Perlu Menunggu 20 Tahun Untuk Dapatkan Air Paip

Dua puluh tahun adalah suatu tempoh masa yang langsung tidak masuk akal bagi seseorang yang memiliki pemikiran yang jernih dan rasional. Tetapi inilah realiti yang sedang berlaku dan ia bukan sesuatu yang pelik dalam kehidupan yang diatur oleh sistem kapitalisme. Bagi ideologi kapitalisme, urusan pengaturan umat bukanlah menjadi keutamaan dan ia bukan juga tanggungjawab utama negara. Dalam kapitalisme, pemerintah lebih berminat untuk berniaga dengan rakyatnya sendiri. Cuma apa yang menjadi kepelikan sekarang ini adalah ketika bahang PRU-13 semakin dekat, mengapa perlu berita sebegini dipaparkan dan dibesar-besarkan ceritanya? Mengapa perlu disebutkan sekali nama Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. S Subramaniam? Bukankah ia bertujuan untuk kempen pilihanraya? Walhal tempoh 20 tahun yang diperlukan untuk membekalkan air paip kepada rakyat telah membuktikan kepada kita betapa gagalnya kerajaan yang memerintah dengan sistem kapitalisme ciptaan penjajah selama ini. Keadaan ini akan pasti berulang sekiranya pemerintah yang berkuasa masih tetap terus setia menerapkan dan mempertahankan sistem jahiliyyah ini. Sedangkan Allah SWT telah berfirman: “Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah dalam membuat hukum bagi orang-orang yang yakin”. [TMQ al-Maaidah (5): 50].

Telah terbukti bahawa ideologi kapitalisme ini adalah sistem kehidupan yang gagal untuk memberi kehidupan yang sebenar kepada manusia. Ini sangat jauh berbeza dengan sistem Islam.Sejarah tinta emas kegemilangan Islam yang pernah memayungi 2/3 dunia selama lebih daripada 1300 tahun telah memperlihatkan kepada kita bahawa Islam adalah satu-satunya  ideologi yang mampu memberikan kehidupan yang baik kepada seluruh manusia. Khalifah Umar al-Khattab pernah pada satu malam tidak dapat tidur kerana telah sampai kepadanya berita tentang kambing yang tergelincir lalu mati di Iraq. Disebabkan insiden tersebut, Saidina Umar menangis dan berkata, “Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq), nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di hari akhirat kelak!”. Saidina Umar sentiasa berasa bertanggungjawab untuk memastikan rakyat di bawah kepimpinannya hidup dengan selesa dan sejahtera di bawah naungan Islam. Saidina Umar memahami dengan benar hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Pemimpin sesuatu kaum adalah pelayan mereka” [HR Abu Naim]. SabdaRasulullah SAW yang lain turut menjelaskan bahawa kewajiban untuk menguruskan seluruh urusan rakyat itu terbeban sepenuhnya di atas bahu pemimpin.“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya” [HR Bukhari dan Muslim].

Sumber: Sinar Harian, 28/02/13