10 Isu Utama Yang Perlu Diberikan Perhatian Oleh Para Pemerhati Politik Sepanjang Tahun 2018

1. Syria – Selepas peperangan berlanjutan melebihi lima tahun dan apa yang tinggal ialah baki perjuangan yang berkemungkinan berpusat di Idlib. Kejatuhan Aleppo sebelum ini merupakan satu tamparan hebat bagi para pejuang dan rakyat Syria yang telah berusaha sekian lama untuk menjatuhkan Rejim Bashar al-Assad. Namun, tentera Bashar tetap memerlukan waktu sehingga beberapa bulan lagi untuk menguasai Syria Utara sepenuhnya. Hal ini demikian kerana tentera Bashar sudah mengalami kerugian yang sangat besar dan hanya bergantung kepada bantuan dari negara-negara asing untuk bertahan. Cabaran utama bagi Bashar bukan hanya meraih kemenangan jangka masa pendek, tetapi mempertahankan Syria di bawah kekuasaannya untuk jangka masa panjang. Manakala Amerika Syarikat (AS) pula berusaha untuk menyelesaikan konflik di Syria pada tahun 2018 ini. AS akan menggunakan baki kekuasaan yang ada pada Rejim Bashar bagi memaksa golongan penentang dan rakyat Syria menerima perubahan politik seperti yang dicadangkan oleh AS sendiri. Namun begitu, sehingga sekarang pihak penentang dan rakyat Syria telah menolak untuk ke meja rundingan seperti yang diadakan di Geneva, Vienna, Riyadh atau Astana.

2. Pilihan Raya Pakistan – Menjelang September 2018, kerajaan persekutuan sedia ada – Muslim League (PML N) – dan dewan rakyat akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya. Terdapat juga kemungkinan untuk pilihan raya tersebut diawalkan melihat kepada perkembangan politik ‘kangaroo’ di Pakistan. Ini merupakan kali pertama kerajaan yang berkuasa dalam sejarah Pakistan akan menamatkan tempoh pemerintahan dan bersedia untuk menyerahkan kuasa kepada kerajaan baru yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Walaupun dengan pemecatan Nawaz Sharif, kerajaannya akan memecahkan rekod lain untuk proses pemindahan kuasa. Keputusan pilihan raya tidak akan memberikan sebarang impak besar kerana kedua-dua pihak yang bertanding akan meneruskan polisi yang sama iaitu menyokong matlamat AS dalam rantau tersebut, malah sistem yang berjalan di negara tersebut adalah untuk kepentingan mereka sendiri dan bukan sama sekali untuk rakyat. Namun begitu, apa yang perlu diperhatikan ialah peranan pilihan raya kali ini untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem di Pakistan dan bagaimana ia akan dilaksanakan. Pilihan raya itu juga akan menunjukkan bagaimana Pakistan akan dipertahankan dalam keadaannya yang sedang menuju kehancuran.

3. Krisi Saudi – Kerajaan monarki Arab Saudi hakikatnya sedang berada dalam krisis. Kejatuhan harga minyak telah mendedahkan model ekonomi sebenar yang sejak sekian lama dipertahankan oleh kerajaan monarki tersebut, iaitu model ‘wang untuk kesetiaan’ yang selalu bergantung sepenuhnya kepada pendapatan jualan minyak yang mengalir dalam perbendaharaan kerajaan. Kebergantungan Arab Saudi kepada minyak bermakna mereka perlu memastikan harga minyak berada pada paras melebihi USD 100 per tong bagi mengimbangi keperluan ekonominya. Krisis di Saudi ini bertambah parah apabila Muhammed bin Salman melakukan operasi ‘pembersihan’ terhadap kerabat keluarganya sendiri semata-mata untuk mengukuhkan kedudukan takhtanya. Tindakan tersebut dapat disaksikan dengan penangkapan dan pemecatan beberapa tokoh senior yang berkemungkinan besar akan bertindak balas pada tahun 2018.

