, entiti mainstream di Turki harus didorong untuk bersekutu dengan kelompok dan lembaga tempat lain di dunia Muslim untuk menyebarkan interpretasi moderat dan pluralistik Islam”.
Inilah percaturan Amerika yang mana Erdogan masuk ke dalamnya. Amerika sangat takut dengan dukungan besar dari umat Islam yang ingin kembali kepada syariah Islam sepenuhnya dan bersatu di bawah Negara Islam (Khilafah). Turki menjadi alat yang penting untuk Amerika menunjukkan kepada dunia Islam tentang bagaimana umat Islam boleh maju jika bersikap moderat dan menerapkan sekularisme yang dapat diharmonikan dengan Islam. Sebagai tempat terakhirnya runtuhnya Khilafah dan sebuah negara yang kuat serta berpotensi untuk kembalinya Khilafah di situ, Erdogan dimanfaatkan oleh Amerika untuk menghalang tegaknya Khilafah. Sesungguhnya ‘ruh’ Khilafah tidak dapat dipisahkan dari Turki dan berdirinya kembali Khilafah sudah pasti akan menghancurkan segala hegemoni Amerika di seluruh dunia.
Wallahu a’lam.