100 hari tanpa penerapan Islam

Sudah semacam menjadi tradisi di Malaysia yang setiap Perdana Menteri akan menilai dan dinilai pemerintahan dan pentadbiran mereka dalam masa 100 hari, sebagai penilaian awal. Ia seolah-olah mencerminkan bahawa jika pada 100 pertama ni mereka berjaya, maka ia menjadi ukuran untuk kejayaan seterusnya.

Berita telah pun melaporkan yang Perdana menteri ke-10 akan mengadakan sesi pemukiman (retreat) minggu depan bersama dengan kabinetnya untuk membentangkan prestasi semasa dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.

Tanpa perlu menganalisis jauh pun, kita sudah boleh meramalkan apakah hasil retreat itu nanti. Ya sudah pasti indeks akan menunjukkan bahawa pemerintahan dan pentadbiran PM sejak 100 hari lepas dipenuhi dengan kejayaan yang gilang gemilang.

Tidak pernah ada mana-mana PM sebelum ini, yang mengakui kelemahan dan kegagalan mereka dalam 100 hari pertama. Semuanya berhasil memerintah dengan baik dan dengan seribu macam kejayaan dan kehebatan yang tiada taranya.

Selesai retreat nanti, PM dan menteri-menteri kabinet boleh menyenaraikan daftar kejayaan mereka hingga 1 kilometer sekalipun, namun hakikatnya di sepanjang 100 hari ini, bukan sahaja satu hukum Allah yang tidak ditegakkan, malah satu usaha ke arah itu pun tidak nampak!

Walaupun para pendukung akan memuji dan mempertahankan PM idola mereka ini berbanding PM-PM sebelum ini, namun ia tidak akan merubah realiti sedikit pun bahawa baik PM10, PM9, PM8, PM7 dan yang sebelumnya dan yang sebelumnya, tidak pernah kita mendengar pun apa-apa janji bahawa mereka akan berusaha untuk menerapkan hukum Allah. Apa yang akan selalu kita dengar adalah pelbagai alasan dan helah untuk tidak melaksanakan hukum Allah.

Sebagai Muslim, tidak ada indeks lain untuk kita menilai setiap perbuatan kita, begitu juga setiap perbuatan orang lain termasuk pemimpin, kecuali menilainya dengan hukum syarak. Jika perbuatan tersebut bertepatan dengan syarak, maka baiklah ia, manakala jika bertentangan dengan hukum syarak, maka buruklah ia.

Justeru, berhasil macam mana sekali pun usaha PM memulihkan ekonomi negara, namun jika tunjang perekonomian masih ribawi, industri perjudian masih wujud dan industri arak masih beroperasi dengan jayanya, begitu juga dengan segala macam cukai yang diharamkan Islam masih terus dilaksanakan, maka kesemua “kejayaan” ini, bukan sahaja tidak ada nilai di sisi Allah, tetapi semuanya bakal mengundang kemurkaanNya!

Berhasil macam mana sekali pun usaha PM memulihkan integriti dan kebebasan badan kehakiman, namun apabila tunjang perundangan negara masih lagi berpaksi kepada perlembagaan dan undang-undang ciptaan kafir British, serta yang dibuat oleh manusia (ahli-ahli parlimen), maka ia bukan sahaja tidak ada nilainya di sisi Allah, tetapi sebuah kezaliman dan kefasikan yang nyata!

Justeru, kita sebenarnya tidak perlu menunggu 100 hari pun untuk membuat penilaian, kerana kita sudah dapat melihat dan menilai sejak hari pertama bahawa siapa pun yang berjuang untuk mendapatkan kuasa bukan dengan perjuangan Islam yang benar, maka apabila berkuasa, ia sudah pasti tidak akan menerapkan Islam.

Sebagai Muslim, dengan apa lagi kita ingin menilai baik dan buruk, berjaya atau gagal serta berkat atau tidak sesebuah pemerintahan, jika bukan dengan Islam?

Wallahu a’lam.