4. Krisis Mesir – Ekonomi Mesir sedang berada dalam keadaan yang sangat tenat dan meletakkan presidennya, Abdul Fattah al-Sisi dalam keadaan yang terdesak. Sama seperti presiden-presiden sebelumnya, al-Sisi akan terus memperuntukkan 60% daripada peruntukan negara untuk membayar hutang yang akan mengakibatkan belanjawan negara yang tersisa untuk dibelanjakan pada sektor awam sangat tidak mencukupi. Al-Sisi cuba menyembunyikan masalah ini dengan mengumumkan beberapa projek berprofil tinggi. Sebelum ini, rejimnya bergantung kepada pemberian subsidi untuk menstabilkan ekonomi rakyat namun keadaan ekonomi semasa negara jelas menunjukkan kerajaan tidak lagi mampu memberikan subsidi kepada rakyatnya. Semua ini menunjukkan gabungan projek mega dan beberapa polisi lain hanya bersifat jangka pendek yang sama sekali tidak menyelesaikan masalah yang telah lama berlarutan seperti kemiskinan. Di bawah pemerintahan al-Sisi juga terdapat banyak ‘penangkapan politik secara paksa’. Penyelaras Hak dan Kebebasan Mesir (ECRF) melaporkan terdapat sehingga 2,811 kes ‘penangkapan politik secara paksa’ antara Julai 2013 (ketika Al-Sisi mula-mula berkuasa) sehingga Jun 2016. Perbezaan aliran politik dan demonstrasi hanyalah beberapa alasan yang diberikan untuk memenjarakan, menyeksa dan menangkap seseorang ke penjara. Dengan situasi yang berlaku ini, kemungkinan kita akan melihat protes daripada rakyat akan kembali seperti sebelum ini.

5. Pilihan Raya Separuh Penggal AS – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bakal menghadapi pilihan raya pertamanya semenjak memenangi pilihan raya pada tahun 2016. Pada 6 November 2018, kesemua 435 kerusi di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat dan 33 daripada 100 kerusi dalam Senat Amerika Syarikat akan dipertandingkan. 39 negeri dan kerajaan setempat serta beberapa negeri lain turut akan dipertandingkan. Pilihan raya separuh penggal 2018 ini berkemungkinan besar menjadi satu referendum terhadap jawatan presiden Donald Trump dan juga sejauh mana keberhasilan pencapaian politiknya, atau menunjukkan kelemahannya. Demokrat memiliki asas untuk lebih optimis di Dewan Perwakilan (House of Representatives), manakala Republikan kini memiliki majoriti 239 kerusi berbanding dengan Demokrat yang memiliki 194 kerusi dan kesemua 435 kerusi akan dipertandingkan semasa pilihan raya. Republikan pada ketika ini mendominasi kedua-dua dewan (Perwakilan & Senat) dan sekiranya mereka kehilangan salah satu daripada dewan ini, ia bakal melemahkan Trump dan akan menyebabkan polisi-polisi yang hendak dilaksanakan oleh AS mengalami jalan buntu.

6. Polisi Luar Negara AS – Menjelang tahun 2018, pentadbiran Amerika berhadapan dengan cabaran yang serius berkaitan dengan dasar luar negaranya. Visi AS berkaitan dengan kedudukannya di pentas dunia telah berubah sejak pentadbiran Obama menerbitkan Strategi Keselamatan Nasional Amerika (NSS) pada tahun 2015. Dua tahun yang lepas, Amerika begitu yakin dengan caranya memimpin dunia: “AS lebih kuat dan dalam posisi yang lebih baik untuk mendapatkan peluang-peluang yang ada pada abad yang baru ini serta menjaga kepentingan kita dalam berhadapan dengan risiko dunia yang tidak selamat”. Pandangan ini (yang menunjukkan kepimpinan AS) sudah mati, sebagaimana matinya TPP serta tamatnya kepimpinan AS dalam melawan perubahan iklim dunia. Pada 18 Disember 2017, giliran pentadbiran Trump menerbitkan Strategi Keselamatan Nasional Amerika (NSS) dengan memaparkan kegagalan Amerika yang mesti diambil tindakan drastik dengan slogan ‘America first’ agar AS tidak ‘dipukul’ oleh para pesaingnya. Pentadbiran Amerika memutuskan untuk meletakkan kepentingan ekonominya sebagai matlamat utama, seperti yang telah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu. Namun, kini terdapat kurangnya keyakinan bahawa nilai dan ideologi Amerika akan terus berjaya dikembangkan. Oleh sebab itu, memperkuatkan ketenteraan lebih diutamakan untuk menghalang kebangkitan musuh. Inilah strategi Donald Trump dalam usaha menyelamatkan Amerika dengan menggunakan ketenteraan sepenuhnya untuk mempertahankan diri. Dalam keadaan kekurangan sekutu, Amerika hanya bergantung kepada provokasi berbahaya dan ancaman peperangan nuklear untuk mencipta krisis kepincangan ke atas China sebelum ia bersedia menghadapi AS secara langsung.

