Boleh cetus rusuhan kaum – NGO

 
KUALA LUMPUR 11 Ogos – Semua pihak di negara ini terutama para pemimpin politik diingatkan supaya tidak mengeluar sebarang kenyataan yang boleh mengundang reaksi negatif terhadap agama dan bangsa lain.

Beberapa pertubuhan Islam yang dihubungi Utusan Malaysia hari ini sependapat bahawa sebarang tulisan termasuk di blog yang mengundang komentar mengutuk agama ibarat ‘bermain dengan api’, kerana ia boleh menyebabkan rusuhan kaum serta menghuru-harakan negara.

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Jamaludin Yusof berkata, ahli-ahli politik perlu berpijak di bumi nyata iaitu keselamatan di negara ini bertunjangkan kepada keharmonian masyarakat majmuk.

”Justeru, ahli-ahli Parlimen kena ingat, penyokong yang mengundi mereka dahulu bukan penganut Buddha sahaja, penganut Hindu dan Islam juga ada memangkah mereka.

”Jangan sampai tulisan di blog cetus kutukan terhadap Islam, nanti undi lari (berpindah) dan yang lebih teruk akan terjadi rusuhan kaum. Tambahan pula, majoriti di negara ini adalah Melayu beragama Islam,” tegasnya.
Beliau mengulas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan siasatan dilakukan terhadap kenyataan menghina Islam, berikutan pandangan penceramah bebas, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berhubung isu anak luar nikah setiausaha politik seorang Exco Selangor yang ditemui mati baru-baru ini.

Selain kritikan balas oleh Ketua Pemuda DAPSY, Loke Siew Fook yang lebih menjurus kepada serangan peribadi, isu tersebut menjadi semakin hangat apabila wujudnya reaksi melampau dalam laman blog sehingga ke tahap menghina agama Islam.

Jamaludin menambah, Pekida mengalu-alukan arahan Perdana Menteri itu dan berharap pihak terbabit akan dikenakan tindakan setimpal.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin memberitahu, kaum lain mengutuk Islam disebabkan ketidakfahaman mereka tentang agama tersebut.

Sumber : Utusan Malaysia 12/08/09

Umat Islam di Malaysia sepatutnya mengambil langkah tegas terhadap semua puak yang bertindak menghina Islam. Tidak kira samada ia dari kalangan pembangkang, pemerintah atau Sisters in Islam – sesiapa sahaja.

Dalam kes yang berlaku baru-baru ini, sekiranya benar DAP didapati bersalah menghina Islam, umat Islam dari kalangan parti pembangkang seperti PAS dan PKR tidak boleh bertindak membela mana-mana antara mereka yang didapati bersalah dari gagasan parti mereka. Ini adalah kerana sebagai umat Islam, perjuangan yang paling penting bagi mereka adalah memartabatkan Islam dan bukannya mengangkat kepentingan politik mereka hanya demi meruntuhkan gagasan pemerintah sedia ada. PAS telah meminta supaya SIS diharamkan disebabkan pertubuhan tersebut telah lama menghina Islam, tetapi apakah tindakan PAS terhadap DAP sekiranya benar DAP didapati menghina Islam? Dan apakah pula tindakan pihak pemerintah yang kononnya menjadi contoh ‘negara Islam’ terhadap SIS dan DAP?