“Sautun Nahdhah” Palsu Di Masjid Negara
Kandungan risalah ini adalah mengenai kes video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun risalah ini tidak meletakkan nama HTM secara langsung, tetapi ia jelas cuba mensabotaj HTM dengan menggunakan kepala “Sautun Nahdhah” dengan desain yang sama yang di fotostat dari risalah Sautun Nahdhah keluaran asal HTM. Cubaan sabotaj HTM ini begitu jelas apabila risalah palsu ini menyiarkan alamat laman web www.mykhilafah.com yang merupakan laman web rasmi HTM. Dari kandungannya, risalah ini cuba memfitnah Anwar Ibrahim dan turut ingin melaga-lagakan sesama parti Islam.
Risalah palsu yang tidak mempunyai nombor siri dan tidak bertarikh itu jelas dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba memburuk-burukkan HTM dengan penulisan yang bertujuan menjatuhkan maruah Anwar Ibrahim. Alangkah kotor dan jijiknya penipuan sebegini!!! Makar apakah yang cuba dilakukannya?Semoga Allah membalas makar ini.
“Mereka membuat makar (tipu daya) dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka) dan Allah adalah sebaik-baik Pembalas tipu daya” [TMQ al-Anfal (8):30].
Kami dengan ini menafikan sebarang kaitan dengan risalah palsu tersebut. Semoga pihak yang melakukannya berhenti dan bertaubat dari kesalahannya ini segera. Semoga Allah mengampuninya jika Dia menghendaki dan semoga Allah mengazabnya jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Membalas apa yang dilakukan oleh manusia.
Di bawah ini disiarkan sesalinan risalah palsu tersebut. Ini merupakan kali pertama risalah Sautun Nahdhah cuba disabotaj dengan cara ini sejak ia mula dikeluarkan pada akhir tahun 2004. Sautun Nahdhah merupakan risalah mingguan rasmi HTM yang diedarkan di seluruh negara secara percuma khususnya pada setiap hari Jumaat.