7. Korea Utara – Korea Utara telah menguji peralatan nuklear dan menunjukkan kepada umum akan kebolehannya dalam bidang tersebut. Korea Utara akan terus membangunkan senjata nuklearnya pada tahun ini dan akan mampu untuk melancarkan serangan ke atas Amerika dalam jangka masa terdekat. Pyongyang telah meletakkan Washington dalam keadaan serba salah. Dalam tahun 2018 ini, kemungkinan Korea Utara semakin hampir untuk menghasilkan senjata nuklear dan masa semakin singkat untuk AS melakukan sesuatu mengenainya. AS nampaknya tidak mahu Korea Utara memiliki senjata nuklear, tetapi AS juga tidak mahu melancarkan serangan besar-besaran bagi melucutkan senjata tersebut.

8. Cita-Cita Iran – Iran berada dalam motivasi yang tinggi apabila puak penentang menerima beberapa tamparan hebat di Aleppo. Iran telah memainkan peranan yang besar dalam menyokong rejim Bashar al-Assad di Syria. Di Iraq pula, bantuan tentera Iranlah yang telah mengatur perancangan untuk menawan semula bandar Mosul dan mengalahkan ISIS. Dalam keadaan Amerika memerlukan bantuan Iran untuk mengekalkan kuasa Bashar di Syria, secara tidak langsung Amerika turut telah membantu menguatkan kedudukan Iran yang sememangnya mahu mengawal masa depan Syria dan menguasai peralihan politik di negara tersebut. Apa yang menarik untuk dilihat dalam tahun 2018 ini ialah, adakah Iran akan melawan agenda Amerika di Syria atau Iran akan membantu Amerika sebagaimana ia telah membantu Amerika ketika peperangan Iraq dan Afghanistan serta memainkan peranan penting dalam lanskap politik di negara-negara ini dengan tetap menyokong agenda Amerika berbanding untuk menentangnya. Semua ini akan berlaku dalam keadaan ekonomi Iran yang tenat akibat daripada peperangan yang memakan masa hampir separuh dekad. Dalam masa yang sama, kita dapat melihat pada minggu terakhir Disember 2017, beberapa protes telah berlaku di kawasan konservatif Iran yang sebelum ini menyokong rejim ulama’ Iran. Perkara ini merupakan satu gelombang perubahan yang berlaku di Iran.

9. Kesatuan Eropah – Masalah utama Eropah kini bukanlah dari sudut ekonomi, tetapi keyakinan golongan bawahan dan pertengahan yang telah hilang terhadap golongan elit. Dengan kata lain, kebolehan golongan elit untuk menerajui Eropah telah diragui kerana kegagalan mereka menguruskan ekonomi dengan baik, serta kegagalan untuk memahami perselisihan kebudayaan yang timbul. Sebahagian besar daripada rakyat Eropah tidak terkesan dengan ketidakseimbangan ekonomi. Tidak ada persefahaman dalam kalangan orang Eropah untuk membina semula kepercayaan yang telah hancur. Bangsa Eropah tidak dipisahkan oleh falsafah mereka dalam menguruskan institusi Kesatuan Eropah, sebaliknya mereka dipisahkan oleh perbezaan kepentingan politik, ekonomi dan budaya. Kesatuan Eropah akan benar-benar teruji pada tahun 2018 ini.

10. Pakatan Russia-China – Kerjasama yang semakin akrab di antara China dan Rusia bakal menimbulkan ancaman strategik kepada Amerika Syarikat, dan ini membuatkan pihak Washington mengkaji semula penjanjian kerjasama dengan memperkukuhkan sekutu-sekutunya di seluruh dunia. Kesefahaman yang semakin tidak menentu di antara kuasa-kuasa besar akan semakin menentukan sistem global sebagaimana Moscow dan Beijing yang membuat percubaan untuk melemahkan penguasaan AS di kancah antarabangsa, sama seperti banyaknya sekutu-sekutu AS yang berusaha untuk melindungi hubungan mereka dengan Washington.

Terjemahan

Sumber: http://www.revolutionobserver.com/2018/01/top-10-global-issues-in-2018.html

Get real time updates directly on you device, subscribe now.