40 keluarga miskin terima bantuan Ramadan
Sumber : Utusan Malaysia: 15/08/09
Dermawan Ramadhan – Untuk Allah Bukan Manfaat.
Ramadhan belum lagi menjelma tetapi sudah ramai yang mula berlumba-lumba untuk menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dan yang memerlukan. Ya, perbuatan memberikan bantuan kepada golongan fakir dan miskin seperti apa yang dilakukan oleh pihak Kelab Wanita Perak Wilayah Persekutuan (PLC) amatlah dipuji. Namun, dengan keadaan dan bebanan kehidupan pada hari ini, jumlah bantuan RM500, sepasang pakaian raya dan keperluan Ramadan yang diberikan adalah suatu nilai yang kecil sebenarnya. Kita yakin kalau Datuk Seri Raja Azureen Sultan Azlan Shah mempelawa kekandanya Raja Datuk Seri Eleena Sultan Azlan Shah, yang merupakan salah seorang daripada 40 orang yang terkaya di Malaysia (2008) ( tempat ke 26 (2008)) untuk turut menderma, sudah tentu jumlah yang jauh lebih besar dapat disumbangkan. Mengikut cacatan tahun lepas (2008) kekayaan Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah berjumlah RM 0.83 billion! Jika Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah menyahut seruan Presiden kelab PLC tersebut, Siti Hendon Chik, bayangkanlah jumlah yang akan diterima oleh 40 orang miskin tersebut!
Ketibaan bulan Ramadhan ini merupakan peluang bagi mereka yang memiliki harta yang lumayan untuk menderma dan membelanjakan harta mereka di jalan Allah.. Kikislah rasa cinta kepada harta yang tidak membawa apa-apa manfaat di hadapan Allah sekiranya tidak dibelanjakan di jalanNya. Janganlah sampai kebaikan dalam menderma ini hanya untuk bulan Ramadhan sahaja dan janganlah ada hendaknya di sebalik sumbangan-sumbangan tersebut manfaat bagi diri mereka selain dari harapan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.